PERSOALAN KESIHATAN KAITAN RAMADHAN


Pil Cegah Haid

Soalan: Boleh seorang wanita memakan pil menghalang datangnya haid pada bulan ramadan atau ketika ingin menunaikan haji dan umrah? Sekiranya telah datang waktu haidnya tetapi haid tidak ada disebabkan pil tersebut, apakah ibadatnya sah?
Jawapan: Pertama, dia boleh menggunakan pil kerana tiada dalil syarak yang melarang perbuatan tersebut. Adalah menjadi kaedah bahawa asal sesuatu perkara itu dalam urusan kehidupan adalah harus, sehingga adanya dalil ianya dilarang. Demikianlah penggunaan pil tersebut, ianya harus kerana tiada dalil yang melarangnya.

Kedua, jika haid seseorang wanita tidak datang disebabkan pil tersebut maka dia dianggap tidak dalam haid dan sah ibadatnya. Ini kerana haid dihukum ada berdasarkan darah yang keluar, bukan berdasarkan andaian waktu. Maka dia boleh meneruskan ibadahnya dengan yakin tanpa sebarang syak.
Sumber : http://drmaza.com/ dengan judul asal Pil Perancang

Perkara-Perkara yang Membatalkan Puasa

Terdapat beberapa perbuatan yang wajib dijauhi oleh orang yang puasa, kerana sekiranya perbuatan-perbuatan tersebut dilakukan pada siang hari di bulan Ramadhan, ianya akan membatalkan puasa dan mungkin akan menjadikan ia berdosa. Perkara-perkara tersebut adalah sebagaimana berikut:

1. Makan dan Minum Dengan Sengaja

Allah Subhabahu wa Ta’ala berfirman:
“Dan makan serta minumlah sehingga terang bagimu benang putih dan benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga (datangnya) malam.” (al-Baqarah, 2: 187)

Dengan demikian, dapat difahami bahawa puasa itu adalah menahan diri dari makan dan minum. Ini kerana sekiranya orang berpuasa sengaja makan dan minum bererti ia telah berbuka (tidak berpuasa). Jika orang yang sedang berpuasa melakukannya atas sebab lupa, salah atau dipaksa, maka ianya tidak membatalkan puasanya. Perkara ini adalah berdasarkan dalil-dalil sebagaimana berikut:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Jika seseorang itu terlupa sehingga dia makan dan minum, hendaklah dia menyempurnakan puasanya, kerana sesungguhnya Allah yang memberinya makan dan minum.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/135) dan Muslim (1155))

“Sesungguhnya Allah memberi maaf kepada umatku kerana salah atau lupa dan kerana dipaksa.” (Hadis Riwayat at-Thahawi di dalam Syarhu Ma’anil Atsar (2/56), al-Hakim (2/198) Ibnu Hazm di dalam al-Ihkam (5/149) ad-Daruquthni (4/171) melalui dua jalan dari al-Auza’i, dari ‘Atha’ bin Abi Rabah, dari Ubaid bin ‘Umair, dari Ibnu ‘Abbas)

2. Muntah Dengan Sengaja

Barangsiapa yang muntah kerana terpaksa atau tidak sengaja, maka tidak membatalkan puasanya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Barangsiapa yang terpaksa muntah, maka tidak wajib baginya untuk meng-qadha puasanya, dan barangsiapa muntah dengan sengaja, maka wajib baginya mengqadhakan puasanya.” (Hadis Riwayat Abu Dawud (3/310), at-Tirmidzi (3/79), Ibnu Majah (1/536) Ahmad (2/498) melalui jalan Hisyam bin Hassan, dari Muhammad bin Siren, dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu. Sanadnya sahih, sebagaimana yang disampaikan oleh Syaikhul Islam di dalam kitab Haqiiqatush Shiyaam, m/s. 14))

3. Haidh dan Nifas

Jika seseorang wanita haidh atau nifas, pada suatu bahagian siang tertentu (di bulan Ramadhan), sama ada di awal atau pun di akhir waktu, maka mereka harus berbuka dan mengqadhakannya. Jika mereka tetap berpuasa, maka puasa tidaklah sah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Bukankah jika haid dia tidak solat dan puasa?” Kami katakan, “Ya.” Beliau berkata, “Demikianlah kekurangan agamanya.”

