Cinta Seorang Ayah



Kali ini saya ingin bercerita tentang kisah seorang bapa. Nabi Ibrahim adalah seorang bapa yang sangat sayang dan cinta kepada anaknya. Perasaan cinta Nabi Ibrahim boleh diperhatikan melalui permintaan baginda kepada Allah Taala. Baginda tidak pernah melupakan anak-anak dan zuriat setiap kali berdoa memohon hidayah dan iman daripada Allah Taala.
Dalam surah al-Baqarah (2:128) Nabi Ibrahim telah berdoa kepada Allah Taala agar menjadikannya dan anaknya Ismail sebagai seorang yang Islam, bahkan Nabi Ibrahim menambah dalam doanya agar menjadikan semua zuriatnya dari kalangan orang-orang yang Islam iaitu orang-orang yang patuh dan tunduk kepada perintah Allah Taala.
Betapa besarnya keperihatinan Ibrahim kepada agama anak-anak dan zuriatnya. Kita bertanya kepada diri sendiri, sejauh mana kita telah berusaha menjaga agama anak dan zuriat kita? Apakah yang telah kita lakukan bagi memastikan anak kita mengerjakan solat sebagaimana kita solat, puasa sebagaimana kita puasa, melaksanakan perintah Allah, menutup aurat, menjaga batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan?
Mewariskan agama kepada anak
Sebagai seorang ayah, menjaga agama dan mewariskan agama kepada anak-anak adalah tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Pengabaian ini akan mengundang akibat yang buruk kepada keluarga sama ada di dunia atau di akhirat.
Dalam soal ini saya ingin kongsikan beberapa panduan untuk para bapa menjaga agama anak-anak;
1- Memilih wanita yang berakhlak dan beriman sebagai isteri
Memilih wanita yang beriman dan berakhlak sebagai isteri, walaupun mempunyai rupa paras yang sederhana. Dalam kehidupan harian, si ibu yang banyak mempunyai masa dengan anak-anaknya. Pernah berlaku pada zaman pemerintahan Sayidina Umar al-Khattab, seorang lelaki telah mengadu tentang kebiadaban dan kejahatan anaknya. Apabila Sayidina Umar memanggil anak tersebut untuk mendapatkan penjelasan tentang aduan ayahnya, si anak terus mendakwa ayahnya telah melakukan kesalahan yang besar apabila memilih wanita yang buruk akhlaknya sebagai ibu untuknya.
2- Menanamkan perasaan cinta kepada Allah dan Rasul
Menanamkan rasa cinta dan kasih kepada Allah Taala dan Rasulullah s.a.w. semenjak dalam kandungan lagi. Ini boleh dilakukan dengan sentiasa berzikir, berselawat dan membaca al-Quran ketika waktu kehamilan. Apabila anak-anak tersebut telah lahir, perdengarkan mereka dengan ayat-ayat al-Quran, zikir dan selawat sehingga menjadi ulikan tidur mereka. Apabila mareka sudah mula mengerti, bacakan kepada mereka kisah-kisah para nabi dan sahabat serta kisah-kisah yang menceritakan kebesaran dan kekuasaan Allah Taala.
3- Membudayakan tilawah al-Quran
Membudayakan tilawah al-Quran setiap waktu selepas solat margrib di rumah. Ini boleh berlaku apabila si ibu menggunakan peluang yang ada untuk mengajak semua anak-anaknya membaca al-Quran dan mengajar mana-mana anak yang belum mahir membaca agar tahu membaca al-Quran.
4- Mendorong anak-anak menghafal al-Quran
Mendorong anak-anak menghafal al-Quran dengan menghantar mereka ke kelas tahfiz al-Quran. Banyak bukti menunjukkan mana-mana anak-anak yang boleh menguasai al-Quran sama ada membaca atau menghafal al-Quran, sakhsiah anak-anak itu baik dan terpuji. Begitu juga akademik anak-anak juga menunjukkan peningkatan yang luar biasa.
5- Menunjukkan qudwah hasanah kepada anak-anak
