Berbahagialah dengan berita gembira dari Allah,
“Janganlah
kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal
kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang
yang paling beriman.”(QS Ali-Imran:139)
Sering
benar ayah dan emak memperingatkan saya supaya menjaga keteguhan iman
walau di mana berada dan dalam menghadapi apa jua keadaan. Sewaktu di
bangku sekolah rendah saya menyangka dengan menghafal Rukun Islam dan
Rukun Iman, kita sudah sempurna sebagai seorang muslim yang teguh
iman. Setelah memulakan pengajian di IPT, barulah saya memahami pada
hakikatnya iman itu merangkumi ikrar dengan lisan, membenarkan dalam
hati dan mengerjakan dengan anggota badan. Dengan lain perkataan, iman
adalah keyakinan dan amal serta ucapan dan perbuatan. Adakalanya iman
meningkat dan ada kalanya menurun bertepatan dengan maksud sabda Nabi
Muhammad, “Iman itu boleh bertambah dan boleh berkurang. Maka perbaharuilah imanmu dengan kalimah Laa ilaaha illallah.”
Manakala
hati tempat bersemayamnya iman berkeadaan tidak tetap dan
berbolak-balik. Dengan yang demikian kita tidak boleh berpuas hati
dengan keadaan iman kita pada satu-satu masa tertentu. Mesti ada dua
perasaan, harap dan cemas. Mengharapkan Allah menetapkan kita dalam
keimanan yang tinggi sehingga kita dipanggil kembali ke sisi-Nya. Cemas
pula, agar kita tidak dimatikan dalam keadaan iman yang lemah. Dari dua
perasaan ini akan timbul rasa pergantungan diri dan jiwa kepada
kekuasaan dan perhatian Allah. Juga hati akan sentiasa bertekad untuk
meneliti keadaan iman kita sepanjang masa.
Kebelakangan
ini saya turut mendapat peringatan dari rakan-rakan yang karib; iman
itu juga seperti pakaian akan menjadi kotor dan lusuh. Jika demikian
hakikatnya, sudah tentu keadaan lusuh dan kotor itu terletak pada hati.
Sudah dikenal pasti sebelum ini iman itu berpusat terbitnya dari hati.
Pastilah hati yang bersih akan menerbitkan iman yang sempurna.
Mendapat Hati Bersih
Terasa
sangat rumit apabila saya fikirkan apakah jawapan yang tepat bagi
persoalan hati yang bersih ini. Lebih khuatir lagi jika nanti tahap
kebersihan hati akan menjejaskan iman yang lahir darinya. Syukur dengan
izin Allah jua tergugah saya apabila sewaktu bersahur pada hari pertama
berpuasa, ayah memperingatkan saya dan adik-adik tentang lafaz niat
berpuasa. Niat itu tidak hanya diungkapkan di mulut sahaja, malah lebih
penting mesti disebut maknanya di dalam hati, “Sahaja aku berpuasa dalam bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.”
Kemudian
fahamlah saya, bahawa hati yang bersih itu mengiringi niat melakukan
sebarang amal perbuatan ikhlas semata-mata kerana Allah. Tepatlah
seperti maksud sabda Rasulullah, “Sesungguhnya Allah tidak akan
menerima sesuatu amalan melainkan ikhlas kepada-Nya, dan ditujukan hanya
untuk-Nya.” (HR Abu Daud dan An-Nasai)
Al-Bukhari dan Muslim pula merekodkan, “Sesungguhnya amalan-amalan itu dengan niat, dan setiap urusan dikira dengan niatnya.”
Niat
mengikhlaskan perbuatan kerana Allah semata-mata. Dengan meletakkan
perbuatan itu di hati yang bersih akan menghindarkan manusia daripada
sikap sombong dan riyak.
Menurut Ali bin Abi Talib pula, tanda-tanda riyak itu pula ada empat;
1. Malas ketika bersendirian.
2. Bersemangat ketika berada di khalayak ramai.
3. Bertambah amalannya jika dipuji.
4. Berkurang amalan jika tidak mendapat pujian.
Sangat wajar kita hayati maksud yang terkandung di dalam hadis kudsi yang Rasulullah sabdakan, “Allah
berfirman: Tiap-tiap amalan anak Adam itu untuknya, kecuali puasa.
Puasa adalah bagi-Ku dan Aku-lah yang akan memberi balasan dengannya.
Puasa itu adalah perisai. Maka apabila seseorang itu berpuasa,
janganlah dia menyentuh isterinya, dan janganlah dia memaki-maki,
janganlah dia berkata tidak menentu, dan janganlah membuat kecohan. Jika
dia diserang oleh seseorang dengan kata-kata kesat, hendaklah dia
berkata; ‘aku sedang berpuasa.’ Demi Allah dan diri Muhammad yang berada
di dalam genggaman-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa di
sisi Allah lebih harum dari bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa, dua
kegembiraan yang akan dicapainya; pada waktu berbuka puasa dan pada
waktu bertemu dengan Rabb-nya.”
Siapa Ikhlas?
