SELAMAT MELAYARI BLOG INI SEMOGA KITA MEMPEROLEHI MANFAATNYA DAN HARAP DISEBARLUASKAN KEPADA PEMBACA YANG LAIN PULA BERSESUAIAN DENGAN SABDA RASULULLAH S.A.W "SAMPAIKAN DARIPADAKU WALAUPUN DENGAN SATU AYAT"

Wednesday, September 12, 2012







MAQASID SYAR’IYAH


 
 
PENDAHULUAN 

Islam merupakan mesej Allah S.W.T kepada seluruh umat manusia di serata dunia dan di setiap zaman. Berteraskan wahyu melalui dua sumber utamanya yang muqaddas iaitu al-Quran dan al-sunnah islam tetap unggul dan bertahan sepanjang zaman semenjak dari zaman awal kemunculannya sehingga kini. Ini semua kembali kepada tabiat islam itu sendiri yang bersifat dinamik dan mempunyai objektif atau maqasid yang jelas dan bertepatan dengan hidup manusia sejagat. 
1
2
3
Penelitian deduktif dan induktif terhadap sumber-sumber syariat islam telah mengesahkan bahawa maqasid utama syariat islam ialah untuk memberi kemaslahatan kepada manusia samada menarik maslahah (manfaat) tersebut atau menolak keburukan (mudharat) daripada manusia.Oleh itu didapati semua hukum syara' bernaung di bawah konsep jaminan maslahah kepada manusia bukan sahaja di dunia malah menjangkaui alam akhirat (sesuai dengan kata al-'Izz B. Abdu al-Salam bahawa islam itu semuanya maslahah , samada dengan mendatangkan maslahah mahupun mengelakkan mudharat) (1).
(1) Al-Izz bin Abdul Salam, Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam, Beirut, Dar al-Ma'rifah, jil.1, m.s.9 

Kertas kerja ini merupakan satu penghuraian ringkas mengenai makna maqasid, konsepnya dan kedudukannya. Ia juga turut menghuraikan pelbagai pengkategorian maqasid menurut perspektif yang berbeza, faedah-faedah memahami maqasid dan kaedah mengenali maqasid. Kemudian penulis cuba menilai sejauh mana kepentingan maqasid syara' dalam menilai sesuatu.
1
2
3
4
5
6

PERTAMA:KONSEP MAQASID 

1.Definisi Maqasid 

Maqasid merupakan matlamat yang ingin dicapai dalam melakukan sesuatu.Dalam konteks ini maqasid yang dimaksudkan ialah maqasid atau objektif yang diletakkan oleh syara' dalam mensyariatkan hukum. Antara istilah popular yang digunakan ialah maqasid syariah, maqasid al-Syari' (Allah) dan maqasid syara' atau di dalam Bahasa Arabnya maqasid al-syariah, maqasid al-Syari' dan al-maqasid al- syar'iyyah. (2) 
(2) Ahmad al-Raisuni, Nazariyyat al-Maqasid I'nda al-Imam al-Syatibi, Beirut, al-Maahad al-Alami li al-Fikr al-Islami, 1992,m.s.13
 
Terdapat pelbagai pendefinisian telah dilontarkan oleh ulama usul fiqh tentang istilah maqasid. Ulama klasik tidak pernah mengemukakan definisi yang spesifik terhadap maqasid, malah al-Syatibi yang terkenal sebagai pelopor ilmu maqasid (3) pun tidak pernah memberikan definisi tertentu kepadanya. Namun ini tidak bermakna mereka mengabaikan maqasid syara' di dalam hukum-hukum syara'. Pelbagai tanggapan terhadap maqasid dapat dilihat di dalam karya-karya mereka. Kita akan dapati tanggapan ulama klasik yang pelbagai inilah yang menjadi unsur di dalam definisi-definisi yang dikemukakan oleh ulama mutakhir selepas mereka. Apa yang pasti ialah nilai-nilai maqasid syara' itu terkandung di dalam setiap ijtihad dan hukum-hukum yang dikeluarkan oleh mereka. Ini kerana nilai-nilai maqasid syara'itu sendiri memang telah terkandung di dalam al-Quran dan al-Sunnah (4). 
(3) Hammad al-Obeidi, al-Syatibi wa Maqasid al-Syariah, Mansyurat Kuliat al-Da'wah al-Islamiyyah, Tripoli, cet. Pertama, 1401H/1992M, m.s. 131
(4) Muhammad Fathi al-Duraini, al-Manahij al-usuliyyah, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1997M, m.s.48. 
7
8
9
10
11
Ada yang menganggap maqasid ialah maslahah itu sendiri, samada menarik maslahah atau menolak mafsadah.Ibn al-Qayyim menegaskan bahawa syariah itu berasaskan kepada hikmah-hikmah dan maslahah-maslahah untuk manusia samada di dunia atau di akhirat.Perubahan hukum yang berlaku berdasarkan perubahan zaman dan tempat adalah untuk menjamin syariah dapat mendatangkan kemaslahatan kepada manusia (5).Sementara Al-Izz bin Abdul Salam juga berpendapat sedemikian apabila beliau mengatakan "Syariat itu semuanya maslahah, samada menolak kejahatan atau menarik kebaikan…" (6). 
(5) Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I'lam al-Muwaqqi'in, Beirut, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1996M, jil.3, m.s.37
(6) Al-Izz bin Abdul Salam, opcit, jil.1, m.s.9. 

