Tauhid uluhiah dan rububiah
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN.
Syarat sah syahadat kita adalah mengucap dengan lisan, membenarkan dengan hati dan beramal dengan anggota.
|
Menyorot ruangan Relung Cahaya minggu lepas, kita telah pun mempersoalkan dan membincangkan secara ringkas tentang sumber tauhid tiga serangkai ini.
Setelah kita mengetahui dengan jelas bahawa pembahagian tauhid kepada
tiga ini tidak mempunyai sumber yang sahih di sisi syarak, maka pada
minggu ini kami ingin mengajak pembaca menghalusi lagi penelitian
tentang permasalahan ini agar kebenaran akan terserlah dan kebatilan
akan terpadam.
Memandangkan pereka tauhid bidaah ini mengklasifikasikan tauhid
kepada tiga, maka kami ingin mengemukakan persoalan, apakah terdapat
perbezaan di antara tauhid uluhiah dan rububiah?
Sebelum persoalan ini dijawab, kami ingin berkongsi dengan pembaca
tentang jawapan ringkas melalui e-mel yang kami terima daripada seorang
pembaca yang pro-tauhid tiga serangkai ini.
Namun, jawapan yang mewakili penghantar tidak menjawab persoalan yang diutarakan pada minggu lepas.
Beliau hanya mengemukakan hujah hasil dari pemikiran Ibnu Taimiyyah
seperti yang dapat dilihat di dalam kitab-kitabnya, sedangkan hujah Ibnu
Taimiyyah ini telah lama disangkal oleh ulama ahli sunnah.
Perlu kita fahami, tidak semua ilmu yang diformulasikan atau semua hasil istiqra’ (telaah) atau pemikiran seseorang itu boleh diterima jika tidak sejajar dengan al-Quran dan sunnah.
Apatah lagi, ilmu yang berkaitan dengan akidah yang mesti dirujuk
dengan rapi dan betul kepada sumber yang sahih lagi mutawatir. Jika
wujud kepincangan, maka ia tertolak sama sekali.
Kepincangan itu telah pun dibincangkan oleh ulama dan telah pun kami paparkan dan akan kami sebutkan, insya-Allah.
Menurut penghantar e-mel itu lagi, mengingkari tauhid tiga ini
bererti tidak bertafaqquh terhadap kitab Allah, tidak mengetahui
kedudukan Allah, mengetahui sebahagian dan tidak mengetahui sebahagian
yang lainnya.
Dengan spontan benak hati kami bertanya, inikah jawapan yang
sepatutnya kami peroleh daripada seseorang yang merasa telah bertafaqquh
dengan kitab Allah?
Kami juga agak terkejut dengan kenyataan ini. Jika mereka yang
mengingkari tauhid tiga ini dianggap tidak bertafaqquh dengan kitab
Allah, bagaimanakah kedudukan ulama dan para sarjana yang telah saya
sebutkan pada siri pertama yang mengingkari pembahagian tauhid ini?
Apakah al-Azhar, sebuah universiti yang diiktiraf oleh dunia Islam,
mempunyai ulama dan tokoh-tokoh yang lemah kefahamannya tentang kitab
Allah? Bagaimana pula dengan Mufti Mesir yang telah menafikan dengan
lantang perkara ini di dalam fatwanya?
Apa pun jawapan yang dikemukakan oleh pro tauhid tiga serangkai ini,
ia telah kami rujuk di dalam kitab asalnya yang sememangnya tersimpan
kemas di perpustakaan kami.
Ramai ulama yang telah menjawabnya, cuma pada keluaran kali ini kami tidak berkesempatan untuk menyertakannya.
Sebaiknya kita tinggalkan dahulu tajuk ini dan kembali kepada persoalan hari ini.
Kenapa soalan ini dikemukakan dan sebelum persoalan ini dijawab, kami
ingin nyatakan di sini bahawa melalui tauhid tiga serangkai ini
didapati perekanya, Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya telah
menyatakan bahawa:
1. Orang musyrik atau orang yang menyekutukan Allah adalah ahli tauhid (orang yang mengesakan Allah) dengan tauhid rububiah.
2. Tauhid orang musyrik ini samalah dengan tauhid sebahagian orang
Islam yang bertawassul, beristighathah dan bertabarruk dengan para nabi
dan orang-orang soleh.
Ini bermaksud orang Islam yang bertawassul (memohon kepada Allah melalui perantaraan), beristighathah (menyeru minta tolong) dan bertabarruk
(ambil berkat) samalah dengan orang musyrik kerana tidak memiliki
tauhid uluhiah kerana dianggap menyembah apa yang ditawassulkan.
Kenyataannya berbunyi: “Tauhid rububiah sahaja tidak menafikan
kekufuran seseorang dan tidak mencukupi bagi keimanan/keislaman
seseorang”. (Risalah Ahli al Suffah H: 34.)
“Sesungguhnya orang-orang musyrik adalah ahli tauhid dengan tauhid
rububiah. Mereka tidak termasuk dari kalangan ahli tauhid uluhiah kerana
telah mengambil sembahan-sembahan yang lain untuk mendekatkan diri
mereka kepada Allah SWT”.