Qudwah hasanah atau contoh teladan yang terbaik yang ditunjukkan oleh ibu bapa banyak mempengaruhi tingkah laku dan keperibadian anak-anak. Mereka sebenarnya banyak terikut-ikut cara yang dilakukan oleh ibunya atau ayahnya. Apa yang dilihat, didengar dan dituturkan oleh kedua orang tuanya menjadi saksi dan ikutan si anak. Pernahkah kita melihat anak-anak kecil melakukan gerakan solat? Daripada mana dia belajar cara gerakan solat yang begitu sempurna sekiranya bukan daripada ibu bapanya yang sentiasa solat di hadapannya. Begitu juga dengan isu pergaulan antara lelaki dan wanita. Sekiranya kita mahu anak-anak mengetahui batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita, suasana tersebut perlu terlebih dahulu wujud di dalam rumah kita.
6- Doa
Doa adalah senjata orang mukmin. Banyak perkara boleh berubah disebabkan doa para hambaNya. Doa juga dikira sebahagian daripada usaha manusia. Oleh itu, berdoalah selalu untuk memohon Allah Taala menjaga agama dan kehidupan anak-anak dan zuriat kita sentiasa berada di atas landasan yang benar dan soleh.
7- Halaqah keluarga
Halaqah keluarga merupakan satu idea yang cukup praktikal pada keluarga yang serba moden pada hari ini. Dalam halaqah tersebut, kita boleh saling nasihat menasihati, pesan memesan agar sentiasa melakukan kebaikan dan menjauhi larangan Allah Taala. Sebagai bapa juga kita hendaklah sentiasa memberi nasihat dan pesanan berguna untuk anak-anak setiap kali melangkah keluar dari rumah.
Perkara ini dipraktikkan oleh Nabi Yaakub ketika menasihatkan anak-anaknya ketika pergi ke negara Mesir untuk meminta bantuan makanan akibat musim panas pada zaman itu. Begitu juga kisah Luqman al-Hakim yang begitu tegas dan jelas dalam usaha beliau menjaga agama anak-anaknya.
Luqman al-Hakim merupakan seorang ayah yang cukup perihatin kepada agama anak-anaknya. Antara nasihat dan pesanan beliau kepada anaknya untuk menjadi panduan kita semua ialah;
(i) Wahai anakku, janganlah engkau mensyirikkan Allah Taala, sesungguhnya syirik itu satu kezaliman yang nyata.
(ii) Berbuat baiklah kepada kedua ibu bapamu. Ibumu telah mengandungkanmu dengan menanggung kelemahan demi kelemahan, dari awal mengandung hingga akhir menyusunya.
(iii) Bersyukurlah kepada Allah, serta taatlah kepada kedua ibubapamu. Akhirnya kamu akan kembali kepada Allah jua.
(iv) Sekiranya mereka berdua mendesakmu supaya kamu mensyirikkan Allah, janganlah kamu taat kepada mereka.
(v) Wahai anakku, semua perkara, sama ada yang kamu lakukan atau kamu katakan berada dalam pengetahuan Allah Taala. Tiada apa yang boleh kamu sembunyikan daripada pengetahuanNya walaupun sebesar biji sawi.
(vi) Wahai anakku, tunaikanlah solat, suruhlah berbuat kebaikan dan laranglah daripada melakukan kemungkaran. Bersabarlah atas segala bencana dan musibah yang menimpamu.
(vii) Jagalah akhlak dan adabmu bersama manusia, jangan memandang rendah kepada mereka dan bersopanlah dengan mereka.
(viii) Jagalah intonasi suaramu ketika berbicara dan berkomunikasi dengan orang lain.
Jangan tunggu esok untuk berubah
Banyak contoh-contoh daripada kisah para nabi dan sahabat yang boleh dijadikan contoh dan teladan oleh para bapa dalam pendidikan agama anak-anak. Kesibukan mencari rezki bukan satu alasan untuk tidak mengambil berat isu pendidikan agama anak-anak. Inilah sebenarnya saham kita di akhirat kelak.
Apabila kematian menjemput, malaikat Izrail mencabut nyawa, apakah yang boleh menjadi bekalan dan saham kita ke akhirat? Tidakkah doa anak-anak soleh itu menjadi impian kita semua? Bagaimana mahu mempunyai anak-anak yang soleh sekiranya usaha ke arah melahirkan anak-anak soleh tidak dilakukan dari sekarang.


 

Comments

Popular posts from this blog