Surat Khalifah Ali
SURAT YANG DITULIS OLEH KHALIFAH ISLAM YANG KEEMPAT, ALI BIN ABI TALIB, KEPADA MALIK BIN AL-HARIS AL-ASHTAR SEMPENA PERLANTIKANNYA SEBAGAI GABENOR MESIR PADA TAHUN HIJRAH 655
KETAHUILAH kamu wahai Malik bahawa aku mengutuskan engkau sebagai
pemerintah di negeri yang pada masa lalu pernah mengalami pemerintahan
yang adil dan tidak adil. Penduduknya akan memerhatikan
tindakan-tindakan kamu dengan mata yang tidak senang, walaupun kamu
sebelum ini pernah meneliti tindak-tanduk orang-orang yang kamu pimpin.
Mereka juga akan bercakap mengenai kamu seperti apa yang kamu cakapkan
mengenai mereka. Hakikatnya, masyarakat hanya memuji mereka yang
melakukan perkara yang baik. Merekalah yang akan membuktikan kebenaran
tindak-tanduk kamu. Oleh itu harta yang paling berharga yang amat dicari
ialah amalan-amalan baik. Tetapkan iman kamu dan jauhi sama sekali
perkara-perkara yang dilarang, dan kamu akan dapat mengenal antara yang
baik atau sebaliknya.
Semaikan di hati kamu perasaan kasih kepada rakyat kamu dan biarkan
ia menjadi sumber kebaikan dan rahmat kepada mereka. Jangan percaya
bahawa mereka seperti orang yang tidak bertamadun dan janganlah merampas
apa yang mereka miliki.Ingatlah bahawa rakyat negara itu terbahagi
kepada dua. Mereka sama ada saudara seagama dengan kamu atau sebangsa.
Mereka mempunyai kelemahan dan boleh melakukan kesilapan, malah
sesetengahnya memang melakukan kesalahan. Maafkan mereka seperti kamu
mahukan Allah mengampunkan kamu. Ingatlah bahawa kamu diletakkan di atas
mereka, begitu juga saya diletakkan di atas kamu. Dan ingatlah bahawa
Tuhan mengatasi orang yang melantik kamu sebagai pemimpin bagi
membolehkan kamu menjaga kebajikan orang-orang bawahan kamu. Kamu akan
diadili atas apa yang sudah kamu lakukan terhadap mereka.
Janganlah kamu melanggar perintah Allah kerana kamu bukan saja tidak
mempunyai kekuatan untuk melindungi diri kamu daripada kemurkaanNya,
tetapi kamu juga tidak boleh meletakkan diri kamu di luar belas
kasihanNya dan keampunanNya. Jangan berasa bersalah atas tindakan kamu
memberi maaf atau bergembira atas hukuman yang kamu jatuhkan terhadap
mereka. Janganlah biarkan diri kamu dalam kemarahan kerana ia tidak akan
membawa sebarang keuntungan.
Jika kamu dilantik ke jawatan yang mempunyai kuasa dan berasa megah
atau sombong, ingatlah kuasa dan keagungan Yang Maha Esa ke atas alam
ini yang kamu langsung tidak mempunyai sebarang kawalan. Ini akan
mengembalikan kepada kamu unsur-unsur keseimbangan dan akan meletakkan
kamu dalam ketenteraman dan ketenangan. Berhati-hatilah dan janganlah
menentang keagungan dan kebesaran Tuhan dan jangan meniru kekuasaanNya:
kerana Allah boleh membinasakan orang-orang yang menentangNya dan orang
yang zalim.
Orang Biasa
Biarkan fikiran kamu menghormati, melalui tindak-tanduk kamu, akan
kuasa dan hak Tuhan serta juga hak-hak manusia. Oleh itu pujuklah
rakan-rakan kamu dan saudara-saudara kamu supaya turut sama berbuat
demikian. Jika tidak,kamu akan bersikap tidak adil bukan saja kepada
diri sendiri tetapi juga terhadap kemanusiaan. Kedua-dua manusia dan
Allah akan menjadi musuh kamu.Tidak pernah diketahui ada orang yang
menjadikan Allah musuhnya dan jika ini berlaku dia akan dianggap
“berperang” dengan Allah sehingga dia mohon ampun. Tidak ada yang boleh
menafikan manusia daripada menerima rahmat atau membangkitkan
kemurkaanNya kecuali kekejaman. Itulah sebabnya Allah mendengar doa
mereka yang tertindas dan menghukum mereka yang melakukan penindasan
itu.
