Gemuk: Jangan salahkan nasi

 

Ramai salahkan nasi kerana beranggapan sumber karbohidrat itulah punca masalah kegemukan. Justeru, mereka elak makan nasi semasa ingin kuruskan badan, tetapi adakah kita boleh makan nasi untuk kekalkan atau kurangkan berat badan?

Banyak salah faham mengenai nasi. Hakikatnya, nasi menyumbang kepada jumlah kalori yang sama seperti jika anda mengambil gandum. Apa yang penting adalah jumlah nasi yang dimakan.

Nasi adalah sumber karbohidrat kompleks yang baik dan bertindak sebagai sumber protein yang baik bagi menggantikan daging untuk mereka yang mengamalkan diet sayur-sayuran.

Selain itu, ramai juga yang bertanya kepada saya kalau hendak makan nasi, berapa kuantiti yang sepatutnya diambil? Jawapannya, pasti saja boleh untuk anda mengambil nasi dan nasihat saya, ia perlu diambil sebanyak segenggam sebelah tangan anda saja.

Ia sudah memadai dan mengenyangkan ditambah dengan sumber protein lain seperti ikan atau ayam dan sayur-sayuran. Ingat, nasi dalam kuantiti segenggam itu adalah jumlah sumber karbohidrat untuk sekali makan saja.

Anda mungkin makan nasi sekali, dua, tiga atau lima kali sehari, tetapi ia harus dalam kuantiti segenggam itu. Jika anda menukar nasi dengan mengambil roti, pasta atau mihun, cuba bayangkan kuantitinya sebanyak segenggam tangan saja.

Sebenarnya, memang lebih elok anda makan nasi lima kali sehari supaya kadar metabolisme badan tinggi. Namun ia bergantung juga kepada kemampuan diri seseorang.

Lain orang lain keadaan dirinya dan anda mesti memahami diri sendiri sebelum melakukan sesuatu yang drastik dalam usaha mengekalkan atau menurunkan berat badan.

Saya tidak nafikan tanpa nasi, ia boleh membuatkan berat badan seseorang turun, tetapi ia perlu diimbangi dengan bentuk makanan termasuk sarapan yang mengandungi kalori sewajarnya.

Mengenai amalan tidak makan nasi semata-mata untuk menurunkan berat badan, saya juga akui ramai yang melakukan hal sedemikian.

Namun, banyak aspek yang perlu diambil kira sama ada daripada segi ketinggian, berat badan dan umur seseorang kerana diet yang betul akan memberikan impak yang lebih baik untuk kesihatan diri.

Seseorang yang ingin berdiet boleh makan nasi, tetapi hendaklah mengurangkan kuantitinya seperti separuh daripada segenggam tangan itu. Ia diimbangi pula dengan pengambilan sayur atau lauk.

Selain itu, tenaga yang keluar dan masuk harus diseimbangkan mengikut cara yang betul. Semakin berusia seseorang itu, metabolisme semakin berkurangan. Oleh itu, perlu dicari formula untuk menyeimbangkannya.

Contohnya, anda lepak di kedai mamak dan makan segenggam nasi, lauk ayam, sedikit sayur dan minum segelas air kosong. Hidangan ini elok bagi mereka yang mahu mengekalkan ataupun cuba untuk menurunkan berat badan. Ini disebabkan ia seimbang kerana hanya ada satu bentuk karbohidrat saja iaitu melalui nasi.

Namun berbeza sekiranya anda mengambil segenggam nasi, lauk ayam, sayur dan minum air manis seperti teh tarik atau jus oren. Ini kerana di dalam menu ini terdapat dua sumber karbohidrat iaitu nasi dan minuman manis tadi. Sebab itu saya katakan, anda mesti tahu dan pandai mengimbangi jumlah pengambilan makanan seharian.

Saya tidak galakkan anda meninggalkan nasi malah berasa ia sesuatu yang praktikal lebih-lebih lagi ia makanan ruji kita sebagai masyarakat Asia. Tetapi semua itu terpulang kepada anda sendiri.

