15 ALAMAT KIAMAT




1 - Alamat Kiamat Yang Pertama Zahir Imam Mahdi


Keadaan Tubuhnya dan Tabiatnya

Sesungguhnya tubuh Imam Mahdi itu, namanya Muhammad bin Abdullah (serupa dengan nama nabi kita Muhammad s.a.w) keturunan Hasan Husin (cucu nabi Muhammad s.a.w) keadaan tubuhnya sederhana, warna kulitnya bersangatan merah, jarang bulu dua pelipis (bulu keningnya), mancung hidungnya, lengkung keningnya, panjang mukanya, luas dua matanya, lagi bercelak, berkilat-kilat giginya kerana tersangat putih, ada tahi lalat yang hitam pada pipinya yang sebelah kanan, berseri-seri mukanya, tebal janggutnya, ada satu pada belikatnya seperti tanda Khatamun Nabuwwah nabi Muhammad s.a.w, renggang pahanya dan ada memakai ia akan baju belah dada yang berwarna putih lagi pendek, maka keadaan tabiatnya tiada memanggil ia akan orang yang tidur, melainkan waktu hendak sembahyang, tiada menumpah ia akan darah yang tiada halal, berperang ia akan orang yang meninggalkan sunnah nabi kita Muhammad s.a.w. 

Menghilang ia akan segala bida’ah-bida’ah yang keluar daripada Ahli Sunnah Waljamaah dan kafir musyrikin, ia akan menjadi raja dan merintah ia akan dunia ini, seperti Zulqarnain, dan nabi Sulaiman, sebagaimana ceritanya yang masyhur pada hadis-hadis nabi Muhammad s.a.w. Sesungguhnya Imam Mahdi itu memecah ia akan salib. Membunuh ia akan babi, serta berjinak-jinak ia dengan sekalian muslimin; memberi ia kepada mereka itu akan beberapa pemberian. Dan lagi Imam Mahdi itu diredhai oleh sekalian yang diam di langit dan di bumi, sehingga sekalian burung-burung pada awan, binatang-binatang yang liar di hutan, dan ikan-ikan di laut semuanya suka kepadanya, dan menyuka Imam Mahdi akan hati umat nabi Muhammad s.a.w dengan kekayaan hartanya sehingga menyuruh ia akan bendaharinya menyeru kepada mereka yang berhajat kepada hartanya. Maka menyerulah bendahari itu kepada sekalian manusia, akan tetapi seruannya itu tiada sesiapa pun yang memperkenankannya, melainkan seorang sahaja yang menyahutkan seruan ini kerana di masa itu semuanya di dalam kekayaan belaka. Lalu berkata Imam Mahdi kepada orang yang menyahut itu,

 “Pergilah kamu mengambil harta daripada bendahari aku”. Maka pergilah ia kepadanya, maka berkata bendahari itu sambil menunjuk kepada harta itu, “Kaut olehmu dengan sekehendak hatimu”. Maka orang itu pun mengautlah harta itu; meletak di atas ribanya sehingga melimpah ia. Kemudian ia sesal pula akan sebagai sesal yang bersangatan, sambil berkata ia, “Bahawa aku ini seloba-loba (tamak haloba) daripada umat nabi Muhammad s.a.w.” Lalu ia pun mengembalikan segala harta itu kepada bendahari Imam Mahdi.

2 - Alamat Kiamat Yang Kedua Zahir Dajal

Gambaran Dajjal 
Dajal itu ialah terlebih besar fitnah di dalam dunia ini, kerana mendakwa ia akan tuhan. Maka adalah Dajal itu seorang yang sangat muda lagi tiada berjanggut, ada baginya misai, dan buta matanya sebelah. Kata sesetengah ulama buta sebelah kiri. Kata sesetengah tiada tertentu mata yang kiri yang buta itu, kerana berganti-ganti yang buta itu, pada satu waktu buta sebelah kiri, dan pada satu waktu buta sebelah kanan. Maka matanya itu sangat timbul bijinya seperti buah inab (anggur). Maka tiada ada gandingan seperti demikian mata itu.