Dalam riwayat lain disebutkan:

“Beberapa malam dia diam tidak mengerjakan solat dan tidak juga berpuasa pada bulan Ramadhan. Jadi, inilah kekurangan agamanya.” (Hadis Riwayat Muslim (79) dan (80) dari Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu)

Perintah mengqadhakan puasa juga terdapat di dalam riwayat Mu’adzah, dia berkata:

“Aku pernah bertanya kepada ‘Aisyah, “Mengapa orang haid mengqadha puasa tetapi tidak meng-qadha solat?” ‘Aisyah berkata, “Apakah engkau wanita Haruri” (Haruri dinisbahkan kepada Harura’ (iaitu) negeri yang jaraknya 2 batu dari Kufah. Mereka yang memiliki sikap membantah dinisbahkan kepada kelompok tersebut (kelompok khawarij)) Aku menjawab, “Aku bukan Haruri, tetapi hanya (sekadar) bertanya.” ‘Aisyah berkata, “Kami pun haid ketika puasa, tetapi kami hanya diperintahkan untuk mengqadha puasa, tidak diperintahkan untuk mengqadha solat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/429) dan Muslim (335))

4. Suntikan Yang Mengandung Makanan

Iaitu menyalurkan zat makanan ke perut dengan maksud memberi makanan bagi orang yang sakit. Suntikan seperti ini membatalkan puasa, kerana memasukkan makanan kepada orang yang sedang berpuasa. Adapun jika suntikan tersebut tidak sampai kepada perut tetapi hanya ke darah, maka inipun juga membatalkan puasa, kerana kandungan cecair tersebut kedudukannya menggantikan kedudukan makanan dan minuman. Kebanyakan orang yang pengsan dalam jangka waktu yang lama diberikan makanan dengan cara seperti ini, seperti jauluz (glukosa) dan salayin (garam/Sodium), demikian pula zat-zat yang diberikan kepada sebahagian orang-orang yang sakit asma, maka inipun membatalkan puasa.

5. Jima’ (Bersetubuh)

Imam asy-Syaukani berkata (Dararil Mudhiyyah (2/22)): “Jima’ dengan sengaja, tidak ada ikhtilaf (perbezaan pendapat) padanya bahawa perkara tersebut membatalkan puasa, adapun jika jima’ tersebut terjadi kerana lupa, maka sebagian ulama menganggapnya sama dengan orang yang makan dan minum dengan tidak sengaja.”
Ibnul Qayyim berkata (Zaadul Ma’ad (2/66)), “al-Qur-an menunjukkan bahawa jima’ membatalkan puasa sebagaimana halnya makan dan minum, tidak ada perbezaan pendapat dalam perkara ini.”

Dalilnya adalah firman Allah:
“Sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang telah ditetapkan Allah untuk kalian.” (al-Baqarah, 2: 187)

Diizinkan bergaul (dengan isterinya) di malam hari, maka dapat kita fahami bahawa puasa itu dari makan, minum dan jima’. Barangsiapa yang membatalkan puasanya dengan jima’, maka dia harus mengqadhanya dan membayar kafarat. Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, (dia berkata):

