Penerapan Akhlak Islamiah Teras Kecemerlangan Individu Muslim




Dewasa ini, media seringkali melaporkan permasalahan berkaitan akhlak negatif yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Lebih mengejutkan, umum mengetahui bahawa mereka yang terlibat dalam perkara ini terdiri daripada individu yang bergelar Muslim. Sedar tidak sedar, kurangnya penerapan akhlak Islamiah inilah punca sebenar berlakunya permasalahan ini sekaligus menyebabkan kegagalan. Rentetan itu, adalah satu kewajipan bagi individu Muslim menerapkan akhlak Islamiah untuk mencapai kecemerlangan.

Dalam mengharungi zaman yang mencabar ini pelbagai rintangan perlu diharungi secara bijaksana bagi mengelak daripada berlakunya konflik. Kita sedia maklum, gejala negatif kian menular dalam kalangan umat Islam kita seperti penzinaan, pembuangan bayi, hubungan sejenis dan sebagainya. Dahulu, kita hanya mendengar fenomena ini berlaku di negara-negara luar sahaja, tetapi sekarang ia bukan sahaja dapat didengar di negara kita, bahkan dapat dilihat di depan mata kita sendiri. Situasi ini menunjukkan betapa cepat dan dekatnya perkara negatif ini merebak dalam kehidupan masyarakat Islam kita. Perkara ini tidak lain berpunca daripada diri individu Muslim itu sendiri yang tidak diterapkan dengan akhlak yang mulia.

Antara punca tercetusnya permasalahan ini ialah disebabkan kurangnya pengetahuan agama dalam diri Muslim menyebabkan mereka tidak mengetahui samada sesuatu perkara itu dibenarkan atau dibataskan syariat. Mereka merasakan agama hanyalah perkara biasa dan tidak cuba mendalami hikmah yang terkandung di sebaliknya. Jika pengetahuan agama dipandang enteng sudah tentulah akan memberi impak yang negatif dalam pencorakan kehidupan. Sebagaimana firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 122 yang bermaksud: “Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya”. Di sini dapat difahami bahawa betapa pentingnya pengetahuan agama bagi kebahagiaan hidup manusia.



Terdapat juga mereka yang hanya mementingkan kecemerlangan dunia sahaja tanpa menghiraukan kepentingan akhirat. Bagi mereka, kecemerlangan dunia amat penting kerana kecemerlangan ini dipercayai menjamin kebahagiaan mereka selama-lamanya. Tanggapan ini jelas sekali tersasar dari landasan Islam kerana kita tidak akan memperoleh kebahagian sekiranya tidak menyeimbangkan keperluan dunia dan akhirat. Ini ditegaskan lagi melalui sabda nabi yang bermaksud:“Tidak dianggap orang yang meninggalkan dunianya kerana akhirat, dan tidak juga orang yang meninggalkan akhirat yang kerana dunianya sehingga sekaligus mendapatkan kedua-duanya.”

Perkara ini juga berlaku disebabkan terpengaruhnya masyarakat kita dengan dakyah-dakyah Barat yang mengeksploitasi pemikiran umat Islam dengan perkara-perkara yang menyebabkan kelalaian seperti berlebihan dalam hiburan, fesyen, sukan dan sebagainya.Sajian hiburan melampau yang dianjurkan Barat tetap terus mendominasi jiwa-jiwa remaja Islam. Barah ini perlu dirawat dengan secepatnya kerana jika dibiarkan sudah tentu umat Islam akan menghadapi kehancuran.

Hal ini kerana, daripada unsur kelalaian inilah yang sedikit demi sedikit membarah dan melakarkan akhlak yang negatif dalam pembentukan kecemerlangan peribadi Muslim. Umat Islam perlu sedar bahawa golongan Barat berusaha sedaya mungkin mencipta pelbagai taktik untuk menyesatkan umat Islam. Hasan Al Banna dalam bukunya “Rasa’il al-Imam al-Syahid”, menyuarakan kebimbangannya terhadap umat Islam yang tidak mampu menepis ancaman-ancaman sosial Barat yang berusaha menyekat umat Islam daripada mempunyai perubahan dan kekuatan dalam menjalani kelangsungan hidup yang bertamadun.