Dan tubuhnya sangat tambun, tingginya lapan puluh hasta. Lebarnya di antara dua belikat itu tiga puluh hasta. Panjang dahinya dua hasta, dan ada baginya tanduk patah pada kepalanya. Maka keluar daripadanya beberapa ular, rambut kepalanya itu seperti cawang kayu, tangannya panjang sebelah daripada yang satu. Mencapai ia akan awan dengan tangannya, dan mengambil ia akan ikan di pantai laut serta dibakarnya kepada matahari. 

Dan berjalan ia di dalam laut sekadar tumitnya. Keluar ia daripada negeri Khurasan dan berteriak ia tiga kali. Mendengar akan dia oleh ahli Masyrik dan ahli Maghrib. Dan dilipat akan bumi baginya yakni disingkatkan bumi itu baginya hingga beberapa jauh sekalipun dapat ia berjalan dengan satu saat. Dan ada baginya seekor himar (keldai) yang terpotong ekornya. Putih warnanya dan antara dua telinga himar itu empat puluh hasta. Dan kata Qil tujuh puluh hasta dan dapat bernaung di bawah salah satu daripada dua telinganya tujuh puluh orang. Dan satu langkahnya itu perjalanan tiga hari. Maka ditaruh di atas belakangnya itu mimbar daripada tembaga. Maka duduk Dajal di atasnya, mengikut akan dia beberapa jemaah daripada jin dan manusia yang mempunyai permainan yang sia-sia (muzik dan seumpamanya) sekalian mereka itu; dan dipukul akan gendang di hadapannya dan gambus. Maka tiada mendengar akan yang demikian oleh seseorang melainkan mengikut akan dia, dan disuruh akan awan hujan, maka hujan ia.

Dan disuruhnya sungai mengalir kepadanya, maka mengalir ia. Dan disuruh ia kembali, maka kembali ia. Maka jikalau disuruhnya kering, maka kering ia. Dan menyuruh ia akan bumi tumbuh, maka tumbuh ia. Dan disuruh keluar bendaharan daripada bumi itu, maka bendaharan itu, dan lagi sertanya beberapa bukit daripada roti dan makanan. Maka adalah manusia pada waktu itu di dalam mushaqah daripada ketiadaan makanan, melainkan orang yang engikut akan dia, dan sertanya syurga dan neraka. Maka keduanya itu rupa-rupaan jua, bukan syurga dan neraka yang sebenarnya, kerana api neraka itu sungai air tawar lagi sejuk. Dan mendakwa dirinya Tuhan dan menyeru ia akan manusia supaya beriman dengan dia. Dan sertanya dua malaikat, seorang pada pihak kanan dan seorang sebelah kirinya. Menyerupai oleh keduanya dengan dua nabi. Kata sesetengah ulama yang ghalib bahawasanya Isa dan Muhammad. Maka apabila berkata Dajjal itu, "Tiadakah aku Tuhan kamu?" Kata salah seorang daripada dua malaikat,"Dusta engkau!" Dan tiada mendengar akan dia oleh seorang daripada manusia melainkan malaikat yang satu lagi.

Maka berkata malaikat yang mendengar itu bagi taulannya itu,"Sedikit yakni benar engkau!" Maka mendengar oleh manusia akan perkataan malaikat itu bagi taulannya, "Benar engkau!" Maka menyangka oleh mereka itu akan bahawa malaikat itu membenar ia akan Dajjal. Pada hal ia membenar akan taulannya yang berkata, "Dusta engkau!" Maka orang yang tiada padanya dalil 'Mukholafatuhu Lilhawadis', mengikrar ia baginya dengan ketuhanannya. Seperti Yahudi dan segala perempuan dan I'rab (orang yang jauh daripada negeri dan kampung), maka berkata ia bagi seseorang,"Khabarkan olehmu akan daku, jika aku bangkitkan bagi kamu akan bapa kamu dan ibu kamu, adakah kamu naik saksi bahawasanya aku Tuhan kamu?" Maka berkata mereka itu bahkan; maka menyerupa oleh dua syaitan pada rupa bapa dan ibunya. Maka berkata keduanya, "Hai anakku!! Ikut olehmu akan dia, maka inilah Tuhan kamu". 