Kekalkan keadilan dalam pentadbiran dan semaikan semangat ini dalam
jiwa kamu dan dapatkan persetujuan orang ramai kerana rasa tidak puas
hati rakyat jelata mengatasi rasa puas hati segelintir masyarakat yang
menikmati keistimewaan. Ingatlah bahwa mereka yang mempunyai
keistimewaan itu kecil golongannya dan mereka tidak akan membantu kamu
ketika dalam kesusahan. Mereka akan cuba memesongkan keadilan dan akan
meminta lebih daripada yang mereka sepatutnya terima. Mereka juga tidak
akan bersyukur dengan apa yang sudah diberikan kepada mereka. Mereka
akan gelisah menghadapi dugaan dan tidak berasa kesal akan
kelemahan-kelemahan mereka. Sesungguhnya, rakyat biasalah yang menjadi
kekuatan sesebuah negara dan agama.
Jauhilah mereka yang cuba mendedahkan kelemahan orang lain. Lagipun,
rakyat jelata tidak terkecuali daripada kelemahan. Adalah menjadi
tanggungjawab pemerintah melindungi mereka. Jangan mendedahkan sesuatu
yang tersembunyi, tetapi cuba hilangkan kelemahan yang sudah nyata.
Allah sentiasa melihat segala yang terselindung daripada kamu, dan Dia
saja yang akan mengendalikan perkara itu. Kamu hendaklah sebaik mungkin
menutup kelemahan rakyat kamu dan Allah akan menutup kelemahan-kelemahan
yang kamu cuba sembunyi daripada pengetahuan mereka.
Hapuskan kekusutan perasaan benci membenci antara rakyat dan
pentadbiran dan hapuskan segala perkara yang menyebabkan ketegangan
dalam hubungan mereka. Lindungi diri kamu daripada melakukan
perkara-perkara yang tidak adil bagi kamu. Jangan tergesa-gesa mencari
kebenaran fitnah yang diceritakan kepada kamu kerana orang itu adalah
manusia yang tidak jujur serta cuma berpura-pura menjadi sahabat kamu.
Janganlah terima nasihat daripada orang yang kedekut kerana dia akan
melemahkan semangat dan menakutkan kamu sehingga menjadi miskin.
Janganlah terima nasihat daripada orang yang pengecut kerana dia akan
melemahkan semangat kamu. Juga jangan terima nasihat daripada orang yang
tamak kerana dia akan menanamkan sifat tamaknya kepada kamu dan
menjadikan kamu zalim. Sikap kedekut, pengecut dan tamak akan
menghakiskan keyakinan seseorang terhadap Allah.
Penasihat yang buruk adalah mereka yang pernah berkhidmat kepada
pemimpin yang tidak adil dan berkongsi jenayah yang dilakukan. Jadi
janganlah sekali-kali menerima orang-orang seumpama ini sebagai
penasihat kamu. Kamu boleh mendapat orang-orang yang lebih baik daripada
mereka iaitu orang- orang yang dianugerahkan kepintaran dan pandangan
yang jauh serta tidak dinodai oleh dosa dan tidak pernah bersubahat
dengan orang yang zalim melakukan kezalimannya atau penjenayah dalam
melakukan jenayahnya. Orang seperti ini tidak akan membebankan kamu.
Mereka sebaliknya akan menjadi sumber pertolongan dan kekuatan kepada
kamu pada setiap masa. Dia akan menjadi kawan kamu dan orang yang asing
kepada musuh-musuh kamu. Pilihlah orang seperti ini sebagai rakan baik
dalam perjuangan mahupun ketika bekerja. Di kalangan mereka itu juga,
tunjukkan minat kamu terhadap mereka yang jujur, walaupun ini
kadangkalanya sukar dilakukan.
Dekatilah mereka yang jujur dan takutkan Tuhan dan beritahu mereka
bahawa mereka tidak boleh cuba memuji kamu atas sebarang perkara
kebaikan yang mungkin kamu belum lakukan. Ini kerana sikap tolak ansur
terhadap kata-kata pujian akan hanya memupuk sikap megah dalam jiwa
manusia dan ini akan menjadikannya angkuh. Jangan beri layanan yang sama
kepada orang-orang yang baik dan yang jahat. Ini akan menghalang mereka
yang baik daripada terus mlakukan perkara yang baik dan akan
menggalakkan mereka yang jahat supaya terus melakukan perbuatan itu.
Berilah pujian kepada mereka yang berhak diberi pujian. Ingatlah bahawa
kepercayaan dan muhibah antara pemimpin dan rakyat hanya dapat dipupuk
melalui kebaikan, keadilan dan perkhidmatan. Oleh itu pupuklah muhibah
di kalangan rakyat kerana hanya muhibah sahaja akan menyelamatkan kamu
daripada bencana. Mereka akan membalas sikap murah hati kamu dengan
memberi kepercayaan mereka kepada kamu.
