Persiapan Menjelang Ramadhan
Rebutlah peluang keemasan di bulan Ramadhan
Bulan Ramadhan adalah bulan yang terlalu
banyak kelebihannya. Di dalamnya terdapatnya malam lailatul Qadar iaitu
malam kemuliaan yang lebih baik dari 1000 bulan. Pada bulan tersebut
Allah membuka pintu syurga, menutup pintu neraka dan mengikat
syaitan-syaitan untuk memberi peluang kepada manusia membersihkan diri
mereka sebersih-bersihnya. Amal-amal ibadah dan kebajikan digandakan
Allah di mana yang sunat diberi pahala wajib/fardhu dan yang fardhu
menyamai 70 fardhu di bulan-bulan yang lain. Amat banyak kelebihan bulan
Ramadhan yang kesemuanya insya Allah akan kita bentangkan satu persatu
dalam risalah kecil ini.
Sekarang ini kita berada di bulan
Sya’ban. Inilah masanya kita menanam azam untuk kita merebut segala
kelebihan Ramadhan yang dijanjikan Allah. Jika Ramadhan tahun lalu kita
lalai dan leka sehingga tanpa disedari Ramadhan telahpun berlalu dan
kita ketinggalan merebut kelebihannya, maka pada tahun ini kita diberi
peluang sekali lagi oleh Allah. Maka janganlah sia-siakan peluang kali
ini kerana entah-entah inilah Ramadhan terakhir buat kita. Mati datang
tidak menentu. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa bersedia. Rebutlah
peluang semasa hayat masih ada ini supaya di akhirat kita tidak menyesal
dengan sesalan yang tiada gunanya lagi.
Membuat persiapan untuk memasuki Ramadhan
Bulan yang besar dan penuh keberkatan
serta banyak kelebihannya haruslah disambut dengan penuh perasaan ta’zim
(membesarkan) dan mengalu-alukannya. Antara persiapan yang dapat kita
lakukan –malah perlu kita lakukan- sebelum menjelang Ramadhan ialah:
- Dengan banyak berpuasa dalam bulan Sya’ban.
- Mengulangkaji ilmu tentang puasa
- Membaca kembali hadis-hadis Nabi s.a.w. tentang fadhilat (kelebihan) puasa dan bulan Ramadhan.
- Mengetahui amalan-amalan utama dan besar pahalanya di bulan Ramadhan.
Pertama: Banyak berpuasa di bulan Sya’ban bermula dari awal bulan lagi
Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan;
“Adalah Rasulullah s.a.w. kadang-kadang terus-menerus berpuasa hingga
kami menganggap beliau tidak berbuka langsung, dan kadang-kadang beliau
terus-menerus berbuka hingga kami menganggap beliau tidak berpuasa
langsung. Namun demikian, aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa
sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah
melihat beliau paling banyak berpuasa sebagaimana beliau berpuasa di
bulan Sya’ban”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Usamah bin Zaid r.a. menceritakan; “Aku
bertanya Rasulullah s.a.w.; ‘Ya Rasulullah, mengapakah aku tidak melihat
kamu banyak berpuasa di bulan-bulan lain sebagaimana kamu berpuasa di
bulan Sya’ban’. Jawab Rasulullah; ‘Bulan Sya’ban itu adalah bulan yang
selalu dilupai oleh manusia di mana kedudukannya di tengah antara Rejab
dan Ramadhan. Namun ia adalah bulan diangkat amalan-amalan hamba kepada
Tuhan Pencipta Alam. Maka aku menyukai amalanku diangkat ketika aku
berpuasa”. (Riwayat Imam an-Nasai)
Namun demikian, bagi orang yang tidak
berpuasa langsung di awal Sya’ban (yakni dalam masa 15 hari awal
Sya’ban), maka ia dilarang berpuasa selepas nisfu Sya’ban (yakni
pertengahan Sya’ban). Ini sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.;
“Apabila berbaki separuh dari bulan Sya’ban maka janganlah kamu berpuasa”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.)
Menurut ulama’, hadis ini merujuk kepada
orang yang tidak berpuasa di bahagian awal Sya’ban sekalipun pada 15
Sya’ban (yakni hari nisfu Sya’ban) atau orang yang sengaja memilih
hari-hari di hujung Sya’ban untuk berpuasa, bukan kerana puasa itu
berkebetulan dengan kebiasaannya (seperti puasa Isnin dan Kamis atau
puasa selang sehari) atau bukan kerana puasa Qadha’, Nazar dan Kafarah.
Maka mereka dilarang berpuasa selepas bulan Sya’ban menjangkau
pertengahannya. Adapun jika mereka telah memulai puasa sebelumnya
sekurang-kurangnya berpuasa pada hari nisfu Sya’ban, maka harus untuk
mereka meneruskan puasa selepas nisfu Sya’ban.
