Amalan Puasa sebagai Pengubat Jiwa
Alhamdulillah diberi kesempatan
oleh Allah s.w.t untuk menterjemah risalah yang ditulis oleh Imam al-Ghazali
(wafat pada 505 H) yang merupakan petikan daripada karyanya al-Arba'in fi
Usuluddin fi al-'Aqaid, wa Asrar al-'Ibadat, wa al-Akhlaq. Kitab ini merupakan
kesimpulan dan intipati daripada karyanya al-Ihya' fi 'Ulumuddin menghimpunkan
10 usul dalam aqidah, 10 usul rahsia ibadat, 10 sifat mazmumah yang wajib
dihindari serta 10 sifat mahmudah yang wajib menghiasi akhlaq bagi mendapat
kejayaan di akhirat nanti.
Justeru, moga terjemahan ini
memberi manfaat kepada para pembaca untuk memahami karya Imam al-Ghazali yang
penuh dengan mutiara hikmah. Beliau merupakan mujaddid kurun kelima sebagaimana
yang dinyatakan oleh Imam Murtadha al-Zabidi di dalam kitabnya Ithaf al-Sadah
al-Muttaqin bi Syarh Ihya' Ulumuddin dan diiktiraf oleh para ulama' selepasnya
sehingga ke hari ini.
Berkata Imam al-Ghazali -rahimahullahu ta'ala 'anhu-pada
Usul yang ke-3 tentang Amalan Zahir berkaitan Puasa
:
Rasulullah s.a.w telah bersabda bahawa Allah s.w.t telah
berkata :
))كل حسنة بعشر أمثالها ، إلى سبعمائة ضعف ، والصوم
لي وأنا أجزي به((
Maksudnya : “Setiap amalan
kebaikan (yang dilakukan) akan dibalas dengan 10 ganjaran sehingga sampai kepada
700 kali ganda, kecuali amalan puasa, kerana sesungguhnya amalan puasa adalah
untuk Aku maka Akulah yang akan menganjarinya.”[1]
Rasulullah s.a.w juga pernah
bersabda :
))لكل شيء باب ، و باب العبادة الصيام((
Maksudnya : “Bagi setiap
sesuatu mempunyai pintu dan pintu bagi ibadah ialah puasa.”[2]
Sesungguhnya amalan puasa mempunyai keistimewaan yang khusus berbanding amalan lain adalah disebabkan oleh dua perkara :
Pertamanya :
Amalan puasa dapat menahan
nafsu yang merupakan amalan rahsia yang tidak diketahui oleh sesiapa pun
melainkan Allah Ta’ala sahaja manakala amalan solat, zakat dan lain-lain tidak
seperti amalan puasa.
Keduanya :
Amalan puasa dapat mengekang
musuh Allah kerana sesungguhnya syaitan adalah musuh (bagi manusia) dan musuh
(syaitan) tidak akan kuat melainkan dengan pengantaraan syahwat. Justeru dengan
berlapar sesorang itu dapat mematahkan keseluruhan syahwatnya yang menjadi alat
bagi syaitan untuk menggoda manusia. Oleh yang demikian, baginda nabi s.a.w
telah bersabda :
))إن الشيطان يجري من ابن آدم مجرى الدم فضيقوا مجاريه بالجوع((
Maksudnya : “Sesungguhnya
syaitan itu bergerak di dalam badan anak adam melalui saluran darahnya, maka
sempitkanlah laluan syaitan itu dengan berlapar.”[3]
Dan itulah rahsia sabda
Rasulullah s.a.w :
((إذا دخل رمضان فتحت أبواب
الجنان ، وغلقت أبواب النيران ، وصفدت الشياطين ،
ونادى مناد : يا باغي الخير هلم ، ويا باغي الشر
أقصر))
Maksudnya: “Apabila telah
masuk bulan Ramadhan maka dibukakan segala pintu syurga dan dikunci pintu-pintu
neraka serta dibelenggu syaitan-syaitan, kemudian terdapat suara yang yang
menyeru : Wahai orang yang inginkan kebaikan ayuhlah (mengerjakan amalan
kebaikan), wahai orang yang inginkan kejahatan berhentilah (melakukan amalan
kejahatan).”[4]
Dan ketahuilah bahawa amalan
puasa sekiranya dilihat pada aspek kedudukannya mempunyai 3 peringkat manakala
pada aspek rahsia-rahsianya mempunyai 3 peringkat.
