Fitnah Yang Jatuh Di Dalam Dunia Sebelum Zahir Imam Mahdi


Adapun fitnah-fitnah yang jatuh di dalam dunia sebelum zahir Imam Mahdi itu lima perkara :-
Sungai Furat atau lebih dikenali Sungai Euphrates pada
masa kini.
        1.Terbuka sungai Furat yang terdahulu sebutnya, maka terkeluarlah emas daripada bukit yang ada di situ. Tatkala mendengar akan yang demikian itu oleh manusia, maka berpuak-puaklah mereka itu hendak mendapatkannya. Di dalam puak-puak mereka itu ada tiga puak daripada anak khalifah (raja). Satu daripada tiga puak itu terlebih hampir kepada emas itu, maka berkata ia, “ Demi Allah! Kami bunuh sekalian manusia ini , kerana jikalau kami tinggalkan dia nescaya habis emas ini diambilnya.” Maka jatuh perbalahan dan perselisihan di antara mereka itu hingga membawa kepada pembunuhan yang besar. Di dalam pembunuhan itu tidak hidup mereka itu melainkan seorang sahaja di dalam tiap-tiap seratus.                             

 2.     Keluar seorang daripada keturunan Sufian yang kafir daripada anak Khalid bin Yazid bin Sufian di dalam negeri Syam. Maka berlakulah peperangan yang amat besar.


3.    
Keluar bersama oleh puak Abqo’ (gelaran seorang). Asal makna Abqo’ itu, sesuatu yang ada padanya warna putih dan hitam daripada negeri Mesir. Maka berlakulah peperangan yang amat besar juga.


4.    
Keluar pula puak Ashab (gelaran seorang). Asal makna Ashab itu, sesuatu yang bercampur warna putih dengan warna merah.


