Hanya Satu Persinggahan

Alhamdulillah, dapat juga duduk seketika dipapan elektronik ini untuk berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman sebagai bekalan untuk menempuh kehidupan yang penuh ujian dan tekanan ini.

Dunia ini hanyalah satu persinggahan. Kehidupan kita di dunia ini umpama seorang musafir yang berhenti berehat di bawah sepohon pokok kemudiannya meneruskan perjalanan semula. Bermula daripada alam ruh kita berpindah ke alam rahim kemudiannya kita singgah sebentar di alam kehidupan dunia dan seterusnya kita akan menempuh alam barzakh, alam mahsyar dan akhirnya alam syurga atau neraka. Bahkan kehidupan di dunia ini hanya seketika berbanding alam Akhirat yang selama-lamanya.

Namun kerana tipu daya syaithan yang menghiasi kehidupan dunia dengan menjadikannya kekal dan indah pada pandangan manusia menyebabkan ramai yang terperangkap hingga menjadikan dunia sebagai matlamat. Ramai yang mengabaikan Akhirat hinggalah tiba saat mereka dipanggil pulang mengadap Allah SWT barulah mereka tersedar dan insaf, sayangnya keinsafan pada masa itu telah kehilangan harganya.

Firman Allah SWT;

1. Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat Dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), 2. Sehingga kamu masuk kubur. (Attakthur:1-2)

Inilah hakikat kehidupan kita, simpang siurnya terlalu banyak dan mengelirukan. Tipudaya syaithan seringkali menyebabkan kita tersalah pilih dan tersungkur dalam pelukan dunia. Penyimpangan atau penyelewengan kadang-kadang bermula sedikit sahaja tetapi setelah masa berganti, waktu berlalu, tiba-tiba baru kita tersedar yang kita berada di satu sudut sedangkan Islam berada di sudut yang lain; kita berada di satu jurang sedangkan keredhaan dan pengampunan Allah berada di satu jurang yang lain.

Dengan rahmat Allah SWT, Rasulullah SAW datang mengajar dan membimbing manusia agar dapat keluar dari kegelapan ini dan melihat kehidupan dengan pandangan yang lebih luas. Pandangan hidup kita tidak lagi terperangkap kepada kehidupan di dunia sahaja malahan menjangkau kehidupan Akhirat yang kekal abadi. Rasulullah Saw mengajarkan kita bahawa dunia ini adalah ladang Akhirat. Sekiranya di dunia yang sementara ini kita menanam pokok-pokok yang busuk dan beracun maka kita akan menuai hasil yang sepertinya di Akhirat nanti. Sebaliknya jika dunia ini menjadi medan amal soleh maka kita akan beroleh pengampunan dan rahmat Allah SWT di Akhirat nanti.

Rasulullah SAW dengan penuh kesabaran dan kasih sayang menyampaikan Islam kepada umat manusia yang pada masa itu digambarkan oleh ahli sejarah Islam dan bukan Islam sebagai satu umat yang seolah-olah berada di dalam gerabak yang sedang menuju kehancuran. Bukan kehancuran kebendaan atau kekayaan tetapi kehancuran kemanusiaan yang menyeret jauh umat manusia pada masa itu ke lembah kegelapan dan kemusnahan; Manusia mula menyembah apa saja yang dapat memberi manfaat kepada mereka. Keadilan menjadi sesuatu yang terlalu asing dari kehidupan manusia, Yang gagah dan kaya bermaharajalela sedangkan yang lemah dan miskin hidup terhina. Pergaduhan dan peperangan sudah menjadi perkara biasa yang terlalu sukar untuk dihindari.

Islam datang mengajar manusia supaya mengenal diri dan memahami tujuan kewujudan manusia itu sendiri. Islam datang dengan memberi jawapan kepada tiga persoalan asasi manusia; Dari mana kita datang, Kenapa kita didatangkan dan kemana akhirnya tempat kembali kita? Melalui persoalan-persoalan besar dan asas ini manusia mula mengenal diri dan mula menggali saki baki kemanusiaan yang masih berbaki dalam dirinya setelah sekian lama terhakis oleh kehidupan jahili (kehidupan tanpa panduan Iman).