Adapun peringkat-peringkat
kedudukannya :
Serendah-rendahnya ialah
berpuasa hanya sekadar di bulan Ramadhan manakala yang paling tinggi
kedudukannya ialah puasa nabi Allah Daud a.s iaitu berpuasa sehari dan
berbuka sehari.
Di dalam khabar yang sahih,[5]
puasa nabi Allah Daud lebih afdhal berbanding dengan puasa sepanjang tahun dan
rahsianya ialah sesiapa yang berpuasa sepanjang tahun telah menjadikan puasa
baginya sebagai adat kebiasaan maka dia tidak dapat merasai apabila berpuasa
nafsunya dapat dipatahkan dan dalam hatinya tidak berasa dibersihkan dan pada
syahwatnya tidak bersama dilemahkan. Hal ini kerana sesungguhnya jiwa hanya akan
terkesan apabila dilakukan sesuatu secara berkala ke atasnya dan jiwa tidak akan
berkesan sekiranya sesuatu perkara itu menjadi suatu adat kebiasaan.
Pandangan ini boleh difahami
dengan dekat melalui analogi bahawa para doktor perubatan melarang sesorang
memakan ubat sepanjang masa. Bahkan mereka (doktor) berkata : “Sekiranya
seseorang itu selalu melazimi makan ubat (waktu sakit dan sihat), maka ubat itu
tidak akan bermanfaat baginya pada waktu dia sakit nanti kerana campuran ubat
itu sudah menjadi kebiasaanya menyebabkan dia tidak terkesan
dengannya.”
Ketahuilah bahawa cara
perubatan jiwa adalah hampir sama dengan cara perubatan badan dan inilah rahsia
sabda baginda nabi s.a.w kepada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As r.a. ketika mana
beliau bertanyakan Rasulullah tentang berpuasa. Rasulullah bersabda
:
((صم يوما وأفطر يوما . قال قلت : فإني أطيق أفضل من ذلك .
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لا أفضل من ذلك))
Maksudnya : “Berpuasalah
sehari dan berbukalah sehari. Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As berkata; Aku mahukan
puasa yang lebih afdhal daripadanya. Rasulullah membalas; “Tidak ada puasa yang
lebih afdhal daripadanya.”[6]
Oleh yang demikian, ketika
diberitahu kepada Rasulullah s.a.w bahawa sesungguhnya si fulan itu berpuasa
sepanjang tahun, lalu Rasulullah berkata :
فقال : لا صام ، ولا أفطر
Maksudnya : “Dia tidak (dikira)
berpuasa dan tidak berbuka.”[7]
Sebagaimana Saiyyidah ‘Aishah
pernah berkata kepada seorang lelaki yang membaca Al-Quran dengan cepat, katanya
; “Sesungguhnya dia tidak membaca al-Quran dan tidak pula
berdiam.”
Adapun peringkat
pertengahan dalam berpuasa ialah berpuasa sebanyak satu pertiga daripada
satu tahun sama ada berpuasa isnin dan khamis dan ditambah bersamanya puasa
bulan Ramadhan maka sesungguhnya kamu akan berpuasa dalam setahun selama 4 bulan
4 hari dan ini melebihi daripada satu pertiga. Walau bagaimanapun seseorang itu
perlu meninggalkan berpuasa (sunat Isnin dan Khamis) pada salah satu hari
daripada hari-hari tasyriq kemudian menggantikannya dengan tiga hari lain kerana
kemungkinan dia perlu meninggalkan berpuasa (sunat Isnin Khamis) sekiranya puasa
tersebut jatuh pada dua hari raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha), maka dia hanya
perlu untuk menambahkan satu hari lagi berpuasa sunat bagi mencukupkan jumlah
berpuasa sebanyak 4 bulan 4 hari. Sekiranya kamu meneliti secara mendalam
perkiraan ini kamu akan mengetahui tentangnya.
