Sabar Seorang Suami
Salah sebuah kisah rumah tangga yang saya petik dari buku bertajuk Indahnya Hidup Tanpa Derita,
penulisan Noor Laila Aniza Zakaria, Perunding Professional Excel
Training & Consultancy Sdn. Bhd. Mudah-mudahan kita semua dapat
mengambil iktibar untuk menghisab diri dan menerima nasihat untuk
pembaiki diri yang berterusan. InsyaAllah..
Lelaki
berusia 40 tahun ini menghubungi saya pada jam lebih kurang 10.30 pagi
ketika saya ingin bersarapan. Saya meminta izin untuk bersarapan
terlebih dahulu dan meminta menghubungi saya 20 minit kemudian, kerana
rakan-rakan sudah menunggu untuk bersarapan. Namun sebaik mendengar
sebak suaranya merayau supaya diperuntukkan masa kepadanya walau untuk
sebentar, saya akur dan tumpang simpati.
Beristerikan
seorang wanita yang cukup banyak karenah, lelaki ini berkorban seluruh
kehidupannya untuk membahagiakan keluarga. Dengan pendapatan yang tidak
seberapa sebagai seorang anggota polis, lelaki ini berusaha keras
memenuhi setiap keinginan si isteri.
Namun si isteri sedikit pun tidak menghormati dirinya sebagai suami. Memanggil namanya dengan panggilan ‘Oi’ sahaja dan kerap keli memaki hamun si suami dengan mengatakan bodoh, gila dan semua perkataan yang cukup melukan hatinya.
Sekiranya
dia balik awal ke rumah, dikatakan pemalas dan curi tulang. Jika
terlewat pulang dituduh pula ‘makan luar’. Sakit dan luka hati si suami
hanya dipendam sendiri. Sedikit pun tidak pernah dia marahkan si isteri.
Apabila diajak dan ditegur untuk bersembahyang bersama isterinya tidak
mahu dan mengatakan, “Jaga saja kubur masing-masing”.
Lima
belas tahun hidup bersama, selama itulah dia sering dimaki hamun dan
semua urusan masak memasak diserahkan kepadanya bahkan mengemas rumah.
Apa yang isterinya lakukan? Duduk di rumah dan kadang-kadang mengambil
upah menjahit pakaian.
Selain
dari memaki hamun suami, isterinya sering membuka rahsia rumah tangga
mereka kepada jiran tetangga, dengan kata-kata suaminya tidak mampu itu
dan ini, mendakwa keperluan di dalam rumah adalah daripada hasil titik
peluhnya bahkan si suami sedikit pun tidak membantu.
Pada
suatu hari pulang dari kerja, si isteri mengamuk tak tentu pasal. Dia
mendengar cerita daripada seseorang mengatakan melihat suaminya makan
bersama wanita lain di kedai. Memang benar perkara itu, namun wanita itu
adalah teman lama si suami sewaktu di sekolah rendah. Mereka
terserempak dan minum bersama untuk bertukar-tukar cerita. Itu sahaja.
Sebaik
pulang, si suami dimaki hamun dan dibaling dengan pasu bunga hingga
mengenai dadanya. Sakitnya amat sangat sehingga dia terduduk. Bukan itu
sahaja, bahkan isteri mengatakan bahawa dia menyesal berkahwin dengannya
yang papa kedana tetapi miang! Amat terluka dengan kata-kata isterinya,
si suami terus keluar dari rumah.
Azan
maghrib berkumandang ketika itu dan dia terus ke surau mengerjakan
solat berjemaah. Dalam sebak dia memohon agar Allah ampunkan isterinya
dan diberi petunjuk.
“Setibanya
saya di rumah selepas solat Isyak, saya beri salam, tiada berjawab.
Apabila saya masuk ke dalam rumah, saya lihat isteri saya sedang
terperosok di tepi almari baju, dia kena strok. Tidak boleh berkata
apa-apa. Saya lihat air matanya mengalir di pipi. Waktu itu saya
menjerit memanggilnya, “Sayang!” dan terus dakap erat tubuhnya serta
dukung dia bawa ke hospital. “Puan, kalaulah saya tidak berdoa
sedemikian, tentu hal ini tidak akan terjadi. Saya sangat-sangat sedih.
