Jangan anggap diri suci untuk mengaibkan orang lain
Di anatara fenomena mutakhir di mana ada di kalangan
umat Islam yang berpandangan bahawa di antara ajaran Islam, di antara
amal soleh yang besar ganjarannya, ialah mencari aib orang lain lalu
menyebarkannya dan memberi ulasan ke atasnya. Apatah lagi dalam suasana
kecanggihan teknologi komunikasi sekarang ini, amal soleh tersebut amat
mudah dilaksanakan, semudah “klik” dengan menggunakan tetikus komputer
atau menyentuh di atas talifon pintar masing-masing.
Saya tertanya, kenapakah mereka tidak “klik” sentuh ayat al-Qur’an berikut ini: Wahai
orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya
kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya
sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip
atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah
kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka
memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan
mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah
larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah;
sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. [al-Hujurat 49:12]
1
Perhatikan larangan Allah: janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Kemudian perhatikan pula bagaimana Allah mengakhiri ayat di atas dengan firman-Nya:
sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani,
mengisyaratkan bahawa perbuatan mengintip dan mencari-cari kesalahan
dan keaiban orang lain adalah satu dosa besar yang tidak akan terampun
melainkan melalui taubat kepada Allah dan mengharapkan kasih sayang
daripada-Nya.
2
Sikap yang benar di sini yang sememangnya merupakan ajaran Islam dan
amal soleh yang besar ganjarannya, ialah memberi nasihat secara tertutup
andai benar seseorang itu melakukan kesalahan. Sama-sama kita
mengulangkaji surah al-Asr yang saya yakin semua pembaca telah pun menghafalnya.
Maaf kata, pada pengamatan saya, kategori orang yang suka menyebarkan
keaiban sesama umat Islam di alam maya bukanlah dari kalangan mereka
yang jarang-jarang solat, kerap mengunjungi tempat maksiat atau free hair.
Akan tetapi kategori orang yang suka menyebarkannya ialah dari kalangan
mereka yang tidak meninggalkan solat lima kali sehari, menjauhi tempat
maksiat dan tidak mendedahkan aurat. Pendak kata, kategori orang yang
suka menyebarkan keaiban umat Islam ialah mereka yang menjauhi beberapa
dosa besar dan perbuatan keji.
3
Persoalannya, mengapakah mereka yang menjauhi beberapa dosa besar dan
perbuatan keji suka mencari keaiban orang lain dan menyebarkannya?
Jawapannya boleh ditemui dalam ayat al-Qur’an berikut: Dan
Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di
bumi untuk membalas orang-orang yang berbuat jahat menurut apa yang
mereka lakukan dan membalas orang-orang yang berbuat baik dengan balasan
yang sebaik-baiknya.
(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta
perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil
(yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya
Tuhanmu Maha Luas keampunan-Nya.
Dia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Dia
mencipta kamu (berasal) dari tanah dan semasa kamu berupa anak yang
sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; maka
janganlah kamu menganggap dirimu suci. Dialah sahaja yang lebih
mengetahui akan orang-orang yang bertakwa. [al-Najm 53:31-32]
Dalam ayat di atas, Allah menerangkan kebesarannya yang memiliki
segala apa yang ada di langit dan bumi. Berdasarkan kebesaran ini, Allah
akan membalas orang-orang yang berbuat jahat dan yang berbuat baik. Di
antara ciri orang yang berbuat baik itu ialah mereka yang menjauhi dosa
besar dan perbuatan keji. Namun Allah menekankan bahawa sebagai Yang
mencipta setiap manusia dari tanah sehingga ke berbagai peringkat dalam
rahim ibu, Allah mengetahui hati, perasaan dan siapakah di antara
orang-orang tersebut yang benar-benar bertaqwa kepada-Nya.
Oleh itulah Allah mengingatkan dengan larangan-Nya: maka janganlah kamu menganggap dirimu suci.
Peringatan ini diberikan kerana Allah mengetahui di kalangan
orang-orang yang menjauhi dosa besar dan perbuatan keji, ada yang
merasakan dirinya sudah suci. Orang-orang seperti ini memuji-muji
dirinya sendiri, merasa ujub bahkan unggul berbanding umat Islam yang
lain.
Atas perasaan suci, ujub dan unggul inilah, orang tersebut merasakan
dirinya layak untuk mencari keaiban orang lain dan menyebarkannya.
Seolah-olah hatinya berbisik: “Ahaa! Tengoklah si fulan ini yang membuat
maksiat padahal aku suci dari semua itu”.
Berdasarkan firman Allah dalam ayat 31-32 surah al-Najm di atas,
marilah kita semua merenung diri sendiri. Dalam rangka kita menjauhi
dosa besar dan perbuatan keji, janganlah pula kita merasa diri kita
sudah suci. Sebaliknya hendaklah merasa syukur dan rendah diri, dimana
perasaan ini kita terjemahkan dengan sikap ingin menasihati sesama umat
Islam.
(Sumber: Hafiz Firdaus Abdullah )
Comments
Post a Comment