Kumpulan Manusia Yang Berbeza
Jangan mengenepikan tradisi – tradisi murni yang diwarisi daripada
nenek moyang kita yang memupuk semangat harmoni di kalangan penduduk,
dan jangan melakukan sesuatu yang boleh mengurangkan usaha –usaha itu.
Mereka yang meletakkan asas tradisi – tradisi ini sudah medapat ganjaran
mereka, tetapi jika tradisi – tradisi itu diganggu gugat, ia akan
menjadi tanggungjawab kamu, Cubalah sentiasa belajar daripada mereka
yang berpengetahuan dan bijak dan mintalah nasihat mereka mengenai
urusan-urusan Negara supaya kamu dapat mengekalkan keamanan dan muhibah
yang sudah diwujudkan. Ingatlah bahawa masyarakat dianggotai oleh
pelbagai jenis manusia. Kemajuan sesuatu kumpulan itu bergantung kepada
kemajuan yang lain, dan tidak ada yang boleh bergerak secara
persendirian tanpa bantuan orang lain. Kita mempunyai bala tentera,
kakitngan awam, badan kehakiman, pemungut cukai dan pegawai perhubungan
awam. Masyarakat umum pula dianggotai oleh mereka yang beragama Islam
dan dhimmi dan dikalangan mereka pula ada ahli perniagaan dan ahli
pertukangan, penganggur dan orang yang degil. Allah sudah menentukan
hak, tugas dan tanggungjawab masing-masing. Ini dinyatakan dengan jelas
dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi.
Bala tentera dengan rahmat Allah adalah sebagai benteng kepada
manusia dan lambang kebesaran Negara. Ia adalah tonggak keimanan dan
mengekalkan keamanan Negara. Tanpanya sesebuah Negara akan tergugat.
Bala tentera pula tidak dapat bertahan tanpa sokongan Negara. Tentera
kita sudah terbukti kuat kerana mereka berjuang kerana Allah, tetapi
mereka memerlukan bantuan kebendaan, oleh itu mereka terpaksa bergantung
kepada pendapatan Negara. Anggota tentera dan orang awam yang membayar
cukai, kedua-duanya perlu bantu membantu antara satu sama lain. Begitu
juga hakim, pegawai kerajaan dan kakitangannya. Kadi bertanggungjawab
dalam pentadbiran awam dan undang - undang jenayah, pegawai kerajaan
memungut cukai dan mentadbir Negara dengan bantuan kakitangannya. Dan
seterusnya peniaga dan pedagang juga menyumbang pendapatan mereka untuk
Negara. Mereka adalah orang yang menjalankan pasaran dan berada dalam
kedudukan yang lebih baik daripada mereka yang menolak kehendak sosial.
Allah memberi peluang yang adil pada semua orang, ada hak dalam semua
kelas dalam pentadbiran di mana pentabdbir perlu memenuhinya. Mencari
yang baik untuk penduduknya, satu tanggungjawab yang tidak boleh
dipenuhi dengan sempurna kecuali dia mempunyai minat untuk itu dan
meminta pertolongan daripada Allah. Sesungguhnya, itu adalah kewajipan
mereka menjalankan tugas itu dan bersabar ketika berhadapan dengan
kesusahan dalam menjalankan tugas.
Berikan perhatian khusus kepada kebajikan mereka yang berkhidmat
dalam angkatan tentera yang pada pendapat kamu mereka itu taat kepada
Allah dan RasulNya dan taat kepada ketua. Mereka yang boleh menahan diri
ketika dipengaruhi nafsu. Mereka yang mendengar dengan tenang kepada
nasihat yang berguna, dan mereka yang boleh membantu orang miskin dan
membinasakan yang kuat. Dan mereka yang tidak bertindak ganas apabila
dihasut dan sentiasa tetap pendirian.
Hendaklah kamu menjaga mereka dengan lembut sebagaimana kamu melayani
anak- anak kamu. Jangan kamu mendabik dada mengenai kebaikan yang telah
kamu lakukan kepada mereka dan jangan pula memandang ringan kemesraan
yang mereka tunjukkan kepada kamu. Sikap seperti ini akan menimbulkan
rasa ketaatan, kesetiaan dan baik sangka antara kamu dan mereka. Kamu
hendaklah melayan kehendak mereka walau sekecilmana sekalipun. Janganlah
kamu berpuashati dengan pertolongan yang sudah diberikan kepada mereka,
kerana kadangkala, permintaan yang kecil jika diberi perhatian akan
mendatangkan kelegaan yang amat besar kepada mereka. Sudah tentu mereka
ini tidak akan lupa jasa – jasa kamu dan ketika kamu memerlukan
pertolongan mereka.