Dalam hal ini, apabila mereka melihat kita dalam kelalaian, mereka bersorak gembira meraikan kehancuran yang bakal ditempuh umat Islam. Adakah kita sanggup melihat umat Islam kita sewenang-wenangnya dimanipulasi golongan Barat? Jawapan kepada persoalan ini perlu ada dalam setiap diri individu Muslim bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingya penerapan akhlak Islamiah ini.

Oleh yang demikian, untuk memastikan umat Islam terus membangun, setiap individu Muslim haruslah menghiaskan diri dengan akhlak Islamiah terlebih dahulu sebelum mengganjakkan diri ke medium yang lebih mencabar untuk sama-sama memimpin umat ke jalan yang benar. Aspek ini amat penting dijadikan sebagai konkrit dalam memasakkan tiang keutuhan umat Islam. Ini kerana, dengan tersemainya akhlak yang baik dalam jiwa umat Islam itu akan terhasilnya buah kejayaan dan kecemerlangan yang dibajai dengan iman dan takwa kepada Allah swt.

Lantaran itu, akhlak yang berasaskan Islam amat penting dalam menerajui kehidupan umat Islam. Ini kerana, akhlak yang baik merupakan asas utama dalam penyempurnaan iman seseorang Mukmin. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud “Orang Mukmin yang paling sempurna keimanannya adalah yang paling baik akhlaknya.” Hadis ini merungkaikan bahawa dikira sempurna iman seseorang Mukmin itu apabila ketinggian akhlak mengatasi segala perbuatan yang lain. Jadi, daripada itu kita dapat simpulkan bahawa jika ingin mencapai kecemerlangan, kita haruslah melengkapkan diri dengan akhlak yang mulia.

Selain itu juga, akhlak Islamiah ini dapat menghindarkan diri seseorang Muslim itu daripada ditempatkan di neraka. Manakala, berakhlak buruk pula akan menyebabkan seseorang itu jauh dari mengecap kenikmatan syurga Allah. Rasulullah saw bersabda, “Si fulan pada siang harinya berpuasa dan pada malamnya bersembahyang sedangkan akhlaknya buruk, menganggu jiran tetangganya dengan perkataannya, tidak ada kebaikan dalam ibadahnya, dia adalah ahli neraka.” Hadis ini menerangkan bahawa Muslim itu kuat beribadah sedangkan akhlaknya buruk maka dia juga dimasukkan ke dalam neraka. Jelaslah bahawa Allah tidak menilai Mukmin itu berdasarkan kuat atau banyaknya beribadah, tetapi ketinggian akhlak itu sebenarnya yang menjadi kayu ukur menentukan seorang itu berjaya mengadaptasikan ibadah dalam kehidupan kemudian diterjemahkan kepada perilaku akhlak. Perspektif ini jelas menggambarkan kepada kita bahawa dengan adanya akhlak Islamiah sudah pasti akan dapat menghindarkan diri dari terjerumus ke lembah kehinaan dan berupaya memandu ke arah kehidupan yang lebih cemerlang.

Disamping itu, akhlak juga akan menentukan kedudukan seseorang di akhirat nanti yang mana akhlak yang baik dapat memberatkan timbangan amalan yang baik manakala akhlak yang buruk akan memberatkan timbangan amalan yang buruk. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:“Tiada sesuatu yang lebih berat dalam daun timbangan melainkan akhlak yang baik.” Hadis ini jelas menyatakan bahawa sesungguhnya tiada amalan kebaikan lain yang dapat memberatkan timbangan amalan melainkan diberatkan dengan pengisian akhlak yang baik.

Justeru itu, jelaslah kepada kita bahawa penerapan akhlak Islamiah merupakan elemen paling penting dalam menyumbang kepada kecemerlangan diri setiap individu Muslim dari kedua-dua aspek samada rohani dan jasmani serta dapat melahirkan individu yang berintegriti dan bertamadun dalam sesebuah masyarakat. Sesuatu kecemerlangan itu tidak tercapai sekiranya tidak diseimbangi dengan keperluan duniawi dan ukhrawi. Terlaksananya penerapan akhlak Islamiah ini semestinya akan memberi natijah yang positif kepada umat Islam sekaligus mengangkat martabat individu Muslim ke tahap yang lebih tinggi.

Oleh : Siti Nazimah Daud, pelajar tahun 3, Program Bahasa Arab dan Komunikasi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

 http://www.islamituindah.my

Comments

Popular posts from this blog