Ramadhan
Selamat Menyambut Ramadhan buat seluruh umat Islam di
dunia.
Beberapa perkara yang boleh di kongsi bersama bagi bulan yang mulia ini.
Beberapa perkara yang boleh di kongsi bersama bagi bulan yang mulia ini.
Ulama terbilang dunia
ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah rasa kurang setuju
beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang
membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup
pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari
al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja.
Beliau berpendapat
perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya para ulama dari mazhab
Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang
membatalkan puasa adalah adalah tindakan yang kurang sesuai. Malah ia
juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga terdapat yang menghabiskan masa
begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan meletakkan kaedah bagi sesuatu
perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang tidak memerlukan perhatian begitu
mendalam.
Masalah ini dilihat
semakin bertambah, apabila ijtihad dalam bab ini semakin bercambah hingga
menyebabkan kesukaran orang kebanyakkan (awam) menjalankan ibadah ini dengan
tenang kerana perincian perbuatan yang membatalkan puasa amat cabang (furu') dan
terlampau banyak. Ia menyebabkan orang awam yang terhad kemampuan, masa dan
rujukan sering berada dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak batal puasa
ini. Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan
perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadhan. (Taysir al-Fiqh - Fiqh
As-Siyam, hlm 86-87)
Sebagai contoh, antara isu terbesar
yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah :-
1) Raih Taqwa : Firman
Allah yang mengarahkan kita berusaha meraih taqwa di dalam bulan ini.
Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita
mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih.
2) Bulan Ingatan Fungsi
Al-Quran : Firman Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan
Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di
antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam
kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai
golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat.
3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala
Ramadhan Yang 'Confirmed' : Sabda-sabda Nabi berkenaan tindakan yang boleh
menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan
perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia
adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun
ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.
4) Kaedah Penambah Pahala &
Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang 'Confirmed': Sabda-sabda Nabi yang
mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas
kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus
melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada
kemaksiatan.
Adapun isu perkara
yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati
sahaja. Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu
syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan
isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah. Inilah yang
dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata nista,
bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia
disebut di dalam ayat al-Baqarah : 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang
banyak.
Merokok, keluar darah
haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama
membatalkan puasa.
Adapun yang tidak
disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama
kita apabila berada di dalam Ramdhan. Sebagai panduan, berikut disertakan
beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang
ramai :-
1) Darah keluar
dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah,
tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.
Hukumnya :
Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui
saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam
Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan
pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn
Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah di pinda (nasakh)
dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan
baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini
berlaku tatkala Haji Wida' dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal
kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan
majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)
2) Memasukkan
sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut
dan yang seumpamanya di bahagian kepala.
Ia seperti memasukkan
alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang
berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan
dubur.
Hukumnya :
Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan
tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu
berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya
ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi
jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para
ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga
dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga
dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak
membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat
fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya
kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan
pendapat) itu lebih baik.
3) Pil elak haid
untuk puasa penuh :
Hukumnya :
Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan
memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa. Namun yang terbaik adalah tidak
menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang telah ditentukan oleh
Allah swt. selain itu wanita sedang haid juga masih boleh melaksanakan pelbagai
jenis ibadah.
4) Penyembur gas
untuk pesakit lelah :
Hukumnya :
Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di
Putrajaya ada membincangkan isu ini. Tidak dinafikan ia satu isu yang amat kerap
dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan apabila
sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.
Menurut kajian terperinci bantuan para
doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan
jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk
ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya
jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia
membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang
bersidang Juali 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik
keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan
datang.
Bagaimanapun para
ulama masih perlu bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi
memberikan fatwa tepat kerana Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut
hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk
ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan
puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)
Namun jelas para
ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana menyedari
walaupun serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh memasuki ruang perut, namun
ia adalah satu keperluan buat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara
saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar.
5) Suntikan
ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:
Hukumnya :
Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika
ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, pain killer dan apa jua tujuan asas
perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah
, hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk
kekuatan badan demi perubatan.
Berkenaan suntikan
makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para
ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak
membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga
terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercangah dengan hikmah puasa. Ia
adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd
Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948
(Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53
dll ).
Bagaimanapun,
suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara
sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.