Ada juga yang menyifatkan maqasid sebagai mengelakkan kemudaratan. Al-Qadi I'yad telah berkata "berhukum untuk mengelakkan kemudaratan adalah wajib".Ada juga yang menyifatkan maqasid sebagai mengelakkan kesusahan atau masyaqqah.Ini sebagaimana yang dikemukakan oleh Ibn al-Arabi dengan kata-katanya " Tidak harus membebankan seseorang dengan apa yang ia tidak mampu".(7)
(7) Nuruddin Mukhtar, al-Khadimi, al-Ijtihad al-Maqasidi,Qatar , 1998M , m.s.49-50.
 
Ada juga yang memahami maqasid sebagai lima prinsip islam yang asas iaitu menjaga agama, jiwa, akal , keturunan dan harta.Di satu sudut yang lain, ada juga ulama klasik yang menganggap maqasid itu sebagai logik pensyariatan sesuatu hukum. (8)
(8) Nuruddin Mukhtar, al-Khadimi, al-Ijtihad al-Maqasidi,Qatar , 1998M , m.s.50 

Manakala ulama-ulama mutakhirin seperti Al-imam al-Syatibi yang sinonim kepada ilmu maqasid tidak pernah mengemukakan definisi yang spesifik untuk istilah maqasid.Ini mungkin disebabkan beliau merasakan bahawa umum sudah memahaminya. (9)
(9) I'wad bin Muhammad al-Qarni, al-Mukhtasar al-Wajiz fi Maqasid al-Tasyri', Jeddah, Dar al-andalus al-Khadra', 1419H, m.s.17. 

Ibn Asyur mendefinisikan maqasid sebagai "Segala pengertian yang dapat dilihat pada hukum-hukum yang disyariatkan pada keseluruhannya atau sebahagian besarnya" (10) .Ini bermakna maqasid bukanlah pengertian yang dapat dilihat pada hukum – hukum tertentu secara khusus.Contohnya melahirkan kebaikan , menolak kejahatan dan konsep kesamarataan antara manusia yang ada pada setiap pensyariatan hukum-hukum syara'.Ibn Asyur telah membahagikan maqasid dengan lebih terperinci lagi dengan mengkategorikannya kepada dua iaitu maqasid umum dan maqasid khusus.Menurut beliau maqasid umum ialah maqasid yang dapat dilihat dalam hukum-hukum yang wajib dan melibatkan semua individu secara umum .Manakala maqasid khusus pula ialah cara yang digunakan oleh syariah bagi merealisasikan kepentingan umum melalui tindak- tanduk perseorangan.Contohnya hukum merekodkan perjanjian hutang dalam bidang muamalat.
(10) Mohammad al-Tahir al-Misawi, Ibn Asyur wa Kitabuhu Maqasid al-Syariah al-Islamiyyah, Mkuala Lumpur, Al-Basyair li al-Intaj al-Ilmi, 1998M, m.s.171 .
 
