Sastera Nota Kehidupan: NASIB SEORANG PESARA


Gambar ditampalkan sebagai hiasan sahaja

Siri Teladan: Nasib Seorang Pesara

Haji Zaid (bukan nama sebenar) adalah seorang pesara yang telah bersara beberapa tahun yang lalu. Jawatan terakhirnya sebelum bersara adalah Ketua Kerani dalam sebuah jabatan kerajaan. Dia mempunyai 7 orang anak iaitu 3 perempuan dan 4 lelaki. Semua anak-anaknya sudah berumah tangga dan mempunyai anak masing-masing. Ketika sihatnya Haji Zaid lebih menonjol sebagai orang yang kaya cucu. Memang ramai cucunya. Ada diantara cucunya juga sudah berumah tangga. Sebagai kepala keluarga Haji Zaid boleh dianggap berjaya mendidik anak-anaknya kerana ramai anak-anaknya berjaya dalam pelajaran dan kerjaya masing-masing. Paling-paling lekeh anaknya bukanlah seorang buruh kasar tetapi seorang pegawai juga sekadar kelulusan politeknik. Oleh itu Haji Zaid amat dihormati kerana kesungguhannya memberi pelajaran kepada anaknya hingga setiap anaknya berjaya dan hidup senang dengan pendapatan masing-masing.

Setelah bersara dan anak-anaknya mempunyai rumah masing-masing tinggallah Haji Zaid bersama isterinya di sebuah rumah teres kos sederhana. Mereka kesunyian cuma hujung minggu adalah sorang dua anak atau cucunya datang menjenguk mereka. Haji Zaid tidak kisah kerana dia dan isterinya masih dan mampu memandu kereta kerumah anak-anaknya jika terasa rindu kepada anak-anak dan cucunya.

Tujuh tahun selepas bersara tanpa diduga Haji Zaid di serang angin ahmar menyebabkan dia menjadi lumpuh seluruh anggota. Pada awalnya anak-anaknya menghantarnya ke hospital swasta agar dapat diubati dan supaya sembuh dengan segera. Tapi malangnya tidak banyak perubahan atau pemulihan pada anggotanya. Kos rawatan di hospital swasta semakin meningkat. Ini menimbulkan cakap-cakap belakang di kalangan anak-anaknya siapa mahu bayar kos hospital yang semakin hari semakin tinggi. Apabila cadangan supaya berkongsi sama rata diusulkan ada anak-anaknya menolak dengan berbagai alas an. Tidak ada saving lah.. gaji tak cukup kena bayar hutang lah… itulah… inilah… alasan mereka. Ada juga anak-anaknya yang memarahi Angahnya kerana menghantar bapa mereka ke hospital swasta. Dituduh Angahnya pandai-pandai buat keputusan tanpa berbincang terlebih dahulu. Akhirnya Haji Zaid terpaksa mengeluarkan wang simpanannya yang diperolehi dari gratuity pencen dan EPF yang disimpan sejak bersara dulu. Bila duit itu tidak cukup barulah anak-anaknya top up supaya mencukupi.

Keluar dari situ Haji Zaid dihantar ke hospital kerajaan pula. Oleh kerana dia pesara maka tidaklah banyak perbelanjaan rawatan semasa di hospital kerajaan. Lama juga dia berada di hospital kerajaan. Mula-mula berada di sana kerap juga anak-anak dan cucu datang melawat. Tapi apabila sudah lama semakin hari semakin jarang anak-anak datang menjenguknya. Berbagai alasan diberikan seperti sebok, letih dan sebagainya. Sebagai seorang ayah yang lumpuh anggota tentulah sedih, jiwa tertekan, kecewa, rindu apabila anak-anak cucu tidak menampakan muka. Setiap hari hanya isterinya sahaja yang setia menunggunya di sisi katil wad sakitnya. Haji Zaid mengeluh juga dan amat kecewa terhadap tingkah laku anak-anaknya akhir-akhir ini. Setiap masa titisan air mata bergenang di kelopak matanya yang ketara kedut dan cengkung itu. Ada juga isterinya menelefon anak-anaknya supaya datang. Bila telefon baru datang… lama kelamaan bosan juga isterinya.

Setelah tidak ada tanda-tanda sembuh Haji Zaid pulang ke rumahnya untuk meneruskan kehidupannya yang lumpuh. Semasa di rumahnya juga keadaan yang sama berulang. Anak-anaknya jarang benar balik untuk menziarahi ayah mereka yang lumpuh atau menziarahi ibu mereka yang juga sudah tua yang terpaksa memikul tanggung jawab menjaga ayah mereka. Jiran-jiran sebelah rumah hanya mampu bersimpati dan menahan sedih bercampur geram terhadap kerenah anak-anak Haji Zaid yang sudah mula tidak bertanggung jawab. Yang berpangkat sebok dengan tugasnya. Yang lain pula dengan alasan dan urusan sendiri yang sengaja dibuat-buat. Isteri Haji Zaid lah yang memasak makanan untuk suaminya, mencuci pakaian, menyalin “pampers” suaminya, mencuci najis, memapah untuk memandikannya, berjaga di waktu malam dan semuanya.