Maka orang yang berpegang teguh dengan dalil Mukholafatuhu Lilhawadis', inkarlah ia akan ketuhanannya Dajjal kerana bahawasanya Dajjal itu berjisim (bertubuh badan) ; berlaku atasnya oleh barang yang berlaku atas segala jisim-jisim : seperti lemah dan lainnya kerana lemah Dajjal itu pada akhir kerjanya, dan membunuh akan dia oleh nabi Isa anak Maryam, dan lagi buta matanya sebelah. Maka kerana inilah sabda Rasulullah s.a.w, "Hai segala hamba Allah, tetapkan oleh kamu yakni di atas agama kamu yang sebenar, maka bahawasanya lagi akan aku mensifatkan akan dia oleh seorang nabi yang dahulu daripada aku. Maka berkata Dajjal, aku nabi walhal bahawasanya tiada nabi kemudian daripada aku ; kemudian diulang pula kali yang kedua. Maka berkata ia bahawasanya aku Tuhan kamu, walhal tiada boleh engkau lihat Tuhan kamu hingga mati kamu. Dan bahawasanya ia buta sebelah dan Tuhan kamu tiada buta. Dan bahawasanya disuratkan di antara dua matanya (dahinya) kafir. Membaca akan dia oleh tiap-tiap mukmin yang pandai menulis atau yang tiada pandai menulis."(Al-hadith) Kata Sheikh Sahimi, bermula orang yang alim pada zaman itu sedikit. Hanya apabila sedikit ia maka banyaklah orang-orang yang mengikut akan Dajjal itu kerana jahil mereka itu. Maka sayugiyalah pada akhir zaman janganlah duduk jauh daripada orang alim, supaya lepas daripada fitnah Dajjal.

Sabda Rasulullah s.a.w, "Tiada lepas fitnah Dajjal itu melainkan dua belas ribu lelaki dan tujuh ribu perempuan."



3 - Alamat Kiamat Yang Ketiga Turun Nabi Isa Dari Langit 


Maka adalah Nabi Isa itu ialah seorang nabi yang turun dari langit dunia ini, kemudian daripada keluar Dajal Laknatullah. Maka memegang ia akan syariat nabi kita Muhammad s.a.w. Maka adalah warna kulitnya putih merah, rambutnya ikal (antara kerinting dan genjur).  Besar kepalanya, sederhana badannya, serta lebar dadanya, dan di atas dua bahunya ada dua helai kain kuning. Maka mukjizat Nabi Isa itu tiap-tiap kali ia bernafas, apabila mengenai akan kafir, matilah kafir itu. Maka membinasalah ia akan tanda salib (+) yakni tanda yang dipakai oleh orang yang beragama Kristian. Dan membunuh ia akan segala babi dan kera serta orang-orang yang kafir. Dan tiada mengambil ia akan hasil kepala, dan tiada menerima ia sekalian agama melainkan agama Islam jua. Dan lagi pada masa itu, rukun Islam tinggal empat sahaja iaitu :-
1.     Dua kalimah syahadah
2.     Sembahyang
3.     Puasa
4.     Haji

Tiada masuk zakat kerana tiada ahli yang menerimanya, oleh sebab pada ketika itu sekalian manusia masing-masing dengan kekayaan. Dan bahawasanya pada zaman itu, zahirlah pula beberapa perkara yang ajaib-ajaib iaitu:-

