Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia
“KAYA DUNIA MUFLIS DI AKHIRAT ”
(19 NOVEMBER 2010 / 12 ZULHIJJAH 1431H)
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Saya berpesan kepada tuan-tuan
dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan
pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan
segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada hari yang penuh berkat
ini menjadikan kita insan yang berjaya
di dunia dan akhirat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah:
“KAYA DUNIA MUFLIS
DI AKHIRAT”.
Muslimin
Yang dirahmati Allah,
Sebagai seorang Islam kita seharusnya bijak melayarkan bahtera kehidupan
ke arah yang benar mengikut petunjuk yang telah digariskan oleh al-Quran dan
Hadith. Untuk kita sampai ke destinasi akhirat maka hendaklah kita beramal
dengan seberapa banyak amalan kebajikan dan sentiasa berada dalam keampunan
Allah SWT semasa hidup di dunia. Ini
selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Hadid ayat 21:
Maksudnya: Berlumbalah kamu untuk mendapat
keampunan dari Tuhan kamu, dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang
disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya;.
Banyak ayat al-Quran mengambarkan
kepada kita perihal mereka yang melakukan dosa akan menjadi cemas, takut dan
merana bila dibentangkan buku catatan amalan mereka di Padang Masyar. Insaflah
bahawa segala amalan kita di dunia ini akan di adili di akhirat nanti walaupun
ianya sekecil zarah. Ketahuilah bahawa setiap amalan dan tingkah laku kita
semuanya di catat oleh malaikat yang di tugaskan oleh Allah SWT. Firman Allah
SWT dalam surah al-Infitaar ayat 10 dan 11:
Maksudnya: Padahal
sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan
kamu, (Mereka adalah
makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu).
Namun persoalannya pada hari ini ada
dikalangan kita yang kaya di dunia tetapi tidak bersedia untuk menghindari
muflis di akhirat. Mereka menikmati pelbagai kemewahan kurnian Allah SWT di
dunia tetapi tidak bersyukur dan mengabaikan tanggungjawab terhadap Allah SWT
dan mengkianati amanah sesama manusia. Dalam mengejar kemewahan mereka lupa
solat, zakat, menunaikan haji dan sebagainya kerana sibuk dengan pelbagai
urusan duniawi. Selain itu, mereka juga tidak prihatin kepada hak-hak sesama
manusia, hak-hak golongan fakir, miskin dan anak-anak yatim.Malah ada
dikalangan kita menzalimi sesama manusia. Ketahuilah bahawa gaya hidup sedemikian akan menjadikan mereka
muflis di akhirat. Nabi SAW dalam hadithnya yang di riwayatkan oleh iman Muslim
RA memberi amaran kepada kita tentang berlakunya gejala muflis dikalangan
umatnya. Sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: Bagi kami orang yang muflis ialah
orang yang tidak memiliki wang mahupun hartabenda”. Lalu Rasulullah SAW
bersabda lagi: Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka
yang pada hari Kiamat datang dengan membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan
haji tetapi semasa di dunia mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa
bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada
hari kiamat, orang yang di zalimi akan menerima pahala amal si penzalim. Jika
pahala amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa
di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Alllah SWT akan
memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat
bebannya, lalu Allah SWT campakkan dia ke dalam neraka." (Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadith ini, dapat kita fahami
bahawa golongan yang menjadi muflis di akhirat adalah berasal daripada mereka
yang memiliki pahala, seperti pahala solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Bagaimanapun,
semua pahala ibadah mereka itu habis kerana digunakan sebagai membayar ganti
rugi kepada insan yang pernah disakiti, dikianati atau dizalimi. Di samping
mereka dibebankan dengan dosa orang yang dizalimi.
Alangkah ruginya golongan muflis ini, kerana
walaupun mempunyai pahala kerana mengerjakan ibadah dan bermacam kebaikan,
akhirnya menjadi kosong kerana di ambil oleh orang lain sebagai ganti rugi dengan
sebab kesalahan terhadap orang lain atau kezaliman yang telah dilakukan.
Muslimin
Yang dirahmati Allah,
Dalam kehidupan sehari-hari kita perlu
berhati-hati agar tidak melakukan dosa, terutama dosa sesama manusia. Namun
kenyataannya pada hari ini segelintir daripada kita secara terangan melakuan
pelbagai kesalahan kepada orang lain, iaitu; Pertama: Mencabuli kehormatan dan harga diri melalui fitnah,
mengumpat dan mencaci. Kedua: Merosakkan harta benda dengan merompak, menyamun, mencuri, menipu dan
sebagainya, Ketiga: Mencabuli keselamatan dan kebahagiaan dengan
cara keganasan,penderaan mental dan fizikal, pukul, bunuh, perbuatan sihir,
ilmu hitam dan sebagainya. Keempat: Merosak rumahtangga melalui perbuatan curang
dengan suami atau isteri yang menyebabkan runtuhnya institusi keluarga.
Jika kita miskin di
dunia masih ada lagi orang yang bersimpati dan dapat membantu kita. Tetapi
bagaimana pula hal keadaan kita apabila muflis di akhirat ?. Siapakah yang akan
bersimpati, siapakah yang akan menolong kita dan siapakah pula yang akan
menyelamatkan kita dari azab seksaan neraka Allah SWT?
Perlu di fahami bahawa kehidupan di
akhirat lebih perlu di utamakan kerana ia merupakan kehidupan yang kekal abadi.
Kesejahteraan di akhirat tentulah memerlukan persiapan dan usaha yang lebih
terancang dan konsisten. Kita perlu banyak mengorbankan masa, fikiran dan
tenaga dalam mempersiapkan bekalan ke alam akhirat. Dengan persiapan dan bekalan yang mencukupi, kita akan dapat menghadapi pelbagai rintangan dalam
perjalanan menuju ke alam akhirat, bermula di alam kubur seterusnya di padang
Mahsyar dan di negeri akhirat. Ini
selaras dengan firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 73:
Maksudnya: “Dan orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka
dibawa masuk ke Syurga dengan berpasuk-pasuk, sehingga apabila mereka sampai ke
Syurga itu dibuka pintu-pintunya dan berkatalah penjaganya: Salam sejahtera
kepada kamu, berbahagialah kamu, silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan kekal.”
Muslimin
Yang dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah marilah sama-sama
kita menghitung diri kita, adakah kita sudah berada dalam gaya hidup yang diredhai
Allah ataupun gaya hidup yang di murkai oleh Allah. Andainya kita telah berada
dalam keredhaan Allah, maka kita pertingkatkan dan gandakan lagi agar ianya lebih
mendapat rahmat dan keredhaan Allah SWT. Andainya kita menderhakai kepada Allah
maka bersegeralah kita bertaubat dan kembali ke jalan Allah, mudah mudahan kita
diampuni Allah dan dilimpahi dengan kehidupan akhirat yang penuh dengan nikmat.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah
dalam surah Ali-Imran ayat 133:
Maksudnya: “ Dan segeralah kamu kepada
keampunan dari Tuhan kamu, dan Syurga yang luasnya seluas segala langit dan
bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.”
Comments
Post a Comment