Mesej Cerai Main-Main - Ustaz Kazim Elias 

 

1
2

 
Akibat lakunan cerai!!

Mufti Perak Gesa Vanidah Imran dan Suami Rujuk Jabatan Agama, Mengapa?



[UM] KUALA LUMPUR 23 Sept. 2012 - 
Pasangan pelakon Rashidi Ishak dan Vanidah Imran (Vee) digesa segera merujuk kepada jabatan agama Islam berikutan lafaz cerai yang diungkapkan Rashidi terhadap Vanidah dalam filem Untuk Tiga Hari.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, lafaz cerai yang diungkapkan Rashidi sewaktu melakonkan watak Zafrin dalam filem itu menyebabkan perkahwinan sejak 1 Oktober 2000 antara beliau dan Vanidah tidak sah di sisi agama.

"Ia umpama menjadikan sesebuah perkahwinan itu sebuah permainan seperti kahwin muta'ah. Justeru, saya menasihatkan kedua-dua mereka merujuk kepada jabatan agama Islam dengan segera.

P/s: Patutnya tuan mufti turut menasihati pelakon terutama yang sudah berumah tangga tentang adab dan batasan ketika berlakon. Usahkan aurat, ada pelakon rela tubuhnya dirangkul, atau merelakan isterinya diperlakukan begitu atas alasan skrip atau pengarah meminta mereka berbuat demikian.

Sanggup membuat dosa atau menjadi dayus kerana wang ringgit!
 
SUMBER
 

Cerai Taklik

 
Bismillahirrahmanirrahim, wa bihi nastaien

Dua perkataan yang betul-betul pun jadi, main-main pun jadi. Iaitu perkataan ‘nikah’ dan seerti dengannya dan ‘talak’ dan perkataan yang seumpamanya. Kalau belajar kitab fikah bab ini, tuan guru akan beria-ia memesan agar dua perkataan ini (jika) perlu dilafazkan dengan penuh hati-hati. Katanya inilah dua perkataan yang diucapkan secara sungguh-sungguh pun jadi, main-main punjadi. Maksudnya, ia akan terjadi sepertimana yang dilafazkan.

Dua perkataan itu adalah berkaitan ikatan mutlak antara seorang lelaki dengan seorang perempuan. Sama ada termeterai atau tercerai. Ia termasuk dalam hukum Allah yang bukannya diletakkan untuk main-main. Perkara ini melambangkan bahawa hukum Allah itu suatu yang serius, penting, bermatlamat dan sesekali tidak berhak untuk dimain-mainkan oleh mereka yang waras akal fikirannya. Sebenarnya bukan dua perkataan itu sahaja hukum Allah yang tidak boleh dimain-main, tidak boleh dibuat selamba dan sambil lewa tetapi baki keseluruhan ketetapan Allah. Cuma “kuasa” dua perkataan ini terletak dihujung bibir ramai orang (iaitu wali dan suami).

Maksud
 
Cerai taklik bermaksud perceraian yang berlaku kerana suami telah bertaklik. Taklik ialah perkataan Arab yang memberi maksud (dalam bahasa Melayu) bergantung, tergantung atau bergantungan. Biasanya diterjemahkan sebagai cerai bersyarat. Manakala daripada segi Istilahnya, ialah perceraian yang berlaku kerana suami telah melafazkan talak atau cerai ke atas isteri dengan syarat-syarat atau peristiwa yang tertentu. Seperti kata suami “apabila saya meninggalkan isteri selama empat bulan tanpa nafkah, dan isteri telah mengadu kepada hakim syarie serta telah membuat bayaran RM1 bagi pihak diri saya, maka jika sabit kesalahan, pada masa itu jatuhlah satu talak khalie”.

Persoalan 1
 
Satu hari ana terima panggilan daripada seorang kawan lama. Kawan yang sudah sangat lama tidak berjumpa. Pelik juga kerana dia dapat nombor telifon ana. “Kalau nak, seribu daya kan?” jawabnya apabila ana tanya “mana dapat no ni?”. Tujuan dia hubungi ana kerana ingin meminta pendapat berkenaan situasi dalam rumahtangganya. Katanya dia telah lafazkan kepada isterinya “Kalau awak sms lagi lelaki ni, maka jatuh talak”.

Dengan tidak semena-mena isterinya itu menghantar sms “dah lah, suami saya tak nak saya sms awak lagi. tq” Tujuannya hanyalah untuk memberitahu itulah sms terakhirnya kepada lelaki berkenaan. Apakah situasi mereka? Adakah ikatan yang telah lama terjalin itu telah terpisah? Macamana?

“Perkara ni serius” Kata ana. “Aku tahu, tapi masalahnya adakah ia jadi (jatuh talak) sebab dia sms pun untuk bagitahu itu adalah sms terakhirnya”. Balas rakan ana. Maka ana minta sedikit masa bagi membuat rujukan. Kemudian bila dapat jawapan, ana call dia balik. Ternyata walaupun itu adalah sms terakhir tetapi peristiwa sebagaimana yang dilafazkan (taklik) itu telahpun berlaku. Iaitu si isteri telah menghantar sms kepada si lelaki yang dimaksudkan.