Sekali lagi saya tegaskan, jangan salahkan nasi dan amalkan diet praktikal setiap masa. Kemudian, pastikan kuantiti pengambilan protein cukup. Sebagai panduan, pastikan anda mengambil dua hingga 2.5 gram untuk setiap kilogram berat badan anda. Harus diingat, protein lebih mengenyangkan berbanding karbohidrat.

Oleh Kevin Zahri
 
 khasiat avokado
 
 Pernah anda mendengar mengenai buah pir buaya, pir agovago atau abogado? Pastinya nama ini cukup asing, namun apabila disebut avokado, buah berkulit hijau pekat dan sedikit menggerutu itu pasti tergambar jelas dalam ingatan.

Avocado

Lebih mengujakan, avokado yang mempunyai banyak nama mengikut panggilan setempat dikenali sebagai apokat di Indonesia dikatakan ditemui pada zaman Aztecs di Peru, kemudian dibawa ke Eropah, khususnya Australia sekitar tahun 1840.

Kini avokado melata kehadirannya di seluruh dunia, tapi ia tidak begitu meluas penggunaannya di dapur suri rumah di Malaysia mungkin kerana tidak begitu mengetahui khasiat mahu pun manfaatnya berbanding buah import lain.

Kenyataannya, di sebalik fizikal avokado yang menggerutu itu, tersembunyi seribu kebaikan untuk kesejahteraan kesihatan manusia kerana avokado buah unik, kaya zat dan penuh khasiat walaupun rasanya mungkin agak susah diterima ramai di sini kerana tidak begitu lazim digunakan dalam menu seharian.

Pakar hortikultur Australia, Jodie Campbell, berkata avokado mempunyai banyak khasiat tertentu yang sangat diperlukan oleh badan.

Ia mengandungi vitamin A, B (termasuk B6, niacin dan riboflavin) C dan E serta kandungan galian seperti kuprum, magnesium, potasium dan zink, selain tidak mengandungi kolesterol dan sodium.

"Avokado tinggi serat, sumber utama asid folik, yang mana asid folik mengurangkan risiko penyakit jantung dan dalam sesetengah kes, mengurangkan barah," katanya pada majlis A Taste of Australian Avocados di Kolej Hospitaliti Universiti Berjaya, baru-baru ini.

Campbell yang bertugas dengan Supply Chain Innovations di Queesnland, Australia berpengalaman dalam bidang sains pertanian ini menjelaskan avokado juga bersifat kaya dengan lemak tidak tepu yang boleh menyumbang kepada kerendahan kandungan kolesterol dalam badan.

Avokado juga, katanya, mengandungi glutathione, bahan antioksidan yang menghalang pelbagai jenis karsinogen dalam badan serta mempunyai potasium yang bermanfaat untuk rawatan artvitis dan haemorrhoids.

"Kajian dilakukan di Pusat Perubatan Wesley Brisbane menyatakan pengambilan separuh daripada avokado setiap hari selama sebulan boleh membantu menurunkan berat badan dan mencapai tahap kolesterol yang rendah," katanya.

Pelbagai resipi boleh dimanfaatkan daripada avokado asalkan anda rajin dan bijak mencuba kerana avokado buah sihat, boleh dimakan dengan pelbagai cara mahupun menu. Sama ada disediakan dalam bentuk jus atau salad, avokado kekal berkhasiat untuk tubuh badan manusia.

Selain itu, avokado juga enak dijadikan inti sandwic atau dimakan dengan sushi lantaran rasanya yang lemak dan bersari. Ia juga baik untuk bayi kerana tersedia zat bersesuaian untuk tumbesaran si kecil.

Tentang Avokado

* Jika teringin membeli avokado, pastikan anda memilih buah yang kulitnya berwarna gelap kerana ia sudah boleh dimakan.

Pilih avokado yang disusun di bahagian paling hadapan.

* Jangan cucuk atau picit avokado menggunakan hujung jari, sebaliknya jika anda ingin mengetahui isinya sudah lembut, anda boleh mengepal avokado dengan tapak tangan.

* Avocado enak dijadikan jus, salad atau dimakan dengan manisan.

* Isi avokado juga boleh dijadikan sos atau bahan pemekat dalam kuah.