I'lal al-Fasi mendefinisikan maqasid sebagai "matlamat syariah dan rahsia-rahsia pensyariatan setiap hukum (islam)".Beliau juga telah membahagikan maqasid kepada dua iaitu maqasid umum dan maqasid khusus.Maqasid umum ialah matlamat syariah secara umum, manakala maqasid khusus ialah rahsia di sebalik setiap hukum.Walaubagaimanapun definisi ini telah dikritik oleh Dr. Iwad bin Muhmmad al- Qarni .Beliau mengkritik pendefinisian ini dengan mengatakan bahawa perkataan rahsia adalah kurang sesuai digunakan kerana rahsia bukanlah maqasid secara mutlak.Ada kalanya sesuatu rahsia itu menjadi maqasid dan pada ketika lain ia bukanlah maqasid kepada sesuatu. (11)
(11) al-Qarni, opcit, m.s.18
 
Ahmad Al-Raisuni mendefinisikan maqasid sebagai "matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh syariat demi kepentingan umat manusia".Beliau telah membahagikan maqasid dengan lebih teliti lagi berbanding dengan Ibn al-'Asyur iaitu dengan membahagikannya kepada tiga bahagian, iaitu maqasid umum , maqasid khusus dan maqasid serpihan (juziyy). Menurut beliau maqasid umum ialah objektif yang diambilkira oleh syara' dalam menentukan semua atau sebahagian besar hukum syara', contohnya konsep keadilan dan kesamarataan (al-Musawah) yang terdapat dalam semua hukum syara'. Maqasid khusus ialah yang diambilkira oleh syariah dalam menentukan sesuatu atau beberapa kelompok hukum tertentu, contohnya hukum kekeluargaan. Manakala maqasid serpihan ialah yang diambilkira oleh syariah dalam menentukan sesuatu hukum tertentu, contohnya hukum sunat berkahwin.Namun apa yang menjadi topik perbincangan ilmu usul fiqh dan ilmu maqasid khasnya ialah maqasid umum. Manakala maqasid khusus menjadi topik perbincangan para fuqaha. (12) Jika diteliti definisi-definisi yang dikemukakan oleh para ulama tersebut, definisi yang paling tepat, padat dan merangkumi seluruh konsep maqasid ialah definisi yang dikemukakan oleh al-Raisuni.
(12) al-Raisuni, opcit, m.s.15
 
Kesimpulannya maqasid syariah ialah "matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh syariat demi kepentingan umat manusia". 
1
2
3
4
5
6

2.Istilah-istilah lain yang berkaitan dengan maqasid. 

2.1) al-Hikmah
 
Ibn Rusyd menyifatkan maqasid sebagai hikmah pensyariatan hukum Al-hikmah membawa erti yang sama dengan maqasid. Istilah al-hikmah lebih kerap digunakan oleh fuqaha.Contohnya Ibn Farhun berkata:"Dan adapun hikmah qada ialah mengangkat kacau bilau, menolak bala bencana, mencegah orang zalim, membantu yang dizalimi, memutuskan pertikaian,menyuruh yang ma'ruf dan mencegah kemungkaran".(13)
(13) Muhammad bin Farhun, Tabsirah al-Hukkam, Dar al-Maktabah al-Ilmiyyah, Mesir, 1301H, m.s.8 

Manakala di kalangan para fuqaha, para ulama usul istilah ini merujuk samada kepada maqasid sesuatu hukum ataupun kesesuaian (relevensi) sesuatu hukum (al-makna al-munasib).Contohnya mengelakkan masyaqqah adalah hikmah kepada adanya hukum rukhsah. 

2.2)Al-'illat
 
Ada sebahagian ulama yang menganggap bahawa maqasid itu ialah'illlah-''illat yang terkandung di dalam pensyariatan hukum. Al-Ilah ialah sifat zahir yang tekal yang ada pada sesuatu hukum syara (14). Sifat yang ada pada sesuatu hukum itu seolah-olah menggambarkan maqasid syara.Ini menjadikan al-'illat dan maqasid membawa pengertian yang sama.Atau dengan kata lain, maqasid sesuatu hukum dapat difahami daripada kefahaman terhadap 'illatnya.Istilah ini lebih banyak digunakan di dalam bidang tafsir ayat dan hadith yang berkaitan dengan hukum-hukum syara' (15).
(14) Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, Dar al-Fikr, Dimasyq, 1986, jil.1, m.s.646
(15) al-Raisuni, opcit, m.s.17 

2.3)Al-ma'na
 
Dari segi penggunaannya, istilah al-ma'na adalah sinonim kepada maqasid kecuali al-ma'na lebih popular digunakan oleh fuqaha terdahulu seperti al-Syatibi, al- Ghazali dan al-Tabari. 

3. Pengkategorian - Pengkategorian maqasid. 

Maqasid boleh dibahagikan kepada pelbagai kategori yang berbeza berdasarkan kepada perspektif yang berbeza. 

