Awang Selamat terus menghasut — Aspan Alias
July 02, 2012
2 JULAI — Sesiapa pun, apabila dalam keadaan lemah dan tidak
sihat akan mudah merasa miskin di jiwa dan memandang semua dikelilingnya
dengan perasaan takut. Memang ramai orang takut kerana “creativity”nya
sendiri. Dikampung-kampung hingga sampai masa kini masih ada yang takut
kepada setengah pokok yang rimbun kerana kononnya pokok itu berhantu.
Oleh kerana terlalu percaya yang pohon rimbun itu berhantu maka akhirnya
hantu itu akan timbul.
Kita lupa yang jika kita masih berbentuk Muhamad (mim ha mim dal)
tidak ada apa elemen yang lain boleh mengatasi kita. Tetapi apabila kita
lemah maka yang tidak berhantu itu pun dianggapnya ada hantu. Hantu dan
syaitan itu sebenarnya takut dan tidak akan dapat mengatasi kita kerana
kita adalah makhluk yang secantik-cantik kejadian. Manusia itu lebih
mulia dari malaikat tetapi oleh kerana ada manusia yang lemah jiwanya
maka yang mereka tidak sepatutnya takut pun mereka akan takut.
Dalam politik pun begitu juga. Umno sekarang amat takut jika
ditewaskan oleh pembangkang dalam pilihanraya untuk menguasai kerajaan
persekutuan. Rasa takutnya begitu jelas dan menonjol sehinggakan media
yang menyokongnya seperti Utusan Malaysia mencari jalan untuk membantu
BN dengan menulis perkara-perkara yang berunsur menakut-nakutkan rakyat.
Awang Selamat dalam tulisannya semalam menulis tentang PAP Singapura
yang kononya berkait rapat dengan DAP.
Utusan sebenarnya sedang cuba untuk menjauhi sokongan orang Melayu
terhadap DAP dalam pilihanraya kali ini kerana undi orang Melayu
merupakan sokongan yang sangat penting untuk Pakatan Rakyat atau BN
menentukan kemenangan masing-masing. Awang Selamat tahu yang orang kaum
Cina memang sudah mengambil keputusan untuk perubahan dan kita lihat
dengan jelas yang kaum Cina memberikan sokongan padu kepada PAS yang
suatu ketika dahulu amat ditakuti oleh kaum Cina.
Tetapi selepas beberapa lama PAS telah membuktikan yang parti itu
merupakan parti yang adil dan kaum Cina pun mahu menerima PAS sebagai
salah satu parti “alternative” kepada Umno. Dalam siri ceramah anjuran
PAS yang saya sering dijemput untuk memberi penerangan tentang
permuafakatan diantara PAS dengan DAP serta PKR, saya nampak dengan
jelas orang kaum Cina tidak lagi kekok untuk bersama-sama memberikan
perhatian terhadap ceramah yang saya lakukan itu.
Ini merupakan satu keindahan siasah sebuah negara “cosmopolitan”
seperti negara kita ini. Itulah sebabnya saya jarang-jarang lupa untuk
menyebut yang saya amat merasakan nikmat hidup dalam kemuafakatan
diantara kaum dan agama. Saya tidak mengurangkan Melayu saya apabila
menyertai DAP dan lebih-lebih lagi saya tidak melemahkan akidah saya
terhadap Tuhan yang satu. Tuhan mewujudkan manusia dari berbilang-bilang
bangsa dan puak untuk memahami serta menghormati diantara satu dengan
yang lain.
Dimana-mana saya pergi dalam siri ceramah saya, amat jelas
persefahaman ini semakin hari semakin jitu dan inilah yang akan
memperkuatkan perjuangan untuk mencapai sebuah negara yang bersatu padu
diantara semua kaum yang hidup dalam negara yang di lindungi oleh
perlembagaan yang telah digubal untuk menjaga semua kaum dinegara ini.
Sebenarnya Umno telah diberikan mandat begitu lama untuk menjadi
penyatu kepada semua kaum sebegitu lama, tetapi kepercayaan yang telah
diberikan oleh rakyat sebegitu lama itu telah diambil kesempatan oleh
pemimpin-pemimpinnya dan telah lari dari matlamat penyatuan kaum itu.
Mandat dan kepercayaan yang diberikan terhadap BN itu bukan setahun dan
bukannya dua tahun: BN telah mendapat mandat itu selama lima puluh empat
tahun sehinggakan BN mengambil semuanya “for granted”. BN merasakan
mandat rakyat itu adalah hak mutlak mereka dan tidak ada pihak yang lain
yang berhak keatas mandat itu.
