Puasa tapi TAK SOLAT

 Share1
Puasa tapi tak SOLAT
Masa tengah merehatkan otak tadi tiba-tiba terfikir tentang satu persoalan yang sering timbul setiap kali bulan puasa. Persoalan tentang “puasa tapi tak solat” ni sebenarnya dah lama ditanya oleh seorang rakan semasa bersekolah dulu. Time tu memang rasa malas sangat-sangat nak solat. Tapi puasa tetap puasa. Duit raya punya pasal. Haha. Bila ditanya soalan macam tu, terasa macam rakan tu perli-perli pulak. Tau la aku malas solat dulu (masa zaman sekolah). Pukul kang!

Hasil carian keyword “puasa tapi tak solat” menghasilkan penemuan jawapan-jawapan bagi persoalan tersebut. Ada banyak jugak jawapan yang tersenarai kat laman carian Google. Aku pilih mana yang aku rasa tepat atau hampir tepat atau yang aku rasa senang untuk difaham. Tapi aku bukannya pandai sangat bab-bab ni. Kalau ada salah, tolong tegur ek. Benda-benda kat internet zaman sekarang ni ada jugak info yang kita tak boleh percaya. Ada je orang yang nak salahgunakan fungsi internet. Hati-hati la ye.


Puasa tapi tak solat

SOALAN:
Apakah diterima puasa orang yang sengaja tinggalkan solat atau tidak tunaikan solat? Adakah perbuatannya itu akan merosakkan puasanya dan tidak diberi ganjaran pahala?

JAWAPAN:
Sebenarnya terdapat perbezaan di antara ‘batalnya ibadah’ dan ‘ibadah tidak diterima’. Kadang-kadang ibadah tersebut sah dan tidak perlu diulang semula hanya kerana ianya telah mencukupi rukun-rukun dan syarat-syaratnya. Namun dalam masa yang sama tidak diterima di sisi Allah SWT. Sebagai contoh, seseorang yang mendirikan solat dengan tujuan menunjuk-nunjuk (riak) ataupun dengan memakai pakaian curi.

Manakala orang yang berpuasa, sekiranya dia menahan diri daripada membuat perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum dan syahwatnya, maka puasanya sah dan tidak batal walaupun dia telah mengerjakan perbuatan-perbuatan maksiat seperti menipu dan meninggalkan solat. Tetapi, walaupun sah ibadat puasanya, adakah ia diterima dan diganjari pahala daripada Allah SWT?
perkara dilarang buat di bulan puasa
Sesungguhnya terdapat banyak hadith yang mengesahkan bahawa puasa sebegini tidak akan diterima. Contohnya, hadith yang berbunyi:
“Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan masih beramal dengannya, maka Allah tidak memerlukan (dia) untuk meninggalkan makanan dan minumannya”
Maksudnya, tiada makna dan faedah lagi puasanya jika individu terbabit masih mengeluarkan kata-kata nista ketika sedang berpuasa, apatah lagi sekiranya dia meninggalkan solat.
Hal yang sama berlaku kepada orang yang berpuasa tetapi tidak menunaikan solat. Puasanya sah dan tidak wajib mengulang puasa tadi walaupun dia telah meninggalkan solat. Sedangkan tentang masalah diterima atau tidak, hadith di atas telah memberikan penjelasan bahawa puasa tersebut tidak diterima.

Katakanlah, sekiranya puasa tersebut diterima dan diganjari pahala, namun perlu diingat bahawa dosa dan hukuman terhadap orang yang meninggalkan solat adalah suatu dosa yang sangat besar dan berat seksaannya. Ianya akan diletakkan di neraca timbangan pada Hari Kiamat, jika tidak diampunkan oleh Allah. Firman Allah SWT:
“Maka sesiapa yang berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa yang berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)
Dalam ayat ini dan yang berikutnya, mengandungi galakan supaya kita jangan sesekali meninggalkan amalan-amalan baik walaupun sedikit, dan juga mengingatkan kita supaya menjauhi sebarang maksiat walaupun kecil.
Allah SWT berfirman:
“Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri. Dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hambaNya”

Kredit: Mohd Syauqi Arshad

Artikelasal-http://anarm.net/blog/puasa-tapi-tak-solat.html#ixzz21IuAQcKl

http://anarm.net/blog/puasa-tapi-tak-solat.html


Soalan: Ustaz, apakah diterima puasa orang yg sengaja meninggalkan solat? kerana saya melihat ramai orang yangg berpusa tapi tidak mengerjakan solat.