3.1)Kategori maqasid berdasarkan puncanya terbahagi kepada dua: (16)
(16) al-Syatibi, al-Muwafaqat Fi Usul al-Syariah, Beirut ,Dar al-Ma'rifah, 1416H/1996M, jil: 2, m.s: 321. 

3.1.1)Maqasid Syari'(Allah)
Iaitu maqasid yang diletakkan oleh Allah dalam mensyariatkan hukum. Ianya berpusat kepada menarik kebaikan dan menolak kejahatan di dunia dan di akhirat. Menurut al-Syatibi, Maqasid Syari' terbahagi kepada empat bahagian (17):
(17) al-Syatibi, al-Muwafaqat Fi Usul al-Syariah, Beirut ,Dar al-Ma'rifah, 1416H/1996M, jil: 2, m.s: 321.

a.Tujuan Syari' (Allah) mencipta Syariat itu sendiri.
b.Tujuan Syari' (Allah) menciptakan Syariat untuk difahami.
c.Tujuan Syari' (Allah) menjadikan Syariat untuk dipraktikkan.
d.Tujuan Syari' (Allah) meletakkan mukallaf di bawah hukum Syarak. 

a.Tujuan Allah mencipta Syariat.
 
Pada pandangan al-Syatibi, Allah mencipta syariat dengan tujuan untuk merealisasikan maqasidnya untuk sekelian manusia iaitu untuk memberikan kebaikan (maslahah) kepada mereka dan mengelakkan kerosakan / keburukan (mafsadah) daripada menimpa mereka. Menururtnya segala apa yang disyariatkan tidak terlepas daripada maqasid ini yang dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu (18) :
(18) ibid,jil:2, m.s:326. 

i) Kepentingan Asas (al-Dharuriyyat)

Iaitu segala apa yang paling penting dalam kehidupan manusia samada bagi tujuan kebaikan agama dan hidup di dunia. Kehidupan manusia akan menjadi rosak samada di dunia atau di akhirat jika kepentingan asas ini tidak ada atau tidak dipenuhi. 

ii)Keperluan Biasa (al-Hajiyat)

Ia merupakan keperluan hidup untuk memudahkan kehidupan di dunia dan akhirat, yang mana tanpanya kehidupan manusia akan menjadi tidak sempurna dan mengalami kesempitan ataupun tidak sampai ke tahap rosak. 

iii)Keperluan Mewah (al-Tahsiniyat)

Iaitu keperluan yang tidak sampai ke tahap kedua di atas. Ianya hanya untuk tujuan keselesaan dan kecantikan. Contohnya : adat, akhlak dan etika. 

Berasaskan prinsip induktif beliau membahagikan kepentingan asas kepada lima, iaitu menjaga agama, nyawa, keturunan, harta dan akal. Menurut beliau, semua agama memandang perkara ini sebagai kepentingan asas. 

Menurut beliau lagi, Syariat Islam menjaga menjaga kepentingan asas ini melalui dua cara (19):
(19) Al-Syatibi, opcit, jil:2, m.s:325.
 
Pertama: Secara positif
 
Dengan menentukan hukum yang boleh melahir dan menjaga kewujudannya. Contohnya bagi menjaga agama diwujudkan akidah, ibadat, ijtihad dan sebagainya. Begitulah juga hukum – hukum adat dan muamalat diwujudkan bagi mewujudkan kesempuraan dan kebaikan hidup manusia. 

Kedua:Secara negatif

Iaitu dengan menghalang apa – apa yang yang boleh menghapus, merosak atau menganggu kepentingan itu. Contohnya, diwajibkan hukum bunuh ke atas orang murtad bagi menjaga kepentingan agama, sementara hukum – hukum adat dan muamalat bagi menjaga kepentingan yang lain. 

Menurut beliau lagi, yang menjadi asas kepada semua kepentingan tadi adalah kepentingan asas. Sedangkan kepeluan biasa sebagai pendokong kepadanya, sementara keperluan mewah sebagai pendokong kepada keperluan biasa. Kedudukan ini perlu diambilkira dalam menentukan keutamaan hukum atau dalam memberi keutamaan kepada mana – mana maslahah apabila berlaku percanggahan antara satu sama lain. 

Berdasarkan kepada keutamaan inilah al-Syatibi membentuk lima kaedah berikut (20) : 
(20) Al-Syatibi, opcit, jil:2, m.s:331.
 