Dulu dia maki-maki saya, itu tanda dia sihat. Sekarang apabila dia
senyap, saya rasa sunyi, lebih sakit berbanding kena maki dulu. Saya
amat sayangkan dia puan!”
Luahan
itu tersekat-sekat. Saya faham betapa terhiris hatinya melihat keadaan
isterinya. Sudah tentu tidak ramai lelaki zaman sekarang yang memiliki
sifat sabar begini. Beruntunglah dia diuji sedemikian dengan kesabaran
yang begitu tebal di dalam dada.
***************************************
Memang benarlah kaum wanita ini fitnah. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya
dunia ini manis dan hijau (menyegarkan). Dan sesungguhnya Allah
menempatkan kamu di atas bumi, yang Allah melihat akan apa yang kamu
kerjakan. Maka peliharalah dunia ini dan wanita, sesungguhnya pertama
kali fitnah (bencana) yang jatuh kepada golongan Bani Israil (Yahudi)
adalah dalam hal wanita.” – (Riwayat Muslim)
Justeru,
setiap lelaki yang bergelar suami perlu sentiasa ingat akan pesan
Rasulullah ini agar tidak tersasar dalam mengemudi rumah tangga.
Dakwah dalam Rumah Tangga
Kadang-kadang
apabila isteri melakukan kesilapan seperti tidak menghormati, memaki
hamun dan meninggikan suara, suami hanya berdiam kerana tidak mahu
bertengkar panjang. Namun selepas keadaan reda, jarang suami berbincang
dengan cara elok malah jarang menasihati isteri dengan mengingatkannya
kepada pesanan-pesanan Rasulullah SAW dan al-Quran. Kadang-kadang yang
di sebut adalah, “Saya kecil hati dengan apa yang awak buat tadi” atau
“Awak sudah singgung hati saya tadi”. Itu bukan teguran. Itu hanyalah
luahan perasaan. Kemudian isteri akan meminta maaf dan keadaan kembali
seperti biasa. Namun itu bukan pendidikan kepada isteri.
Tip Mendidik Menggunakan Kuasa Ayat
Mungkin
selepas ini pada ketika isteri telah berlemah lembut dengan anda, terus
sebutkan ayat al-quran atau pesanan Nabi SAW kepadanya:
“Sayang,
Nabi kata bahawa tempat isteri di sisi suami. Isteri yang baik adalah
isteri yang apabila suami melihat kepadanya, dia akan buatkan suami
senang hati. Tadi sayang maki-maki abang .... Sayang rasa itu ciri-ciri
isteri yang bagaimana? Sayang sudah lukakan hati abang. Tapi abang sudah
maafkan sayang.”
Pendidikan
harus dimasukkan dengan kata-kata dan pesanan Rasulullah SAW dan
al-Quran supaya hati mudah lembut. Pendidikan harus penuh hikmah.
Pendidikan harus dengan bertanya, “Sayang rasa itu ciri-ciri isteri yang bagaimana? Dan
meninggalkan dia dengan jawapan sendiri. Itu cara pendidikan terhadap
isteri yang perlu diamalkan. Bukan membebel atau berceramah kepada
isteri dengan ayat-ayat Quran yang panjang yang isteri tidak faham atau
dengan luahan perasaan semata-mata.
Anda juga boleh katakan:
“Sayang,
melalui ceramah yang abang dengar dari seorang ustaz, abang dapat tahu
yang keredhaan Allah terhadap isteri bergantung kepada keredhaan suami.
Abang selalu redha apa sahaja yang sayang buat dan abang harap, Allah
akan redha kepada Sayang walaupun tadi Sayang maki abang. Sayang rasa
Allah redha atau tidak perbuatan Sayang tadi terhadap abang?”
Kadang-kadang
pendekatan pendidikan perlu memetik nama orang lain yang dihormati
misalnya ustaz untuk membuatkan dia akur dengan nasihat tersebut.
