JANGAN KATAKAN KAMU BERIMAN SEBELUM DIUJI
by Syazwani Samad ·
DALAM sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Thabrani daripada Abu Umamah, Allah berfirman kepada malaikat-Nya bermaksud : "Pergilah kepada hambaKu. Lalu timpalah bermacam-macam ujian kepadanya kerana Aku mahu mendengar suaranya."
Hadis di atas menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan
malaikatNya yang tidak pernah menderhaka dan tetap melaksanakan apa
yang Allah SWT perintahkan kepada mereka untuk melakukan pelbagai
ujian dan dugaan terhadap hamba-hambaNya. Dengan dugaan dan ujian ini,
diharapkan akan terkeluarlah suara hamba itu. Namun begitu, sekiranya
tidak terkeluar suara hamba itu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui
sesuatu yang tersembunyi dalam hati hambaNya. Sesungguhnya kehidupan
ini tidak sunyi daripada kesenangan dan kesusahan, kesukaan dan
kedukaan yang silih berganti. Oleh itu, barang sesiapa yang
beranggapan kehidupan ini adalah kesenangan, kemewahan semata-mata
atau penuh dengan kesukaran dan kesusahan selama-lamanya, itu adalah
salah.
Melalui hadis di atas, Allah SWT mengingatkan bahawa kesenangan dan
kesusahan itu adalah ujian ke atas hambaNya dan ia adalah
sunnatullah. Oleh itu, kehidupan ini dipenuhi dengan ujian dan dugaan
daripada Allah. Ini kerana sesuatu yang tidak diuji, tidak akan
kelihatan keasliannya. Umpama manusia gagal untuk menentukan emas
tulen dengan tiruan. Maka, untuk menentukan emas itu tulen, maka
perlulah dinilai ketulenannya. Demikianlah halnya manusia, di mana
mereka telah mengaku diri beriman, tentulah Allah SWT akan menguji
sejauh mana keimanan mereka terhadapNya. Dalam hal ini, Allah telah
berfirman: "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?" (QS Al-Ankabut:2-3).
Melalui ayat di atas, Sayyid Qutb (1327-1386 Hijrah) menafsirkan sesungguhnya iman itu bukanlah
hanya sebuah kata-kata yang diucap, malah iman adalah suatu hakikat
yang mempunyai tugasnya, suatu amanah yang mempunyai beban
tanggungjawabnya, suatu jihad yang memerlukan kesabaran dan suatu
perjuangan yang memerlukan ketabahan. Manusia tidak cukup dengan hanya
berkata: "Kami telah beriman..." Mereka
tidak dibiarkan membuat dakwaan seperti itu hingga terdedah kepada
ujian dan membuktikan kebenaran dakwaan mereka. Mereka juga perlu
keluar daripada ujian itu dengan hati bersih sebagaimana api menguji
emas untuk memisahkan unsur logam yang murah melekat padanya. Inilah
makna asal kata-kata ujian dari segi bahasa. Ia mempunyai tujuannya,
bayangannya dan saranannya. Begitulah juga ujian itu bertindak terhadap
hati manusia.
Dalam ayat lain, Allah SWT menerangkan secara jelas bahawa hubungan
manusia dengan kehidupan adalah hubungan ujian dan dugaan. Firman
Allah SWT bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami telah
menjadikan apa yang ada di bumi itu sebagai perhiasan, agar kami
menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik amal
perbuatannya." (QS Al-Kahfi : 7-8). Ayat ini menjelaskan
bahawa tujuan Allah SWT mendatangkan pelbagai ujian ke atas hambaNya
adalah untuk menilai siapakah di antara hamba-hambaNya yang terbaik.
Yang terbaik amalnya itulah adalah orang terbaik di sisi Allah. Ujian
yang Allah datangkan kepada hamba-Nya tidak hanya berupa kesusahan,
kesulitan dan kesakitan semata-mata. Malah, manusia perlu berwaspada
kerana ujian dan dugaan akan datang kepada mereka dalam bentuk
kesenangan, kemewahan dan kekayaan. Ini secara terang difirmankan
olehNya bermaksud: "Dan kami akan uji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (QS al-Anbiya : 35).