-Kepentingan asas sebagai asas kepada keperluan biasa dan keperluan mewah. -Kerosakan kepentingan asa menyebabkan kerosakan kepada keperluan yang lain. -Tidak semestinya kerosakan keperluan lain boleh merosakkan kepentingan asas. -Kerosakan keperluan biasa atau keperluan mewah mungkin boleh menyebabkan kerosakan kepada kepentingan asas. -Wajib menjaga keperluan biasa dan keperluan mewah bagi tujuan menjaga kepeluan asas.

b. Tujuan Menjadikan Syariat untuk difahami.
 
Al-Syatibi menyatakan, syariat yang diturunkan oleh Allah S.W.T adalah untuk difahami oleh manusia untuk mereka melaksanakanya, jika ianya tidak dapat difahami oleh manusia, tiada erti pada penurunan syariat tersebut. Bukti mengenai kenyataan tersebut ialah penurunan al-Quran itu sendiri dalam bahasa arab sesuai dengan suasana arab lewat penurunannya dan juga isi kandungan al-Quran yang mudah difahami oleh manusia (21).
(21) opcit, jil:2, m.s:375.
 
c. Tujuan Allah mencipta Syariat bagi dipraktikkan.
 
Syariat yang diturunkan oleh Allah kepada manusia adalah untuk dipraktikkan. Tanggung jawab untuk mempraktikkannya ini dipanggil taklif. Taklif menurut al-Syatibi hendaklah mampu dipikul oleh manusia, malah para ulama telah berijma' tiada taklif di luar kemampuan manusia (22).
(22) opcit, jil:2, m.s:414.
 
Oleh yang demikian, jika ada taklif yang pada zahirnya dilihat seperti tidak mampu dipikul oleh mukallaf, maqasid syariat pada kes tersebut bukan terletak kepada hasil atau natijah kepada pelaksanaannya , tetapi pada usaha untuk merealisasikannya. Seperti suruhan berlaku adil di antara para isteri bagi suami yang berpoligami, ia adalah sesuatu di luar kemampuan manusia untuk berlaku adil 100% terutamanya dalam bab kasih sayang. Oleh itu yang menjadi maqasid syara pada waktu itu ialah usaha untuk merealisasikan keadilan tersebut dan bukannya natijah daripada usaha tersebut. (23)
(23) opcit, jil:2, m.s:416.
 
Dalam buku "al-Muwafaqat", al-Syatibi telah memperluaskan lagi contoh – contoh bagi kes seumpama ini (24). Beliau juga membangkitkan persoalan beban yang terhasil daripada taklif secara keseluruhannya. Kata beliau, bukanlah tujuan syariat untuk membebankan dan menyusahkan manusia (ini dapat dilihat melalui dalil – dalil yang menolak keadaan serba salah (al-haraj) dan menegaskan kemudahan serta toleransi (al- taysir dan al-samah). Walaubagaimanapun, beban yang munasabah dalam kadar yang normal hasil daripada taklif tidak dapat dielakkan, kerana itu merupakan tabiat taklif. Dengan itu , beban yang terhasil itu bukanlah maqasid syariat . Yang menjadi maqasid syariat ialah maslahah disebalik bebanan itu sendiri, samada kesenangan di dunia mahupun di akhirat menurut neraca keperluan asas yang telah diperbincangkan (25).
(24) opcit, jil:2, m.s:416 – 425.
(25) opcit, jil:2, m.s:429.
 
Al-Syatibi juga dalam bab ini memberikan alasan mengapa syariat Islam sentiasa menghindarkan kebersalahan (al-haraj) dan beban yang berat, yang pertamanya untuk mengelakkan kebosanan dan rasa benci mukallaf terhadap taklif dan yang keduanya, untuk menghindarkan daripada menganggu tugas – tugas hidup yang lain seperti mencari nafkah, menjaga anak isteri dan sebagainya demi untuk menumpukan perhatian kepada menyempurnakan taklif (26).
(26) opcit, jil:2, m.s:428.
 
Di bawah tajuk ini juga, al-Syatibi menghuraikan jenis beban atau masyaqqah yang hendak dihindarkan oleh syariat daripada manusia dan jenis yang sebaliknya.Beliau juga menegaskan bahawa berat atau ringannya masyaqqah itu adalah bersifat relatif. Ia perlu berasaskan kerja sebenar yang perlu dilakukan dan sejauhmana kepentingannya dalam hidup. 

d.Tujuan meletakkan mukallaf di bawah hukum syara'.
 
