Jagalah Matamu

 
Assalamualaikum kepada sahabat sekalian.. Semoga para sahabat sekalian berada dalam keadaan sihat wal'afiat. Walaupun sibuk dengan musim peperiksaan yang bermula pagi tadi, saya tidak keberatan hendak menulis di sini. Saya berasa perlu untuk berkongsi dengan sahabat semua. Peringatan ini terutamanya sekali adalah untuk saya sendiri yang sering lupa dan lalai dengan tanggungjawab sebagai Hamba dan juga anak kepada ibu bapaku.

Sebenarnya, sebaik habis peperiksaan untuk kertas Bahasa Inggeris hari ini, terdetik di hati saya untuk membuka laptop saya. Menjenguk berita di dunia blog yang sekarang ini merupakan medium yang berkesan untuk kita menyampaikan sesuatu berita. Apatah lagi bagi seorang Da'ie. Dengan ruang yang ada di depan mata, setiap Da'ie boleh memanfaatkannya. Saya melawat kepada blog Ustaz Rezza Khanafiah(klik sini). Allahumma solli 'ala saiyyidina Muhammad.

Setelah membaca entri terbaru Ustaz, saya mendapat kekuatan untuk terus istiqamah dalam menulis terutama sekali dalam blog ini. Baiklah kembali kepada tajuk kita di atas. Firman Allah SWT:

"Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan." (Surah An-nuur:31)

Jika direnung kepada Firman Allah SWT di atas, alangkah banyaknya dosa yang telah kita lakukan tanpa sedar mahupun secara sedar. Untuk dijadikan cerita, pagi Isnin kelmarin, selepas membaca Al-Mathurat di surau, saya dengan Abang Qalbi tidak segera pulang ke asrama seperti sahabat lain. Ustaz Solihin meneruskan aktiviti dengan menghafaz ayat Al-Quran. Maksud saya beliau mengulang surah yang ia telah hafaz. Beliau menghafaz Surah Luqman.

Setelah beliau habis menghafaz, kami pun bersembang sebentar. Kami taaruf sedikit dengan latar belakang Ustaz. Isteri beliau merupakan Pensyarah JAPIM yang baru masuk. Beliau merupakan antara ribuan anak murid yang belajar di Pesantren yang diasaskan oleh Al-'Allamah As-Syeikh Nuruddin Marbu' Al-Banjari. Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad. Semoga dengan kehadiran beliau di bumi IPG Kampus Perlis ini membawa keberkatan gurunya yang 'alim itu bersama.

Ustaz Solihin bercerita, antara resipi hendak menghafal ayat Al-Quran antaranya debgan menjaga pandangan. Suasana turut memainkan peranan jika kita hendak menghafal. Tidak hairanlah kenapa pondok-pondok, pesantren-pesantren didirikan kerana hendak memberikan suasana beah solehah kepada para penuntut ilmu supaya mereka mudah menghadam ilmu yang disampaikan oleh tuan guru dan menghafal kalam suci Al-Quran. Di sini pandangan mereka lebih terjaga daripada terdedah dengan maksiat mata.

Sedihnya saya mengenangkan nasib saya yang tidak berpeluang berasa suasana itu sejak kecil lagi. Saya sendiri tidak dibesarkan dengan suasana itu kerana hanya bersekolah di sekolah kebangsaan biasa hinggalah kepada pendidikan menengah. Suasana di sekolah kebangsaan harian sudah tentu berbeza dengan suasana sekolah agama. Jauh sekali hendak dibandingkan dengan suasana di pondok-pondok pengajian dan pesantren-pesantren. Mata saya bebas melihat apa-apa sahaja yang saya ingin lihat.

Kualiti

Sudah tentu kualiti saya dengan orang yang telah terdidik dengan beah solehah di sekolahnya berbeza. Kualiti yang dimaksudkan ialah sama ada dari segi solat, amalan seharian mahupun dalam menjaga amanah mata yang teramat berat ini. Kembali kepada firman Allah di atas, Allah menyuruh orang lelaki yang beriman supaya menyekat, menjaga mata daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan. Setelah itu barulah Allah menyuruh orang-orang lelaki yang beriman menjaga kemaluan mereka. Kenapa Allah tidak menyuruh kita menjaga kemaluan kita dahulu?