Sebenarnya ujian Allah SWT ke atas hambaNya dengan nikmat harta
kekayaan dan pelbagai kesenangan, pada hakikatnya lebih berat daripada
ujian dengan bencana, seksaan dan kesusahan. Ini kerana berapa
ramaikah orang yang memiliki kekayaan, tetapi hidupnya penuh dengan
kecelakaan kerana gagal mengguna atau menyalurkannya pada tempat
sewajarnya. Kekayaan yang dimiliki akan diuji oleh Allah. Ini jelas
diterangkan dalam sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh
at-Tirmidzi bermaksud: "Sesungguhnya bagi setiap umat ada ujian dan ujian bagi umatku ialah harta kekayaan."
Demikian juga dengan orang yang diuji dengan pangkat dan kekuasaan,
hinggakan mereka menyangka mereka telah berkuasa sepenuhnya dan
memiliki segala-galanya. Hal ini diperingatkan Allah dalam firman-Nya
bermaksud: "Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar
melampaui batas ketika menganggap dirinya serba cukup. Sesungguhnya
hanya kepada Tuhanmu tempat kembali." (QS Al-Alaq : 6-8)
Ayat ini menegur sikap manusia yang angkuh dan sombong yang menganggap
mereka memiliki segala-galanya dan boleh melakukan apa saja selepas
mendapat kekuasaan dan pangkat dalam masyarakat. Pada hal, apa yang
dimiliki hanya sedikit daripada kurniaan Allah SWT kepada para
hambaNya. Rasulullah SAW bimbang kepada umatnya yang diulit kemewahan
yang melupakan Allah. Ini kerana kehancuran umat terdahulu adalah kerana
kemewahan. Sabda Rasulullah SAW: "Demi Allah, bukanlah
kemiskinan yang aku khuatirkan atas kamu, akan tetapi aku khuatir
sekiranya kemewahan dunia yang kamu dapat sebagaimana yang telah
diberikan kepada orang sebelum kamu, lalu kamu bergelumang dalam
kemewahan itu hingga binasa, sebagaimana bergelumang dan binasanya umat
terdahulu." (HR Bukhari)
Ujian berat bagi kaum lelaki ialah ujian terhadap wanita. Ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya: "Sepeninggalanku tiadalah yang ujian yang lebih berbahaya kepada kaum lelaki kecuali godaan kaum wanita." (HR Bukhari)
Ujian yang menyebabkan manusia mudah tergelincir pula ialah mengenai
akidah dan agama. Ini kerana, ramai orang yang mengaku dirinya Muslim,
beriman tetapi setelah diuji Allah akan iman dan agamanya dengan
pelbagai cubaan, ternyata ramai antara mereka yang lemah dan
tergelincir daripada landasan yang benar. Perkara itu dijelaskan dalam
firman-Nya bermaksud: "Dan antara manusia ada yang
berkata: "Kami beriman kepada Allah." Tetapi apabila mendapat gangguan
dan rintangan dalam melaksanakan perintah Allah, dia menganggap
gangguan itu seakan-akan seksaan daripada Allah. Dan jika datang
pertolongan daripada Allah, mereka pasti akan berkata: "Sesungguhnya
kami berserta dengan kamu (kaum mukmin)." Sesungguhnya bukankah Allah
lebih mengetahui apa yang ada dalam dada manusia? Dan sesungguhnya
Allah mengetahui orang yang beriman dan benar-benar mengetahui orang
yang munafik." (QS Al-Ankabut : 10-11).
Oleh itu, sekiranya diuji Allah, hendaklah kita bersabar kerana
dengan bersabar kita akan mendapat ganjarannya iaitu dihapuskan
dosanya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda: "Ujian
yang tiada henti-hentinya menimpa kaum mukmin baik lelaki atau wanita
yang mengenai diri, harta dan anak-anaknya, tetapi dia bersabar, dia
akan menemui Allah dalam keadaan tidak berdosa." (HR At-Tirmidzi)
Daripada huraian atas dapat disimpulkan, ujian yang Allah SWT
turunkan ke atas hambaNya mempunyai pelbagai bentuk. Ada ujian yang
menimpa tubuh, anak, harta kekayaan, pengaruh, kekuasaan, pangkat,
akidah dan sebagainya sama ada dalam bentuk kesenangan mahupun
kesusahan. Tujuan Allah memberi ujian itu untuk melihat siapakah orang
yang benar-benar beriman denganNya, untuk menghapuskan dosa hambaNya
serta menguji kesabaran hambaNya supaya benar-benar menjadi seorang
Mukmin berkualiti.
Comments
Post a Comment