Dalam bab ini al-Syatibi menegaskan keumuman syara' dan sifatnya yang menyeluruh. Syariat Islam juga merangkumi alam syahadat dan alam ghaib bagi setiap mukallaf. Tegasnya lagi, tujuan meletakan mukallaf di bawah hukum Syariat ialah untuk mengelakkan semua manusia dari terikut – ikut dengan hawa nafsu agar dengan itu mereka akan menjadi hamba Allah dengan penuh sukarela (27).
(27) opcit, jil.2, m.s.425
 
3.1.2.Maqasid Mukallaf (hamba)
 
Iaitu maqasid atau tujuan mukallaf dalam melakukan sesuatu perbuatan. Maqasid mukallaf berperanan menentukan sah atau batal sesuatu amalan. 

Berasaskan prinsip di atas beliau menyimpulkan beberapa kaedah, seperti berikut: 

-Qasd mukallaf hendaklah selari dengan qasd syariah itu sendiri. -Sesiapa yang berhasrat untuk mencapai sesuatu yang lain daripada maksud awal pensyariatannya, sesuatu itu dianggap telah menyalahi syariat. (28)
(28) opcit, jil.2, m.s.613-615
 
3.2.Kategori maqasid berdasarkan tahap kepentingannya.
 
Pembahagian berdasarkan neraca ini merupaka pengkategorian yang paling popular di dalam ilmu ini.Pembahagian seperti ini telah dipelopori oleh al- Imam al- Haramayn di dalam bukunya al-Burhan pada peringkat awal perbincangan mengenai maqasid. Kemudian pembahagian ini menjadi ikutan kepada ulama selepas beliau seperti al-Ghazali, al-Izz bin Abdul Salam, al-Qurafi, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim dan al-Syatibi yang telah mengupas persoalan ini dengan lebih mendalam.(29)
(29) opcit, jil: 2, m.s: 321
 
Berdasarkan neraca ini maqasid terbahagi kepada tiga: 

3.2.1 Kepentingan Asas (al-Dharuriyyat) :
Iaitu segala apa yang paling penting dalam kehidupan manusia samada bagi tujuan kebaikan agama dan hidup di dunia. Kehidupan manusia akan menjadi rosak dan terancam samada di dunia atau di akhirat jika kepentingan asas ini tidak ada atau tidak dipenuhi. 

3.2.2.Keperluan Biasa (al-Hajiyat) :
Ia merupakan keperluan hidup untuk memudahkan kehidupan di dunia dan akhirat, yang mana tanpanya kehidupan manusia akan menjadi tidak sempurna dan mengalami kesempitan alaupun tidak sampai ke tahap rosak.
3.2.3.Keperluan Mewah (al-Tahsiniyat) :
Iaitu keperluan yang tidak sampai ke tahap kedua di atas. Ianya hanya untuk tujuan keselesaan dan kecantikan. Contohnya : adat, akhlak dan etika. 

3.3.Kategori maqasid berdasarkan perkaitannya dengan hukum secara umum atau sebahagiannya terbahagi kepada tiga

3.3.1 Maqasid umum (maqasid ammah)
Iaitu yang diambilkira oleh syariah dalam menentukan semua atau sebahagian besar hukum-hukumnya.Contohnya menegakkan keadilan, menghasilkan kebaikan, menolak keburukan dan kesamarataan antara manusia.(30)
(30) Muhammad Uqlah, al-Islam Maqasiduhu wa Khasaisuhu, Maktabah al-Risalah al-Hadisah, 1991, m.s.112
 
3.3.2 Maqasid khusus (maqasid khassah)
Iaitu yang diambilkira oleh syariah dalam menentukan sesuatu atau sekelompok hukum-hukum tertentu.Contohnya hukum-hukum muamalat, munakahat, jenayah dan sebagainya.(31)
(31) Al-Risuni, opcit, m.s.15
 
3.3.3 Maqasid serpihan (maqasid juz'iyyah) (32)
Iaitu yang diambilkira oleh syariah dalam menentukan sesuatu hukum tertentu.Contohnya sunat berkahwin, makruh bercerai dan wajib membayar hutang.
(32) ibid, m.s.16
 
4.Faedah-faedah memahami maqasid 

Memahami maqasid syara' merupakan unsur penting dalam mengeluarkan hukum.Ini kerana maqasid ialah paksi yang akan memastikan setiap hukum itu akan seiring dengan kehendak dan matlamat Allah mensyariatkannya ke atas manusia. Dengan memahami maqasid atau maqasid syara' dapat menjelaskan lagi tujuan dan hikmah pensyariatan sesuatu hukum samada secara keseluruhannya atau sebahagiannya. 