1.     Zahir harta-harta di dalam bumi seperti emas dan lain-lainnya
2.     Orang-orang pada masa itu tiada gemar atau tamak kepada menyimpan harta-harta kerana mereka telah mengetahui dunia telah hampir dengan kiamat
3.     Antara seorang dengan seorang dan sepuak dengan sepuak tiada berhasad dengki dan bermarah-marahan, oleh sebab masing-masing tiada ingat kepada harta benda lagi
4.     Dihilangkan bisa pada binatang-binatang hingga bermain kanak-kanak dengan ular dan kala
5.     Berbaik seteru dengan seteru hingga berkawan harimau dengan kambing
6.     Sekalian makhluk di dalam dunia ini hidup dengan makmur dan sentosa
7.     Tiadalah menyala api peperangan pada ketika itu walau sedikit pun
8.     Tumbuh-tumbuhan pada masa itu tersangat subur dan elok serta mengeluarkan hasil yang banyak seperti zaman Nabi Adam makmurnya; kerana masa Nabi Adam tersangatlah makmur serba serbinya begitu jugalah di zaman Nabi Isa A.s.
9.     Harga kuda tersangat murah kerana tiada peperangan
10. Harga lembu pula bertambah-tambah mahal sebab digunakan untuk membajak sawah; kerana kebanyakan bumi pada masa itu dibuat bendang.

Maka adalah tempat turun Nabi Isa itu ialah di sisi menara yang putih, pada pihak Masyrik di dalam Bandar di Damsyik di daerah negeri Syam. Pada ketika turunnya, dibawa oleh dua malaikat dan duduklah Nabi Isa antara dua sayap malaikat itu. Apabila sampai ia ke bumi, masuk ia ke dalam masjid Damsyik serta terus ia naik di atas mimbar. Maka masuklah sekalian orang Islam di dalam masjid itu, demikian juga Yahudi dan Nasrani. Masing-masing pada ketika itu berharap-harap kepada Nabi Isa. Dan pada ketika itu juga datanglah tukang bang daripada orang-orang Islam, dan orang Yahudi membawa serunai serta datang orang Nasrani membawa naqus (ketuk-ketuk); kerana mereka itu masing-masing menyeru manusia mengerjakan sembahyang. Dan pada masa itu juga dicabut undi kepada tiga puak itu, sesiapa yang kena undi pada menyeru sembahyang; tiba-tiba terkenalah undi itu pada orang Islam. Maka bang lah ia kerana hendak mendirikan sembahyang. Pada ketika itu, keluarlah segala Yahudi dan Nasrani daripada masjid itu kerana tidak kena undi mereka itu. Maka sembahyanglah Nabi Isa bersama-sama dengan segala orang Islam itu akan sembahyang Asar. Kemudian keluarlah Nabi Isa dengan orang-orang yang sembahyang itu. Maka membunuh oleh mereka itu Dajal, dan memerintah ia akan dunia selama 40 tahun dengan pemerintahan yang adil daripada segala hukum-hukumnya. Kemudian wafatlah ia, serta dikubur di sisi nabi kita Muhammad s.a.w. 
4 - Alamat Kiamat Yang Keempat Keluar Yakjuj Makjuj