Walaupun ia adalah sms terakhir dan tidak ada tujuan lain selain memberitahu agar tidak lagi akan menghantar sms kerana suaminya tidak suka dan sangat serius dalam perkara itu (hantar sms). Maka pada saat si isteri menghantar sms terakhir itu, jatuh lah talak satu (kerana si suami tidak menyebut bilangan talak dalam lafaznya).

Agar peristiwa seperti dalam lafaz suami tidak berlaku, si isteri boleh meminta suaminya sendiri mengantar sms (terakhir itu). Atau, si isteri call sahaja (buat panggilan) kepada lelaki terbabit bagi memberitahu hasratnya. Atau, si isteri meminta rakannya yang lain memberi tahu (sama ada dengan sms atau apa sahaja cara) hasratnya kepada lelaki itu dan sebagainya lagi betuk peristiwa yang tidak memungkinkan perkara (seperti dalam lafaz taklik) itu terjadi.

Persoalan 2
 
Seorang mak saudara ana bertanya perihal rakannya yang telah ditaklik oleh suami. Kata suaminya “kalau lelaki ni datang lagi ke rumah ni, jatuh talak awak”.

Kebetulan satu hari si lelaki yang dimaksudkan oleh suaminya itu datang ke rumah mereka. Maka apakah talak telah jatuh? Kerana kedatangan si lelaki itu adalah di luar kemampuan si isteri. “Orang nak datang, dia tak bagitau nak datang, dan kita mana boleh nak tahan orang yang bernyawa nak ke sana ke mari, dan datang ke rumah kita” kata si isteri berkenaan.

Setelah membuat rujukan, ternyata talaknya juga telahpun terjadi. Kerana ia betul-betul terjadi seperti yang dilafazkan oleh si suami. Kalaulah si suami berkata “kalau awak tak larang lelaki tu datang, maka jatuh talak” barulah talak tersebut tidak jatuh hanya dengan kedatangan lelaki yang tak diundang itu. Kerana disebutkan syarat ‘tidak halang’.

Setelah perkara seperti ini berlaku, kedua-dua pihak suami dan isteri udah tidak boleh tidur bersama. Mereka perlu segera merujuk kepada Mahkamah syariah dan menjalani prosidur tertentu. Pun begitu, mereka masih boleh duduk serumah. Kalau sabit kesalahan (cerai) oleh mahkamah, lepas ni mereka boleh rujuk perkahwinan mereka itu semula. Dan menjadikan persitiwa ini sebagai panduan agar tidak melafazkan talak lagi pada masa hadapan.

Kesimpulan
 
Berdasarkan perbualan ana bersama mereka yang mengajukan persoalan di atas. Kedua-dua pasangan seakan tidak inginkan perceraian berlaku. Mereka tidak menyangka bahawa peristiwa sebagaimana yang dilafazkan itu akan berlaku. Mereka ingin menyatakan bahawa mereka benar-benar serius. Dan berharap (di dalam hati) agar isteri tidak lagi melakukan peristiwa itu (kes 1). Atau membiarkan peristiwa itu terus berlaku (kes 2).

Kedua-dua kejadian tersebut telah memberi impak yang baik kepada semua yang terlibat. Mereka akhirnya faham akan kepentingan lafaz taklik yang (jika) perlu dilafazkan adalah dengan ilmu. Banyak yang mereka pelajari daripada peristiwa tersebut dan mendoakan agar hubungan mereka suami isteri selepas ini akan bertambah baik. Sesungguhnya ilmu yang satu ini, sangat mahal harganya (sehingga dapat dan telah meruntuhkan sebuah rumahtangga) dan mereka akan lebih menghargainya lagi (buat panduan di hari kemudian).

Ala kulli hal, kedua suami dan isteri perlu kepada ilmu pengetahuan agama yang tinggi di dalam usaha mereka menjalani kehidupan rumahtangga yang baik, cemerlang, sempurna dan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Satu-satunya usaha yang perlu adalah menimba ilmu dan sesekali tidak merasakan ilmu telah penuh di dada.
Wallahu aklam.

p/s: Matlamat ana ‘public’kan masalah ini adalah untuk tujuan pendidikan semata-mata dan ia tidak melibatkan nama mana-mana pihak secara khusus, sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia. Pun begitu, ana tidak nafikan bahawa kedua-dua kisah ini adalah kisah benar berdasarkan pengalaman peribadi ana di dalam (asbab) menimba ilmu Allah. Sama-sama kita ambil pengajaran daripada dua kisah realiti ini dan jadikannya sebagai panduan.

Namun, pelawat, pengunjung dan sesiapa sahaja yang berkenaan, adalah bertanggungjawab terhadap apa sahaja yang mereka utarakan dalam ruangan ini. Pemilik blog iaitu ana tidak boleh dipersalahkan sekiranya mana-mana pihak terdedah dengan kerugian akibat maklumat yang ada pada mana-mana bahagian dalam ruangan ini (sama ada soalan pelawat atau respon ana).

Sekali lagi ditegaskan bahawa ruangan ini hanyalah bertujuan memeriahkan input ilmu dan pengalaman. Mana-mana bahagiannya tidak boleh diambil sebagai hujjah yang terpakai dalam mana-mana perundangan yang sedang berkuatkuasa di mana-mana negara dan negeri. Pengunjung adalah dinasihati merujuk pihak-pihak yang lebih berotoriti untuk kes-kes peribadi yang tersendiri.

 http://ibnrajab.wordpress.com

Comments

Popular posts from this blog