“Pernah datang seseorang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kemudian berkata, “Ya Rasulullah, binasalah aku!” Rasulullah bertanya, “Apakah yang membuatmu binasa?” Orang itu menjawab, “Aku menjima’i isteriku di bulan Ramadhan.” Rasulullah bersabda, “Apakah kamu mampu memerdekakan seorang budak?” Orang itu menjawab, “Tidak.” Rasulullah bersabda, “Apakah engkau mampu memberi makan enam puluh orang miskin?” Orang itu menjawab, “Tidak.” Rasulullah bersabda, “Duduklah.” Dia pun duduk. Kemudian ada yang mengirimkan (membawakan) satu wadah kurma kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Rasulullah bersabda, “Bersedekahlah dengan kurma ini.” Orang itu berkata “Tidak ada di antara dua kampung ini keluarga yang lebih miskin dari kami.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun tertawa hingga terlihat gigi serinya, lalu beliau bersabda, “Ambillah, berilah makan kepada keluargamu.” (Hadis sahih dengan berbagai lafadz yang berbeza dari al-Bukhari (11/516), Muslim (1111), at-Tirmidzi (724), al-Baghawi (6/288), Abu Dawud (2390) ad-Darimi (2/11), Ibnu majah (1671) Ibnu Abi Syaibah (2/183-184) Ibnu Khuzaimah (3/216) Ibnul Jarud (139) asy-Syafi’i (299) Malik (1/297) dan Abdur Razzaq (4/196). Sebahagian mereka memursalkannya dan sebahagian yang lainnya menyambungkannya. Lihat juga di dalam Fathul Bari oleh al-Hafiz Ibnu Hajar (11/516))

Sumber : Akh. Nawawi Subandi,http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Panduan Ringkas Sepanjang Bulan Ramadhan

Perkara-perkara yang Membatalkan Puasa

1) Makan dan minum dengan sengaja. Jika terlupa atau tersalah atau dipaksa, tidak batal puasanya.

2) Muntah dengan sengaja, seperti menjolok jarinya ke tekak untuk mengeluarkan sesuatu. Jika termuntah, tidak batal puasanya.

3) Keluar haid atau nifas atau melahirkan anak, walaupun sebentar sebelum terbenam matahari.

4) Onani (mengeluarkan mani dengan sengaja) sama ada dengan tangannya, atau isterinya, atau orang lain, atau memeluk isterinya dengan syahwat. Jika keluar mani hanya kerana terpandang atau terfikir sesuatu yang mengghairahkan, maka hukumnya sama dengan mimpi basah di siang hari, i.e. tidak batal puasanya dan tidak wajib qadak. Begitu juga dengan keluar air mazi, tidak batal puasanya.

5) Memasukkan sesuatu ke dalam perut melalui rongga yang terbuka. Tidak batal memasukkan sesuatu ke dalam perut melalui rongga yg tertutup seperti mata (memakai celak atau menitik ubat pada mata) dan sebagainya. Tidak batal juga memasukkan sesuatu melalui rongga terbuka jika tidak sampai ke dalam perut, seperti mengorek hidung atau mengorek telinga atau menitik ubat telinga.

6) Berniat untuk berbuka puasa, walaupun tidak makan apa-apa.

7) Makan, minum atau berjimak kerana menyangka bahawa telah terbenam matahari (masuk waktu Maghrib), tetapi sebenarnya belum. Atau belum terbit matahari (masuk waktu Subuh), tetapi sebenarnya sudah. Ini adalah pandangan jumhur.

8) Berjimak dengan sengaja.

9) Murtad.

10) Gila, walaupun sebentar.

11) Makan atau minum ketika azan subuh dilaungkan. Ramai menyangka masih boleh makan dan minum ketika azan dilaungkan sehinggalah tamat azan. Ini adalah pandangan yang salah, kerana muazzin tidak disyariatkan untuk azan sehinggalah terbit fajar. Sesiapa yang meneruskan makan atau minum selepas muazzin mula melaungkan azan, maka batal puasanya dan wajib qadak.

Perkara-perkara yang TIDAK Membatalkan Puasa

1) Mandi atau membasahkan kepala untuk menyegarkan badan atau menghilangkan kepanasan dan dahaga. Jika tertelan air secara tidak sengaja, tidak batal puasanya.

2) Memakai celak, walaupun celak tersebut memasuki matanya, kerana mata bukan rongga terbuka yg menyampaikan bahan tersebut ke dalam perut.

