CERITA TIGA CALON TERNAMA



Cerita Tiga Calon Ternama
A Kadir Jasin
NURUL IZZAH, 27 tahun anak sulung Anwar Ibrahim. Bertanding di Lembah Pantai melawan seorang Menteri (Shahrizat Abdul Jalil).
Khairy
Jamaluddin, 32 tahun anak lelaki tunggal seorang bekas duta dan menantu
kepada Perdana Menteri. Bertanding di Rembau melawan seorang bekas
cikgu sekolah (Badrul Hisham Shaharin).
Mukhriz,
43 tahun anak bongsu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bertanding di Jerlun melawan Timbalan Ketua Pemuda Pas (Idris Ahmad).
Nurul Izzah terjun ke dunia politik sebagai pengarak panji bapanya ketika Anwar dalam penjara.
Dia
dilahirkan dan membesar dalam gelora politik Anwar Ibrahim yang unik
dalam sejarah politik Malaysia. Dia melihat bapanya berada di puncak
tinggi kuasa. Dia melihat bapanya dalam penjara.
Khairy
Jamaluddin atau singkatannya KJ dilahirkan dengan “silver spoon” dan
membesar dalam suasana elit di luar negara secocok dengan kedudukannya
sebagai anak duta.
Dunia
remajanya jauh dari desa pingitan seperti Kampung Bongek, Astana Raja
dan Cengkau yang kini menjadi padang percaturan politiknya. Dunia
asalnya adalah Kuwait City di mana dia dilahirkan, Singapura (di mana
dia memperoleh pelajaran awalnya), London dan Paris.
Sekembalinya
ke tanah air dia “jatuh cinta” dengan politik dan kuasa berserta visi
yang bergemerlapan – khabarnya berikrar mahu menjadi Perdana Menteri
pada usia empat puluhan.
Dia
menjadi pegawai khas Timbalan Perdana Menteri (Abdullah Ahmad Badawi).
Cinta laranya berahi membara akhirnya ketua bertukar menjadi bapa
mertua. Takdir menentukan bapa mertua menjadi Perdana Menteri. Maka
lebih berserilah masa depan Saudara Khairy.
Dikatakan
oleh yang arif, tidak pernah dalam sejarah Malaysia di mana seorang
muda yang berupa menantu kepada pembesar negara begitu berpengaruh dan
berkuasa. Satu fenomena. Bukan fenomena biasa, tetapi luar biasa.
Mukhriz
juga anak perjuangan. Tetapi aspirasi politik dan perjuangannya
terhalang. Hukum Dr Mahathir: “Anak-anak saya tidak boleh cergas dalam
politik selagi saya menjadi Perdana Menteri.”
Hanya
selepas Dr Mahathir bersara dari jawatan Perdana Menteri dan Presiden
Umno barulah Mukhriz boleh cergas dalam politik. Itu pun usianya sudah
mendekati 40 tahun – usia di mana KJ bercita-cita menjadi Perdana
Menteri.
Belum
setapak melangkah masuk ke gelanggang, laluannya sudah dihalang.
Percubaannya memenangi kerusi Ketua Pemuda Bahagian Kubang Pasu disekat
dan dia dimalukan. Pengkhianat, penderhaka dan manusia talam dua muka
ada di mana-mana.
Tetapi
tidak semua manusia boleh dibeli dengan wang dan janji. Tidak semua
manusia boleh dijadikan mangsa politik kotor budak-budak jalanan. Pada
pemilihan nasional Pemuda Umno 2004, dia mendapat undi terbanyak sebagai
calon Majlis Kerja (Exco).
Bagi
Nuzul Izzah, arus laju terpaksa ditongkah. Yang dicabarnya bukan alang
kepalang orang – seorang Menteri, orang lama Lembah Pantai dan mesra
pula.
[Pada
pilihan raya 2004, dengan undi sebanyak 37,873 Shahrizat menang dengan
majoriti 15,288. Kini pemilih Lembah Pantai berjumlah 55,989.]
Tetapi
siapa tahu? Tuah ayam pada kakinya, tuah manusia siapa yang boleh
meneka. Yang pastinya, sahabat lama saya, Datuk Shahrizat Abdul Jalil,
mungkin tidur malamnya tidak lena.
Dari jauh saya dalam dilema. Saya kenal baik mereka berdua.
Shahrizat ibarat saudara sekandungan. Nurul Izzah macam anak dalam timangan.
Khairy
orang muda bertuah. Laluan yang sudah dijejakinya lancar dan mudah.
Dari kampung ayahnya bernama Kota (Rembau) ke Universiti Oxford dan Seri
Perdana ibarat sebuah cerita penglipur lara.
Dalam
sekelip mata menjadi Naib Ketua Pemuda tanpa perlu berlawan berlumba –
kemenangan percuma. Berkongsi memiliki (biar sementara) korporat
istimewa ECM-Libra dan merata-rata orang berkata dialah orang muda yang
paling berkuasa di bumi Malaysia.
Kemenangannya
sudah boleh dijangka. Rembau kerusi selamat yang dulu diisi suku sakat.
Simpati saya kepada Cikgu Bad. Tugas anda berat. Tetapi komitmen
saudara mendapat hormat.
Ini
bukan calang-calang kerusi. Ini bakal kerusi keramat menantu Perdana
Menteri. Pastinya mereka akan berjuang hidup mati. Kemenangan harus
lebih besar, takut nanti imej Perdana Menteri tercalar. Kalau kemenangan
sekadar-kadar saja, ia akan menjadi tamparan kepada bapa mertua.
Kemenangan Khairy mesti raksasa --- noktah – tiada lain cerita.
[Pada
PRU 2004, dengan undi sebanyak 39,866 Firdaus Mohamad Rom bin Harun
menang dengan majoriti 18,656. Kini pemilih Rembau berjumlah 61,690.]
Bagi
Mukhriz yang patuh kata orang tuanya, pertarungan di Jerlun tidak
semudah dijangka. Jerlun bukan kerusi selamat. Ia antara kubu Pas yang
terkuat. Pilihan pengundi bertukar ganti. Tahun 1999 Barisan kecundang.
Tahun 2004 kembali menang.
[Pada
PRU 2004, dengan undi sebanyak 36,822 Abdul Rahman Ariffin menang
dengan majoriti 2,142 undi sahaja. Kini pemilih Jerlun berjumlah
45,056.]
Kalaulah anda diberi pilihan, antara tiga calon ternama ini yang mana satu anda utamakan?
http://shaifulbahri.blogspot.com
Comments
Post a Comment