Motivasi Pagi Menuju Akhir Siri


Banyak negara ada minyak.
Tetapi tanpa teknologi mahu pun dana berkaitan, minyak kekal sebagai bahan mentah, di sebuah negara yang terus miskin seperti tidak berharta.

Demikianlah antara bahan mentah, dan bahan guna pakai untuk pengguna. Antara keduanya, ada PROSES yang menukar bahan mentah menjadi produk-produk yang boleh dipakai.

AL-QURAN DAN AL-SUNNAH
Demikian itu adalah gambaran yang ingin saya lakarkan, pada memahamkan kepada kita bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah meninggalkan khazanah paling berharga buat kita, al-Quran dan Sunnah Baginda. Sumber Rabbani itu adalah sumber utama kita beroleh petunjuk bagi memandu kehidupan. Ia dijamin terpelihara oleh Allah, daripada sebarang pencemaran, penyelewengan mahu pun lupa dan kehilangan.

Tetapi Al-Quran dan al-Sunnah, itu selain daripada ia dinikmati sebagai bekalan ibadah khusus pada tilawah, tadabbur, ta’allum juga tahfiz, ia perlu diproses menjadi hukum hakam dalam klasifikasi Fiqh Ibadah, Muamalah, Munakahat, Jinayat dan seterusnya. Ia juga perlu diproses agar menjadi pembimbing dalam Tazkiyatunnafs atau Tasawwuf.

Tatkala kita mendalami Pengajian Islam, kita akan dengan jelas dapat melihat betapa sistematiknya nas-nas daripada al-Quran dan al-Sunnah diekstrak hukum daripadanya. Ilmu seperti Ulum al-Quran, Usul Tafsir, Mustalahat al-Hadeeth, Usul al-Fiqh, Qawaid Fiqhiyyah juga Aqidah, merupakan proses yang membabitkan FIKIR secara bersistem. Demikianlah pentingnya FIKIR dalam membina jambatan antara nas dan panduan kehidupan.

KECELARUAN FIKIR
Di dalam Fiqh, nas-nas yang pelbagai telah membentuk peraturan-peraturan Fiqh seperti yang boleh kita temui di dalam karya klasik seperti  ‘Ilam Al-Muwaqqi’ien oleh Ibn Qayyim . Antaranya adalah:
  1. Banyak itu dikira semua (‘most’ is considered as ‘all’)
  2. Setiap perkara dinilai mengikut niat dan tujuan
  3. Apabila yang wajib tidak sempurna kerana sesuatu perkara, maka perkara itu juga menjadi wajib.
  4. Menolak kerosakan lebih utama dan mengambil manfa’at.
  5. Kerosakan yang sedikit dimaafkan demi untuk mengambil maslahat yang besar.
  6. Ditinggalkan maslahat yang lebih rendah dan dua maslahat yang ada.
  7. Kesulitan akan mendatangkan kemudahan.
  8. Tiada pertimbangan hukum bagi sesuatu yang jarang-jarang berlaku.
  9. Sesuatu yang zanni tidak boleh mengatasi apa yang qat‘ii, apatah lagi untuk mendahulukannya.
  10. Sesuatu yang telah diyakini, tidak dihilangkan kerana keraguan.
Menguasai kaedah-kaedah Fiqh ini, bukan hanya memandu kita mengendalikan proses menentukan hukum Islam terhadap sesuatu, ia juga seharusnya mempengaruhi cara kita mengendalikan isu-isu seharian dalam kehidupan. Kehilangan upaya berfikir secara sistematik, menyebabkan sama ada nas difahami secara salah, atau nas ditolak kerana dilihat seperti tidak relevan.

Bahayanya apabila kita kita belajar cara berfikir.

Tambahan pula, apabila fitnah Dajjal adalah pada merosakkan sistem fikir manusia, saya yakin ada pemikiran Dajjalik yang membinasakan kita secara halus, terselit-selit di celah kesengetan cara berfikir (cognitive distortion). Kebimbangan tentang hal ini menjadi sebab utama, mengapa saya memilih CARA BERFIKIR ORANG-ORANG BERJAYA di dalam segmen Motivasi Pagi di Radio IKIM.

TIBA KE PENGHUJUNG
Bulan Mei sudah sampai ke penghujungnya.
Ini bererti, segmen Motivasi Pagi saya juga sudah sampai ke akhir.
Biar pun ia hanya 10 minit sehari, saya amat berharap agar sedikit sebanyak ia membantu pendengar menstrukturkan kembali cara fikir, demi kehidupan beragama yang mampan terhadap cabaran-cabaran semasa.
CONTOH KES
Pagi ini, saya telah kongsikan satu kes sebagai contoh.
“Perempuan itu setelah berbulan berumahtangga, masih tidak disentuh suami. Beliau kebingungan. Menyalahkan diri, terasa rendah diri, tertekan dengan pertanyaan-pertanyaan ahli keluarga dan membayangkan Talaq di hujung perjalanan. “
Biar pun kes itu amat ganjil, namun ia semakin bertambah dari semasa ke semasa. Semoga dengan 6 cara berfikir di segmen Motivasi Pagi itu, sesiapa yang berhadapan dengan kes seperti ini, atau kes-kes lain yang rumit, tidak buntu dan tenggelam punca. Gunakan 6 cara berfikir itu sebagai check list, untuk mempertimbangkan pelbagai kemungkinan antara pro dan kontra sebelum membuat sebarang keputusan.

Saya serahkan baton segmen Motivasi Pagi kepada Ustaz Ebit Lew bagi siaran Jun.
Teruskan bersama.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra

Comments

Popular posts from this blog