Secara amnya –menurut ulama’- berpuasa
selepas nisfu Sya’ban (kecuali dengan syarat-syarat yang disebutkan
tadi) hukumnya adalah makruh. Namun hukum ini berubah kepada haram
apabila Sya’ban masih tinggal sehari atau dua hari lagi sebelum
Ramadhan, terutamanya yaumu asy-Syak (hari ragu iaitu hari 30 Sya’ban
apabila orang ramai bercakap-cakap bahawa anak bulan kelihatan, namun
tidak ada saksi yang mengukuhkannya). Menurut ulama’ mazhab Syafi’ie,
berpuasa pada hari Syak hukumnya haram sama ada dengan niat puasa
Ramadhan (kerana berhati-hati) atau puasa sunat. Namun dikecualikan bagi
orang yang mempunyai kebiasaan berpuasa dan hari Syak itu jatuh pada
hari ia berpuasa atau orang yang meneruskan puasa Sya’ban yang ia mulai
sebelum bulan Sya’ban menjangkau pertengahannya, maka haruslah bagi
mereka puasa pada hari-hari tersebut. Sabda Rasulullah s.a.w.;
“Janganlah engkau mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua
hari sebelumnya, kecuali seorang yang sudah biasa berpuasa, maka
bolehlah ia berpuasa”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu
Hurairah r.a.)
Berkata sahabat Nabi s.a.w. ‘Ammar bin Yasir r.a.;
“Sesiapa berpuasa pada hari syak, maka sesungguhnya ia mengingkari
Abal-Qasim (gelaran bagi Rasulullah s.a.w.)”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)
Begitu juga, dikecualikan jika puasa itu
dikerjakan kerana ada sesuatu sebab seperti puasa Nazar atau puasa
Qadha’, maka sahlah puasa dan tidak diharamkan puasa pada hari Syak itu.
(Rujukan mengenai puasa Sya’ban di atas; at-Tajul Jami’ lil-Ushul, Matn al-Ghayah wa at-Taqrieb (tahqiq dan ta’liq oleh Syeikh Majid al-Hamawi), Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 585, dan al-Fiqh al-Manhaji)
(Rujukan mengenai puasa Sya’ban di atas; at-Tajul Jami’ lil-Ushul, Matn al-Ghayah wa at-Taqrieb (tahqiq dan ta’liq oleh Syeikh Majid al-Hamawi), Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 585, dan al-Fiqh al-Manhaji)
Mengenai kelebihan malam nisfu Sya’ban (yakni malam ke 15 Sya’ban), terdapat hadis di mana Rasulullah bersabda;
“Pada malam nisfu Sya’ban, Allah melihat kepada sekelian makhlukNya,
lalu Ia mengampunkan ke semua mereka kecuali orang musyrik dan orang
yang bermusuh dengan saudara seagama”. (Riwayat Imam at-Thabrani dan
Ibnu Hibban dari Mu’az bin Jabal r.a.)
Kedua: Mengulangkaji kembali ilmu atau pengetahuan tentang puasa
Amalan yang paling utama di bulan
Ramadhan ialah puasa. Puasa difardhukan pada siang hari sepanjang bulan
Ramadhan. Untuk mencapai puasa yang sempurna kita hendaklah memiliki
ilmu tentang bagaimana melaksanakan puasa yang sebenarnya sebagaimana
yang dituntut oleh Syara’. Oleh itu, ada baiknya sebelum menjelang
Ramadhan kita mengulangkaji ilmu-ilmu tentang puasa merangkumi;
1. Rukun-rukun puasa serta sunat-sunatnya
2. Perkara-perkara yang membatalkan puasa
3. Perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa
4. Dan segala yang berkaitan dengan ibadah puasa
1. Rukun-rukun puasa serta sunat-sunatnya
2. Perkara-perkara yang membatalkan puasa
3. Perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa
4. Dan segala yang berkaitan dengan ibadah puasa
Selain itu, kita juga perlu mempelajari
puasa dari sudut batin atau rohaninya supaya puasa kita akan
mendatangkan lebih kesan kepada jiwa dan roh kita. Imam al-Ghazali
membahagikan darjat puasa manusia kepada tiga bahagian;
1. Puasa umum : iaitu berpuasa dengan
menahan perut dan faraj (kemaluan) dari menikmati keinginannya (makan,
minum dan sebagainya).
2. Puasa khusus : iaitu berpuasa yang
disertakan dengan menjaga pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki
dan seluruh anggota dari melakukan yang haram atau dosa.
3. Puasa khususul khusus (paling khusus)
: iaitu berpuasa dengan menyertakan semua yang tersebut di atas dan
menambah lagi dengan berpuasa hati dari segala cita-cita yang kotor dan
pemikiran-pemikiran keduniaan dan memesongkan perhatian dari selain
Allah sama sekali.