Hal ini kerana sesuatu maksiat tidak akan berlaku melainkan mata kita adalah pembuka jalan kepada maksiat. Kemudian ia membawa kepada hati kita yang Nabi sifatkan berbolak balik itu. Apabila hati kita menerimanya kemudian ia kembali kepada kewarasan aqal kita. Apabila 'aqal yang tidak berlandaskan batasan agama memprosesnya, merebaklah maksiat itu ke anggota kemaluan kita. Astafhfirullahal 'azim.

Begitulah hebatnya penangan mata terhadap amalan seharian kita. Ustaz Fauza pernah berpesan kepada saya supaya menjaga pandangan mata kita. Tundukkanlah pandangan kita apabila berjalan kerana kita berada di zaman akhir zaman yang penuh dengan fitnah. Di zaman ini maksiat berlaku di mana-mana sahaja. Sebab itulah pentingnya kita menjaga mata kita. Apabila pandangan kita tidak dijaga, bagaimana mungkin kita akan mendapat khusyuk dalam solat, menghafal ayat-ayat suci Al-Quran, menghadam segala ilmu-ilmu yang disampaikan oleh para guru-guru kita yang banyak? Apatah lagi ingin menghadam ilmu-ilmu yang ditulis oleh para 'alim ulamak di dalam kitab karangan mereka yang begitu banyak sekali.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudharatt kepada lelaki selain wanita." (Riwayat Al-Bukhari)

Sebuah hadis daripada Jarir Bin Abdullah, beliau berkata: "Saya bertanya kepada Rasulullah SAW tentang melihat (aurat wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka jawab Nabi, 'Palingkanlah pandanganmu itu!'" (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tirmidi).

Kemudian dalam sebuah hadis Nabi kepada Saidina Ali Karamallahu Wajhah, 'Jangan kamu ulangi melihat untuk kedua kalinya.'

Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad. Alangkah beratnya amanah mata ini untuk dijaga. Apatah lagi dengan keadaan suasana sekarang ini wanita-wanita tidak kira yang beragama Islam apatah lagi yang bukan beragama Islam, mereka mendedahkan aurat mereka tanpa rasa malu kepada masyarakat. Malah berasa bangga dengan maksiat yang mereka lakukan.

Contoh Tauladan

Kita semua tahu bagaimana kisah yang berlaku kepada Imam As-Syafie. Satu hari beliau bertanya kepada gurunya yang bernama Waqi' kenapa pada hari itu beliau tidak dapat menghafal? Maka jawab gurunya tinggalkanlah maksiat yang engkau telah lakukan iaitu maksiat mata. Ilmu itu ibarat Nur iaitu cahaya. Cahaya tidak akan masuk untuk bersatu dengan maksiat di dalam diri kita. Jika kita melihat kepada orang 'alim yang ada sekarang, bagaimana mereka apabila berjalan mereka sentiasa menundukkan pandangan mereka kerana menjunjung perintah Allah SWT yang menyuruh kita supaya menjaga pandangan kita daripada bebas melihat kepada benda yang diharamkan kita melihatnya.

Selain itu, saya menukilkan bagaimana ustaz yang teramat saya kasihi, Al-fadhil Ustaz Fauza Bin Ali. Beliau seorang yang tawadhuk, merendah diri. Beliau yang saya lihat apabila berjalan sentiasa menundukkan pandangannya. Matanya tidak meliar melihat sekeliling kecuali apabila perlu. Apabila berceramah, beliau sendiri tidak akan melihat ke hadapan terus. Beliau akan tunduk dahulu sebelum memandang ke hadapan untuk melihat jemaah. Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad..