Tetapi seperti yang saya katakan selalu masa dan waktu sentiasa
berubah tetapi BN tidak mampu untuk bersama-sama berubah mengikut
zamannya. Pemikiran rakyat begitu jauh berubah dan telah meninggalkan
cara Umno dan BN berfikir. Justeru Umno sedang dalam kedudukan seperti
telor dihujung tanduk. Bila-bila masa PRU di adakan parti “alternative”
merupakan pilihan rakyat yang sangat kepingin kepada perubahan dan
“ambience” politik yang baru yang lebih mementingkan “transparency”,
tanpa rasuah dan salah gunakuasa seperti yang sering berlaku sekarang
ini.
Keadaan inilah yang meresahkan BN dan media massa seperti Utusan
sedang mencari segala cara yang ada untuk mencantas sokongan rakyat
kursus orang Melayu kepada PR terutamanya DAP. Isu PAP Singapura
berkumandang lagi dan membuat tuduhan yang Lim Kit Siang merupakan
seorang pemimpin didikan PAP Singapura. Lawatan Lee Kuan Yew ke Pulau
Pinang dijadikan isu dan Utusan cuba mengaitkan lawatan itu sebagai
simbol kerjasama DAP dengan PAP.
Tetapi Utusan tidak pula memberikan ingatan yang Lee Kuan Yew juga
telah melawat Kelantan dan bertemu dengan Nik Aziz. Malahan Lee Kuan Yew
juga berjumpa dengan Rosmah, wanita yang paling berpengaruh dan
digeruni oleh Najib sendiri. Lee Kuan Yew berjumpa dengan semua pihak
bukan sahaja pemimpin DAP.
Pilihanraya mesti sampai maka Utusan dan Awang Selamat menulis
perkara-perkara dan isu yang sudah tidak lagi termakan oleh sesiapa yang
berfikir dan mengetahui sejarah sebenar politik negara kita dan
Singapura. Isu mengaitkan kejadian berdarah 13 Mei dengan LKS sudah
tidak termakan lagi oleh sesiapa yang siuman kerana itu merupakan fitnah
yang tidak henti-henti di berikan terhadap pemimpin veteran DAP itu.
Awang Selamat sepatutnya memberikan teguran terhadap rasuah yang
tidak dapat dikawal lagi dalam kerajaan dan agensi-agensi kerajaan
sekarang ini. Awang Selamat sepatutnya menulis tentang RM28 billion
ketirisan yang berlaku dalam kerajaan setiap tahun seperti yang
dilaporkan oleh Ketua Audit Negara.
Awang Selamat juga sepatutnya menulis tentang perkara yang positif
seperti kejayaan kerajaan P. Pinang, Selangor, yang telah berjaya
memenuhi aspirasi rakyat yang mahukan pentadbiran yang bersih dan
kedua-dua negeri ini telah menyumbang 40 peratus kepada GDP negara.
Utusan juga sepatutnya menulis yang Kedah serta Kelantan adalah
negeri-negeri yang jauh lebih bersih dan secara relatifnya amat baik
dalam kesucian pentadbirannya dan isu rasuah.
Apa yang Utusan dan Awang Selamat perlu tulis juga ialah keadaan yang
sangat harmonis yang berlaku diantara kaum setelah PR bercambah
pengaruhnya di seluruh negara. Utusan perlu memberitahu yang penyatuan
diantara kaum ini sedang terbentuk dimana semua kaum yang terbesar telah
bersama-sama berusaha untuk bersatu dibawah PR.
Ini adalah kerana mereka tidak akan dapat kerjasama dan kesatuan itu
di dalam BN yang telah diberikan peluang untuk melakukannya selama lima
puluh empat tahun kerana isu perkauman yang dimainkan oleh Umno sebegitu
menebal. Awang Selamat sepatutnya menasihatkan Umno supaya jangan
memainkan isu kaum dan agama dengan sewenang-wenangnya semata-mata
kerana politik.
Nasihatlah Umno itu supaya menjadi “gentleman” dan menerima kekalahan
jika sudah sampai masanya kerana kekalahan di dalam demokrasi itu
memang perkara yang biasa. Kalau tidak mahukan demokrasi kenapa pilih
sistem ini semasa kita membentuk kerajaan yang kita tadbir sendiri
dahulu? Katakan kepada rakyat yang jika tidak dipilih sistem demokrasi
pun, kerajaan akan bertukar tangan juga seperti yang berlaku dibanyak
negara. Ia baru sahaja berlaku dibeberapa buah negara Arab baru-baru
ini.
Awang Selamat sepatutnya memberikan pandangan yang “magnanimous”
supaya dihormati oleh pembaca dan rakyat. Awang Selamat perlu terima
hakikat yang rakyat tidak gemar dengan pandangan yang bersifat menghasut
yang dimainkan oleh saudara selama ini. — aspanaliasnet.blogspot.com
http://www.themalaysianinsider.com/sideviews/article/awang-selamat-terus-menghasut-aspan-alias/
Comments
Post a Comment