Kenapa Mahu Menjadi Doktor?
“Kenapa anda mahu jadi doktor?”, saya melemparkan soalan ini,
selepas mempertontonkan kepada pelajar di IMU tadi video dari koleksi
Stephen R. Covey.
Pelajar yang hadir tersenyum-senyum.
“Sebab minat biologi?”, saya bertanya.
Ramai yang ketawa. Itu mungkin alasan semasa di Tingkatan 4 dahulu.
“Sebab suka tolong orang?”, saya terus bertanya.
Ramai yang mengangguk.
“Well, come on. Ramai yang hantar anak buat perubatan supaya
boleh rawat ibu bapa sendiri nanti. Tetapi realitinya, kamu bukan
manusia pertama boleh muncul memberikan rawatan jika berlaku apa-apa
kepada ibu bapa. Malah ketika di bilik pembedahan dan wad kecemasan,
ahli keluarga bukanlah calon terbaik untuk merawat ahli keluarga
sendiri. Namanya, profesionalisma”, saya menyambung provokasi.
“Kamu nak tolong suami, isteri dan anak-anak? Rasa saya, suami
doktor, isteri doktor dan anak-anak doktorlah yang paling banyak kena
berdikari”, saya terus mencucuk jarum.
“Saya selalu beritahu isteri, bahawa apabila awak berjaya jadi specialist
nanti, jangan lupa bahawa orang yang paling banyak berkorban ialah tiga
orang ini. Anak-anak kita. Merekalah yang berkorban, melepaskan masa
yang sepatutnya kita beri kepada mereka, agar kita berjaya”, saya
berkongsi cerita.
Saya sengaja mengacah pelajar-pelajar di IMU supaya berfikir bersungguh-sungguh, mengapa mereka memilih bidang perubatan.
Jika anda seorang perempuan yang bakal menjadi doktor, anda perlu
tahu bahawa walaupun negara amat terdesak kepada adanya ramai tenaga
pakar, anda tidak akan diberikan ‘kemudahan’ untuk menjadi pakar. Anda
tidak ada cuti bersalin, seandainya anda ‘termengandung’ semasa sedang
membuat program pakar. Anda tidak menerima sebarang elaun untuk membeli
buku. Semua kena guna duit sendiri. Kursus dan seminar yang anda hadir,
anda mesti membayarnya sendiri. Mungkin anda terpaksa menawarkan diri
menjadi AJK agar dapat dikecualikan dari yuran, walaupun anda tahu
akibat menjadi AJK itu. Semua orang mahu anda bekerja seperti orang
lain, ketika anda terdesak menghadapi peperiksaan. Tiada belas, tiada
insentif.
Misalnya isteri saya, kerana 2 minggu cuti yang diperuntukkan untuk
kecemasan dan lain-lain, sudah pun digunakan bersalin, lupakanlah
kenduri kendara di kampung, lupakanlah ibu bapa, 6 bulan tiada cuti.
Bukan calang-calang kerja.
Anda mahu menjadi pelajar perubatan kerana mahu menolong
orang? Tolonglah diri sendiri kerana anda yang amat memerlukan pelbagai
pertolongan itu nanti.
“Maka, apa tujuan anda mahu menjadi doktor?”, soalan yang sama saya ulang sekali lagi.
Pelajar-pelajar itu termenung. Sesi soal jawab tiada soalan, kerana
semua soalan adalah untuk ditanya kepada diri sendiri, dan diri
sendirilah yang perlu menjawabnya.
PERSOALAN NILAI
Kuliah kali ini adalah tentang nilai. Apa nilai yang dibawa dalam sebuah pekerjaan? Dalam sebuah kehidupan.
Jika seorang isteri mengungkit di hadapan suami, bahawa kerja
rumahnya, kerjanya ‘melayan suami’, tidak mungkin mampu dibalas walaupun
dengan bayaran RM2000 sebulan, maka nilai apakah yang ada pada dirinya?
Saya tidak bermaksud membela lelaki yang tidak tahu menghargai
isterinya, tetapi dalam kes ini, si perempuan itu sudah menjatuhkan
dirinya.
Hanya ‘bibik’ sahaja yang buat kerja rumah untuk duit. Maafkan saya,
hanya pelacur sahaja yang meletakkan harga pada layanannya terhadap
seorang lelaki.
Seorang ibu membuat kerja rumah kerana NILAI KASIH SAYANG. Seorang
isteri juga melakukan apa yang ia lakukan atas NILAI KASIH SAYANG. Maka
tanpa kasih sayang, perkahwinan adalah beban. Malah sumber kebencian.
Menentukan nilai, sebagai pendorong kita melakukan
sesuatu adalah sangat penting. Nilai itu akan mencorakkan tingkah laku
kita terhadap pekerjaan yang kita lakukan.
NILAI DUIT
Kalau pekerjaan diukur dengan nilai wang, maka kita akan berhadapan dengan banyak masalah, walaupun wang berjaya diperolehi.
Sekarang ni sudah menjadi satu trend kepada dua industri, kalau boleh saya katakan industri. Yang pertamanya adalah industri perubatan, dan yang keduanya, industri berkaitan petroleum.
Trend yang saya maksudkan di sini, adalah perpisahan di antara seorang
suami atau isteri dengan pasangannya, serta anak-anak, kerana prospek
kerjaya dan desakan nilai wang itu tadi.
Sudah menjadi kebiasaan, pasangan yang sudah berumahtangga, berpisah
sementara (bukan calang-calang sementara) demi melepaskan isteri yang
bekerja sebagai jururawat di luar negara, khususnya di negara Teluk.