3) Berkucupan sesama suami isteri, jika masih boleh mengawal diri daripada melakukan jimak.

4) Semua jenis suntikan, sama ada IV atau IM, kecuali Parenteral Nutrition (Fluid therapy)

5) Berbekam.

6) Berkumur-kumur dan memasukkan air melalui hidung ketika berwudhuk. Tetapi makruh jika dilakukan secara berlebih-lebihan.

7) Merasa makanan ketika memasak atau ketika ingin membeli makanan tersebut, selagi mana makanan tersebut tidak sampai ke halkum.

8) Menghidu bau-bauan.

9) Makan, minum atau berjimak pada malam hari sehinggalah terbit fajar (masuk waktu Subuh). Jika di dalam mulutnya terdapat makanan ketika azan subuh mula dilaungkan, wajib baginya mengeluarkan kembali makanan tersebut. Jika sengaja menelannya, maka batal puasanya. Begitu juga dengan jimak. Wajib berhenti ketika azan subuh mula dilaungkan. Jika dia menyambungnya, batal puasanya.

10) Bangun pagi dalam keadaan berjunub (hadas besar).

11) Menelan air liur yg bersih dan tidak bercapur dengan bahan lain, dengan syarat air liur tersebut masih berada di dalam kawasan tubuh badannya. Jika dikumpul di dalam bekas lalu diminumnya, batal puasanya.

12) Menggosok gigi. Harus melakukannya pada setiap waktu ketika berpuasa. Mengenai pendapat yang memakruhkan menggosok gigi selepas gelincir matahari, hadis tersebut sangatlah lemah (dhaif jiddan).

13) Tablet nitroglycerin dan yang seumpama dengannya yang diletakkan di bawah lidah (sublingual) . Biasanya digunakan untuk merawat sakit jantung.

14) Semua bentuk rawatan yang melibatkan kemasukan benda atau ubat ke dalam faraj seperti vaginal suppository, pencucian (doush), vaginoscope atau tangan doktor yang memeriksa pesakit (digital examination) .

15) Semua bentuk tiub atau bahan yang dimasukkan ke dalam badan melalui saluran kencing seperti urethroscope, barium, pencuci urethra.

16) Tampal gigi atau cuci gigi selagi mana tidak masuk ke dalam halkum (ditelan).

17) Pendermaan darah atau menerima darah.

18) Bantuan oksigen atau gas pelali (anesthetic gases).

19) Semua jenis krim atau minyak yang disapu pada kulit walaupun dibekalkan dengan bahan kimia yang terserap ke dalam kulit.

20) Ambil darah untuk ujian makmal.

21) Semua jenis salur yang dimasukan ke dalam salur darah untuk tujuan x-ray pada jantung atau mana-mana pada anggota badan (catheterization)

22) Laparoscope yang dimasukan ke dalam abdomen untuk tujuan pembedahan.

23) Semua jenis ubat kumur, seperti mouth-rinsing gargle, penyembur mulut selagi mana tidak masuk ke dalam halkum.

24) Uteroscope atau IUCD (pencegah hamil) yang dimasukan ke dalam rahim.

25) Sampel organ yang diambil dari badan seperti hati atau dari mana-mana anggota badan (biopsy).

26) Ubat asthma (inhaler).

27) Semua jenis ubat yang dimasukan melalui anus (dubur).

28) Pembedahan yang menggunakan pelali seluruh badan (general anesthesia) yang dijalankan pada siang hari setelah pesakit mula berpuasa sejak malam sebelum pembedahan.

29) Suntikan untuk merawat sakit buah pinggang melalui artificial kidney (dialysis) samada peritoneal atau hemodialysis

30) Memasukkan gastroscope ke dalam perut dengan syarat tiada sebarang cecair atau apa-apa bahan rawatan disalurkan.