Jadi puasa yang sebenar bukanlah hanya
puasa zahir sahaja (iaitu dengan menegah diri dari makan, minum,
bersetubuh dan sebagainya) tetapi juga berpuasa batin iaitu dengan
menegah diri dari maksiat dan dosa. Seorang yang berpuasa di samping
menjaga diri dari makan, minum dan sebagainya, ia juga mesti menjaga
anggota-anggotanya dari dosa dan maksiat. Jika tidak ia tidak akan
mencapai kesempurnaan puasa sebagaimana yang dikehendaki Allah.
Ketiga: Membaca kembali kelebihan-kelebihan bulan Ramadhan
Ada di kalangan kita tidak merasa
apa-apa dengan kedatangan Ramadhan. Bagi mereka, Ramadhan sama seperti
bulan-bulan yang lain; tiba masanya ia datang dan tiba masanya ia
berlalu pergi. Punca sikap ini adalah kerana mereka tidak mengetahui
kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan atau kerana mereka melupainya.
Kerana itu amat perlulah hadis-hadis Nabi s.a.w. tentang fadhilat dan
kelebihan Ramadhan dibaca dan diulang-ulangkan kembali –kepada diri
sendiri dan kepada masyarakat- terutamanya di hujung-hujung Sya’ban ini.
Amat banyak hadis Nabi s.a.w. yang menceritakan kelebihan dan keistimewaan Ramadhan, antaranya;
a) Ramadhan adalah penghapus dosa
Sabda Rasulullah s.a.w. melalui hadis yang disampaikan oleh Abu Hurairah r.a.;
“Solat lima waktu, jumaat ke jumaat dan ramadhan ke ramadhan merupakan
penghapus dosa di antaranya selama mana dijauhi dosa besar”. (Riwayat
Imam Muslim)
b) Pada bulan Ramadhan dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dirantai syaitan-syaitan
Sabda Rasulullah s.a.w;
“Apabila tiba malam pertama Ramadhan akan diikat/dirantai segala syaitan
dan jin-jin yang sesat, ditutup segala pintu neraka hingga tidak ada
satu pintu pun yang dibuka, dibuka segala pintu syurga hingga tidak ada
satu pintupun yang ditutup. Seorang penyeru (yakni Malaikat) akan
berseru; “Wahai orang yang mengejar kebaikan! Tampillah kamu. Wahai
orang yang ingin melakukan kejahatan! Undurlah kamu (yakni berhentilah
dari melakukan kejahatan)”. Akan terdapat orang-orang yang bakal
dibebaskan Allah dari api neraka. Hal demikian itu berlaku pada setiap
malam (di sepanjang Ramadhan)”. (Riwayat Imam at-Tirmizi, Baihaqi dan
Ibnu Hibban dari Abu Hurairah r.a.)
c) Lima anugerah khusus Allah untuk umat Muhammad di bulan Ramadhan
Sabda Rasulullah s.a.w.;
Sabda Rasulullah s.a.w.;
“Telah diberikan kepada umatku di bulan Ramadhan lima perkara yang belum
pernah diberikan kepada seorang nabi pun sebelumku, iaitu;
Di permulaan Ramadhan Allah akan melihat kepada umatku. Sesiapa Allah melihat kepadanya nescaya ia tidak akan diazab selama-lamanya.
Bau mulut mereka (yang berpuasa) ketika petang hari lebih wangi di sisi Allah dari bau kasturi.
Malaikat akan memohon ampun untuk mereka di sepanjang hari dan malam.
Allah menyuruh syurga supaya bersiap-sedia dengan berkata kepadanya; “Bersiaplah kamu dan berhiaslah untuk hamba-hambaKu. Mereka hampir datang (memasukimu) untuk beristirehat dari kepayahan dunia menuju ke rumahKu dan kemuliaanKu”.
Pada akhir malam bulan Ramadhan, Allah mengampuni dosa semua mereka. Seorang lelaki dari sahabat bertanya; ‘Adakah malam itu lailatul Qadar?’. Jawab Rasulullah; ‘Tidak. Apakah engkau tidak melihat kepada pekerja-pekerja yang bekerja. Apabila mereka telah selesai dari pekerjaan mereka, akan disempurnakanlah upah-upah bagi mereka”.
(Riwayat Imam Ahmad, al-Bazzar dan al-Baihaqi dari Jabir r.a.)
d) Malam al-Qadar
Antara kelebihan besar bulan Ramadhan
ialah di dalamnya terdapat lalilatul-Qadar atau malam al-Qadar
(kemuliaan) yang dinyatakan keistimewaannya secara khusus oleh Allah
dalam surah al-Qadr;
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur’an) pada malam al-Qadar
(kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar
itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat
dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan.
Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar”. (al-Qadr: 1-5)
Dalam surah ini kita melihat kelebihan malam al-Qadar iaitu;
- Ia merupakan malam penurunan al-Quran. Menurut Ibnu ‘Abbas; penurunan yang dimaksudkan ialah penurunan al-Quran secara sekaligus dari Luh Mahfudz ke Baitil-‘Izzah yang terdapat di langit dunia/pertama. Setelah itu barulah diturunkan berperingkat-peringkat kepada Rasulullah s.a.w. selama 23 tahun.
- Beramal pada malam al-Qadar lebih baik dari beramal selama seribu bulan (iaitu 83 tahun 4 bulan) yang tidak terdapat di dalamnya malam al-Qadar.
- Pada malam itu, Jibril dan juga para malaikat turun ke langit dunia atau ke bumi dengan membawa kebaikan dan keberkatan yang ditetapkan Allah untuk tahun tersebut hingga datang malam al-Qadar berikutnya. Menurut Imam Ibnu Kathir; “Banyaknya malaikat yang turun pada malam al-Qadar adalah kerana banyaknya keberkatan malam tersebut. Para malaikat turun bersama turunnya berkat dan rahmat sebagaimana mereka turun tatkala mendengar bacaan al-Quran, mereka melingkungi halaqah-halaqah zikir dan mereka membentangkan sayap-sayap mereka kepada orang yang keluar mencari ilmu untuk membesarkannya”.
- Malam al-Qadar itu penuh dengan kesejahteraan hingga terbit fajar, yakni; pada malam tersebut Allah tidak mentakdirkan melainkan perkara-perkara yang baik, selamat dan sejahtera. Ada ulama’ berpendapat; pada malam al-Qadar itu para malaikat yang turun akan mengucap salam kepada sekelian orang beriman yang mereka temui sama ada lelaki atau perempuan.
Walaupun surah di atas tidak menjelaskan
bilakah akan munculnya malam al-Qadar?, namun jawapan bagi persoalan
ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w. dalam sabdanya;
“Carilah lailatul-Qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan
Ramadhan”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Saidatina Aisyah r.a.)
Begitulah antara kelebihan dan
keistimewaan bulan Ramadhan. Orang yang tahu menilainya sudah pasti
tidak akan mensia-siakan peluang untuk merebut kelebihan-kelebihan
tersebut. Bahkan Rasulullah sendiri pernah menegaskan;
“Sekiranya manusia benar-benar menyedari kebaikan-kebaikan yang ada di
bulan Ramadhan ini, pastinya mereka akan mengharapkan supaya sepanjang
tahun adalah Ramadhan”. (Riwayat Ibnu Abi Dunya)
Keempat: mengetahui amalan-amalan utama dan besar pahalanya di bulan Ramadhan
Supaya kita dapat memasuki bulan
Ramadhan dengan penuh bersedia untuk memperbanyakkan amalan di bulan
keberkatan yang banyak kelebihannya itu, kita hendaklah mengetahui
apakah amal-amal ibadah atau amal-amal kebaikan yang digalakkan oleh
Allah dalam bulan Ramadhan di mana pahalanya amatlah besar dan
berlipat-ganda. Antara amalan-amalan utama di bulan Ramadhan dapat kita
senaraikan seperti berikut;
1) Berpuasa dengan sesungguh hati
Sabda Rasulullah s.a.w.;
“Sesiapa mengerjakan puasa Ramadhan kerana imannya (kepada Allah) dan
mengharapkan pahala dariNya, akan diampunkan untuknya segala dosanya
yang lalu”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w.
bersabda yang bermaksud; “Setiap amalan anak Adam akan digandakan di
mana satu amalan kebaikan akan digandakan sebanyak sepuluh hingga 700
kali ganda, kecuali puasa. Allah berkata; ‘Puasa itu untukKu, maka Aku
sendiri yang akan menentukan pahalanya. Ia (yakni orang yang berpuasa
itu) meninggalkan syahwatnya dan makanannya dengan sebabKu’. Bagi orang
yang berpuasa dua kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka dan
kegembiraan ketika bertemu Tuhannya nanti. Sesungguhnya bau mulut orang
berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi”. (Riwayat Imam
Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
2) Menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan solat sunat (terawikh, tahajjud dan sebagainya)
Sabda Rasulullah s.a.w.;
“Sesiapa bangun (untuk beribadah) pada malam-malam Ramadhan kerana
imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan pahala dariNya, akan
diampunkan dosanya yang lalu”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu
Hurairah r.a.)