Jawapan:

Orang yang meninggalkan solat jika ia meninggalkannya kerana mengingkari atau menolak kewajipan tersebut, ia murtad dari agama dengan sepakat (ijmak) para ulamak. Orang yang murtad tidak sah ibadahnya termasuk puasa.


Adapun jika ia meninggalkan solat kerana malas atau segan (yakni ia masih mengakui kewajipan solat, cuma ia malas melakukannya), para ulamak berbeza pandangan tentang hukumnya;
  1. Imam Ahmad berpandangan; ia adalah kafir.
  2. Jumhur ulamak berpandangan; ia fasiq, yakni tidaklah menjadi kafir, akan tetapi telah melakukan dosa amat besar.
Berpegang kepada pandangan Imam Ahmad tersebut, maka sebahagian ulamak hari ini (terutamannya dari Arab Saudi seperti Syeikh Bin Baz, Ibnu Usaimin dan sebagainya) berpendapat; orang yang tidak menunaikan solat fardhu, tidak sah puasanya, malah juga ibadah-ibadahnya yang lain (zakat, haji, sedekah dan amal-amal soleh selainnya) sehinggalah ia bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat. 

Berkata Syeikh Ibnu Uthaimin; “Jika kamu berpuasa tanpa mengerakan solat, kami ingin menegaskan kepada kamu; sesungguhnya puasa kamu adalah batal/rosak, tidak sah, tidak memberi manfaat kepada kamu di sisi Allah dan tidak mendekatkan kamu kepadaNya…” (Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198).

Adapun berdasarkan pandangan jumhur ulamak (yang tidak menghukum kafir orang yang meninggalkan solat itu); 

puasa orang itu sah jika ia memenuhi rukun-rukun puasa yang ditetapkan dan tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Maksud sah ialah; 

dia tidak dituntut lagi mengqadha/mengganti puasanya. Namun perlu dipersoalkan; 

adakah puasanya itu akan diterima oleh Allah sedangkan ia telah mengabaikan ibadah yang cukup besar dalam Islam iaitu solat? Tidak semua ibadah yang sah diterima oleh Allah. Contohnya, seseorang yang mengerjakan solat dengan riyak; solatnya sah (dari sudut Fiqh) apabila cukup syarat-syarat dan rukun-rukunnya, namun solatnya ditolak oleh Allah kerana riyak tersebut.

Kerana itu, ulamak-ulamak al-Azhar (seperti Syeikh ‘Atiyah Saqar (bekas ketua Lujnah Fatwa al-Azhar), Dr. Ahmad asy-Syirbasi (bekas pensyarah di Universti al-Azhar), Dr. Muhammad Bakr Ismail, Dr. Muhammad ‘Ali Jum’ah dan ramai lagi), walaupun pendapat mereka tidak sekeras ulamak-ulamak dari Arab Saudi tadi, tetapi mereka menegaskan; “Orang yang tidak mengerjakan solat sekalipun puasanya sah tetapi tidak diterima Allah (yakni tidak diberi pahala)”. 

Syeikh ‘Atiyah Saqar menulis dalam fatwanya; “Sesiapa berpuasa tanpa mengerjakan solat, puasanya adalah sah dan tidak wajib ia mengulanginya. Akan tetapi dari segi penerimaan (Allah) terhadapnya, maka hadis Nabi s.a.w. menunjukkan ia tidak diterima…”. Hadis yang dimaksudkan oleh Syeikh ‘Atiyah itu ialah sabda Nabi s.a.w. (bermaksud);

“Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (yakni Allah tidak berhajat kepada puasanya)” (Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.).

Jika dengan kerana akhlak mazmumah (dusta dan sebagainya) telah pun menyebabkan puasa ditolak oleh Allah, lebih-lebih lagilah dengan meninggalkan solat fardhu yang dosanya amatlah besar, berkali-kali ganda lebih besar dari dosa kerana akhlak mazmumah itu.

Wallahu a’lam.

Rujukan;
  1. al-Fatawa; Min Ahsan al-Kalam, Syeikh Aiyah Saqar, 2/32.
  2. Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198.
  3. Al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, 1/149.
  4. Yas-alunaka Fi ad-Din Wa al-Hayah, Dr. Ahmad as-Syirbasi, jilid 4.
USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
 http://www.islamituindah.my

Comments

Popular posts from this blog