Inilah yang dikatakan ulamak iaitu orang-orang 'alim yang beramal dengan ilmunya merupakan pewaris para Nabi. Melalui para 'alim ulamaklah kita mengenali sejarah Nabi, sunnah-sunnah Nabi Muhammad SAW. Tetapi malangnya ummat sekarang tidak tahu menghormati Ulamak. Mereka yang jahil itu sentiasa mencaci para 'alim ulamak. Na'uzubillahi minzalik.. Betapa jahilnya ummat akhir zaman ini.

Benarlah kata pepatah Arab, "Seseorang itu menjadi musuh terhadap perkara yang tidak ia ketahui." Maksudnya di sini, apabila kita tidak mengetahui tentang sesuatu perkara ataupun ilmu kita yang dangkal lagi pendek itu mempertahankan apa yang kita lakukan, apabila ditegur oleh orang yang lebih mengetahui, kita akan berbalah dengan orang itu semata-mata hendak mempertahankan tindakan kita itu. Inilah bahan apabila ilmu itu tidak dititikberatkan oleh masyarakat kita.

Konklusi

Kemudian Allah SWT berfirman dalam ayat yang seterusnya:

"dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka..." (Surah An-nuur:31)

Kemudian Allah SWT juga menyuruh kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan kepada mereka memandangnya dan memelihara kehormatan mereka. Daripada suruhan Allah SWT ini, jelaslah bahawa Allah menyuruh kepada seluruh orang Islam supaya menunudukkan pandangan mereka. Tunduk itu bukan bererti tunduk sampai terlanggar tiang ataupun oranga ketika berjalan, tetapi menundukkan sedikit kepala kita. Perkara ini perlu kita fahami betul-betul supaya kita tidak salah anggap terhadap suruhan Allah ini.

Sahabat sekalian boleh bertanyakan kepada para ustaz mahupun ustazah kalian yang lebih alim dalam masalah ini. Akhir sekali, kembalilah kita semua kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan kita dalam menjalani kehidupan seharian kita. Kembali kepada apa yang disuruh Allah dan meninggalkan apa yang ditegah, dilarang oleh-Nya. Apabila mata kita dapat dijaga maka tidak akan berlaku istilah couple dalam diri kita.

Kesan Menjaga Pandangan Mata

Setiap suruhan yang disuruh dan dilarang Allah SWT pastinya untuk kebaikan kita. Tidak pernah ada kecacatan dalam agama Islam itu sendiri kerana ia diturunkan oleh Allah SWT. Tuhan yang menciptakan kita. Tuan kepada hamba-hamba-Nya. Ibarat seperti ibu yang melahirkan kita. Sudah tentu ibu kita yang lebih memahami perangai anaknya sendiri. Jika si anak berubah riak wajahnya, sudah tentu si ibu dengan naluri keibuaannya dapat mengesan sesuatu yang tidak kena terhadap anaknya. Begitulah ibaratnya denga agama Islam.

Agama Islam itu diciptakan oleh Allah SWT untuk hamba-hamba-Nya. Allah Maha Mengetahi segala-galanya tentang apa yang tidak diketahui oleh hamba-Nya disebalik suruhan dan larangan-Nya. Dan Allah tidak akan rugi sedikit pun jika kita tidak melaksakan apa yang disuruh dan dilarang oleh-Nya. Tetapi kitalah yang rugi-seruginya kerana tidak mengikutnya.

Melalui menjaga pandangan kita, maka dapatlah kita khusyuk ketika menunaikan solat. Kemudian tidak akan berlakulah segala masalah sosial yang berlaku ketika ini iaitu seperti gejala buang bayi, penzinaan, bohsia dan sebagainya.

Segala yang baik itu adalah datangnya dari Allah SWT dan segala kekurangan itu hakikatnya datang dari Allah SWT jua tetapi di atas kekurangan diri ini yang lemah dan berdosa kepada Allah. Segala yang baik diambil sebagai pengajaran dan segala kekurangan harap dimaafkan.

Hamba Yang Mengharap Keredhaan-Nya

 http://qalamcikgu.blogspot.com

Comments

Popular posts from this blog