Kaum Wanita Ramai Menghuni Neraka
Dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda:
“Wahai
kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar iaitu
memohon ampun. Kerana aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai
menjadi penghuni Neraka.” Seorang wanita yang cukup pintar di antara
mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, kenapa kami kaum wanita yang lebih
ramai menjadi penghuni Neraka?” Rasulullah S.A.W bersabda: “Kamu banyak
mengutuk dan mengingkari suami. Aku tidak melihat mereka yang kekurangan
akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal, daripada golongan
kamu. Wanita itu bertanya lagi: “Wahai Rasulullah! Apakah maksud
kekurangan akal dan agama itu? “Rasulullah s.a.w bersabda: “Maksud
kekurangan akal ialah penyaksian dua orang wanita sama dengan penyaksian
seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga
wanita tidak mendirikan sembahyang pada malam-malam yang dilaluinya
kemudian berbuka pada bulan Ramadhan kerana haid. Maka inilah yang
dikatakan kekurangan agama”(Muslim)
Wanita dari asal
kejadiannya ( fitrahnya ) memang telah diciptakan berlainan dan berbeza
dengan lelaki, adanya kelainan atau perbezaan itu tentu ada maksud dan
tujuannya yang tertentu.
Lemahnya agama bagi golongan wanita tidak harus
dijadikan alasan untuk memadamkan semangat dalam beribadah kerana pada
saat seseorang perempuan itu haid atau nifas di mana mereka tidak dapat
menjalankan ibadah solat dan puasa, mereka sebenarnya masih mampu
menjalankan amal ibadah lain yang berpahala yang dapat mendekatkan diri
pada Allah, kecuali sebaliknya iaitu jika mereka melibatkan diri dalam
perbuatan yang mendatangkan dosa dan segala sesuatu yang dapat
melalaikan bahkan menjauhkan diri daripada Allah.
Manakala perempuan dikatakan kurang (lemah)
akalnya kerana fikiran mereka mudah sekali terpengaruh, tertipu dan
terpedaya kerana mereka dikurniakan dengan banyak nafsu dan lazimnya
mereka tidak berfikir lebih panjang dan bersifat emosional. Oleh itu
dalam hal pengadilan Islam lebih mengutamakan lelaki. Tetapi dalam hal
yang lain, Islam sama sekali tidak menolak akan hakikat ketajaman
pemikiran golongan wanita yang mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama
rendah dengan kaum lelaki.
Hanya sesungguhnya yang membezakan antara makhluk Allah S.W.T, tidak lain hanyalah nilai ketaqwaan mereka.
http://nowwhytwo.wordpress.com
Comments
Post a Comment