Adalah berfaedah jika kamu memilih Ketua Turus Tentera daripada
mereka yang sanggup menunaikan tugas dan bertanaggungjawab membantu
askar – askarnya. Mereka yang mengatasi pegawai –pegawai lain dalm
memberi kebaikan kepada askar- askarnya dan menjaga keluarga mereka
apabila mereka pergi ke perbatasan dan dengan demikian seluruh anggota
tentera akan bersatu padu. Perpaduan ini akan memberi mereka lebih
kekuatan apabila menentang musuh. Kekalkan sikap lemah-lembut terhadap
mereka supaya mereka terasa sentiasa bersama kamu. Hakikatnya
kegembiraan sebenar seseorang pentadbir dan keselesaan yang memuaskan
terletak kepada usahanya menegakkan keadilan dalam negeri dan
mengekalkan hubungan mesra dengan rakyat. Kejujuran perasaan mereka
dicurahkan melalui kecintaan dan penghormatan yang mereka tunjukkan
kepada kamu, dan ini dapat mengekalkan keselamatan pentadbir. Nasihat
kamu kepada askar-askar tidak berguna kecuali dan sehingga kamu
menunjukkan sikap kasih sayang kepada anggota tentera dan
pegawai-pegawainya supaya mereka tidak menganggap kerajaan sebagai beban
yang menindas atau membawa kepada kejatuhannya.
Teruskan usaha memenuhi keperluan mereka dan memuji mereka
berkali-kali terhadap perkhidmatan baik yang mereka berikan. Sikap
seumpamanya itu insya-Allah akan mendorong tindakan yang lebih berani
dan mengalakkan yang penakut menjadi berani. Cubalah memahami perasaan
orang lain dan jangan menyalahkan antara satu sama lain dan jangan
merungut apabila memberi ganjaran yang sewajarnya.
Berhati-hatilah ketika memilih pegawai bagi badan kehakiman kerana ia
adalah badan tertinggi yang mungkin dipergunakan oleh mereka yang tidak
bertanggungjawab, untuk kepentingan sendiri. Sahkan jawatan mereka
setelah mereka menjalani latihan dan ujian. Jangan memilih mereka untuk
jawatan yang memerlukan amanah yang tinggi kerana hubungan peribadi atau
dipengaruhi oleh orang lain. Ini membawa kepada ketidakadilan dan
rasuah.
Pilihlah mereka yang berpengalaman, tegas, kuat imannya dan daripada
keluarga yang baik untuk menduduki jawatan-jawatan tertinggi. Mereka
yang seumpama itu tidak mudah mengalah dengan godaan nafsu dan akan
menjalankan tugas mereka dengan baik. Naikkanlah gaji mereka supaya
mereka dapat hidup lebih selesa. Taraf hidup yang baik dapat
membersihkan diri daripada kejahatan. Mereka tidak akan terdorong untuk
mencukai pendapatan orang bawahan bagi kesenangan mereka sendiri. Dengan
itu, mereka tidak mempunyai sebab sama ada untuk melanggar arahan kamu
atau menyalahgunakan kewangan Negara. Awasilah mereka dengan orang yang
setia dan mulia tanpa pengetahuan mereka. Carilah orang yang jujur dan
setia untuk mengawasi pegawai-pegawai ini tanpa pengetahuan mereka.
Melalui cara ini, mereka dapat membentuk kejujuran dan memberi perhatian
yang sebenar kepada kebajikan orang ramai. Tetapi, apabila ada antara
mereka dituduh tidak amanah dan siasatan Jabatan Perisik kamu
memdapatinya bersalah, anggaplah bukti ini sudah memadai untuk menghukum
mereka. Biarlah hukuman itu berat dan dijalankan di khalayak ramai.
Pentadbiran Kewangan
Pentadbiran kewangan perlu diberi perhatian berat, bagi menjamin
kemakmuran mereka yang membayar cukai kepada Negara. Kemakmuran orang
lain, khususnya rakyat bergantung kepada kemakmuran pembayar cukai.
Sebenarnya negara wujud kerana adanya pendapatan. Kamu mesti menganggap
perniagaan tanah pertanian yang diusahakan lebih penting daripada
memungut cukai, kerana cukai tidak dapat dikutip jika tanah tidak
produktif. Mereka yang meminta hasil tanpa membantu petani memajukan
tanahnya, menimbulkan kesukaran yang tak diingini kepada petani dan
menghancurkan negara. Pemerintahan orang yang seperti itu tidak akan
berkekalan. Orang seumpama itu tidak lama jadi pemerintah.