Menurut Imam an-Nawawi, yang dimaksudkan
dengan Qiyam Ramadhan dalam hadis di atas ialah solat Terawikh. Namun
ada ulama’ yang memberi makna yang umum iaitu segala solat sunat yang
dilakukan untuk menghidupkan malam iaitulah qiyamullail. Jadi mengikut
pandangan kedua ini termasuk di dalam Qiyam-Ramadhan itu; solat
Terawikh, solat Tahajjud, solat Taubah dan sebagainya. (Rujuk; Soheh
Muslim bisyarhi an-Nawawi dan Raudhatul-Muttaqien syarh
Riyadhus-Salihin)
3) Menggiatkan ibadah di sepuluh malam terakhir ramadhan
Terdapat hadis di mana Saidatina ‘Aisyah menceritakan;
“Rasulullah s.a.w. apabila masuk sepuluh malam terakhir dari bulan
Ramadhan, baginda bangun menghidupkan malamnya (dengan ibadah lebih dari
biasa), membangunkan ahli-ahli keluarga baginda (untuk sama mengerjakan
ibadah seperti baginda), baginda bersungguh-bersungguh (mengerjakan
ibadah) dan baginda mengikat kainnya (*kiasan kepada kesungguhan untuk
beribadah atau kiasan kepada meninggalkan isteri untuk menumpukan kepada
ibadah)”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Dalam satu riwayat yang lain, Saidatina
‘Aisyah menceritakan; “Rasulullah menggiatkan ibadahnya pada malam-malam
sepuluh terakhir Ramadhan melebihi ibadahnya pada malam-malam yang
lain”. (Riwayat oleh Imam Muslim)
4) Beriktikaf
Di antara Ibadah yang dilakukan oleh
Rasulullah s.a.w. di bulan Ramadhan terutamanya pada sepuluh hari
terakhirnya ialah iktikaf. Saidatina ‘Aisyah r.a. menceritakan;
“Rasulullah s.a.w. beriktikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadhan hingga
ia meninggal dunia. Kemudian isteri-isteri baginda meneruskan iktikaf
selepas kewafatan baginda”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Iktikaf bermaksud menetap di dalam masjid dengan niat ibadah. Syaratnya ada tiga iaitu;
Pertama: Berniat iktikaf (yakni berniat untuk tinggal/berdiam di dalam masjid dalam tempoh tertentu dengan tujuan ibadah bagi melaksanakan sunnah Nabi s.a.w.)
Kedua: Menetap/tinggal di dalam masjid dalam tempoh tertentu yang dapat dianggap pada uruf bahawa seseorang itu beriktikaf atau duduk diam di dalam masjid.
Ketiga: Seorang yang beriktikaf pula disyaratkan hendaklah seorang muslim, berakal sihat dan suci dari haid, nifas dan janabah.
(Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam asy-Syafi’ie, jil. 2)
Beriktikaf hukumnya adalah sunat pada
setiap waktu dan lebih disunatkan lagi pada sepuluh malam terakhir dari
bulan Ramadhan kerana di antara malam-malam tersebut terdapatnya
lailatul-Qadar atau malam al-Qadar. Menurut ulama’, beriktikaf pada
sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan hukumnya adalah sunat muakkad
(yakni sunat yang amat-amat disuruh).
(Rujuk: Raudhatul-Muttaqien syarh Riyadhus-Salihin, jil. 3, kitab al-I’tikaf)
(Rujuk: Raudhatul-Muttaqien syarh Riyadhus-Salihin, jil. 3, kitab al-I’tikaf)
5) Mencari malam al-Qadar (lailatul Qadar)
Firman Allah menjelaskan kelebihan malam al-Qadar (lailatul-Qadar);
“Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan”. (al-Qadar: 3)
Menurut kebanyakan ahli Tafsir, ayat ini
memberi pengertian kepada kita bahawa beramal pada malam al-Qadar atau
lailatul-Qadar lebih baik dari beramal selama 1000 bulan yang tidak ada
lailatul-Qadar (malam al-Qadar) di dalamnya.
(Rujuk: al-Asas fi at-tafsir, Said Hawa, surah al-Qadr)
(Rujuk: al-Asas fi at-tafsir, Said Hawa, surah al-Qadr)
Sabda Rasulullah s.a.w.;
“Sesiapa bangun (untuk mengerjakan ibadah) pada malam al-Qadar kerana
imannya kepada Allah dan mengharapkan ganjaran dariNya, akan diampunkan
dosanya yang lalu”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Menurut penjelasan beberapa hadis
Rasulullah s.a.w., lailatul-Qadar ini terdapat di sepuluh malam terakhir
Ramadhan iaitu pada malam-malam ganjil darinya. Kerana itulah,
Rasulullah menggiatkan ibadahnya pada malam-malam tersebut termasuklah
beriktikaf di masjid sebagaimana yang telah kita jelas tadi. Sabda
baginda;
“Carilah lailatul-Qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan
Ramadhan”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Saidatina Aisyah r.a.)