Yaitu keluar Yakjuj Makjuj adalah puak-puak mereka itu terbahagi kepada tiga puak:-
  1. Puak yang pertama tingginya seperti pokok Tamar ialah setinggi-tingginya hingga 120 hasta lebih kurang.
  2. Puak yang kedua tinggi dan besar sama sahaja yaitu empat persegi dan telinganya sangat besar, sebelah daripada telinganya itu dijadikan hamparan tempat tidurnya, dan telinga yang sebelah lagi itu dijadikan kain selimutnya. 
  3. Puak yang ketiga badannya sehabis-habis rendah yaitu tingginya sekadar sejengkal dan sesetengahnya ada dua jengkal tingginya. 
Dan bahawasanya tempat keluar mereka itu daripada antara dua bukit yaitu daripada negeri Turkistan yang asli kemudian ditutup oleh Zulkarnain. Maka adalah Turki itu terbahagi kepada dua bahagian. Pertama ialah Turki Turkistan yang tersebut itu. Kedua ialah Turki Uthmaniyah yaitu Turki yang berpindah daripada negeri Turkistan kepada negeri Kostantaniah kerana tewas peperangan mereka itu dengan kaum Tatar yang sempadan dengan mereka itu. Kerana adalah kaum Tatar itu tersangat kuat lagi ramai dan sangat kejam perbuatannya sehingga membunuh kanak-kanak dan membelah sekalian perut perempuan-perempuan yang bunting. Jika difahamkan daripada ilmu alam sekarang dengan peta-peta, boleh jadi kaum Yakjuj Makjuj itu ada di bahagian Tanah Syria. Tetapi dengan sebab tidak berjumpa oleh ahli siasah akan mereka itu kerana telah melindung oleh Allah Taala daripada pandangan mata mereka itu sebagaimana melindung oleh Allah Taala akan Dajjal daripada pandangan ahli siasah. Maka wajiblah sekalian kaum muslimin mengiktikadkan bahawa Yakjuj Makjuj itu masih ada sekarang kerana dalil bagi yang demikian itu daripada firman Allah s.w.t, "Telah berkata oleh mereka itu (Kaum Zulkarnain) Wahai Zulkarnain, bahawasanya kaum Yakjuj Makjuj itu telah membinasalah mereka itu akan segala isi yang ada di muka bumi ini." Maka yang dikehendaki dengan kaum pada ayat itu ialah keturunan daripada anak cucu yaitu Nabi Nuh dan Zulkarnain itu ialah keturunan daripada anak cucu sama anak Nabi Nuh juga kerana anak Nabi Nuh itu tiga orang. Dua orang daripadanya itu yang telah tersebut dahulu dan satu lagi bernama Ham.                   
                                       
"KEADAAN ISKANDAR ZULKARNAIN"

Sesungguhnya adalah Zulkarnain itu ialah seorang wali bukannya nabi, atas qaul sahih namanya Iskandar. Anak bagi seorang perempuan tua, maka perempuan tua itu tidak ada anak yang lain daripadanya. Warna kulitnya hitam dan masuk Islam ia di bawah tangan Nabi Ibrahim serta beragama dengan agama Nabi Ibrahim. Minta doa Nabi Ibrahim baginya dan telah berwasiat Nabi Ibrahim baginya dengan beberapa wasiat. Nabi Khidir itu ialah anak emak saudaranya (Zulkarnain) serta menteri baginya. Maka adalah di antara Nabi Ibrahim dengan Nabi Nuh ialah 1000 tahun. Dan di antara Nabi Ibrahim dengan Nabi Muhammad ialah 4000 tahun lebih. Maka jumlah masa terkurung Yakjuj Makjuj itu hingga sampai sekarang ini lebih kurang 4978 tahun.

5 - Alamat Kiamat Yang Kelima Keluar Puak Qahtani

Keluar pula puak Qahtani dan Jahja' dan Hisham dan Maq'ad dan lain-lainnya kemudian daripada turun nabi Isa a.s dan kemudian daripada zahir Imam Mahdi. Telah meriwayat Abu Hurairah r.a hadith yang marfu'; sabda Rasulullah s.a.w, "Turun Isa bin Maryam ke bumi membunuh ia akan Dajjal dan diam ia di bumi di dalam masa 40 tahun. Beramal ia dengan mereka (puak) itu, akan kitab Allah (Quran) dan sunnah aku. Maka manakala mati nabi Isa, menuntut mereka(puak) itu akan seorang daripada Bani Tamim ganti nabi Isa sehingga diangkatkan Quran." Dan riwayat Alia' Salmi ; sabda Rasulullah s.a.w, "Tiada berdiri kiamat hingga hingga keluar seorang lelaki daripada puak Qahtani, menghalau ia akan manusia dengan tongkatnya. Dan riwayat daripada Sulaiman bin Isa : berkata ia, "Telah sampai khabar akan daku bahawasanya Imam Mahdi memerintah ia akan dunia di dalam masa 14 tahun di Baitulmaqdis. Kemudian ia pun kembali ke rahmatullah. Maka zahir pula seorang lelaki daripada kaum Tabi' yang dikatakan baginya Mansor dan Qahtani. Diam ia di Baitulmaqdis di dalam masa 21 tahun, kemudian ia pun terbunuh. Maka diperintah Baitulmaqdis oleh Muwali di dalam masa 2 tahun maka ia pun mati terbunuh pula. Selepas itu, Baitulmaqdis diperintah oleh Hisham di dalam masa 3 tahun 4 bulan 10 hari.