Kadang kala bila ada sekali sekala anak-anaknya datang disuruh juga oleh Mak Jah (isteri Haji Zaid) supaya menyalin “pampers” dan membasuh najis ayah mereka. Malangnya semua anaknya menolak kerana tak sanggup. Sengaja mereka membuat alasan kononnya takut terlihat kemaluan ayah mereka yang memungkinkan ayah mereka malu. Tapi tidak ada helah yang amat menyedihkan melainkan seorang anaknya sanggup mengeluarkan alasan tidak sanggup kerana najis ayahnya “terlalu busuk”. Mendengar alasan itu hati Mak Jah remuk bagai digilis keretapi.

Selepas dua tahun Haji Zaid dan Mak Jah menderita hidup sengsara keadaan tidak diduga berlaku. Zahirnya Haji Zaid yang sakit dan lumpuh sebaliknya Mak Jah dahulu yang diambil oleh Allah swt kembali mengadapNya. Mak Jah menghembuskan nafasnya yang terakhir di dalam bilik mandi rumahnya tanpa disedari oleh suaminya yang terlantar di katil. Kematian Mak Jah akibat kemalangan. Dia tergelincir jatuh disebabkan lantai bilik mandi menjadi licin oleh sabun yang dikeluarkan dari mesin basuh. Kepalanya terhantuk kepada bucu lantai dan dia mati di situ.

Kematian Mak Jah menjadikan jiwa Haji Zaid tertekan hebat. Dia menjadi tidak keruan. Kerap meracau dan sering menangis berseorangan. Dia sudah jarang bercakap dan lebih banyak berdiam diri. Makan bila hanya dipaksa. Minum bila hanya disuap.

Kematian Mak Jah lebih menyerlahkan sikap buruk anak-anak mereka. Kata putus bagi menjaga ayah mereka tidak pernah dicapai. Yang berpangkat besar memberi alasan rumah banglonya tidak ada bilik khas untuk ayahnya. Setiap bilik sudah didiami oleh anak-anak dan orang gaji. Yang lelaki lainnya menghadapi masalah isterinya yang tidak sanggup menjaga bapa mertua. Jijik dengan najis. Yang anak perempuan pula mana mungkin boleh menjaga kerana mereka semuanya bekerja dan sebok dengan urusan dan bisnes. Akhirnya seorang jiran yang prihatin dari dulu mengambil berat menawarkan keikhlasan untuk menjaga ayah mereka dengan syarat dibekalkan ubat dan “pampers” kerana dia bergaji kecil dan tidak mampu. Pucuk dicita ulam pun tiba. Tawaran diterima sebulat suara malah anak-anak Haji Zaid offer lagi dengan sedikit gaji sebagai imbuhan. Maka berpindahlah Haji Zaid dari rumahnya ke rumah jirannya bagi menghabiskan sisa-sisa hidupnya.
Keengganan anak-anak menjaganya paling menyedihkan hati Haji Zaid. Sungguhpun menderita sakit dia masih mampu menahan kesakitan itu tetapi kesakitan dihati melihatkan tingkah laku anaknya lebih menyakitkan. Dia menjadi lebih tersiksa. Selama 13 bulan dia berada bersama jirannya yang menjaga, mempeduli dirinya tanpa mengeluh, berleter, bermasam muka atau menunjukkan sikap benci. Mereka cukup sayang padanya yang tidak dia perolehi dari anak-anaknya. Hinggalah pada suatu hari dia berkata dalam sebak dan tangis kepada jirannya, “Man… Tipah… Pakcik terhutang budi kepada kamu berdua… Pakcik anggap kamulah anak Pakcik dunia akhirat… anak-anak kamu juga cucu Pakcik dunia akhirat…..”.Dia menangis kuat… Dia minta dipanggilkan ketua masyarakat disitu untuk bertemu. Dengan bantuan ketua masyarakat itu dia meminta semua harta dan rumahnya dipindahkan kepada jirannya apabila dia meninggal dunia nanti.

Seminggu selepas berwasiat Haji Zaid menghembuskan nafasnya yang terakhir ditengah-tengah deruman ayat-ayat Yaasin yang berkumandang yang dibacakan oleh penduduk di situ apabila melihatkan keadaannya semakin nazak. Jenazahnya dimandi, dikapan dan disembahyangkan di rumah itu juga dan diimamkan oleh jiran yang menjaganya semasa hidup. Akhirnya jenazahnya disemadikan disisi kubur isterinya yang sentiasa dia rindui.

Selepas kematian. Anihnya, cerita lain yang ditimbulkan oleh anak-anaknya terhadap jiran yang menjaga ayah mereka. Bukan terima kasih yang diberi tetapi fitnah pula yang dilempar. Jiran itu dituduh tidak pernah cukup dengan duit yang mereka beri dan harta ayah mereka pula sanggup dicuri. Jiran yang bijaksana dan ikhlas menghulur pertolongan itu mengambil keputusan menjadikan rumah itu yang sudah diberikan arwah kepadanya sebagai taman asuhan kanak-kanak dan kelas pengajian Al-Quran.

Semuga Allah mencucuri RahmatNya ke atas roh Haji Zaid dan isterinya serta memberkati keluarga En Othman dan Pn Latifah.

Hasil Pengalaman/pemerhatian
~hasil karya matnorlah - untuk Sastera Nota Kehidupan.

 http://nota2kehidupan.blogspot.com/2009/11/sastera-nota-kehidupan-nasib-seorang.html

Comments

Popular posts from this blog