“Carilah lailatul-Qadar pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan”. (Riwayat Imam Bukhari)
Menurut ulama’, sekurang-kurangnya qiyam
lailatil-Qadr (yakni bangun mengerjakan ibadah pada malam al-Qadar
untuk mendapatkan kelebihannya) ialah dengan seseorang itu menunaikan
solat Maghrib, Isyak dan Subuh berjamaah. Ini kerana Rasulullah s.a.w.
bersabda dalam satu hadisnya;
“Sesiapa menunaikan solat Isyak berjamaah, maka ia seolah-olah bangun
berqiyamullail separuh malam. Dan sesiapa menunaikan solat subuh
berjamaah, maka ia seolah-olah bangun berqiyamullail keseluruhan malam”.
(Riwayat Imam Muslim dari Ustman r.a.)
Namun demikian, yang paling sempurna
ialah dengan memenuhi keseluruhan malam atau sebahagian besarnya dengan
solat, bacaan al-Quran, zikir atau seumpamanya dari jenis-jenis
ketaatan.
(Rujuk: at-Tajul Jami’ Lil-Ushul, Syeikh Manshur ‘Ali Nashif, jil. 2, hlm. 80)
(Rujuk: at-Tajul Jami’ Lil-Ushul, Syeikh Manshur ‘Ali Nashif, jil. 2, hlm. 80)
6) Membanyakkan bacaan al-Quran termasuklah bertadarus
Bulan Ramadhan adalah bulan penurunan al-Quran sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dalam firmanNya;
“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Qur’an
sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai
petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil)”.
(al-Baqarah: 185)
Oleh itu, amat digalakkan kita
menghidupkan Ramadhan ini dengan memperbanyakkan membaca al-Quran.
Membaca al-Quran termasuk antara amalan-amalan terbaik untuk kita
mendekatkan diri kepada Allah terutamanya di bulan Ramadhan ini di mana
pahalanya lebih berlipat-ganda lagi. Sabda Rasulullah s.a.w.;
“Tidak (ada cara terbaik) hamba-hamba mendekatkan (diri mereka) dengan
Allah seumpama apa yang keluar dariNya (yakni yang datang dari Allah)
iaitulah al-Quran”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, at-Thabrani dari
Abu Umamah r.a.)
Selain membaca secara bersendirian,
digalakkan juga kita membaca secara berkumpulan atau bertadarus. Dalam
hadis Bukhari, Ibnu ‘Abbas menceritakan; “Pada setiap malam di bulan
Ramadhan malaikat Jibri datang kepada Rasulullah s.a.w. untuk bertadarus
al-Quran dengan baginda”. Mengenai fadhilat bertadarus, ia dijelaskan
oleh Rasulullah s.a..w. dalam satu hadis baginda;
“Apabila berhimpun sekumpulan manusia di suatu rumah Allah (masjid)
kerana membaca kitab Allah (al-Quran) dan saling mempelarinya antara
sesama mereka (yakni bertadarus), maka turunlah ke atas mereka
ketenteraman, mereka dilimpahi oleh rahmat, dikelilingi oleh para
malaikat dan Allah menyebut nama mereka di hadapan malaikat-malaikat
yang berada di sisiNya”. (Riwayat Abu Daud)
7) Membanyakkan sedekah dan melakukan kebaikan untuk orang lain
Anas r.a. menceritakan; Seorang lelaki
bertanya Rasulullah s.a.w.; ‘Ya Rasulullah! Apakah sedekah yang paling
afdhal?’. Jawab Rasulullah s.a.w.;
“Sedekah pada bulan Ramadhan”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)
Imam Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Abbas yang menceritakan;
“Rasulullah s.a.w. merupakan manusia yang paling pemurah. Baginda
menjadi lebih pemurah lagi pada bulan Ramadhan tatkala Jibril datang
kepada baginda. Jibril datang kepada baginda pada setiap malam di bulan
Ramadhan untuk bertadarus al-Quran dengan baginda. Sesungguhnya
Rasulullah lebih pemurah dari angin lepas (*yakni angin yang bertiup
tanpa sekatan/halangan)”.
Berkata Imam al-Mawardi; “Disunatkan
kepada seorang lelaki melapangkan ahli-ahli rumahnya (*yakni melebihkan
belanja kepada mereka dan sebagainya-pent.) pada bulan Ramadhan dan
melakukan kebaikan kepada kaum kerabatnya dan jiran-jirannya terutama
pada sepuluh hari terakhir darinya”. (al-Majmu’, Imam Nawawi, jil. 6,
halaman 398)
Menunaikan umrah sunat bagi yang berkemampuan
Sabda Rasulullah s.a.w.;
“Sekali umrah pada bulan Ramadhan menyamai pahala sekali haji”. (Riwayat
Imam Ahmad dan Ibnu Majah dari Wahab bin Khanbasyi r.a.)