Jika petani meminta dikurangkan cukai tanah kerana tanamannya musnah
diserang serangga, kemarau, banjir atau tanah tidak subur, maka
kurangkan cukai mengikut kadar yang sepatutnya. Dengan itu keadaan hidup
mereka akan bertambah baik. Usah dibimbangkan soal kekurangan
pendapatan kepada negara kerana satu hari nanti tanah itu akan
mendatangkan kemakmuran yang berlipat ganda dan membolehkan kamu
memperbaiki keadaan bandar kamu dan menaikkan imej negeri kamu. Rakyat
akan percaya kepada keadilan yang kamu tegakkan itu. Keyakinan yang
diberikan kepada kamu ini akan menambahkan kekuatan kamu kerana mereka
akan bersedia pula untuk berkongsi beban bersama kamu.
Kamu mungkin dapat menempatkan sebanyak manusia di tanah pertanian,
tetapi perasaan tidak puas hati akan menyelubungi mereka jika tanah
tidak dimajukan. Punca petani menjadi binasa adalah kerana pemimpin yang
tamak, cuba mengaut kekayaan berlipat ganda kerana bimbang dia tidak
kekal lama. Mereka yang sedemikian adalah orang yang tidak belajar dari
pengalaman dan teladan masa lalu.
Golongan Kerani
Sentiasa awasi kakitangan kamu dan pilihlah yang terbaik di kalangan
mereka untuk mengendalikan urusan surat menyurat sulit kamu. Mereka yang
berakhlak tinggi dan yang kamu percayai. Mereka yang tidak akan
mengambil kesempatan mempergunakan kedudukan istimewa untuk menentang
kamu dan mereka yang apabila menulis perjanjian, tidak terpangaruh
dengan nafsunya dan menjejaskan kepentingan kamu atau gagal
menjelesaikan masalah kamu. Pilihlah mereka yang apabila menjalankan
tugas sedar betapa beratnya tanggungjawap mereka. Mereka yang tidak
sedar tanggung-jawabnya sendiri sukar menghargai tanggung-jawab orang
lain.
Janganlah memilih semata-mata berasaskan kekuatan pandangan pertama,
kecintaan dan keikhlasan kamu. Sesungguhnya kepura-puraan boleh menipu
pemerintah yang pintar. Pemilihan hendaklah dibuat setelah menjalani
tempoh percubaan yang akan menguji kesesuian mereka. Dalam membuat
perlantikan terus, pastikan mereka yang dipilih itu mempunyai pengaruh
di kalangan rakyat dan mempunyai nama baik di setiap jabatan
pentadbiran. Dan ingatlah sebarang kelemahan dikalangan kakitangan kamu,
jurutulis yang kamu tidak mengambil berat terhadapnya akan menulis
menentang kamu.
Perdagangan dan Perindustrian
Amalkan skim-skim yang berguna bagi mereka yang terbabit dalam
perdagangan dan perindustrian dan bantulah mereka dengan nasihat yang
bijaksana. Sesetengah daripada mereka tinggal di bandar dan
sesetengahnya pula berpindah dari setempat ke setempat dengan kemahiran
masing-masing dan hidup dengan menjadi buruh harian. Perdagangan dan
industri adalah sumber keuntungan kepada negara. Kebanyakan rakyat tidak
cenderung untuk memikul tanggungjawab berat itu. Sebaliknya mereka yang
menyertai profesion ini sanggup bersusah payah memungut barang-barang
perniagaan dari jauh dan dekat, dari daratan dan laut, gunung dan hutan
untuk mendapatkan faedah daripadanya.
Inilah golongan yang cintakan kedamaian dan bagi mereka kekacauan
tidak perlu ditakutkan. Mereka cinta dan menurut perintah. Tentu sekali
mereka tidak mahu menimbulkan keadaan huru-hara. Lawatilah ke seluruh
pelusuk negeri dan jalinkan hubungan peribadi dengan golongan ini serta
bertanyakan masalah mereka. Tetapi ingat, kebanyakan mereka tamak dan
biasa dengan urusan menipu. Mereka menyorok hasil tanaman untuk dijual
dengan harga yang mahal, dan ini menyusahkan rakyat. Perkara-perkara ini
akan menjatuhkan maruah pemerintah jika perbuatan buruk itu tidak
dihalang. Halang mereka daripada menyembunyikan hasil. Nabi Muhammad
s.a.w. melarang perbuatan ini. Dan beri perhatian, supaya perdagangan
berjalan dengan mudah, timbangannya betul dan harganya ditetapkan supaya
menjual dan pembeli tidak mengalami kerugian. Tetapi jika ada yang
tidak menghiraukan amaran kamu dan menyorok hasil tanaman, bertindak dan
hukumlah mereka sewajarnya.