Rujukan:
  • Fiqh As-Sunnah, Sayyid Sabiq
  • At-Taqriirat As-Sadiidah Fi Al-Masaili Al-Mufidah
  • Ibadah Pesakit Terbitan PERUBATAN Mesir
Sumber : via e-mail, Sdr. Mohd Effy Saiful Mohd Fathil, http://effysaiful.blogspot.com/

Merokok Semasa Puasa Ramadan

Soalan : Saya tahu bahawa merokok diharamkan oleh sebahagian ulama’. Bagaimanapun, saya ingin bertanya sebab rokok diharamkan semasa puasa. Apabila seseorang merokok, dia tidak memasukkan cecair atau makanan ke mulutnya.
Jawapan : Merokok adalah haram, maka tidak dinafikan lagi ia juga dilarang ketika berpuasa.

Berhubung sebab mengapa merokok membatalkan puasa, ini kerana rokok mengandungi partikel yang sampai ke perut.

Syaikh Ibn Uthaymin pernah ditanya mengenai orang berpuasa yang menghidu wangian perfum. Katanya;

“Adalah dibenarkan untuk menggunakan dan menghidu wangian perfum semasa siang Ramadan, kecuali asap kemeyan (atau gaharu). Asap kemeyan dan gaharu ini mengandungi partikel yang sampai ke perut, iaitu dari asapnya.”
(Fatawa Islamiyyah, 2/128)

Menghisap rokok seperti juga menghidu asap kemeyan dan gaharu, kerana kedua-duanya mengandungi partikel-partikel. Namun kedua-duanya berbeza dalam hukum asasnya; menghidu kemeyan adalah halal dan baik, sedangkan merokok haram dan mendatangkan keburukan.

Sumber : Diterjemah dan disunting dari http://islamqa.com

Guna Inhaler Semasa Puasa

Soalan : Di beberapa farmasi ada inhaler yang digunakan oleh sebahagian pengidap athma. Adakah orang yang berpuasa boleh menggunakannya di siang hari Ramadhan?
Dijawab oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin;

Menggunakan inhaler bagi yang berpuasa hukumnya boleh, sama ada ianya puasa Ramadhan ataupun yang lainnya. Kerana inhaler itu tidak sampai ke perut tapi hanya berfungsi melegakan saluran pernafasan dan penggunaannya pun hanya dengan bernafas seperti biasa. Jadi hal ini tidak seperti makan dan minum.

Sebagaimana diketahui, bahawa hukum asal puasanya adalah sah sampai ada dalil yang menunjukkan rosaknya puasa, baik dari Al-Kitab, As-Sunnah, Ijma’ ataupun Qiyas yang Sahih.

[Fadha’il Ramadhan, disusun oleh Abdurrazaq Hasan, Soalan no. 1]
[Disalin dari bukuAl-Fatawa Asy-Syar’iyyah Fi Al-Masa’il Al-Ashriyyah Min Fatawa Ulama Al-Balad Al-Haram, edisi Indonesia Fatwa-Fatwa Terkini, Penerbit Darul Haq]
Sumber :Disunting dan dialihbahasa dari http://www.almanhaj.or.id/

Suntikan Di Siang Hari Ramadhan

Soalan : Apakah suntikan perubatan di siang hari bulan Ramadhan mempengaruhi puasa?
Dijawab oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin:
Suntikan perubatan ada dua jenis. Pertama, suntikan (infusion), yang mana dengan suntikan ini boleh mencukupi keperluan makan dan minum. Maka suntikan ini termasuk perkara yang membatalkan.

Adapun jenis yang kedua adalah suntikan yang tidak mengandungi zat makanan dan minuman. Jadi suntikan jenis ini bukan bererti seperti makan dan minum. Maka hukum puasanya sah sampai ada dalil syar’i yang menetapkan bahawa hal itu membatalkannya.

[Fatawa Ash-Shiyam, dikumpulkan oleh Muhammad Al-Musnad, hal. 58]
Sumber :Disunting dan dialihbahasa dari http://www.almanhaj.or.id/

Puasa Pesakit Diabetes

DIABETES Mellitus (DM) adalah penyakit kronik di mana terdapat kadar gula berlebihan di dalam darah yang disebabkan oleh gangguan hormon insulin iaitu hormon yang berperanan mengawal paras gula dalam darah, baik secara kuantiti (insulin berkurangan) atau kualiti (insulin tidak berkesan).