Fasa Pendidikan Seterusnya
Setelah
anda didik isteri dengan pendekatan nasihat namun berkali-kali juga dia
masih ingkar, nusyuz dan tidak hormat kepada hak-hak anda, pisahkan
tempat tidur sebagai pengajaran. Namun tempohnya hendaklah mengikut
keperluan. Dan akhirnya pukullah dia. Nabi SAW menyifatkan pukulan itu
ibarat memukul dengan kain sutera yang paling halus dan licin dan tidak
boleh memukul di bahagian muka. Bererti pukulan itu hendaklah sehabis
lembut dan bukan menyakiti. Bahkan membawa maksud sebenar, elakkan
memukul isteri kecuali benar-benar terpaksa dan tiada jalan lain.
Setelah
anda mendidik tetapi masih juga isteri melawan, tetaplah mendidik dan
doakan semoga Allah beri hidayah dan petunjuk kepadanya. Usah berdiam
diri menahan perasaan untuk mengelakkan pertengkaran sedangkan anda
tidak menjalankan tanggungjawab mendidiknya.
Mendidik
bukan menegur. Mendidik bukan menghukum. Mendidik itu bererti
memenuhkan dadanya dengan ilmu dan menbuatkan dia faham dan melihat
lantas dia mengamalkan ilmu tersebut sehingga berjaya. Jika sekadar
menegur, boleh jadi ia akan masuk ke telinga kanan, keluar ke telinga
kiri. Jika menghukum, boleh jadi penuh dengan emosi lantaran melepaskan
geram dan tidak telus.
Aku Menyesal Kahwin Dengan Kau!
Mana-mana
isteri yang mengatakan “Aku menyesal berkahwin dengan engkau”,
sekalipun suaminya sangat jahat, maka Nabi SAW menyifatkan pada saat
kata-kata itu diungkapkan, secara automatik terpadamlah semua pahala
amalan baik isteri sepanjang hidup berumah tangga.
Hendaklah
dia kembali bertaubat dengan sebenar-benar taubat dan memohon keampunan
serta keredhaan suaminya semula. Berhati-hatilah dengan kata-kata.
Dugaan Tanda Kasih Sayang Allah
Suatu
ketika dahulu anda diduga dengan hari-hari dimaki isteri. Sekarang anda
diduga dengan memiliki isteri yang sakit dan anda terpaksa menjaganya.
Janganlah anda bersedih kerana itu tanda kasih sayang Allah. Allah tahu
jika Allah tidak buatkan isteri anda lumpuh, mungkin sehingga ke akhir
hayatnya dia akan melukakan hati anda dan tempatnya tidak layak di
syurga.
Allah
ingin menbersihkan dosa-dosanya. Allah ingin memberikan dia syurga.
Allah bukan sahaja menguji kesabaran anda, bahkan isteri anda juga.
Bersyukurlah.
Buat
masa ini, didiklah isteri anda dengan mengajarkan dia bersolat dengan
cara duduk/baring/dengan mata/hati, selagi dia faham kata-kata anda.
Bacakan al-Quran ditelinga isteri sambil meribanya. Kesedihan yang anda
lalui pasti tidak akan disia-siakan oleh Allah.
Sakit Itu Pembersih Dosa
Setiap kesakitan itu kata Nabi SAW adalah pembersih dosa. Maka banyakkan menyebut Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun - ‘Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.’
Setiap kali anda sedih atau tidak berdaya, lafazlah LaahaulaWalaQuwwataillabillah – ‘Tiada daya upaya melainkan dengan kekuatan Allah.’
Banyakkan
membaca surah Yasin dan bawalah isteri bersiar-siar di luar.
Sekurang-kurangnya dia masih ada menemani hari-hari anda, bukannya Allah
mengambilnya terus. Maafkanlah dia. Lihatlah ini sebagai tanda kasih
sayang Allah. Dan yakinlah anda telah berdoa dengan doa yang baik di
sisi Allah. Usahlah risau. Tenangkan hati, tabahkan jiwa.
http://neutralman.blogspot.com
Comments
Post a Comment