Inilah persoalan-persoalan yang perlu kita renungi semula, iaitu persoalan yang akan mendekatkan kita dengan hakikat diri dan hakikat perhambaan kita kepada Allah SWT.

Dari mana kita datang?

Al Quran mengajarkan kita hakikat kemuliaan insan. Tidak seperti yang digambarkan oleh Darwin bahawa manusia berasal daripada monyet. Bahkan Allah menegaskan di dalam al Quran bahawa manusia adalah sebaik-baik kejadian. Sebagaimana firman Nya;

“Hai manusia, apakah yang telah memperdayakan kamu (dengan berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang telah menciptakan kamu dan menyempurnakan kejadian kamu dan menjadikan (susunan tubuh) kamu seimbang dalam bentuk apa sahaja yang dikehendaki. Dialah yang menyusun tubuhmu.“
(Surah Al Infitar : ayat 6 – 8)

Kita adalah sebaik-baik makhluk yang dijadikan oleh Allah SWT dan dimuliakan kita dari seluruh makhluk Nya yang lain. Seluruh malaikat telah sujud kepada Nabi Adam AS. Allah s.w.t telah mengajar kepadanya segala sesuatu. Diletakkan di bahu kita amanah, lantas kita pikul. Dilimpahkan ke atas kita nikmat-nikmat dari sisiNya baik yang zahir maupun batin. Dijadikan untuk kita seluruh isi langit dan bumi. Dimuliakan kita dengan setinggi-tinggi kemuliaan. Diciptakan kamu dengan sebaik-baik penciptaan. Dipersiapkan kita dengan sesempurna persiapan. Diberikan kepada kita pendengaran, penglihatan dan hati. Dijelaskan kepada kita dua jalan (buruk dan baik) dan ditunjukkan kita dua persimpangan. Dipermudahkan kepada kita dalam membuat pilihan terhadap jalan-jalan tersebut. Dengan izinNya dan penciptaanNya, kita dapat terapung di air dan terbang di udara bahkan dapat memecahkan atom-atom. Dengan fikiran dan kemampuan kita, kita dapat melampaui lapisan-lapisan awan dan langit (serta bumi).

Lantaran itu adakah lagi penciptaan dan kejadian yang lebih mulia, lebih suci dan lebih agung dari penciptaan Rabbani ini?.

Kenapa kita didatangkan?
Kedatangan kita ke muka bumi tidak lain dari apa yang disebutkan di dalam surah Azzariyat ayat 56:
56. Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Tujuan hidup kita tidak lain selain ‘Ubudiyyah Lillahi Wahdah (Perhambaan semata-mata kepada Allah SWT). Seluruh kehidupan kita seharusnya menjadi ibadah kepada Allah SWT. Ibnu Taimiyyah menggambarkan ubudiyyah atau ibadah ini sebagai puncak rasa cinta dan hina diri berdepan dengan Allah SWT. Rasa cinta yang menyebbkan kita sanggup melakukan apa saja demi untuk Allah SWT serta rasa hina yang menyebabkan kita sentiasa menjadikan panduan Allah SWT (syariat atau undang-undang Allah SWT) sebagai rujukan utama kita tanpa menambah atau mengurangkannya.

Kemana Akhirnya Tempat Kembali Kita?

Kita akhirnya akan kembali kepada Allah SWT. Segala amalan semasa hidup kita akan menentukan apa kesudahan kita. Jika dunia ini menjadi ladang amal soleh maka kita akan bahagia selama-lamanya tetapi jika sepanjang kehidupan kita dipenuhi dosa dan maksiat maka kita akan menyesal selama-lamanya.

Firman Allah SWT

Tiap-tiap Yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa Yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi Segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya.

Inilah persoalan-persoalan dasar yang menjelaskan tujuan atau hakikat kehidupan kita di dunia ini. Tidak ada yang kekal abadi. Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian bahkan seluruh alam inipun akan hancur dan satu alam baru akan didirikan; iaitu alam Akhirat yang akan menentukan nasib kita untuk selama-lamanya.
 
 http://my.opera.com

Comments

Popular posts from this blog