Penilaian Semula Tarikh Lahir Dan Wafat Nabi s.a.w
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang
Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. serta para sahabatnya.
Masyarakat Islam di negara kita umumnya menerima tarikh 12hb. Rabiul
Awwal sebagai hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. ( Maulidur Rasul ) .
Fakta ini perlu di kaji semula kerana didapati bercanggah dengan fakta
sejarah, hadis dan sains.
Disamping itu, sekiranya diterima juga tarikh wafat Nabi s.a.w. pada
12hb. Rabiul Awwal, (sebagaimana dipercayai umum), ia akan menimbulkan
satu konflik di dalam jiwa masyarakat yang mana di satu pihak mereka
merayakan kelahiran Nabi s.a.w. dan bergembira kerananya sedangkan di
pihak lain pula pada hari yang sama sepatutnya mereka bersedih dan tidak
boleh merayakan hari tersebut kerana ia juga merupakan hari kewafatan
Nabi saw. Jadi di manakah adanya kewajaran masyarakat merayakan Maulidur
Rasul yang juga merupakan hari perkabungannya? (Tanpa mengambil kira
perayaan Maulidur Rasul itu sendiri adakah bersesuaian dengan sunnah
atau ia satu bida’ah).
Di samping itu angka 12 yang dipilih untuk hari lahir dan hari wafat
Nabi saw berkemungkinan besar berpunca daripada Syiah Imam Dua Belas.
Justeru angka 12 ini bagi mereka merupakan angka sakti yang mereka
kaitkan sekian banyak keistimewaan dengannya. Apalagi jika orang yang
mula-mula mempopularkan tarikh ini adalah Ibnu Ishaq yang juga seorang
Syiah. (Taqribut Tahdzib, Al Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani, jilid 2,
halaman 144).
Pendapat yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w. dilahirkan pada 12hb.
Rabiul Awwal itu walaupun masyhur tetapi ia berasaskan riwayat yang
lemah kerana ia berpunca daripada Ibmu Ishaq seperti mana yang
diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya. Menurut
ulama-ulama rijal hadis, Ibnu Ishaq selain dianggap sebagai seorang Syiah, dia juga seorang yang lemah dalam riwayat-riwayatnya.
Imam Nasa’i mengatakan bahawa dia tidak kuat. Daraqutni mengatakan
hadisnya tidak boleh menjadi hujjah. Imam Abu Daud ada berkata, “Dia
adalah seorang yang berfahaman Qadariah dan Mu’tazilah.” Imam Sulaiman
At-Taimy, Hisyam bin Urwah, Yahya bin Said Al-Qatthan dan Imam Malik
mengatakan dia seorang pendusta besar. Malah Imam Malik pernah berkata,
“Dia seorang dajjal” (Mizanul I’tidal, Imam Zahabi, jilid 3, halaman 468
– 475). Ibnu Ishaq sendiri tidak menyebutkan sanad-sanad tempat
ambilannya.
Pendapat yang sahih dan kuat bagi tarikh kelahiran Baginda ialah pada
hari Isnin, 9hb Rabiul Awwal Tahun Gajah. Di antara ulama yang
berpendapat sedemikian ialah Humaidi, Uqail, Yunus bin Yazid, Ibnu
Abdillah, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khuwarazmi, Abdul Khattab
Ibnu Dihyah, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Ibnu Kathir, Ibnu Hajar dan
Badruddin `Aini (Al-Bidayah wa An Nihayah, jilid 2 halaman 260-261)
Pendapat ini juga disokong oleh penyelidikan yang dibuat oleh seorang
ahli falak yang terkenal iaitu Mahmud Pasya yang cuba menentukan tarikh
gerhana matahari dan gerhana bulan yang berlaku semenjak zaman Nabi
s.a.w. hingga ke zaman beliau. Berdasarkan kajian beliau, hari Isnin
tidak mungkin bertepatan dengan 12hb. Rabiul Awwal mengikut perkiraan
bagaimana sekalipun bahkan hari Isnin pada bulan berkenaan (Rabiul
Awwal) jatuh pada 9 haribulan. Beliau mengemukakan beberapa alasan untuk
menyokong hasil kajiannya. Antara alasan-alasan yang dikemukakan oleh
Mahmud Pasya ialah:
• Dalam Sahih Bukhari disebut ketika anak Rasulullah saw iaitu
Ibrahim wafat, telah berlaku gerhana matahari iaitu pada tahun ke 10
Hijrah dan Nabi Muhammad saw ketika itu berusia 63 tahun.
• Berdasarkan kaedah kiraan falak, diketahui bahawa gerhana matahari
yang berlaku pada tahun 10H itu adalah bertepatan dengan 7hb. Januari
632M pukul 8.30 pagi.
• Berdasarkan kepada kiraan ini, sekiranya kita undurkan 63 tahun ke
belakang mengikut tahun qamariah, maka kelahiran Nabi saw jatuh pada
tahun 571M. Berdasarkan kira-kira yang telah dibuat beliau, 1hb. Rabiul
Awwal menepati 12hb. April 571M.