Selain itu ia juga dapat memperkembangkan lagi topik-topik perbincangan di dalam perkara-perkara ilmu maqasid seperti maslahah, qiyas, zarai'e dan sebagainya. 

Apa yang menarik ialah jurang perselisihan pendapat antara fuqaha dapat dikurangkan lantas membuang perasaan taasub mazhab yang sebenarnya merugikan umat sendiri. Apa yang penting dalam setiap hukum yang dikeluarkan ialah ianya dapat mencapai dan selari dengan maqasid syara'. 

Akhirnya, memahami maqasid akan meyakinkan lagi bahawa islam itu datang untuk memberi maslahah dan kebaikan kepada manusia di dunia dan di akhirat.Justeru, individu muslim akan lebih rasional dan bersemangat dalam melakukan suruhan Allah Taala. (33)
(33) Nuruddin Mukhtar al-Khadimi, opcit, m.s.59
 
5.Kaedah mengenali maqasid 

Untuk menentukan sesuatu itu adalah maqasid yang dikehendaki oleh syari' bukanlah satu perkara yang mudah.Oleh itu ulama telah menggariskan beberapa kaedah untuk mengenali maqasid syara' Menurut al-Syatibi , terdapat tiga cara untuk kita mengenali maqasid syara' (34).
(34) al-Syatibi,opcit, jil.2, m.s.241
 
5.1. Penelitian kuantitatif.
 
Umumnya kaedah ini melibatkan penelitian secara deduktif terhadap dalil-dalil yang mensabitkan maqasid syara'. Penelitian ini boleh berlaku dalam dua keadaan samada penelitian terhadap semua dalil yang ada ataupun sebahagian daripadanya.Penelitian terhadap semua dalil sudah tentu akan menghasilkan natijah yang qat'ie manakala penelitian terhadap sebahagiannya pula akan menghasilkan natijah yang zanni.kaedah kedua ini lebih popular digunakan oleh fuqaha.Kesahihan kaedah ini terletak pada hakikat bahawa ia boleh memberi maklumat secara terperinci.(35)
(35) al-Syatibi, opcit, jil.2, m.s.241
 
5.2. Penelitian terhadap ilat hukum.
Kaedah ini melibatkan penelitian terhadap ilat-ilat hukum-hukum syara'.Kaedah ini tertumpu kepada usahsa untuk mengetahui rahsia di sebalik setiap hukum atau lebih dikenali sebagai masalik al-'illat di dalam ilmu usul fiqh.Secara umumnya terdapat sembilan cara untuk menentukan ilat sesuatu hukum iaitu ijma' ulama terhadap sesuatu 'illat, nas al-Quran, isyarat, kemunasabahan, memerhatikan keserupaan antara hukum dan sebagainya. (36)
(36) al-Syaukani, Irsyad al-Fuhul, Beirut ,Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994M, m.s.308
 
5.3. Penelitian terhadap semata-mata suruhan atau larangan Allah Taala terhadap sesuatu.
Kaedah ini berasaskan kepada bahawa boleh difahami ada maqasid tertentu di sebalik suruhan dan larangan .Maqasid di sebalik suruhan ialah melakukannya sementara maqasid di sebalik larangan ialah meninggalkan yang dilarang itu.(37)
(37) al-Syatibi, opcit, jil.2, m.s.241
 
KEDUA: KEDUDUKAN MAQASID SYARA' DALAM MENILAI SESUATU 

1. Kedudukan maqasid menurut perspektif syara'
Sebagaimana yang telah dimaklumkan ,sesungguhnya dalil-dalil syariat Islam menegaskan bahawa setiap hukum-hukumnya mempunyai maqasid dan maksud yang tertentu (38). Sehubungan dengan itu, sudah menjadi makluman umum bahawa sesungguhnya tujuan pensyariatan itu ialah untuk kemaslahatan manusia di dunia dan di akhirat. (39)
(38) Mohammad al-Tahir al-Misawi, opcit , m.s.118
(39) Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, Damsyik, Dar al-Fikr, 1986M, jil.2, m.s.1017
 
Maqasid syara' merupakan kayu ukur dalam menilai sesuatu.Dengan kata lain, dalam memahami sesuatu hukum ianya mestilah seiring dengan maqasid yang telah digariskan oleh syara'.Fenomena ini jelas dilihat di dalam al-Quran dan al-Sunnah.. 