Mengikut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Kedua pada 1996, lebih 1.5 juta penduduk negara ini menghidap diabetes. Daripada jumlah itu, kira-kira satu juta terdiri daripada mereka yang beragama Islam yang secara amnya bertanggungjawab untuk berpuasa di bulan Ramadan.

Persoalannya, bolehkah pesakit diabetes berpuasa sedangkan mereka terpaksa begantung kepada ubat-ubatan atau suntikan insulin setiap hari untuk mengawal penyakit?

Pesakit diabetes yang beragama Islam bolehlah mengikuti panduan berikut, yang dipetik daripada persidangan yang menggabungkan pemikiran para ulama Islam dan doktor perubatan moden.

Siapa yang boleh dan tidak boleh berpuasa?

Secara umumnya, pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan dan diabetesnya terkawal serta tidak memerlukan insulin memanglah digalakkan berpuasa.

Walau bagaimanapun, pesakit diabetes yang tidak terkawal paras gulanya dan tidak mengambil ubat-ubatan atau suntikan insulin seperti yang disyorkan oleh doktor mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk berdepan dengan komplikasi jika berpuasa.

Antara pesakit diabetes yang tidak digalakkan berpuasa termasuklah;

· Penyakit diabetesnya tidak stabil. Dibimbangi ia akan mengakibatkan pelbagai komplikasi seperti dehidrasi (kekurangan air), jangkitan kuman dan koma.
· Mengalami komplikasi diabetes yang serius seperti penyakit jantung koronari dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal.
· Kerap mengalami komplikasi diabetik ketoasidosis (lebih cenderung bagi pengidap Diabetes Jenis I dan pesakit yang menggunakan suntikan insulin).
· Kerap mengalami komplikasi hipoglisemia (kekurangan gula dalam darah).
· Sedang mengalami jangkitan kuman.
· Warga tua dan tinggal bersendirian.
· Hamil yang memerlukan suntikan insulin.
· Berusia di bawah 12 tahun.

Pesakit diabetes yang ingin berpuasa mestilah bersahur, menyegerakan berbuka puasa, makan ubat/menyuntik insulin mengikut nasihat doktor, mengawasi penyakit diabetes dan kesihatan mereka secara umumnya dan peka dengan tanda-tanda hipoglesemia, hiperglisemia (gula berlebihan dalam darah) dan dehidrasi.

Mereka harus segera berbuka apabila mengalami samada hipoglisemia, hiperglisemia atau dehidrasi. Adalah haram untuk pesakit meneruskan puasa kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan. Jangan sekali-kali mengubahsuai dos ubat atau insulin dan waktu ia harus dimakan/disuntik tanpa rujukan doktor.

Mengenal pasti keadaan hipoglisemia, hiperglisemia dan dehidrasi
Hipoglisemia
Hiperglisemia
Dehidrasi
Menggigil
Terlalu lemah
Amat lapar
Berpeluh
Pucat
Berdebar-debar
Gelisah
Koma (tidak sedarkan diri)
Kerap buang air kecil
Terlalu dahaga
Sangat letih
Amat dahaga
Kulit dan lidah yang terlalu kering
Fikiran terganggu



Diet - Elakkan makan berlebihan ketika berbuka puasa dan pada waktu malam. Karbohidrat dan makanan berlemak boleh menambahkan berat badan serta menyukarkan kawalan diabetes.
Panduan kepada pesakit diabetes yang dibenarkan berpuasa
Sahur
Berbuka
Sekurang-kurangnya semangkuk oat/bijirin ATAU
3-4 keping roti ATAU
Nasi dan lauk (lebihkan sayur-sayuran)
Hadkan pengambilan air bergula, kuih-muih manis.
Jika memakan kurma, hadkan kepada dua hingga tiga biji sahaja.
Kurangkan pengambilan nasi dan lebihkan sayur-sayuran.
Senaman – Melakukan aktiviti fizikal yang ringan ketika berpuasa tidak akan mendatangkan kemudaratan. Perubahan terhadap diet dan ubat-ubatan ketika bersahur harus dibuat (mengikut nasihat doktor) bagi mengelakkan hipoglisemia.