Orang Miskin
Takutkan Allah apabila berurusan dengan masalah orang miskin yang
tidak mempunyai sesiapa untuk berlindung, terbiar, susah dan tidak
bermaya dan yang kusut fikirannya kerana menjadi mangsa kepada takdir
yang berlaku. Antara mereka ada yang tidak mempersoalkan nasib mereka
dan sanggup menanggung kesengsaraan daripada meminta sedekah. Demi
Allah, peliharalah hak mereka, kerana kamu bertanggung-jawab untuk
melindungi mereka. Peruntukkanlah sebahagian daripada simpanan
Baitul-mal untuk membaiki kedudukan mereka, tidak kira di mana mereka
berada, dekat atau jauh dari kamu. Mereka hendaklah diberikan hak yang
sama-rata dan adil. Jangan biarkan kesibukan melupakan kamu akan
tanggung-jawab kamu terhadap mereka, kerana tidak ada alasan yang akan
diterima oleh Allah jika kamu membiarkan nasib mereka melarat. Jangan
kamu anggap bahawa kepentingan mereka kurang daripada kepentingan kamu,
dan jangan mengenepikan mereka dalam perkiraan kamu. Awasilah
orang-orang yang memandang rendah dan membiarkan kamu melupai akan nasib
orang miskin.
Pilihlah antara pegawai-pegawai kamu mereka yang rendah diri dan
bertakwa kepada Allah, yang akan memberi nasihat serta sentiasa
mengingatkan kamu mengenai orang miskin. Sediakan peruntukan bagi mereka
supaya kamu tidak payah memberi alasan kepada Allah di hari pengadilan,
kerana mereka inilah orang yang patut menerima layanan baik daripada
kamu. Carilah ganjaran daripada Allah dengan memberikan apa yang menjadi
hak mereka. Inilah tanggungjawab suci kamu untuk memenuhi kehendak
orang-orang tua di kalangan mereka yang tidak mempunyai tempat
pergantungan hidup dan tidak mahu meminta bantuan kewangan.
Tanggungjawab seumpama itulah biasanya sukar dilakukan oleh pemerintah,
tetapi ia sangat dialu-alukan oleh masyarakat yang berpandangan jauh,
Hanya masyarakat dan negara yang benar-benar menunaikan perjanjian
mereka dengan Allah dapat memenuhi kepeluan orang miskin.
Musyawarah Terbuka
Temui mereka yang tertindas dan rakyat berpendapatan rendah dalam
musyawarah-musyawarah terbuka. Ingatlah Allah turut hadir bersama.
Adakan perbincangan dari hati ke hati dengan mereka dan janganlah
membenarkan pengawal, pegawai-pegawai kerajaan atau anggota polis dan
pegawai-pegawai dari Jabatan Perisik berada di situ, supaya mereka yang
mewakili rakyat miskin dapat menyuarakan rasa tidak puas hati mereka
tanpa takut-takut.
Tabahkanlah hati dan bertenang menghadapi bahasa yang keras, yang
mungkin digunakan oleh mereka, dan janganlah mudah naik berang jika
mereka tidak dapat menyatakan alasan mereka dengan jelas. Allah akan
membuka pintu rahmat dan memberi ganjaran kepada kamu. Apa sahaja yang
kamu boleh berikan kepada mereka, berikanlah tanpa bersungut, dan apa
sahaja yang kamu tidak mampu untuk berikannya beritahulah mereka dengan
penuh kejujuran.
Ada beberapa perkara yang memerlukan tindakan segara. Terimalah
cadangan yang dibuat oleh pegawai-pegawai kamu bagi membaiki sungutan
kakitangan perkeranian. Pastikan supaya bantahan dan permohonan yang
dikemukakan untuk pertimbangan kamu sampai kepada pengetahuan kamu di
hari ia dikemukakan, walaupun pegawai-pegawai kamu cuba bertindak
sebagai orang tengah. Selesaikan sesuatu kerja pada hari itu juga,
kerana keesokan hari akan membawa kerja lain pula.
Munajat Dengan Allah
Jangan lupa mengasingkan masa kamu yang paling baik untuk bermunajat
dengan Allah, walaupun setiap ketika kamu adalah untuk-NYA (jika ia
digunakan dengan jujur untuk berkhidmat kepada rakyat kamu). Masa yang
kamu peruntukkan bagi mengerjakan sembahyang hendaklah digunakan
sepenuhnya untuk menunaikan sembahyang lima waktu sehari. Sembahyanglah
di siang hari dan pada waktu malam, dan bagi mendapatkan hubungan
langsung yang sempurna dengan Allah, seboleh mungkin jangan kamu
memanjangkan sembahyang hinggga ia memenatkan kamu. Apabila kamu menjadi
imam dalam sembahyang, jangan kamu membenarkan sembahyang itu
berpanjangan hingga menyebabkan kesulitan kepada makmum atau menyebabkan
mereka tidak suka bersembahyang berjemaah, atau setidak-tidaknya
mengurangkan kesannya, kerana dalam jemaah sembahyang itu ada yang cacat
dan juga mempunyai urusan penting yang mesti dikendalikan.
