Khas Buat Pemuda

 

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: “Ada tujuh macam orang yang akan diberi naungan oleh Allah dalam naungannya pada hari tiada naungan melainkan naungan Allah itu sendiri, iaitu: imam – pemimpin atau kepala – yang adil, pemuda yangtumbuh – sejak kecil – dalam beribadat kepada Allah ‘Azzawajalla, seseorang yang hatinya tergantung – sangat memperhatikan – kepada masjid-masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul atas keadaan yang sedemikian serta berpisah pun atas keadaan yang sedemikian, seseorang lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan serta kecantikan wajah, lalu ia berkata:

“Sesungguhnya saya ini takut kepada Allah,” – ataupun sebaliknya yakni yang diajak itu ialah wanita oleh seorang lelaki, seseorang yang bersedekah dengan suatu sedekah lalu menyembunyikan amalannya itu – tidak menampak-nampakkannya, sehingga dapat dikatakan bahawa tangan kirinya tidak mengetahui apa-apa yang dilakukan oleh tangan kanannya dan seseorang yang ingat kepadaAllah di dalam keadaan sepi lalu melelehlah air mata dari kedua matanya.”(Muttafaq ‘alaih)

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim ini dengan jelas menggariskan kepada kita, golongan-golongan istimewa, yang terpilih serta dijamin oleh Allah swt untuk mendapat naunganNya di akhirat nanti.

Naungan Tuhan ini dapat diertikan secara sebenarnya yakni naungan dari ‘arasy Tuhan, dan dapat juga diertikan sebagai kinayah yakni dalam lindungan Tuhan dan ditempatkan di tempat yang dimuliakan.

Namun apa yang penting di sini, ialah usaha kita di dunia ini bagi menempatkan diri agar tergolong dalam salah satu golongan tersebut.

Usaha ini haruslah bertitik tolak dari sekarang, lebih-lebih lagi kita sebagai Pemuda..yang masih diberikan kekuatan fizikal, kesihatan yang baik, kelapangan dan sebagainya..bertepatan dengan hadis Rasulullah saw yg mulia:

Ibnu Abbas ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: “Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara: masa mudamu sebelum tuamu, sihatmu sebelum sakitmu, kayamu sebelum miskinmu, lapangmu sebelum sibukmu, hidupmu sebelum matimu” (Al-Hakim)

Perkara pertama yang menarik perhatian di sini ialah perkataan ‘rebut’ di dalam hadis di atas.. tidakkah ia menunjukkan kepada kita ia memerlukan kepada suatu tindakan yang pantas?

Sepantas kilat mungkin? Ini mungkin kerana apa-apa yang sepatutnya kita ‘rebut’ itu akan hilang tatkala kita berlengah-lengah untuk mengambilnya..

Contohnya masa muda kita..jika kita masih berlengah-lengah dan tidak menggunakannya dengan sebaik mungkin, tak mungkin ia akan kembali ketika tibanya hari tua..kerana masa tidak pernah menunggu kita, tetapi kitalah yang seharusnya berusaha mengejar dan menggunakannya sebaik mungkin!

Cuba kita menghitung diri..hari lahir ke berapakah tahun ini buat kita? 20 tahun? 21, 22, 23? Apakah yang telah lakukan setelah lebih dua dekad hidup di dunia ini? Adakah kita telah menggunakan hidup kita ini dengan sebaiknya? fikir-fikirkan…
Selain itu, Rasulullah saw turut mengingatkan kepada kita tentang- sihat, kaya, lapang dan hidup…

Adakah kita mengambil kelebihan-kelebihan ini (yang mungkin akan hilang suatu hari nanti) dengan sebaiknya?

Sekarang kita masih sihat, Alhamdulillah! Tetapi ke manakah nikmat kesihatan itu digunakan?

Kekayaan..mungkin kita tidak sekaya Donald Trump atau Robert Kiyosaki, namun dengan sedikit nikmat kekayaan yang Allah swt kurniakan (mungkin dalam bentuk biasiswa, dan sebagainya), untuk apa ia digunakan? Sering kalikah kita menggunakannya ke jalan Allah? Atau untuk keduniaan semata?

Kehidupan kita sebagai seorang pelajar sekarang..tidaklah sesibuk seorang Perdana Menteri umpamanya..maka dengan kelapangan yang ada..adakah kita menggunakannya dengan sebaik mungkin? Untuk belajar bersungguh-sungguh? Untuk mendalami Islam itu sendiri? Atau sekadar membazirkannya di depan skrin televisyen atau komputer…bermain ‘game’, melayari internet atau menonton ‘movie/series’ sehingga berjam-jam dan kadang kala hingga terlelap tanpa sedar?

Tidakkah kita sedar tentang sabda Rasulullah saw:

“Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan baginya, kelak Allah akan memberinya kefahaman tentang agama” (Bukhari & Muslim)

Alhamdulillah, kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah swt kerana hingga saat ini, jantung kita masih berdegup dan proses pertukaran gas yang sangat penting untuk kelangsungan hidup berjalan dengan sempurna..ini semua tanpa dapat kita kawal walau sedikit dan sangat membuktikan akan kebesaran Allah swt..namun tahukah kita bilakah semua nikmat ini akan sampai ke penghujungnya?

Mungkin esok, lusa, minggu depan, bulan depan? Mustahil untuk kita ketahuinya..namun yang pasti, kita semua akan mati..persoalannya, bersediakah kita? Jika ditakdirkan malaikat Izrail yang tanpa belas kasihan itu bakal menarik roh kita esok hari, selamatkan kita di alam sana nanti? Fikir-fikirkanlah wahai sahabat-sahabiah sekalian..
Allahualam~

 http://nowwhytwo.wordpress.com

Comments

Popular posts from this blog