6 - Alamat Kiamat Yang Keenam Diruntuhkan Kaabah

Sesungguhnya sebelum daripada diruntuhkan Kaabah itu, ditinggalkan perhiasannya dan dikeluarkan segala perbendaharaannya. Maka yang meruntuhkan Kaabah itu ialah sebagaimana diriwayat oleh Bukhari dan Muslim dan Nasa'i. Daripada Abi Hurairah bersabda Nabi s.a.w: "Telah meruntuhkan akan Kaabah itu oleh orang yang berbangsa Habsyi. Hal keadaannya halus betisnya dan bubus kepala dan di dalam tangannya satu alat memukul. Duduk ia di atas Kaabah; hal keadaannya memukul ia dengan alat pemukul itu satu batu akan satu sehingga runtuh."

Telah berkata ulama fekah, apabila diruntuhkan akan Kaabah itu, sah sembahyang seseorang dengan dijadikan qiblat itu halamannya. Dengan syarat dipacakkan satu benda yang tinggi sekadar dua atau tiga hasta bagi mereka yang didalamnya. Adapun mereka yang sembahyang di luar daripadanya maka tidak disyaratkan apa-apa suatu bahkan dihadapkan pada hawa halamannya jua. Maka ibadat haji dan umrah di masa itu seperti biasa juga tetapi tawafnya wajib di luar halamannya.

7 - Alamat Kiamat Yang Ketujuh Naik Matahari Di Pihak Mahgrib (Barat)

Maka keadaannya naik matahari di pihak Maghrib (Barat) itu telah diriwayatkan daripada Huzaifah daripada Nabi Muhammad s.a.w. Maka bertanya Huzaifah kepada Rasulullah s.a.w, "Ya Rasulullah! Apakah tanda naik matahari di pihak Maghrib (Barat)? Maka sabdanya ialah dipanjangkan satu malam sebelum daripada terbit matahari ke pihak Maghrib itu hingga kadar dua malam atau tiga malam yang biasa. Maka apabila melihat sekalian manusia akan matahari naik di pihak Maghrib (Barat) itu, berimanlah sekalian mereka itu. Maka iman mereka itu pada ketika itu tidak memberi manfaat.

(Faedah) bahawasanya hikmah naik matahari di pihak Maghrib itu yaitu kerana menutupkan pintu taubat. Maka orang-orang yang beriman dan taubat di masa itu tidak diterima.
 

8 - Alamat Kiamat Yang Kelapan Keluar Binatang Daripada Pihak Bumi Mekah

Keadaan sifatnya dan tempat keluarnya dan tabiatnya

Maka adalah sifatnya itu yaitu berkata-kata dan makan dengan mulutnya. Kepalanya seperti kepala lembu, matanya seperti mata babi, telinganya seperti gajah, tanduknya seperti tanduk rusa, tengkuknya seperti tengkuk burung unta, dadanya seperti dada singa, warna badannya seperti harimau kumbang hitam putih (harimau bintang), pinggangnya seperti pinggang musang, ekornya seperti ekor kibas, kakinya seperti kaki unta, dan ada baginya dua sayap, dan tingginya mencapai awan. Dan dua kakinya itu terbenam di dalam bumi. Maka adalah keluarnya itu yaitu di antara Bukit Safar dan Bukit Marwah. Bahawasanya terdahulu telah keluar ia di masa nabi Musa a.s tatkala meminta ia kepada Allah s.w.t hendak melihat akan dia selama tiga malam. Kemudian ghaib ia di pihak langit dengan tiada melihat seorang jua pun. Maka adalah tabiatnya itu yaitu ada baginya satu tongkat yaitu tongkat nabi Musa a.s dan satu cincin daripada cincin nabi Sulaiman a.s dan menyerulah ia dengan setinggi-tinggi suaranya dengan katanya, "Bahawasanya manusia adalah mereka itu, tidak yakin dengan ayat-ayat kami." Dan mengecaplah ia dengan tongkat nabi Musa itu pada dahi orang mukmin. Maka bercahayalah dahi itu kadar yang dicap. Dan mengecap pula ia dengan cincin nabi Sulaiman  pada dahi orang kafir. Maka jadi hitam dahi itu kadar yang dicap. Maka itulah perbezaan di antara mukmin dengan kafir. Dan kata sesetengah ulama' ditulis kalimah mukmin pada dahi orang yang mukmin dan ditulis kalimah kafir pada dahi orang yang kafir.