Ketika saya diarah pergi ke Yaman saya bertanya kepada Nabi Muhamamad
s.a.w. bagaimana harus saya mengimamkan sembahyang. Rasulullah
bersabda: “Kerjakanlah sembahyang kamu seperti mana orang yang paling
lemah di antara kamu melakukannya, dan jadikanlah contoh bertimbang rasa
terhadap mereka yang takwa.”
Selain perkara yang sudah saya sebutkan di atas, seperkara lagi yang
patut diperhatikan oleh kamu ialah jangan sekali-kali memisahkan diri
kamu daripada rakyat, kerana jika kamu berbuat demikian kamu tidak akan
tahu hal-ehwal mereka. Ia akan menyebabkan seseorang pemerintah itu
mempunyai perspektif yang salah, selain menyebabkan dia tidak boleh
membezakan mana yang penting dan yang tidak penting, yang mana betul dan
yang mana salah, dan di antara yang benar dan palsu. Pemerintah adalah
manusia biasa. Dia tidak mampu mengeluarkan pandangan yang betul untuk
semua perkara, apatah lagi bagi perkara-perkara yang di luar jangkauan
dan pengetahuannya. Tidak ada tanda-tanda yang khususnya untuk kebenaran
bagi membolehkan seseorang itu membezakan di antara kebenaran dan
kepalsuan. Sebenarnya dua perkara yang boleh berlaku kepada kamu, iaitu
sama ada kamu berlaku adil atau zalim.
Jika kamu berlaku adil, kamu tidak boleh memisahkan diri kamu
daripada rakyat, tetapi mendengar aduan mereka dan memenuhi kemahuan
mereka. Jika kamu tidak berlaku adil, rakyat kamu sendiri akan
menghindari kamu. Jadi apakah kebaikannya jika kamu menjauhkan diri
daripada mereka? Dalam semua hal, menjauhkan diri daripada rakyat adalah
tidak diingini, terutama apabila tugas kamu menuntut kamu menunaikan
kehendak rakyat. Aduan mengenai penindasan daripada pegawai-pegawai
untuk keadilan tidak sepatutnya menjemukan kamu.
Hendaklah kamu sentiasa beringat bahawa mereka yang di keliling kamu
akan mengambil peluang mempergunakan kedudukan mereka untuk merampas apa
yang menjadi hak orang lain dan melakukan ketidakadilan. Hapuskan
kecenderungan seumpama itu. Kamu sendiri janganlah memberi walau seinci
tanah kepada saudara mara kamu. Amalan ini akan menghalang
pegawai-pegawai di sekeliling kamu daripada menyusahkan orang lain dan
menyelamatkan kamu daripada penghinaan Allah dan manusia.
Laksanakanlah keadilan secara sama rata tanpa mengira sama ada
seseorang itu bersaudara dengan kamu atau tidak. Jika ada saudara mara
atau kawan-kawan kamu yang melanggar undang-undang, laksanakanlah
hukuman yang ditentukan walaupun ia pahit kepada kamu, kerana ia adalah
untuk kebaikan Negara. Jika pada sebarang waktu orang mengesyaki bahawa
kamu tidak berlaku adil kepada mereka dalam apa jua urusan, jelaskanlah
pendirian kamu kepada mereka supaya sebarang syak wasangka terhadap kamu
dapat dihapuskan. Cara ini akan menyebabkan mereka menyayangi kamu. Ini
juga akan memenuhi keinginan kamu kerana rakyat yakin dengan
pemerintahan kamu.
Perdamaian dan Perjanjian
Ingatlah bahawa kamu tidak akan menolak tawaran perdamaian yang
dibuat oleh musuh kamu. Terimalah kerana ia disukai oleh Allah. Keamanan
adalah punca keselesaan kepada angkatan tentera, ia mengurangkan
kebimbangan kamu dan meningkatkan kedamaian dalam Negara. Tetapi
berhati-hati selepas perjanjian perdamaian ditandatangani. Sesetengah
musuh menawarkan perdamaian untuk memperdayakan kamu. Mereka menawarkan
perdamaian dengan harapan kamu akan berasa lebih selamat, sebaliknya
mereka akan menyerang kamu apabila kamu tidak bersedia.