Ubat – Dapatkan nasihat doktor tentang pengubahsuaian dos serta waktu pengambilan ubat. Sebagai panduan, dos ubat-ubatan seperti glibenclamide, gliclazide, glipizide, chlorpropamide dan Acarbose yang di ambil sebelah pagi pada kebiasaannya di hari tidak berpuasa, ditukar masa pengambilannya ke waktu berbuka puasa.

Dos yang diambil sebelum makan malam malam sewaktu tidak berpuasa pula perlu diambil sebelum bersahur. Pengurangan dos yang diambil mungkin perlu untuk mengelakkan hipoglisemia.

Ubat seperti repaglinide perlu dimakan pada waktu bersahur dan berbuka puasa. Metformin dan Rosiglitazone secara amnya kurang mengakibatkan hiploglisemia dan selalunya tidak memerlukan perubahan dos.

Insulin – Dos dan waktu insulin disuntik harus diubahsuai mengikut arahan doktor berdasarkan ujian tahap gula dalam darah yang dilakukan pada permulaan puasa seperti berikut:

Tiga kali suntikan insulin: Dua dos insulin yang bertindak segera (short-acting insulin) ketika berbuka dan sebelum bersahur. Ini diikuti dengan satu dos insulin yang bertindak lama (intermediate acting insulin) sebelum tidur.

Dua kali suntikan insulin: Satu dos insulin yang sudah dicampur (premixed insulin) ketika berbuka puasa. Dos yang diperlukan adalah sama seperti dos yang diberika pada waktu pagi di hari tidak berpuasa. Satu dos insulin yang bertindak segera pula diberi sebelum bersahur .

Pada permulaan bulan puasa, tahap gula dalam darah perlu diuji pada waktu-waktu berikut:

· Sebelum bersahur
· Dua hingga empat jam sebelum bersahur
· Sebelum berbuka puasa
· Dua hingga empat jam kemudian

Perkara lain yang perlu diberi perhatian

Pesakit yang memerlukan insulin perlu menjalani ujian ketone di dalam air kencing atau darah, sekiranya tahap gula di dalam darah mereka terlalu tinggi. Langkah ini dapat mengelakkan berlakunya koma diabetik ketoasidosis. Pesakit ini juga mesti segera berbuka puasa.

Awasi berat badan di sepanjang bulan puasa. Pertambahan lebih dua kilogram perlu dimaklumkan kepada doktor. Jika dalam satu hari berat badan didapat berkurangan 3%, pesakit mestilah segera berbuka bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya dehidrasi yang serius.

Banyakkan minum air tetapi elakkan minuman manis. Gantikan air yang hilang ketika membuang air kecil di tengah malam dengan meminum air.

Dengan pengawasan yang baik, ibadah puasa dapat dilaksanakan dengan selamat oleh pesakit diabetes. Pesakit perlu menjaga diet ketika berbuka, bersahur dan mendapatkan nasihat doktor berhubung pengubahsuaian dos dan waktu ubat/insulin harus dimakan/disuntik. Pesakit perlu peka terhadap tanda-tanda hipoglisemia atau dehidrasi. Sekiranya ia berlaku, pesakit mestilah segera berbuka puasa.

Sumber: Artikel asal disediakan oleh A/Prof Dr Nor Azmi Kamarudin, Klinik Diabetis dan Endokrinologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan diterbitkan untuk pendidikan ehsan oleh Novo Nordisk Pharma (M) Sdn Bhd.

 http://fiqhmedic.wordpress.com/

Comments

Popular posts from this blog