Dalam riwayat lain,
“Sekali umrah pada bulan Ramadhan menyamai pahala sekali haji atau
sekali haji bersamaku”. (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Abbas
r.a.)
9) Banyak berzikir, beristighfar dan memohon diberi syurga dan dijauhi neraka
Sabda Rasulullah s.a.w;
“Orang yang berzikir kepada Allah di bulan Ramadhan, akan dikurniakan
(Allah) keampunan untuknya. Dan orang yang memohon dari Allah di bulan
Ramadhan, ia tidak akan kecewa (yakni ia pasti akan mendapat apa yang ia
pohon)”. (Riwayat Imam at-Thabrani dan al-Baihaqi dari Umar r.a.)
10) Banyak berdoa (terutamanya ketika sedang berpuasa, ketika berbuka puasa dan doa lailatul-Qadar)
Sabda Rasulullah;
“Tiga manusia yang tidak akan ditolak doa mereka (oleh Allah);
Orang yang berpuasa hinggalah ia berbuka
Imam (pemimpin) yang adil
Doa orang yang dizalimi”.
(Riwayat Imam Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.)
Orang yang berpuasa hinggalah ia berbuka
Imam (pemimpin) yang adil
Doa orang yang dizalimi”.
(Riwayat Imam Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.)
“Sesungguhnya bagi orang berpuasa -ketika berbukanya- doa yang tidak
akan ditolak”. (Riwayat Ibnu Majah dari Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As)
Doa yang makthur dari Rasulullah s.a.w.
untuk dibaca ketika berbuka puasa akan kita nyatakan di depan nanti.
Adapun doa lailatul-Qadar, maka diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a.
yang menceritakan; “Aku bertanya Rasulullah s.a.w.; ‘Ya Rasulullah, jika
aku menemui lailatul-Qadar (malam al-Qadar) apakah doa paling baik
untuk aku ucapkan?’. Jawab Rasulullah; ‘Kamu bacalah doa;
“Ya Allah, ya Tuhanku! Sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang maha
pemaaf. Engkau suka memaafkan (dosa hamba-hambaMu). Maka maafkanlah daku
(yakni ampunkanlah dosa-dosaku)”. (Riwayat Imam at-Turmuzi)
Doa lailatul-Qadar ini ada baiknya kita
membacanya pada setiap malam di bulan Ramadhan kerana dengan membacanya
pada setiap malam, pastinya salah satu doa kita akan bertemu malam
al-Qadar sekalipun tanpa kita menyedarinya. Jika kita membacanya secara
berselang, ada kemungkinan malam yang kita tidak membaca doa itu, malam
tersebut merupakan malam al-Qadar. Maka akhirnya kita terluput dari
mendapat kelebihan yang besar ini, walhal ia amat mudah diperolehi.
Menurut ulama’, kita digalakkan supaya
berdoa pada setiap ketika dan lebih digalakkan lagi berdoa pada bulan
Ramadhan terutamanya pada sepuluh hari terakhir darinya (terutama yang
ganjil). (rujuk; al-Asas fi at-Tafsir, Syeikh Said Hawa, surah
al-Qadar).
11) Bersahur
Ramai di kalangan kita yang suka
mengabaikan amalan bersahur di bulan Ramadhan. Mungkin kita menganggap
bersahur itu semata-mata untuk mengelakkan kita dari terlalu letih pada
siangnya. Namun bersahur sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri. Ini
sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah dalam sabdanya;
“Bersahurlah kerana dalam sahur itu ada barakah”.
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Anas r.a.)
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Anas r.a.)
Pahala bersahur diperolehi dengan semata-mata makan atau minum walaupun seteguk air. Sabda Rasulullah;
“Bersahurlah walaupun dengan seteguk air”.
(Riwayat Ibnu Hibban dan Abu Ya’la dari Anas r.a.)
(Riwayat Ibnu Hibban dan Abu Ya’la dari Anas r.a.)
Waktu bersahur bermula apabila sudah
masuk tengah malam. Walau bagaimanapun disunatkan melambatkan sahur
yakni sebelum terbitnya fajar. Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w.;
“Senantiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka dan melambatkan sahur”.
(Riwayat Imam Ahmad dari Abu Zarr r.a.)
(Riwayat Imam Ahmad dari Abu Zarr r.a.)
12) Segera berbuka sebaik saja masuk waktu berbuka
Apabila sampai masa untuk berbuka, kita disunatkan supaya segera berbuka puasa. Sabda Rasulullah s.a.w.;
“Senantiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka dan melambatkan sahur”.
(Riwayat Imam Ahmad dari Abu Zarr r.a.)
(Riwayat Imam Ahmad dari Abu Zarr r.a.)
Menjadi sunnah Rasulullah s.a.w. berbuka
terlebih dahulu sebelum menunaikan solat. Melambat-lambat berbuka puasa
hukumnya adalah makruh kecuali jika ada sebab yang tidak dapat
dielakkan.
