Dunia Ibarat Permainan Melalaikan
Oleh Hashim Ahmad
MANUSIA sentiasa disuruh beramal untuk mendapatkan kebahagiaan akhirat. Manusia diingatkan sentiasa patuhi segala suruhan-Nya untuk bekalan akhirat
DUNIA diibaratkan seperti ladang untuk bercucuk tanam dan hasilnya
akan diperoleh di akhirat kelak. Hasil itu bergantung kepada apa yang
diusahakan. Jika amalan diusahakan itu baik maka baiklah hasilnya dan
begitu juga sebaliknya.
Allah berfirman yang bermaksud: “Barang siapa mengerjakan kebaikan
seberat zarah (debu yang halus) nescaya dilihatNya. Dan barang siapa
mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dilihatNya.” (Surah
Al-Zilzal, ayat 7-8)
Sesungguhnya setiap langkah, gerak geri dan tingkah laku kita di
dunia dalam pengetahuan Allah. Segala amalan manusia semuanya akan
direkodkan dalam diari dan diari itu akan dibentangkan di akhirat nanti.
Allah menugaskan dua malaikat, Raqib dan Atid untuk mencatatkan segala rekod kebaikan serta kejahatan dilakukan setiap individu.
Ahli tasauf menganggap dunia seperti bangkai dan manusia seperti
anjing. Sebab itulah manusia lebih sukakan dunia daripada akhirat.
Al-Quran juga ada menerangkan yang dunia ini adalah permainan dan
kelalaian.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan tidaklah penghidupan dunia itu
melainkan permainan dan kelalaian. Dan sesungguhnya negeri akhirat
adalah lebih baik bagi orang yang berbakti. Oleh itu tidakkah kamu mahu
berfikir.” (Surah Al-An’am, ayat 32)
Dunia ini diibaratkan sebagai permainan dan melalaikan. Permainan itu
akan tamat apabila tiba masanya. Kesenangan dan kemewahan dalam erti
kata sebenarnya ialah kesenangan dan kemewahan di akhirat yang kekal
selama-lamanya.
Hal ini jelas daripada firman Allah yang bermaksud: “Dan sebutlah
(ingatlah) nama Tuhanmu serta sembahyang. Tetapi kamu lebihkan
penghidupan dunia, pada hal akhirat lebih baik dan lebih kekal.” (Surah
Al-A’la, ayat 15, 16 dan 17)
Allah mengingatkan supaya manusia sentiasa ingat kepada-Nya dengan
menunaikan sembahyang, mematuhi suruhan dan meninggalkan segala
larangan-Nya. Namun, manusia lebih cenderung kepada penghidupan dunia.
Mungkin ini disebabkan dorongan syaitan dan hawa nafsu kerana syaitan
itu sentiasa berusaha menyesatkan manusia di muka bumi ini, pada hal
mereka sudah berkali-kali diberi peringatan bahawa akhirat itu lebih
baik dan kekal.
Islam bukan melarang manusia mencari kemewahan dan kesenangan di
dunia tetapi kemewahan itu biarlah sekadar memadai untuk menunaikan
tanggungjawab serta kewajipan yang membawa kepada kebahagiaan hidup di
akhirat.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan carilah dalam kurniaan yang Allah
berikan kepadamu itu (keselamatan) negeri akhirat. Tetapi janganlah kamu
lupakan bahagianmu dari di dunia.” (Surah Al-Qasas, ayat 77)
Manusia disuruh mencari atau beramal untuk mendapatkan kebahagiaan
akhirat. Di samping itu, Allah juga menegaskan bahawa dunia tidak boleh
dilupakan langsung. Cuma antara dunia dan akhirat, Allah menguatkan
supaya akhirat lebih diutamakan dari dunia.
Bagaimana halnya mereka yang lebih mementingkan dunia dari akhirat?
Allah berfirman yang maksudnya: “Mereka itu orang yang membeli kehidupan
dunia dengan akhirat, maka tidak akan diringankan seksaan ke atas
mereka dan mereka tidak akan diberi pertolongan.” (Surah Al-Baqarah,
ayat 86)
Inilah balasan orang yang sanggup meninggalkan akhirat dan
mengutamakan dunia. Mereka itu akan mendapat seksaan di akhirat kelak.
Sesungguhnya, untuk memperoleh kejayaan dan kesenangan sama ada di
dunia atau akhirat, kita disuruh melakukan segala kebaikan dan mencegah
segala larangan. Kita juga digalakkan membuat amal ibadat lebih banyak
daripada urusan keduniaan.
Keadaan ini jelas daripada sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Bekerjalah kamu untuk kepentingan di dunia ini seolah-olah kamu akan
hidup buat selama-lamanya, tetapi beramallah untuk kepentinganmu di
akhirat seolah-olah kamu akan mati pada esok hari.” (Hadis riwayat
Al-Asyakin)
http://epondok.wordpress.com
1
2
3
4
5
6
7
Dunia Ini Ibarat Permainan - Ustaz Kazim Elias http://epondok.wordpress.com
Comments
Post a Comment