Begitu juga dengan mereka yang terbabit dengan industri petroleum,
bekerja di negara Teluk dan Afrika, menyahut saranan majikan untuk
meningkatkan kerjaya dan pendapatan dengan berhijrah ke negara yang
menagih kepakaran kita. Ia hebat, menggiurkan… tetapi output daripadanya
merunsingkan saya.
Itu, belum lagi dikorek kisah suami di Johor, isteri di Pulau Pinang atau Kuala Lumpur.
Trend ini berlaku dan merebak di dalam masyarakat, dan saya
ditakdirkan Allah bertemu dengan outputnya. Saya bertemu dengan
anak-anak remaja, yang ayah mereka pulang ke Malaysia 4 kali setahun.
Saya bertemu dengan kes, suami main kayu tiga ketika isteri
meninggalkannya gersang setahun di tanah air. Saya juga bertemu dengan
kes isteri yang mem’poligami’kan suaminya dengan bersuamikan orang lain
semasa di perantauan. Dan kes-kes ini membiak dari semasa ke semasa.
Tidak pernah menjadi tajuk berita.
Tentu sahaja, hasil kewangan dari kenaikan pangkat dengan bekerja
jauh dari pasangan dan anak-anak, boleh mengubah nasib keluarga. Tetapi
perubahan itu apakah ke arah positif atau negatif? Maka yang dikejar
dalam sebuah rumah tangga dan perkahwinan, apakah boleh disandarkan pada
nilai material?
NILAI – HARGA – KORBAN
Nilai berkadar terus dengan harga. Tinggi nilai, tinggilah harga.
Tinggi harga, banyaklah korban dan pengorbanan yang diperlukan bagi
mendapatkannya. Untuk bekerja dengan gaji RM10,000 sebulan, apakah harga
yang perlu dibayar untuk nilai material RM10K itu? Kehancuran rumah
tangga, kepincangan emosi dan identiti anak-anak, dosa… itulah harga
yang mungkin perlu dibayar untuk nilai material yang dijadikan asas
bekerja.
Anak-anak yang mewah dengan nilai material ini, gersang dan menderita
pada nilai kasih sayang dan perhatian ibu bapanya. Sering saya ulang,
‘mereka adalah generasi yang kesunyian’.
Jangan terkejut, dengan hanya 3 hari perkenalan, seorang remaja boleh
menjadi mangsa lelaki yang berniat jahat. Mengapa begitu mudah? Lelaki
itu memberi sesuatu yang tiada diperolehi remaja tersebut di dalam
keluarganya iaitu KASIH SAYANG dan PERHATIAN.
Malam ini saya mahu pelajar-pelajar yang hadir ke kuliah ini, melatih diri mereka dengan tabiat ‘Begin With the End in Mind‘. Lihatlah apa yang menanti di hujung perjalanan mereka sebagai seorang doktor perubatan.
TENTUKAN NILAI SEAWAL PERJALANAN
Maka, semenjak mereka di bangku pengajian, soal nilai yang ingin dibawa pada kerjaya di masa hadapan, mesti ditentukan.
Anda boleh mengambil sikap tidak mengendahkan hal ini, bekerjalah
selagi mampu, kejarlah habuan material yang dikejar selama ini, tetapi
anda perlu meneliti harga yang perlu dibayar. Perhatikan di mana
korbannya? Harga dan korban itu mungkin rumah tangga, mungkin pesakit,
dan yang paling besar, mungkin sistem itu sendiri.
Hati saya amat terhiris, mendengar kawan-kawan saya dan isteri,
mengeluh tentang satu demi satu penceraian yang menimpa pasangan doktor.
Sama ada kedua-dua suami dan isteri itu doktor, atau salah seorang
daripada mereka.
PROVOKASI DEMI MASA DEPAN
Atas provokasi inilah, saya mengajak adik-adik di bangku pengajian perubatan, untuk menyemak hubung kait bidang ini dengan Tujuan Hidup mereka. Kenang kembali siapa mereka di alam ini? Kenal diri, dan kenallah Ilahi.
Kita sebagai hamba Allah, menjaga tali kita dengan Dia yang disembah. Yang diabdikan diri kepada-Nya. Ia hablun minaLlah.
Kita sebagai khalifah, menjaga tali kita dengan manusia ciptaan-Nya,
kerana kita ditugaskan menjadi saluran kebaikan-Nya ke alam ini. Ia hablun minannaas.
Buat baik kepada sesama manusia, boleh dengan sedekah, boleh dengan
memimpin tangan si buta di pinggir jalan. Namun sedekah hanya sekali
sekala, orang buta bukan setiap hari kita jumpa. Jalan kebaikan yang
paling utama, adalah pada menjadikan kerja sebagai ibadah. Memberi
kebaikan kepada manusia, melalui pekerjaan yang dikurniakan Allah kepada
kita.
JIKA KERJA JADI IBADAH
Jika kerja jadi ibadah, Allah adalah ‘CEO’ kita. The unsung hero beroleh quwwah, untuk terus membuat kebaikan, biar sekecil mana pun di mata insan.
Jika kerja jadi ibadah, ia jalan Taqarrub kepada Allah. Tidak tergamak menghambur dosa, kerja dibuat sebaik yang upaya.
Jika kerja jadi ibadah, biar sempit jalan KEPERLUAN, asalkan luas perjalanan mencapai TUJUAN.
Ubah paradigma, betulkan nilai pada kerja.
Teruskan cita-cita kalian menjadi doktor. Ia cara terbesar, kamu zahirkan syukur kepada-Nya.
Kita hamba-Nya, kita Khalifah-Nya.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com56000 Kuala Lumpur
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra, Kajang
http://saifulislam.com/
Comments
Post a Comment