Kebatilan Meramal Laillatul -Qadr


Salam,

1- Ramai manusia yang mencari-cari laylata l-qadr kerana inginkan balasan yang dijanjikan yang lebih baik daripada seribu bulan.

2- Ini menyebabkan mereka mencari-cari bilakah laylatu l-qadr itu, dan sentiasa ingin tahu adakah ia sudah berlalu atau masih perlu dicari.

3- Sebahagian pula tampil dengan segala rumus dan pengiraan untuk meramal laylata l-qadr, sebagai jalan pintas bagi memperoleh laylatu l-qadri yang lebih baik daripada seribu bulan.

4- Bilakah laylatu l-qadr yang sebenar? Dan benarkah ramalan-ramalan yang digembar-gemburkan tersebut?

5- Kata Nabi:
إني أريت ليلة القدر ، وإني نسيتها ، فالتمسوها في العشر الأواخر في وتر
«Sesungguhnya saya telah ditunjukkan laylata l-qadr, dan sesungguhnya saya telah terlupakannya, maka carilah ia pada sepuluh yang akhir pada yang ganjil» [Al-Bukhariy/ 2036]

6- Dalam hadis yang lain, Nabi berkata:
فالتمسوها في العشر الأواخر من رمضان ، التمسوها في التاسعة والسابعة والخامسة
«Maka carilah ia pada sepuluh yang akhir daripada Ramadhan. Carilah ia pada yang kesembilan, dan yang ketujuh dan yang kelima» [Muslim/ 1167]

7- Abu Sa`id Al-Khudriy menjelaskan ungkapan «Yang kesembilan, dan yang ketujuh, dan yang kelima» apabila ditanya seperti berikut:
يا أبا سعيد ! إنكم أعلم بالعدد منا ، قال : أجل ، نحن أحق بذلك منكم . قال قلت : إذا مضت واحدة وعشرين فالتي تليها ثنتين وعشرين وهي التاسعة . فإذا مضت ثلاث وعشرون فالتي تليها السابعة . فإذا مضى خمس وعشرون فالتي تليها الخامسة
Wahai Aba Sa`id, sesungguhnya kamu lebih mengetahuï tentang bilangan daripada kami. Dia berkata: Ya, kami lebih berhak dengan hal itu daripada kamu. Dia berkata: Saya berkata: Apabila berlalu dua puluh satu, dan yang mengikutinya adalah dua puluh dua, maka ia ialah yang kesembilan. Maka apabila berlalu dua puluh tiga, maka yang mengikutinya adalah yang ketujuh. Maka apabila berlalu dua puluh lima, maka yang mengikutinya adalah yang kelima. [Muslim/ 1167]

8- Justeru, menurut Abu Sa`id – dan beliau menegaskan bahawa mereka lebih berhak tentang bilangan itu – dia menjelaskan bahawa malam-malam ganjil yang disebutkan Nabi adalah malam-malam GENAP sebenarnya, menurut kiraan kita.

9- Kata Abu Sa`id, yang dimaksudkan dengan «Carilah ia pada yang kesembilan, dan yang ketujuh dan yang kelima» ialah carilah laylata l-qadr pada malam dua puluh dua (22), dua puluh empat (24) dan dua puluh enam (26)!

10- Sahabat yang lain iaitu Ibnu Mas`ub berkata:
من يقم الحول يصب ليلة القدر
Sesiapa yang mendirikan keseluruhan, dia akan memperoleh laylata l-qadr [Muslim/ 762]

11- Ubayy bin Ka`b mengulas kata-kata Ibnu Mas`ud dengan katanya:
أراد أن لا يتكل الناس
Dia mahu agar manusia tidak bergantung semata-mata! [Muslim/ 762]

12- Lihatlah bagaimana fatwa Ibnu Mas`ud yang mahukan manusia agar tidak bergantung semata-mata kepada satu-satu tarikh, sebaliknya menggalakkan manusia mendirikan keseluruhan malam yang akhir itu!

13- Semak pula pencarian laylata l-qadr yang kita lakukan, adakah kita mendirikan keseluruhan sepuluh malam-malam yang akhir atau hanya pada satu tarikh tertentu sahaja?

14- Benar, dalam hadis yang sama, Ubayy bin Ka`b berkata:
وأنها في العشر الأواخر . وأنها ليلة سبع وعشرين
Dan sesungguhnya ia pada sepuluh yang akhir, dan sesungguhnya ia pada malam dua puluh tujuh [Muslim/ 762]

15- Walau bagaimanapun, tarikh yang dinyatakan ini bergantung kepada faktor tanda atau alamat yang disebutkan oleh Nabi. Ubayy bin Ka`b ditanya:
بأي شيء تقول ذلك، يا أبا المنذر ؟ قال : بالعلامة ، أو بالآية التي أخبرنا رسول الله صلى الله عليه وسلم أنها تطلع يومئذ ، لا شعاع لها
Dengan alasan apa kamu berkata demikian wahai Aba l-Munzir? Dia berkata: Dengan alamat, atau dengan tanda yang Rasulu Llah telah memberitahu kami, bahawasanya ia terbit pada hari itu, tiada sinar baginya. [Muslim/ 762]

16- Justeru, pengiraan atau ramalan tarikh berlakunya laylatu l-qadr adalah terbatal, kerana tidak diketahuï bilakah ia berlaku melainkan setelah ia berlaku! Itu pun dengan merujuk kepada tanda-tanda yang diberitahu oleh Nabi.

17- Adalah wajar kita kembali kepada tarikh umum yang diberitahu oleh Nabi:
التمسوها في العشر الأواخر من رمضان ، ليلة القدر ، في تاسعة تبقى ، في سابعة تبقى ، في خامسة تبقى
«Carilah ia pada sepuluh yang akhir daripada Ramadhan, iaitu laylatu l-qadr, pada sembilan yang baki, pada tujuh yang baki, pada lima yang baki» [Al-Bukhariy/ 2021]


WaLlahu a`lam.

Ditulis oleh Mohd `Adlan Bin Mohd Shariffuddin

http://ad-diyari.com/

Comments

Popular posts from this blog