Mereka juga menyatakan: “Sesungguhnya orang-orang Islam yang
bertawassul dan beristighathah dengan para Nabi dan orang-orang soleh
serta bertabarruk dengan mereka (para nabi dan orang-orang soleh),
adalah kufur. Bahkan, kekufuran mereka lebih dahsyat daripada kekufuran
Abu Lahab, Firaun, Haman dan lain-lain”. (Fatawa Ibni Taimiyyah 14/380).
Ini adalah antara kenyataan yang tidak ditulis dan tidak ditemui di
dalam kebanyakan kitab-kitab berkaitan pembahagian tauhid ini di
Malaysia.
Di negara kita, tauhid ini masih berada dalam peringkat pengenalan.
Tetapi jika kita merujuk kepada kitab Ibnu Taimiyyah, Muhammad ibn Abdul
Wahhab dan pemuka-pemukanya, kenyataan ini banyak ditulis di dalam
kitab-kitab mereka. Inilah natijah sebenar yang akan kita dapati dari
pembahagian tauhid ini.
Oleh kerana itu, kita dapati di kebanyakan negara timur tengah yang
telah lama memakai tauhid ini berlaku pergolakan, perpecahan dan
pembunuhan akibat gejala sembarangan mengkafirkan dan menghalalkan darah
umat Islam yang dianggap menyanggahi tauhid ini.
Malah, dengan tauhid inilah menyebabkan berlakunya keruntuhan kepada
Empayar Uthmaniyyah yang merupakan empayar terbesar Islam suatu ketika
dahulu. Insya-Allah, perinciannya akan kami susuli pada keluaran akan
datang.
Apa yang pasti, kenyataan Ibnu Taimiyyah ini jelas bertentangan
dengan dalil-dalil syarak dan telah diketahui secara dharuri di sisi
ulama.
Bagi menjelaskan tentang kesalahan dan kebatilan pendapat mereka ini,
maka soalan ini dijawab: Sesungguhnya tidak ada perbezaan di antara
tauhid uluhiah dan tauhid rububiah.
Kedua-duanya adalah perkara yang sama dan tidak boleh dipisahkan
serta tidak menerima sebarang pembahagian. Allah tidak menerima daripada
hamba-hamba-Nya, melainkan akidah tauhid yang tulus dan suci
kepada-Nya, Tuhan sekelian alam, yang dilafazkan dengan lidah, diiktikad
dengan hati, diamalkan dengan anggota jasad dan dimanifestasikan dengan
kalimah (Laa Ilaaha Illallah).
Dengan perkara inilah, semua Nabi dan Rasul diutuskan.
Adakah orang kafir ahli tauhid?
Terhadap pendapat yang menyatakan bahawa orang kafir dan musyrik
sejak zaman berzaman adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah dan para
Rasul a.s tidak diutuskan melainkan dengan tauhid uluhiah.
Jawabnya: Hakikatnya, pendapat ini merupakan suatu perkara yang telah
menutup pintu kebenaran dan hakikat, menyalahi akal dan syarak dan
mendustai penjelasan daripada nas-nas al-Quran dan sunnah.
Perkara ini juga merupakan perkara bidaah yang sesat dan tidak
terdapat pada umat salaf yang terawal. Tauhid seperti ini meruntuhkan
akidah dan bersifat saling bercanggah.
Dalam satu masa, mereka telah menjadikan sekelompok orang Islam
sebagai ahli tauhid dan bukan ahli tauhid. Ini suatu perkara yang pelik.
Sedangkan, realitinya ialah seseorang itu mesti berada di salah satu
kedudukan, iaitu sama ada berada dalam kedudukan ahli tauhid atau pun
musyrik. Tidak boleh seseorang itu berada di antara dua keadaan (tauhid
dan kufur).
Kepercayaan mereka juga tentang ketauhidan orang musyrik dengan
tauhid rububiah tidaklah benar. Bahkan dakwaan ini adalah suatu penipuan
yang ditolak sama sekali oleh akal dan naqal.
Insya-Allah, kami akan mengemukakan dalil-dalil dari akal dan naqal pada minggu hadapan.
Sesungguhnya perkara yang paling pelik ialah menganggap orang kafir
sebagai ahli tauhid dan menganggap orang Islam yang telah mengucapkan
kalimah tauhid sebagai bukan ahli tauhid.
Renungilah! Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat 70 tahun.
Ibadah Abu Darda’ r.a yang paling utama selepas melaksanakan kefarduan
ialah bertafakur kerana dengannya dia sampai kepada hakikat suatu
perkara dan membezakan di antara yang hak dan batil.
Bahkan, dengannya juga dia dapat menilik kerosakan dan helah nafsu
yang halus, tipu daya dunia, dan mengenali helah-helah untuk lebih
berwaspada dengannya.
http://blogtraditionalislam.wordpress.com/2010/01/16/tauhid-uluhiah-dan-rububiah/
Comments
Post a Comment