- SELAMAT MELAYARI BLOG INI SEMOGA KITA MEMPEROLEHI MANFAATNYA DAN HARAP DISEBARLUASKAN KEPADA PEMBACA YANG LAIN PULA BERSESUAIAN DENGAN SABDA RASULULLAH S.A.W "SAMPAIKAN DARIPADAKU WALAUPUN DENGAN SATU AYAT"

Saturday, September 1, 2012







Gambaran kiamat menurut al-Quran 

 

SURAH al-Zalzalah termasuk dalam kategori surah Madaniyyah. Inilah pendapat Ibn Abbas, Qatadah, Muqatil dan jumhur ulama. Sedangkan Ibn Mas’ud, Ata’ dan Jabir pula berpendapat ia termasuk dalam surah Makiyyah.Ia mengandungi lapan ayat dan diturunkan selepas surah al-Nisa’. Hubungan surah ini dengan surah al-Bayyinah adalah: Dalam surah yang lalu diterangkan balasan yang diterima oleh orang yang beriman dan orang kafir. Dalam surah ini pula, Allah SWT menjelaskan waktu dan tanda-tanda berlaku hari kebangkitan.

Sebab nuzul

Orang kafir sering bertanya tentang hari pengadilan. Mereka bertanya: Bilakah datangnya hari Kiamat itu? Manakala sesetengah yang lain bertanya: Bilakah datangnya janji itu?

Dalam surah ini, Allah SWT menerangkan tanda-tanda akan berlakunya hari kiamat agar mereka mengetahui bahawa tiada jalan lain untuk menentukan hari itu iaitu hari yang didedahkan kepada manusia bahawa mereka semua akan kembali menghadap Allah SWT untuk mengurniakan balasan pahala kepada orang yang beriman serta seksaan kepada orang yang melakukan perbuatan dosa.

Tafsiran ayat

Firman Allah SWT: Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan (yang dahsyat). Dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandungnya).

Ibn al-Jauzi menyebut dua pendapat ulama berkenaan dengan waktu goncangan tersebut:

i. Ia berlaku di dunia dan termasuk tanda kiamat. Inilah pendapat kebanyakan ulama.

ii. Ia goncangan pada hari kiamat. Inilah pendapat Kharijah bin Zaid.

Berkenaan dengan maksud telah mengeluarkan beban-beban berat:

i. Orang-orang mati dibangkitkan seperti kata Ibn Abbas.

ii. Segala bahan simpanannya daripada emas, perak dan lain-lain seperti pendapat Atiyyah.

Sayid Qutub berkata: Itulah peristiwa hari Kiamat di mana seluruh bumi bergegar dengan gempa-gempa yang paling dahsyat dan meluahkan segala isi perutnya dari mayat-mayat, logam-logam dan sebagainya, seolah-olah bumi mahu meringankan tubuhnya daripada kandungan-kandungan yang berat itu.

Itulah satu pemandangan yang menunjukkan segala sesuatu yang tegak di bumi telah bergoyang di bawah tapak kaki para pendengar surah ini. Mereka merasa terhuyung-hayang, bumi terus bergegar dan bergoncang di bawah tapak kaki mereka, satu pemandangan yang menakutkan hati yang selama ini menyangkakan segala apa yang tegak di bumi itu akan tetap teguh, kukuh dan kekal abadi.

Inilah kesan pertama kiamat yang digambarkan oleh al-Quran, satu gambaran yang benar-benar hidup dan menjalar ke dalam saraf-saraf pendengar ayat-ayat ini sebaik sahaja mendengar ungkapan al-Quran yang unik ini.

Kesan ini bertambah apabila digambarkan reaksi manusia terhadap pemandangan itu dan dilukiskan keadaan-keadaan perasaan mereka ketika melihat pemandangan ini.

Firman Allah SWT: Dan manusia bertanya: Mengapa bumi (menjadi begini)? Pada hari itu bumi menceritakan beritanya. Kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan (yang sedemikian itu) kepadanya.

Al-Mawardi mengemukakan maksud bumi mengkhabarkannya kepada dua pendapat:

i. Perkhabaran berkenaan segala amalan hamba yang dilakukan di dunia dahulu. Inilah pendapat Abu Hurairah.

ii. Mengkhabarkan berkenaan perihal kiamat. Inilah pendapat Ibn Mas’ud

Ketika berlakunya gempa bumi yang hebat ini, bumi menceritakan isinya kepadamu dalam bentuk kegoncangan, getaran yang hebat dan gerakan bumi yang dahsyat serta kehancuran seluruh isinya yang tiada tandingannya sebelum ini.

Justeru, ia akan memberi jawapan dan pengertian kepada orang yang bertanya bahawa kegoncangan yang sedang berlaku itu bukan kerana sebab-sebab yang biasa berlaku ketika seluruh alam berada dalam keadaan normal


No comments:

Post a Comment