* Euro Atlantic adalah syarikat yang bertanggungjawab mengedar dan membekalkan avokado di Malaysia
.

5 tip mudah menguruskan badan dgn teratur

Click Here
5 tip mudah untuk memastikan anda dapat menguruskan badan dengan lebih teratur.

Anda perlu tahu dengan jelas apa yang anda inginkan dan kemudian perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya.

Antara perkara penting yang harus disematkan di dalam diri adalah jangan sesekali mudah putus asa tetapi sebaliknya terus berusaha untuk mencapai matlamat itu.

Anda juga perlu faham setiap individu berjaya menguruskan badan dengan tahap kepantasan yang berbeza. Berikut adalah lima tip untuk memastikan anda sentiasa berada di landasan yang betul dan tidak akan 'tergelincir'.

* Catatkan matlamat anda

Jika anda benar-benar ingin berjaya dalam misi menurunkan berat badan, ia harus dirancang dan dijadualkan dengan baik sebelum pelaksanaannya. Ambil pen dan kertas untuk menyenaraikan semua butiran perkara yang boleh dan dilarang dibuat. Pastikan anda menyimpan kertas itu di tempat yang senang dilihat dan akan bertindak sebagai 'alat penggera' (peringatan).

Tempat terbaik untuk menyimpannya ialah di pintu peti sejuk anda. Selain itu, anda juga perlu mengkaji semula matlamat anda pada setiap hari bagi memastikan ia masih berada di landasan yang betul.

* Tetap dan kekalkan tarikh sasaran

Menetapkan atau menandakan tarikh sasaran pada kalendar akan membantu anda melawan kecanggungan selain dapat menghalang kegagalan azam yang ingin dicapai. Jangan biar dan benarkan rancangan anda gagal. Rencanakan sasaran dan tarikh tertentu untuk setiap perkara berhubung agenda matlamat tetapi biarlah ia realistik.

* Mengawal selera makan palsu

Mulai sekarang, buang semua makanan yang kurang berkhasiat seperti kek, pastri, makanan segera, minuman berkarbonat dan snek makanan ringan. Aktiviti membuang dan menjauhkan diri daripada semua makanan itu memang diakui amat sukar pada awalnya tetapi faedah yang akan diperoleh kelak boleh membantu anda mencapai matlamat tahun baru.

Apa yang harus anda lakukan selepas itu adalah menambah item makanan yang lebih berkhasiat ke dalam senarai pembelian barangan. Antaranya termasuk diet protein seperti putih telur, ikan dan ayam, buah-buahan seperti epal, kurma, pear, strawberi dan oren, sayuran-sayuran hijau seperti cendawan, kacang merah dan brokoli serta makanan berkalori rendah, keju rendah kalori, agar-agar tanpa gula dan air mineral.

* Menjadi lebih cekap dan mahir

Jangan ambil mudah setiap perkara atau rutin kecil yang termasuk dalam senarai matlamat anda. Pastikan diri anda boleh melaksanakan rancangan itu supaya hasilnya berbaloi. Lakukan sesuatu aktiviti pada setiap minggu seperti anda boleh menetapkan minum lapan hingga 10 gelas air kosong pada minggu pertama.

Minggu kedua pula, anda boleh tetapkan tidak akan menggunakan lif sebaliknya berjalan saja. Seterusnya, lakukan senaman selama 20 hingga 30 minit setiap hari dan elakkan menjamah makanan yang berlemak. Pada minggu kelima pula, anda perlu ambil makanan yang kaya dengan protein serta nutrien.

* Simpan buku rekod

Setiap perkara yang direkod atau dicatatkan selalu memberi hasil yang lebih baik dan anda tidak perlu mencabar daya ingatan sendiri. Oleh itu, simpanlah segala butir aktiviti atau langkah yang sudah dicatatkan dengan sebaik mungkin.

Gunakan bantuan visual untuk memastikan dan menyemak rejim misi menurunkan berat badan anda. Ini akan terus menggalakkan anda dalam memberikan yang terbaik seterusnya mencapai azam tahun baru dengan jayanya.

Oleh Kevin Zahri

Sambung Baca: http://anizyn.blogspot.com

Comments

Popular posts from this blog