Ramadan: Segalanya Berbalik Kepada Diri
Ramadan tidak datang lagi.
Ini bukan Ramadan itu.
Ini Ramadan INI.
Ramadan tahun ini.
Setiap Ramadan datang bukan mengulang Ramadan yang pernah datang.
Setiap Ramadan akan berdiri sendiri bersama DIRI di hari berdiri
Mahsyar, untuk dihisab setiap Ramadan, apakah terisi dengan isi yang
diperintahkan kita mendirikannya, atau ia telah berlalu kosong tidak
bermakna?
Ya Allah…
Beberapa kenalanku menjadi saksi, bahawa mereka tidak pernah tahu
Ramadan lalu adalah Ramadan terakhir bertandang hadir. Sahabatku pergi
hanya beberapa detik sebelum Ramadan, mengesahkan hakikat bahawa kita
sentiasa mati di antara dua Ramadan. Bagaimana mungkin kita begitu mudah
mensesiakan kedatangan sebuah Ramadan, kerana yakin masih punya masa.
Masih ada usia.
Panjang angan-angan, dekatlah destinasi kebinasaan.
Selamat datang Ramadan 1433.
Ramadan yang tidak pernah ditempuh hatta oleh Baginda Junjungan Mulia Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Ramadan yang kali ini ada darah tumpah di bumi Syria. Ada luka derita
dan hilang nyawa di halaman Rohingya. Ada banyak air mata nestapa, yang
berbeza sekali dengan Ramadan Badar, Ramadan Fath Makkah. Jauh benar
dengan Ramadan Tariq bin Ziad mendarat di Andalus, Ramadan Salahuddin
al-Ayyubi membebaskan al-Masjid al-Aqsa, Ramadan Sultan Saifuddin
al-Qatz menumpaskan Moghul di medan ‘Ain Jalut.
Allah Maha Kekal.
Rasul sudah memberi bekal.
Ramadan datang dengan janji-janji yang sama. Kemenangan, kekuatan, kegemilangan dan kejayaan.
Apa yang berbaki hanya DIRI.
Setelah syaitan dirantai, siapa lagi yang mahu ditunding jari, bahawa
di sebalik segala peluang Ramadan, segala-galanya berbalik kepada DIRI.
Tanggungjawab DIRI ke atas DIRI.
Bimbinglah diri ini ya Allah.
Untuk merdeka bukan daripada penjajahan luar.
Tetapi merdeka daripada penjajahan dalam.
Oleh nafsu.Oleh DIRI.
Ameen…
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
http://saifulislam.com


Comments
Post a Comment