Bid’ah Ke Solat Tarawih 20 Rakaat?


Jawapan:

Mengerjakan solat tarawih (solat malam) sebanyak 20 rakaat tidak termasuk dalam kategori bid’ah, kerana tiada hadits dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang menetapkan bilangan rakaat solat tarawih.


Terjemahan:
Dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma: Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tentang solat malam. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “(Solat malam itu dikerjakan) dua rakaat – dua rakaat. Apabila salah seorang antara kalian bimbang akan masuknya waktu Subuh, maka solatlah satu rakaat (witir).”
[Muttafaqun 'alaihi].

Sekiranya benar solat tarawih tidak boleh dikerjakan lebih daripada lapan rakaat (sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian pihak), maka sudah tentu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam akan bertegas dalam perkara ini dengan menjawab: “Solat malam tidak boleh lebih daripada lapan rakaat, dan hendaklah dikerjakan dua rakaat – dua rakaat.” Namun, itu bukanlah jawapan baginda.

Selain itu, sekiranya kita melihat fiqh ulama-ulama terdahulu, mereka tidak pernah mengatakan bid’ahnya mengerjakan solat malam lebih daripada lapan rakaat. Imam At-Tirmidzi rahimahullah pernah menyebutkan kalimah berikut dalam kitab Jami’nya (atau lebih dikenali sebagai nama Sunan At-Tirmidzi):
Para ulama berbeza pendapat dalam masalah solat malam bulan Ramadhan.
Sebahagian daripada mereka berpendapat solat malam jumlahnya 41 rakaat bersama witir, ini adalah pendapat ulama Madinah. Dan mereka melakukan seperti ini di Madinah.
Kebanyakan ulama – sebagaimana yang diriwayatkan dari ‘Ali, ‘Umar dan selain kedua-duanya daripada para sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam – berpendapat jumlahnya 20 rakaat. Ini adalah pendapat Sufyan Ats-Tsauri, Ibnu Al-Mubarak dan Asy-Syafi’i rahimahumullah. Kata Asy-Syafi’i: “Dan inilah yang aku dapati di kota kami, Makkah. Mereka solat sebanyak 20 rakaat.”
Kata Ahmad: “Dalam masalah ini, ditemukan banyak riwayat yang masing-masing tidak perlu diperdebatkan.”
Kata Ishaq: “Tetapi, kami memilih 41 rakaat, berdasarkan apa yang diriwayatkan dari Ubay bin Ka’ab.”

Mungkin ada pihak yang akan berkata: Bukankah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah melakukan solat malam melebihi lapan rakaat? Bukankah sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam?

Saya katakan: Saya bersetuju dengan anda apabila anda menyebutkan perkataan anda itu. Tiada petunjuk melainkan petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Tetapi adakah dengan solat dua rakaat – dua rakaat sebanyak 20 rakaat bererti kita menyanggahi petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam?

Dan anda mengatakan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam, lantas anda mengatakan solat lapan rakaat lebih mengikuti sunnah, dan solat lebih daripada itu tidak menepati sunnah? Saya katakan: Sebelum anda lupa, izinkan saya untuk mengingatkan anda bahawa dalam Shahih Muslim, terdapat riwayat dari Hudzaifah radhiyallahu ‘anhu yang mengatakan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam membaca surah Al-Baqarah sehingga selesai, kemudian baginda menyambung bacaannya dengan surah An-Nisa sehingga selesai, dan kemudiannya baginda menyambung bacaannya dengan surah Ali ‘Imran sehingga selesai. Semuanya dibaca dalam satu rakaat. Oleh itu, saya mencadangkan kepada anda untuk melakukan perkara yang sama dalam solat tarawih anda. Sekiranya anda benar-benar mengikuti cadangan saya ini, insya-Allah cukuplah bagi anda solat lapan rakaat tersebut, tanpa perlu menambah solat tarawih anda menjadi 20 atau pun 41 rakaat.

Nasihat saya untuk para pembaca sekalian, jangan terlalu mudah kita membid’ahkan sesuatu amalan. Pastikan terlebih dahulu, adakah amalan tersebut benar-benar bercanggah dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Jangan sampai kita menyesal di kemudian hari. Wallahu a’lam.

Oleh: Adli Khalim [Jakarta Barat]
 http://blueincisivus.wordpress.com
PERMASALAHAN SOLAT TARAWIH
1
2
3
4
5
6

Comments

Popular posts from this blog