5.    
Keluar pula puak I’raj (gelaran seorang). Asal makna I’raj itu ialah orang yang berjalan capik daripada negeri Maghribi. Maka berlakulah peperangan yang amat besar juga. Peperangan mereka itu berlaku selama setahun. Maka menanglah puak Sufian ke atas puak Abqo’ dan puak Ashab. Selepas itu keluar seorang raja daripada negeri Maghribi, maka membunuh ia sekalian laki-laki dan menawan ia sekalian perempuan-perempuan. Kemudian berhenti ia di atas bumi Arab dan kembali semula menawan ia (Raja Maghribi). Puak Sufian yang sedang mengalahkan puak Qis, tetapi kehendak raja Maghribi itu tidak berhasil kerana kemenangan itu telah tetap di pihak puak Sufian; sehingga habislah harta benda raja Maghribi dikumpul oleh mereka itu dan semuanya jatuh ke tangan puak Sufian. Kemudian daripada itu, puak Sufian pula berperang dengan Turki dan Rom. Maka bermacam-macamlah aniaya yang menimpa ke atas anak-anak di negeri itu. Perut perempuan-perempuan yang bunting dibelah dan kanak-kanak dibunuh. Lelaki-lelaki yang terdiri daripada Quraisy lari ke negeri Turki untuk menyembunyikan diri di sana. Tetapi dengan permintaan keras daripada puak Sufian kepada orang-orang besar Turki, terpaksalah golongan Quraisy tersebut kembali ke tempat mereka. Apabila mereka sampai di pintu negeri Damsyik, lalu tengkuk mereka dipukul oleh puak Sufian. Tatkala setengah daripada mereka itu sempat lari ke negeri Khurasan. Maka puak Sufian pun bersedia dengan angkatan berkudanya untuk menuntut mereka yang lari. Maka semasa puak Sufian di dalam perjalanan, binasalah semua kota-kota negeri, rumah-rumah askar hingga menerusi puak Sufian itu ke negeri Baghdad. Mereka membunuh penduduk Baghdad seratus ribu jiwa. Kemudian mereka itu pun masuk ke negeri Kufah dan membunuh penduduk Kufah sebanyak enam puluh ribu orang. Mereka telah menawan segala perempuan-perempuan dan kanak-kanak. Manakala apabila masuk mereka ke negeri Khurasan, lebih dahsyatlah kezaliman mereka itu hingga membawa ke pihak masyrik bumi Khurasan itu pada tiap-tiap jalan dan simpangnya; menyuruh oleh puak Sufian berjaga. Maka barangsiapa daripada ahli Khurasan yang lalu, daripada kaum keluarga Nabi Muhammad dan Bani Hashim sama ada lelaki ataupun perempuan habis ditangkap oleh mereka itu. Sesetengahnya dibunuh  di tempat itu juga dan sesetengahnya dihantar ke negeri Kufah. Setelah itu, berpecah-pecahlah mereka itu masuk ke dalam kampung pada merata-rata tempat.
Masjidil Haram di Mekah, Saudi Arabia.
Maka pada ketika itu Imam Mahdi telah zahir dan namanya tempat beranak itu di Madinah. Akan tetapinya tidak zahirnya melainkan kemudian daripada sempurna dengan alamat-alamat yang lima yang tersebut itu. Dan tempat permulaan zahir Imam Mahdi itu tiada maklum tempatnya maka bahawasanya di masa itu sangatlah huru-hara. Maka larilah ia dan Mansur serta tujuh orang yang lain bersembunyi diri di dalam negeri Mekah. Tatkala Imam Mahdi keluar dari Madinah ke Mekah, maka mengutuslah oleh raja Madinah kepada raja Mekah akan satu surat menyebutkan Mahdi dan nama-nama jemaah yang bersama dengannya. Tatkala mendengar oleh raja Mekah akan perkhabaran yang tersebut, maka membisulah oleh raja Mekah akan mereka itu. Kemudian daripada itu, bermesyuaratlah Imam Mahdi dengan jemaahnya hendak pergi berjumpa raja Mekah serta minta pertolongan kepadanya. Maka datanglah mereka itu kepada raja Mekah pada waktu malam. Setelah bertemu mereka itu dengannya(raja Mekah), maka ceritalah mereka itu akan hal perihalnya yang telah terjadi; serta minta pertolongan kepadanya. Maka berkata raja Mekah kepada Mahdi dan jemaahnya,"Keluarlah oleh kamu hal keadaan kamu di dalam keamanan". Maka Imam Mahdi dan jemaahnya pun keluarlah daripada Mekah. Maka manakala sampai pertengahan jalan, maka menyuruh oleh raja Mekah akan panggil dua orang daripada mereka itu. Maka datanglah keduanya kepadanya; maka membunuh ia akan salah seorang daripadanya pada satu tempat di antara rukun Hijr Aswad dan Maqam Ibrahim. Maka selepas itu, jatuhlah kemurkaan Allah Taa'la dan Ahli Langit kepadanya(raja Mekah) kerana kezaliman raja Mekah dengan membunuh satu nyawa yang tiada berdosa itu. Dan adalah seorang kawan yang tiada terbunuh itu memandang kepada saudaranya yang terbunuh itu. Selepas itu, maka ia pun memberitahu kepada Imam Mahdi dan sahabat-sahabatnya. Manakala sampai perkhabaran itu kepada Imam Mahdi, maka ia pun bersedia dan berangkatlah hendak memerangi ia akan raja Mekah itu. Maka setelah sampai di Ta'if, bermukimlah mereka itu (Mahdi dan jemaahnya) pada satu bukit, dan menyerulah mereka itu akan manusia daripada ahli Ta'if. Maka mengikutlah ahli Taif akan mereka itu.