Oleh itu, tidak seharusnya
seseorang itu mengurangi kadar amalan puasanya daripada kadar yang telah
disebutkan di atas kerana sesungguhnya puasa itu dapat meringankan nafsu dan
ganjaran pahala daripada amalan puasa sangat banyak.
Adapun rahsia-rahsia amalan
puasa mempunyai 3 peringkat :
Peringkat yang paling rendah
:
Seseorang itu hanya berpada dengan menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa iaitu makan dan minum namun tidak menahan anggota daripada perkara-perkara yang makruh. Ini adalah merupakan tingkatan puasa orang awam.
Peringkat yang kedua
:
Sesorang itu menahan diri
daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa iaitu makan dan minum
serta menahan anggota badan daripada perkara-perkara yang makruh seperti menjaga
lidahnya daripada mengumpat, menjaga matanya daripada melihat perkara-perkara
yang meragukan dan demikian dilakukan kepada seluruh anggota
badannya.
Peringkat ketiga
:
Seseorang itu menahan dirinya
daripada perkara-perkara yang membatalkan puasanya, menahan anggota badannya
daripada perkara-perkara yang makruh serta memelihara hatinya daripada
memikirkan perkara-perkara yang melalaikan serta was-was sebaliknya menumpukan
hatinya kepada mengingati Allah s.w.t. Dan inilah tingkatan puasa golongan yang
lebih khusus daripada orang-orang yang khusus berpuasa iaitu tingkatan darjat
kesempurnaan dalam berpuasa.
Kemudian, perbahasan tentang
amalan puasa mempunyai penutupnya agar lebih lengkap iaitu hendaklah seseorang
yang berpuasa itu berbuka dengan makanan yang halal dan bukannya dengan makanan
yang syubhat. Selain itu, janganlah terlalu banyak makan dan berlebihan pada
makanan yang halal semata-mata ingin menggantikan semula bahagian yang terlepas
pada siang hari dengan menghimpunkan hidangan bagi dua kali makan pada satu
hindangan lalu dimakan kesemuanya. Hal ini hanya akan memberatkan perutnya,
menguatkan syahwatnya, membatalkan rahsia berpuasa dan faedahnya, membawa kepada
sikap malas untuk menunaikan tahajjud bahkan barangkali dia tidak dapat bangun
sebelum waktu subuh. Kesemua ini merupakan kerugian yang amat besar bahkan tidak
sepadan dan selari dengan faedah amalan puasa.-Tamat-
Kesimpulannya, marilah kita
renungi nasihat Imam al-Ghazali dalam kita menjalani ibadah puasa terutama
dengan kedatangan bulan Ramadhan yang hampir tiba. Semoga ibadah puasa yang
dilakukan adalah berdasarkan ilmu, kefahaman dan kesedaran agar kita menjadi
hambaNya yang bertaqwa. Amin...
[1]
Hadith riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim.
[2]
Hadith dikeluarkan oleh Ibnu al-Mubarak dalam kitab al-Zuhd dengan sanad yang
dhaif.
[3]
Hadith Muttafaqun ‘Alaih kecuali pada lafaz “maka sempitkanlah laluan syaitan
itu dengan berlapar”
[4]
Dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi dan berkata ; hadith gharib, dan al-Hakim
mensahihkannya kerana mengikut syarat Imam al-Bukhari dan
Muslim.
[5]
Muttafaq ‘Alaih
[6]
Muttafaq ‘Alaih
[7]
Hadith dikeluarkan oleh Imam al-Nasa'i sepertinya dan al-Tirmizi sanadnya adalah
sahih.
Rujukan :
Imam al-Ghazali (t.t), Kitab al-Arba'in fi
Usuluddin fi
al-'Aqaid, wa Asrar al-'Ibadat, wa al-Akhlaq, pentahqiq Abdullah Abdul Hamid
'Urwani, Dimasyq : Dar al-Qalam.
Terjemahan dan suntingan
al-Faqir ilallah :
Abu Marwan Majdi
al-Azhari
Bait al-Nur,
Comments
Post a Comment