6)
Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.
Hukumnya :
Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie
mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa dalah lebih
baik.
Ia berdasarkan
hadith : "Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan
lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat
Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah,
Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).
7)
Melakukan Maksiat seperti tidak solat :
Hukumnya :
Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat
itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah
besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramdhan. Pahala puasanya pula akan
terhapus Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi
melahirkan insan taqwa dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda
: "Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin
jauh ia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)
8) Mencium lelaki dan wanita semasa
berpuasa
Hukumnya :
Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.
Ia berdasarkan beberapa dalil
antaranya :-
كان رسول اللَّهِ
يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كان أَمْلَكَ
لِإِرْبِهِ
Ertinya : "Nabi S.a.w mencium dan
bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah
seorang yang menguasai diri dan nafsunya" (Riwayat Abu Daud, 2/311 ; Syuaib
arnaout : Sohih)
Dan satu lagi adalah
: -
فجاء شاب فقال أقبل يا
رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم قال نعم قال فنظر
بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه
أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام
Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba
didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium
isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan
yang sama : Jawab nabi : Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan
antara satu sama lain, maka nabi berkata :-
"aku tahu apa
mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua
mampu mengawal dirinya (nafsu)" (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat
Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)
Al-Qaradawi pula menambah "berapa
ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya " (Fiqh
As-Siyam, hlm 106 )
Kesimpulannya, ia tidak
membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat
seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari
ramadhan.
9) Wanita tamat haid
Wanita tamat haid pada waktu malam dan
sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun
belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti
belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya
kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi
puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.
Demikian juga ditegaskan oleh majoriti
ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)
Dalilnya adalah :-
من لم يُجْمِعْ
الصِّيَامَ قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له
Ertinya : "Barangsiapa yang tidak
berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya" ( Riwayat Abu
Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )
10) Keluar air mazi
Air mazi adalah air yang keluar dari
kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan
keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau
tidak.?
Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan,
ia membatalkan puasa.
Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie,
Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa
keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat
ini.
11) Keluar air mani tanpa setubuh
Mencium dan menyentuh
sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha,
ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.
Adapun keluarnya air
mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal
menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)
Manakala mazhab Hanbali dan Maliki
mengatakannya batal.
Walau bagaimanapun,
saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia
benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu,
ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.
Keluar air mani kerana
bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama
menyatakan ia tidak membatalkan puasa.
12) Menelan air liur dan
kahak
Hukum : Ia tidak
membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini.
(Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159). Manakala
Kahak yang selagi ia belum sampai ke anggota mulut (sebelah hadapan lidah),
iaitu masih berada pada had tekak maka
tidak
membatalkan puasa jika ditelan.
Kerana ia masih tidak keluar daripada anggota zahir. Kahak yang sudah sampai
pada mulut, inilah yang menjadi khilaf adakah membatalkan puasa atau tidak. Ada
pendapat yang mengatakan batal dan ada pendapat yang mengatakan tidak batal.
Sebahagian ulama berpendapat HARAM menelannya dengan sengaja kerana ia adalah
kotoran.
Jadi,
kesimpulan yang terpilih adalah kahak yang sampai ke mulut haram ditelan dan
kebanyakan ulama menyatakan ia membatalkan puasa. Manakala yang berada di
bahagian pangkal lidah dan tekak, jika ditelan tidak membatalkan
puasa.
13 ) Mandi
Tiada masalah untuk orang berpuasa
mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi
s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh. Ibn Abbas juga
pernah disebutkan mandi ketika berpuasa. Kecuali seseorang mandi sambil mencuri
minum sebagaimana yang mungkin dilakukan oleh para remaja dan lainnya, maka ia
batal kerana minum dan bukan mandi itu sendiri.
14) Berniat berbuka atau
membatalkan puasa sebelum waktu.
Tindakan sebegini
adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika
dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa
tidak terbatal.
Justeru, seluruh individu berpuasa
wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn
Quddamah menolak pandagan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah
berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat
membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)
Sekian,
Ramadhan Al-Mubarak dan selamat menjalani
ibadah puasa untuk semua pengunjung zaharuddin.net
Zaharuddin Abd Rahman
Sumber :
Comments
Post a Comment