Maka apabila mendengar oleh raja Mekah akan Imam Mahdi dan jemaahnya telah bermukim di Taif, ia pun bersedia serta keluarlah ia memerangi akan mereka itu. Di dalam peperangan itu, dapatlah jemaah Imam Mahdi mengalahkan ahli-ahli Mekah serta rajanya. Inilah (perang yang pertama) daripada enam kali peperangan Imam Mahdi. (Perang yang kedua) memerangi ia akan negeri Turki; yang akan datang ceritanya lebih panjang. Dan bahawasanya peperangan yang tersebut disertai dengan pertolongan wali Allah. Telah menanggunglah oleh ulama di atas memerangi Imam Mahdi akan negeri Turki itu, dengan dua perkara jika dikehendaki dengan Turki Uthmaniyah. (Yang pertama) barangkali negeri itu dapat ke tangan kafir pada akhir zaman seumpama Russia. (Yang kedua) ahli negeri itu barangkali keluar daripada Ahli Sunnah Waljamaah. Maka kemudian daripada tujuh tahun lepas daripada berperang Mahdi itu, baharulah keluar Dajal Laknatullah. Maka bersama-samalah Nabi Isa dan Imam Mahdi membunuh Dajal itu, pada Baitul Maqdis. Dan adalah yang menunjukkan ahli Turki itu keluar daripada Ahli Sunnah Waljamaah; kerana pada tahun 1343 Hijrah, hamba telah berjumpa seorang Turki yang soleh di dalam negeri Madinah yang baharu masa sahaja datang dari negeri Turki. Maka hamba pun bertanya khabar hal ehwal agama di dalam negeri Turki. Jawabnya,"Bahawa negeri Turki sekarang, kacau bilau di dalam hal agama, hingga peringkat muda-muda di sana, semuanya boleh dikatakan keluar daripada Ahli Sunnah Waljamaah. Melainkan peringkat tua-tua sahaja, yang berpegang teguh dengan agama". Dan menunjuk pula atas yang demikian itu pada tahun 1342 Hijrah di masa Sharif Hussein memerintah Mekah, ada seorang guru bersyarah di Masjidil Haram mengatakan akan zahir Imam Mahdi, dan memerangi ia akan negeri Turki dan Mekah. Maka hamba pun bertanya kepadanya, apakah sebabnya Imam Mahdi memerangi akan ahli kedua negeri itu? Walhal kedua negeri itu yaitu negeri Islam. Jawabnya,"Barangkali pada akhir zaman bahawasanya ahli kedua negeri itu, kebanyakan keluar daripada Ahli Sunnah Waljamaah.
Kota Kostantaniah atau dikenali sebagai Constantinople

  Telah berkata Sahab Al-Qamus,"Dikehendaki Kostantaniah, yaitu kampung raja negeri Rom di pihak daratan Laut Hitam". Maka apabila negeri itu dapat ke tangan orang Islam dengan sebab peperangan yaitulah setengah daripada alamat kiamat. Dan tinggi kotanya dua puluh satu hasta lebih kurang dan gerejanya sangat-sangat tinggi. Di sisi gereja itu beberapa tiang dan keliling pada tiap-tiap satu tiang itu empat depa lebih kurang. Pada kepala tiang itu ada gambar kuda daripada tembaga, dan di atasnya itu ada orang yang menunggang. Maka sebelah tangannya menatang satu buah yang bulat daripada emas dan sebelah tangan lagi terbuka anak jarinya kelakuan orang isyarat. Dan gambar orang yang menunggang itu, itulah Kostantine; ialah yang mula-mula membuka negeri Kostantaniah itu. Maka digelarkan Kostantaniah ini Kostantaniah Al-Sughri (Kostantaniah yang kecil) ialah sebuah bandar yang besar di dalam negeri Rom yang tersebut di dalam Quran yaitu bersempadan dengan negeri Parsi. Maka Konstantaniah yang digelarkan Konstantaniah Al-Kubri (Kostantaniah yang besar) itu ialah sebuah bandar yang paling besar juga, di dalam negeri Turki Uthmaniyah (Turki yang termasyhur di zaman sekarang ini). Maka di atas perkataan Sahab Al-Qamus ini, bahawa memerangi Mahdi akan Turki itu ialah Turki Rom, bukan Turki Uthmaniyah. Maka tiada ada musykil lagi dan tiada berhajat kepada tanggung dengan yang tersebut itu kerana Rom ini kafir. Wallahualam.
 
 http://alamatkiamat.blogspot.com

Comments

Popular posts from this blog