• Perselisihan pendapat berlaku tentang tarikh kelahiran Nabi saw,
walau bagaimanapun semua pihak telah sepakat mengatakan ia berlaku pada
hari Isnin bulan Rabiul Awwal tersebut. Tetapi Mahmud Pasya mendapati
hari Isnin jatuh pada 9hb. Rabiul Awwal bersamaan 20hb. April 571M. Ini
menguatkan lagi pendapat ulama-ulama muktabar yang telah disebutkan di
atas.
Di antara penulis sirah mutaakhir yang menyokong pendapat ini ialah
Syeikh Muhammad Al Khudhori Bik di dalam “Nurul Yaqin” (hal. 6),
Safiyyuul Rahman Al Mubarakpuri di dalam “Ar Rahiqul Makhtum” (halaman
54), `Allamah Sibli Nu’mani di dalam “Siratun Nabi” (jilid 1 hal. 176),
Maulana Abdul Kalam Azad di dalam “Rasul Rahmat” (hal. 37) dan
lain-lain.
Berhubung dengan tarikh wafat Nabi Muhammad s.a.w. pula, beberapa
perkara yang telah diterima oleh ulamak hadis dan sirah perlu diletakkan
di hadapan untuk menentukan tarikhnya iaitu:
• Tahun kewafatan Baginda s.a.w. ialah 11H
• Dalam bulan Rabiul Awwal
• Antara 1hb. Hingga 12hb.
• Hari Isnin (Sahih Muslim, jld. 8 hal. 51-52)
• Hari wuquf di Arafah dalam Haji Wada’ pada 9 Zulhijjah tahun ke 10H
jatuh pada hari Jumaat. (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld.
2, hal. 15, Sahih Al Bukhari, Sahih Muslim, dll).
• Daripada hari itu (wuquf) sampai kepada hari wafatnya Nabi Muhammad
SAW adalah 81 hari. (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2
hal. 15, At Tafsir Al Kabir, Fakhrul Razi, j.11 hal. 139, Tafsir
Baghawi, Fathul Bari).
Berdasarkan kepada beberapa perkara yang telah diterima oleh para
ulama tadi, maka boleh diandaikan tarikh kewafatan Baginda s.a.w.
seperti berikut:
1 Diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar
mempunyai 30 hari (walaupun tidak pernah berlaku begitu tetapi
diandaikan mungkin juga berlaku) maka hari Isnin menepati 6 atau 13hb.
Rabiul Awwal.
2 Jika diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar
mempunyai 29 hari (walaupun ini juga tidak pernah berlaku) maka hari
Isnin menepati 2,9 atau 16hb. Rabiul Awwal.
Selain daripada dua andaian tersebut itu, terdapat enam andaian lagi seperti yang terdapat dalam jadual berikut:
Jumlah hari bagi bulan Tarikh Hari Isnin dalam bulan Rabiul Awwal
Zulhijjah (30) Muharram (29) Safar (29) 1 8 15
Zulhijjah (29) Muharram (30) Safar (29) 1 8 15
Zulhijjah (29) Muharram (29) Safar (30) 1 8 15
Zulhijjah (30) Muharram (29) Safar (30) 7 14 21
Zulhijjah (30) Muharram (30) Safar (29) 7 14 21
Zulhijjah (29) Muharram (30) Safar (30) 7 14 21
Daripada tarikh-tarikh yang diandaikan tadi; 6, 7, 8, 9, 13, 14, 15
dan 16hb. Rabiul Awwal tidak dapat diterima kerana selain daripada
alasan-alasan yang tersebut tadi, tidak ada satupun riwayat yang
menyokongnya. Berkenaan dengan 2hb. pula , selain daripada tidak mungkin
terjadinya ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar terdiri
daripada 30 hari di dalam kesemuanya, tidak ada juga riwayat yang sahih
mengenainya. Apa yang ada hanyalah riwayat Hisyam bin Muhammad Al Kalbi
dan Abu Mikhnaf yang dianggap sebagai pendusta oleh ulama-ulama hadis.
Berhubung dengan 1hb. pula, ia adalah daripada riwayat tokoh utama
sirah iaitu Musa bin Uqbah dan ulama hadis yang terkenal Imam Laith bin
Saad, Abu Nua’im Fadhal bin Dukain dan lain-lain. Pendapat ini juga
disokong oleh Imam Suhaili dan Al Khuwarazmi. (Fathul Bari, Jilid 16.
hal. 206, “Ar Raudhul Unuf,” jilid 7, hal. 579). Daripada
kenyataan-kenyataan yang disebut di atas, tarikh yang lebih tepat bagi
kewafatan Nabi S.A.W. ialah pada hari Isnin 1hb. Rabiul Awwal tahun 11H
bersamaan dengan 25hb. Mei 632M.
Berdasarkan kepada fakta-fakta yang telah kami kemukakan pihak kami
berharap agar masyarakat menilai semula tarikh sebenar kelahiran nabi
s.a.w. dan tidak merayakan suatu hari yang kononnya hari kelahiran Nabi
s.a.w. padahal ia bukanlah harinya yang sebenar.
http://alfiqrah.wordpress.com
Comments
Post a Comment