9 - Alamat Kiamat Yang Ke Sembilan Zahir Asap Ke Dunia

Maka tatkala hampir masa hendak kiamat, keluar asap ke dalam dunia ini dengan memenuhi antara masyrik dan maghrib dan antara bumi dan langit selama 40 hari dan malam. Maka mengenai ia akan orang mukmin seperti tersumbat batang hidung; dan mengenai orang kafir seperti orang mabuk sebab penuh di dalam perut mereka itu dengan asap. Dan keluar ia daripada dua lubang hidungnya dan dua telinganya dan duburnya. Dan adalah bumi di masa itu yaitu seperti sebuah rumah yang dipasangkan api di dalamnya. 


10 - Alamat Kiamat Yang Ke Sepuluh Zahir Angin Sejuk

Maka melepas Allah Taa’la akan angin yang sejuk itu daripada pihak negeri Syam kemudian daripada mati Nabi Isa. Maka tidak tinggal di dalam muka bumi oleh seorang yang beriman; di dalam hatinya kadar setimbang zarah (sayap nyamuk) melainkan matilah ia, jikalau masuk seseorang itu ke dalam lubang bukit sekalipun. Maka tinggallah oleh orang yang sejahat-jahat manusia yang tidak mengetahui oleh mereka itu akan yang kebajikan dan tidak mengingkar mereka itu akan yang kejahatan. Maka menyerupai oleh syaitan akan rupa manusia, datang ia kepada mereka itu. Maka berkata ia : “Adakah tidak memperkatakan oleh sekalian kamu akan seruan aku?” Maka berkata mereka itu:”Apakah engkau hendak suruh akan kami? “ Maka berkata iblis itu: “Aku menyuruh sekalian kamu dengan menyembah berhala.” Maka menyembah mereka itu akan dia, hal keadaan mereka itu di dalam mewah rezeki mereka itu hingga ditiup sangkakala.
  

12 - Alamat Kiamat Yang Ke Dua Belas Banyak Harta

Telah bersabda Nabi Muhammad s.a.w:"Tiada didirikan kiamat hingga banyak harta di dalam dunia ini sebagaimana awal dunia dahulu kala." Maka seorang lelaki telah membawa harta zakatnya hendak memberi kepada fakir miskin, tiada sesiapa pun yang menerimanya. Dan jadi Tanah Arab Hijaz yang telah biasa yang tidak naik tumbuh-tumbuhan melainkan sedikit sahaja. Maka jadilah pada akhir zaman banyak tumbuh-tumbuhan dan suburnya oleh sebab banyak sungai-sungai pada ketika itu. Dan banyak pula keluar khazanah bumi di zaman Imam Mahdi dan Nabi Isa. Dan diriwayat hadis daripada Bukhari dan Muslim:"Bahawasanya sedikit masa lagi akan zahirlah banyak harta dunia di Tanah Hijaz, yaitulah alamat hampir zahir Imam Mahdi." Dan diriwayat hadis yang lain:"Bahawasanya zahir Imam Mahdi memerangi ia akan kaum yang keluar daripada Ahli Sunnah Waljamaah di dalam negeri Turki, Arab dan Ijam."

Comments

Popular posts from this blog