Hukum mengambil anak angkat

Hukum mengambil anak angkat

Hukum mengambil anak angkat

Soalan : Adakah Haram hukumnya sekiranya seseorang itu mengambil anak angkat yang menggunakan nama bapa angkatnya, tetapi tidak di 'BIN' kan, hanya sekadar ditulis sebagai contohnya; ' MOHD AMIN MOHD NASIR ' ataupun ' SITI AMINAH ABDUL RAHMAN '. Adakah seperti dinamakan seperti nama tersebut HARAM hukumnya, walaupun seseorang itu berkata namanya itu diletakkan tanpa niat, ataupun namanya itu boleh dimaksudkan kepada sesiapa sahaja, dan bukan dirinya sendiri, dan juga nama yang diletakkan tersebut adalah secara kebetulan sama seperti nama dirinya sendiri. Ini adalah pengakuan dari seorang hamba Allah di mana beliau seperti tidak mahu mengakui yang beliau sememangnya ada niat untuk meletakkan namanya sebagai bapa angkat kepada anak tersebut. Ini telah terjadi di kalangan ahli keluarga saya, ini adalah kerana menurut kefahaman beliau, asalkan tiada "Bin ", hukumnya tidak haram. Adakah dibenarkan oleh Hukum Syarak sekiranya beliau berbuat demikian? Memang kita akui dari segi hukum civil, tiada kesalahan sekiranya kita berbuat demikian. Bukankah dengan cara begini akan menimbulkan keraguan pada diri anak itu sendiri sekiranya dia bertanya kepada bapa angkatnya mengapa namanya tidak ada "BIN" dan sebagainya.
Bagaimana sekiranya seseorang itu telah mengambil anak angkat dan pada masa yang sama, beliau mempunyai anak sendiri yang menjadi darah dagingnya sendiri. Soalan saya, apakah yang dikatakan WAJIB bagi seseorang itu menjaga keperluan anak-anak tersebut. Saya pernah mendengar walau apa pun perbelanjaan kita haruslah mengutamakan kepada anak sendiri kerana ianya WAJIB dan tanggungjawab bagi kedua ibubapanya. Bagaimana pula keperluan anak angkat? Sekiranya kita terlebih menyediakan keperluan terhadap anak angkat daripada anak sendiri, adakah kita berdosa kerana sesetengah orang beranggapan, walaupun hanya sekadar satu sen hak anak sendiri dibelanjakan kepada orang lain, kita sudah dikira berdosa terhadap anak sendiri tersebut. Sama seperti hak anak yatim, haram bagi kita untuk menggunakannya. Adakah ianya benar?
Jawapan : Adalah menjadi keharusan bagi seseorang yang mengambil anak angkat untuk meletakkan namanya, seolah-olah seperti nama bapa angkat itu. Sebagai contoh SITI AMINAH ABDUL RAHMAN dan tidak diletakkan BINTI atau BIN di antara nama anak dan nama bapa angkat. Mengenai keraguan pada anak tentang tiada BIN atau BINTI pada namanya tidak akan menjadi isu sekiranya bapa angkat menjelaskan secara jujur tentang keadaan sebenar. Ini kerana sewajibnya anak itu hendaklah di BIN atau di BINTIkan kepada nama bapanya yang sebenar jika anak sah taraf.
Didalam Islam mengambil anak angkat adalah perkara yang diharuskan, namun dari segi meletakkan nama bapa angkat sebagai bapa adalah HARAM. Ini kerana wajib meletakkan nama bapa yang sebenar. Hal ini adalah berkaitan dengan anak yang sah taraf, namun jika anak itu adalah anak yang tidak sah taraf seperti anak yang dikandungkan dan dilahirkan sedangkan ibunya tidak berkahwin lagi, maka anak itu hendaklah diBINkan atau diBINTIkan dengan ABDULLAH atau ibunya. Isu tentang digalak atau tidak mengambil anak angkat ianya terpulang kepada keluarga angkat yang mungkin memerlukan anak seperti pasangan suami isteri itu tidak mempunyai anak setelah berkahwin dalam tempoh jangkamasa yang lama. Apa yang penting, keluarga angkat pasangan tersebut hendaklah menjaga dan mengawal anak tersebut dengan menjaga hak dan batasan agama seperti menjaga aurat dan sebagainya seperti menjaga hubungan kerana ia bukan mahram yang sah.
Tentang isu pemberian nafkah kepada anak angkat dan anak sendiri serta keperluan-keperluan lain ianya tetap tertakluk pada ibu bapanya. Tiada perbezaan di antara anak sendiri dan anak angkat namum jika tidak mahu menanggung anak angkat, hendaklah melepaskan tanggungjawab tersebut dengan menyerahkan semula anak angkat tersebut kepada ibu bapanya atau warisnya yang sah atau mana-mana individu atau pertubuhan yang bertanggungjawab ke atas anak angkat tersebut. Apa yang penting kebajikan, keselamatan dan pendidikan anak angkat itu terjamin sehinggalah dia dewasa.
Sekian, wallahu'alam.
 
 






Comments

Popular posts from this blog