Individu wajar tapis, usah hebah perkara tidak sahih
FENOMENA fitnah dan khabar angin sering digunakan dalam menyebarkan maklumat
yang tidak benar. Mereka menggunakan kemudahan canggih ini untuk melaga-lagakan
sesama manusia sehingga yang bersahabat menjadi musuh, suami isteri bercerai
gara-gara e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS), surat layang, internet dan
seumpamanya. Islam melarang keras perbuatan fitnah dan menyebar khabar angin dan
golongan penyebar maklumat palsu itu dijanjikan Allah dengan balasan azab yang
amat pedih.
Firman Allah SWT dalam Surah an-Nur, ayat 19, bermaksud: “Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat. Ingatlah Allah lebih mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahuinya.”
Rasulullah SAW pula telah bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Awasilah diri kamu daripada berburuk sangka kerana perbuatan itu adalah satu
pembohongan besar. Janganlah mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam
muka dan marah, sebaliknya jadikanlah diri kamu semua bersaudara-mara. (Riwayat
Bukhari dan Muslim)
Rasulullah telah mengingatkan kita agar sentiasa menjauhi diri daripada
terjerumus ke dalam perbuatan keji yang dinyatakan dalam hadis itu. Sesungguhnya
impak daripada perbuatan keji itulah yang membawa kepada berlakunya budaya
penyebaran surat layang dan fitnah memfitnah dalam masyarakat.
Perbuatan bersangka buruk terhadap orang lain sebenarnya timbul daripada
perasaan tidak berpuas hati dan dengki khianat atas sebab tertentu. Perbuatan
sebegini melambangkan betapa rendahnya moral si pelaku yang sanggup
menghancurkan maruah orang lain dengan menolak segala pertimbangan dan rasional
akal yang dianugerahkan Allah kerana diri telah dikuasai nafsu marah dan dengki
khianat yang berpanjangan.
Kalau pun sesuatu tuduhan itu ada kebenarannya, orang yang telah mengambil kesempatan untuk berbuat demikian perlulah mengadakan bukti yang kukuh dan munasabah bagi membuktikan kebenarannya, bukannya dengan mencantumkan cerita yang dibawa dari mulut ke mulut untuk dan dijadikan modal untuk menyebarkan wasangka buruk dan tuduhan palsu dan negatif kepada seseorang individu.
Akibat daripada perbuatan sebegitu, sudah pasti perasaan dendam akan terus
berpanjangan di antara yang menuduh dan yang kena tuduh, masing-masing ingin
membuktikan tuduhan yang dibuat adalah benar dan menghijab diri dengan penafian
bagi menolak segala tuduhan yang dilemparkan.
Allah Taala telah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika
datang kepadamu orang fasik yang membawa berita maka periksalah dengan teliti
kebenarannya agar kamu tidak menimpakan musibah kepada sesuatu kaum tanpa
mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesali perbuatan kamu itu.”(surah
al-Hujurat, ayat 6)
Islam juga amat melarang umatnya daripada perasaan suka mengorek rahsia orang
lain. Peribahasa Melayu ada menyebut, ‘jangan jaga tepi kain orang’. Tetapi
dalam beberapa hal yang membabitkan berlakunya kebatilan dan perkara sumbang
dalam masyarakat yang mengundang kemudaratan kepada ajaran agama, maka
dibolehkan untuk berbuat demikian dengan tujuan untuk menegahnya agar tidak
terus menular dalam hidup bermasyarakat.
Tetapi apa yang berlaku dalam masyarakat hari, perbuatan mencari rahsia orang
lain bukan bertujuan untuk menegahnya daripada berlaku perkara sumbang, tetapi
bertujuan untuk mendapatkan mesej tertentu mengenai peribadi seseorang dan
kemudian dijadikan umpan sebagai alat untuk membalas dendam kepada orang
berkenaan.
Islam sendiri menuntut umatnya agar menyembunyikan keaiban orang lain
walaupun kita mengetahuinya kerana Allah akan menyembunyikan keaiban kita
daripada terhebah kepada orang lain.
Telinga adalah salah satu pancaindera anugerah Allah yang tiada
bandingannya.
Justeru, Muslimin hendaklah menjaga telinga mereka daripada mendengar khabar angin yang masih belum tentu kebenarannya, tetapi jika terpaksa mendengarnya atas faktor keadaan, maka dituntut agar tidak pula menjadi penyebar kepada apa yang didengar kepada orang lain.
Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah lagi hadis Baginda yang bermaksud:
“Beruntunglah orang yang sentiasa menyelidiki dan melihat keaiban sendiri.”
(Riwayat Muslim)
Hasad dengki dalam definisi yang lengkap membawa maksud mencari jalan atau
ikhtiar untuk menghilangkan nikmat yang ada pada orang lain. Impaknya amat
besar, bukan saja kepada orang yang didengki tetapi juga akan terpalit kepada
seluruh masyarakat.
Credit to : Sudut Agama Berita Harian
http://setiakasihmyblog.wordpress.com/tag/sembang-sembang/
Comments
Post a Comment