Jesteru itu, kamu hendaklah sentiasa berwaspada dan jangan meletakkan
keyakinan terhadap bantahan mereka. Tetapi, jika mengikut perjanjian
perdamaian itu kamu menerima kewajipan, maka hendaklah kamu melaksanakan
kewajipan itu bersungguh-sungguh. Ia adalah amanah dan mesti
dipertahankan seikhlas-ikhlasnya dan apabila kamu menjanjikan sesuatu
hendaklah kamu tunaikan dangan segala keupayaan yang ada pada kamu,
walaupun wujudnya perbezaan pendapat dalam hal lain. Tidak ada kemuliaan
yang lebih mulia daripada menunaikan janji. Ini juga diakui oleh orang
bukan Islam kerana mereka tahu padah melanggar perjanjian. Oleh itu,
jangan membuat alasan dalam melaksanakan kewajipan kamu dan jangan
sekali-kali memungkiri janji atau menipu musuh kamu. Perbuatan
memungkiri janji adalah kesalahan di sisi Allah.
Sesungguhnya janji rahmat Allah untuk semua manusia. Janji Allah
adalah pelindungan yang dicari, termasuk oleh manusia yang berkuasa di
bumi ini kerana Allah tidak memungkiri janjiNya. Oleh itu, jangan
membuat janji yang kamu tidak mungkin dapat menunaikannya. Jangan cabuli
janji yang kamu buat walaupun ia menyakitkan hati. Adalah lebih baik
menunggu dengan sabar akibat daripadanya daripada melanggarnya kerana
kebimbangan. Awas! Jangan menumpahkan darah tanpa sebab yang sah.
Di Hari Kiamat akan ditanya jenayah yang dilakukan. Oleh itu,
berhati-hatilah, jangan membina kekuatan Negara kamu dengan darah kerana
darah itulah yang akan melemahkan Negara dan menyebabkan Negara
bertukar tangan. Di hadapanku dan di hadapan Allah tidak ada alasan akan
diterima bagi pembunuhan yang disengajakan.
Pembunuhan adalah jenayah yang boleh dihukum mati. Jika dalam
melaksanakan hukuman rotan terhadap kesalahan jenayah ringan yang
menyebabkan kematian, janganlah berbangga dengan martabat Negara
sehingga menghalang keluarga si mati menuntut ganjaran.
Arahan Terakhir
Jangan tergopoh-gopoh melakukan sesuatu sebelum masanya, atau
melengah-lengahkannya apabila masanya tiba. Jangan mendesak melakukan
perkara yang salah, atau berlengah-lengah membetulkan kesalahan. Lakukan
segala sesuatu dalam tempohnya, dan biarkan segala sesuatu mendapat
tempat yang sewajarnya. Apabila semua orang bersetuju dengan sesuatu,
jangan memaksa mereka menurut pandangan kamu dan jangan cuai dalam
menjalankan tanggung-jawab kamu. Mata rakyat sentiasa memerhatikan kamu
dan kamu bertanggung-jawab terhadap apa jua yang kamu lakukan kepada
mereka. Kecuaian yang kecil akan ada kesan buruknya. Kawallah kemarahan
dan jagalah tangan dan lidah kamu. Apa jua yang menimpa, cubalah
bersabar, jika tidak ia akan menambahkan kebimbangan kamu.
Adalah amat penting bagi kamu mempelajari prinsip-prinsip yang telah
mengilhamkan orang yang adil dan pemerintah yang saksama sebelum kamu.
Berikan perhatian yang teliti terhadap contoh teladan Nabi Muhammad
s.a.w., hadisnya dan perintah Kitab Allah dan apa jua yang kamu telah
pelajari daripada urusan kamu. Berusahalah dengan segala kemampuan kamu
untuk menjalankan arahan yang saya berikan dan yang kamu telah bersumpah
setia untuk mengikutinya. Melalui arahan ini, saya memerintahkan kamu
supaya jangan tunduk kepada hasutan hati kamu atau berpaling daripada
menjalankan tugas yang diamanahkan kepada kamu.
Saya mencari perlindungan Allah yang Maha Berkuasa dan RahmatNya yang
tidak terbatas, dan menyeru kamu berdoa bersama saya supaya Dia memberi
rahmat kepada kita menerusi penyerahan kudrat kita kepada kemahuanNya.
Supaya manusia sejagat menghargai kita dan kerja kita berjaya. Saya
mencari puncak rahmat Allah dan berdoa agar Dia memberi kepada kita
kesyahidan di jalanNya. Sesungguhnya, kita akan kembali kepadaNya. Saya
mengungkapkan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan ahli
bait.
http://wikisource.org/wiki/Surat_Khalifah_Ali
Comments
Post a Comment