Selain itu, juga disunatkan perkara-perkara berikut ketika berbuka;
a) Berbuka dengan buah kurma atau air
Disunatkan berbuka puasa dengan buah
kurma basah. Jika tidak ada, dengan buah kurma kering. Jika tidak ada
buah kurma, disunatkan berbuka dengan air. Sabda Rasulullah s.a.w.;
“Sesiapa memperolehi buah tamar/kurma maka berbukalah dengannya. Sesiapa
yang tidak memperolehinya, maka berbukalah dengan air kerana ia adalah
penyuci”.
(Riwayat Imam Hakim, Tirmizi dan an-Nasai dari Anas r.a.)
(Riwayat Imam Hakim, Tirmizi dan an-Nasai dari Anas r.a.)
Anas r.a. menceritakan bahawa;
“Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa kurma basah/segar,
kalau tidak ada kurma basah maka dengan kurma kering dan kalau tidak ada
buah kurma, baginda akan berbuka dengan beberapa teguk air”. (Riwayat
Ahmad, Tirmizi dan Abu Daud)
b) Membaca doa ketika berbuka atau sesudahnya
Di antara doa yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w. ketika berbuka ialah;
“Ya Allah! BagiMu aku berpuasa dan dengan rezekiMu aku berbuka”. (Riwayat Abu Daud dari Mu’az bin Zuhrah)
“Ya Allah! Hilanglah dahaga, basahlah seluruh urat tubuh dan tercapailah
pahala insya Allah”. (Riwayat Imam an-Nasai dan Abu Daud dari Abdullah
bin Umar r.a.)
c) Tidak berlebihan ketika berbuka puasa
Di antara adab yang digalakkan oleh
ulama’ ketika berbuka puasa ialah tidak berlebihan ketika menikmati
makanan. Makanlah dengan kadar sederhana sahaja, tidak terlalu banyak
supaya tidak keletihan untuk menunaikan ibadah malam nanti (solat
terawikh, tadarus al-Quran dan sebagainya). Kata ulama’; “Sesiapa yang
kenyang di awal malam nescaya ia akan ketinggalan pada baki malamnya”.
13) Memberi makanan untuk orang berbuka puasa
Di bulan Ramadhan, disunatkan kita
memberi makan atau minum kepada orang-orang yang berpuasa sekalipun
dengan sebiji kurma atau seteguk air. Namun yang lebih baik ialah
memberi makan sampai mengenyangkan mereka. Fadhilatnya ialah sebagaimana
sabda Rasulullah s.a.w.;
“Sesiapa yang memberi makanan berbuka puasa kepada orang yang berpuasa,
maka pahalanya seumpama orang yang berpuasa itu tanpa berkurang
sedikitpun”. (Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan Ibnu Majah dari Zaid bin
Khalid r.a.)
Dan disunatkan juga kita makan bersama
dengan orang yang berpuasa dan cara seperti ini lebih baik bagi
menunjukkan rasa rendah diri.
14) Menjaga segala anggota, tingkah-laku dan tutur-kata sepanjang bulan Ramadhan
Sabda Rasulullah s.a.w.;
“Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan
pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan
makan dan minumnya (yakni Allah tidak berhajat kepada puasanya)”.
(Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.)
15) Meningkatkan ketakwaan dan kesabaran
Tujuan puasa sebagaimana yang dijelaskan
Allah ialah untuk melahirkan ketakwaan dalam jiwa. Ini sebagaimana yang
difirmankan Allah di dalam al-Quran;
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana
diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”.
(al-Baqarah: 183)
Oleh itu, supaya tujuan puasa itu
benar-benar dapat dihayati oleh kita, maka di sepanjang bulan Ramadhan
ketika kita melaksanakan ibadah puasa, hendaklah ada keazaman yang kuat
dalam jiwa kita untuk menjadi manusia yang bertakwa seperti yang
dihendaki Allah. Kita hendaklah mengelak dari berpuasa semata-mata
kerana kebiasaan atau rutin tahunan yang menyebabkan kita tidak berusaha
mengambil apa-apa pengajaran dari puasa kita itu.
Mengenai kedudukan sabar pula, maka Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis yang disampaikan oleh Ibnu Khuzaimah tadi;
“Ramadhan itu adalah bulan sabar, sedang sabar itu pahalanya adalah syurga..”. (Riwayat Abu Khuzaimah dari Salman r.a.)
Begitu juga dalam satu hadis yang lain, Rasulullah bersabda;
“Puasa adalah separuh kesabaran”. (Riwayat Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.)
http://www.faizalfredley.com
http://blog2-politik.blogspot.com/2011/11/tuntelanai_07.html
http://blog2-politik.blogspot.com/2011/11/tuntelanai_07.html
Comments
Post a Comment