Bagi
melihat dengan lebih jelas dan teliti tentang sifat ikhlas dalam setiap
tindakan, mari kita renungi cebisan kisah yang berlaku dalam kalangan
sahabat-sahabat Rasulullah.
Suatu
ketika sahabat-sahabat Rasulullah berada di dalam majlis ilmu. Baginda
menatap wajah setiap yang hadir dengan tenang. Tiba-tiba salah seorang
dari mereka berkata, “Siapakah di antara kami yang akan menjadi ahli
syurga?”
Sahabat-sahabat
yang lain terkejut dengan soalan yang mereka anggap agak melampau.
Tidaklah sepatutnya terlalu menghitung tentang balasan yang bakal
diterima sesudah beramal. Hal tersebut semestinyalah dalam ketentuan dan
hak Allah memutuskan dan menganugerahinya.
Namun Rasulullah kelihatan tenang dan perlahan-lahan menjawab,
“Lihatlah ke pintu, sebentar lagi orang yang dimaksudkan akan muncul.”
Lalu setiap mata tertumpu memandang ke pintu. Sebentar kemudian muncul seorang
pemuda yang diketahui tidaklah terkenal. Juga bukan dari kalangan sahabat-sahabat yang unggul dan kuat berjuang. Tidak pula ramah tamah dalam pergaulan, malah kelihatan sering bersendirian.
Sememangnya
dia seorang pemuda yang sederhana penampilannya serta pendiam.Tidak
pernah bersuara jika tidak ditanya. Apakah yang hebat pada diri pemuda
itu yang membuat dia tersenarai untuk masuk ke syurga…? Setiap sahabat
Rasulullah tertanya-tanya pada diri masing-masing.
Rasulullah bersabda, “Setiap gerak-geri dan perbuatannya hanya diikhlaskan semata-mata mengharap keredaan Allah. Itulah yang menyebabkan Allah menyukainya.”
Terpegun
sahabat-sahabat Rasulullah mendengar penjelasan sedemikian. Bertolak
dari penjelasan Rasulullah tentang pemuda itu, fahamlah sahabat-sahabat
baginda tentang maksud sifat ikhlas yang begitu istimewa, indah dan luar
biasa. Bersih pula daripada segala kepentingan peribadi. Juga tidak
dicampuri riya’, ujub dan sombong.
Dalam
kehidupan bermasyarakat, ikhlas akan memberi kesan besar dalam
kehidupan sejagat. Masyarakat yang dipimpin dan dianggotai oleh
orang-orang yang ikhlas akan mampu mewujudkan suasana aman tenteram dari
kejahatan dan penyelewengan. Serta tercapai kestabilan dan
kesejahteraan. Kemudian akan lahirlah kemakmuran dan kesejahteraan
sejagat;
- membenarkan yang benar
- meluruskan yang lurus
- membatilkan yang batil
- menyebarkan kebaikan
- menegakkan keadilan
- menghapuskan kezaliman
- membersihkan kehidupan dari sebarang keburukan
- membina persefahaman dan perpaduan antara individu atas dasar kasih sayang dan tolong-menolong.
Selain
daripada itu sesungguhnya niat yang ikhlas merupakan nyawa kepada
ibadah. Juga penentu samaada amalan diterima Allah dan layak mendapat
keredaan-Nya. Akhirnya nanti akan memastikan tempat kembali di akhirat
kelak, samaada beroleh syurga ataupun neraka.
Menurut kata Fudhail bin ‘Iyadh,
“Meninggalkan amal kerana manusia adalah riya’, beramal kerana manusia adalah syirik. Ikhlas beramal adalah yang selamat dari keduanya.”
Dari itu dapatlah kita fahami, keikhlasan kita mestilah menyeluruhi merangkumi beberapa sudut;
1. Ikhlas mengakui Allah sebagai pencipta, pemilik, pemelihara, penguasa dan pemerintah alam semesta.
2. Ikhlas
menjadikan Allah satu-satunya tempat pergantungan dan pengharapan yang
ditakuti, dicintai, ditaati dan disembah sepanjang hayat.
3. Ikhlas menerima Nabi Muhammad sebagai contoh ikutan yang dipatuhi dalam praktik kehidupan Islam.
4. Ikhlas mengambil Al-Quran sebagai pedoman hidup.
5. Ikhlas menerima amanah Allah selaku hamba-Nya yang menunaikan peranan sebagai khalifah Allah di atas muka bumi.
6. Ikhlas beribadah sepanjang hayat semata-mata kerana Allah dan memenuhi perintah Allah.
Mari
sama-sama kita mulakan langkah mengikhlaskan semua amal perbuatan
semata-mata menuju keredaan Allah. Seiring dengan itu bergerak
membimbing tangan rakan remaja lain dan berganding bahu dalam berjuang
memerangi hawa nafsu! Inilah pertempuran paling sengit dalam kehidupan
insan. Sentiasa mesti diingat perisai yang mesti kita miliki ialah iman
dan takwa yang dibaluti keikhlasan.
http://ummu-anas.blogspot.com/
Comments
Post a Comment