Jumhur ulama telah berpendapat bahawa hukum-hukum syara' mengandungi hikmah dan maqasidnya yang tersendiri yang mana ianya berkisar tentang menjaga kemaslahatan manusia di dunia dan di akhirat (40). Pengamatan terhadap hukum-hukum ini telah menghasilkan satu jalinan kaitan yang rapat antara hukum syara' dan maqasidnya. (41)
(40) Yusuf al-Qardawi, Madkhal li Dirasat al-Syariah al-Islamiyyah, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1993M, m.s.57
(41) al-Misawi, opcit, m.s.82
 
Justeru dalam proses memahami hukum, seorang faqih bukan sahaja perlu memahami dalil-dalil hukum tersebut, malah perlu memandang lebih jauh lagi iaitu aspek maqasid hukum tersebut disyariatkan. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan hukum fiqh tanpa maqasid sama seperti jasad yang tiada ruhnya. 

Antara dalil-dalil yang mengukuhkan kedudukan maqasid sebagai hujah yang mengikat ialah: 

a) Al-Quran al-Karim :
Al-Quran al-Karim yang merupakan sumber primer maqasid syara' samada secara langsung ataupun tidak, telah mengajar pengamalnya tentang setiap perkara itu haruslah bermatlamat. Daripada al-Quran kita dapat mengetahui maqasid pengutusan rasul-rasul, penurunan al-Quran, pentaklifan mukallaf dengan tanggungjawab dan pembalasannya dan maqasid kejadian alam dan manusia .Al-Quran telah menjelaskan maqasid penciptaan manusia ialah untuk pengabdian kepada Allah. 

Al-Quran juga telah mengisbatkan prinsip utama islam diturunkan iaitu untuk menjaga agama, jiwa, akal ,keturunan dan harta.Jika diteliti kesemua hukum islam beredar di bawah naungan lima prinsip utama ini (42).
(42) al-Misawi, opcit, m.s.80
 
Al-Quran juga telah menentukan banyak maqasid dan hikmah sesuatu hukum disyariatkan yang seterusnya membentuk teori maqasid itu sendiri.Contohnya Maqasid larangan bersetubuh dengan isteri ketika haid ialah untuk mengelakkan penyakit, maqasid ibadat haji ialah mendapat faedah yang banyak antaranya penyatuan umat islam , maqasid perkahwinan ialah memelihara diri , dapat hidup dalam kasih sayang dan keharmonian, maqasid ibadat puasa ialah menjana sifat ketakwaan, maqasid larangan mendekati zina ialah kerana buruk akibatnya dan lain-lain maqasid yang banyak dinyatakan di dalam al-Quran. (43)
(43) Nuruddin Mukhtar, opcit, m.s.69
 
Daripada al-Quran juga satu rumusan tentang berbagai kaedah fiqh "qawaid fiqhiyyah" dapat dibentuk .Kaedah fiqh ini penting dalam memahami hukum dan mempunyai kaitan rapat dengan maqasid syar'iyyah itu sendiri (44). Antaranya "Darurat (kes kesusahan )mengharuskan yang haram" , "setiap kesusahan atau masyaqqah itu diukur dengan seada-adanya", "setiap kesusahan ada kesenangannya", Ini bermakna maqasid mempunyai kedudukan yang kukuh dan nilai autoriti yang kuat dalam menilai sesuatu. (45)
(44) Muhammad Sidqi al-Borno, al-Wajiz fi Idhah Qawaid al-Fiqh al-Kulliyyah, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1996M, m.s.30
(45) Muhammad al-Zuhayli, Maqasid al-Syariah, Damsyik, Dar al-Maktabi, 1998M, m.s.43
 
Hukum-hukum syara' bukan diturunkan secara serentak dan pelaksanaannya juga adalah secara berperingkat-peringkat.Ini semua tidak lain dan tidak bukan ialah untuk memastikan sesuatu hukum itu akan sampai kepada matlamat ianya disyariatkan. (46) Sesuatu hukum tidak akan mencapai maqasidnya seikiranya dijalankan pada masa yang salah atau dalam keadaan umat yang masih belum dapat menerima hukum itu.Contohnya pengharaman arak adalah secara berperingkat-peringkat ialah untuk memlihara maslahat umat pada ketika itu yang mana minuman arak adalah adat yang sukar untuk ditinggalkan secara sekaligus.Jika pengharaman dibuat secara drastik, kemungkinan umat islam pada ketika itu tidak dapat mentaati larangan Allah itu dan maqasid pengharamannya tidak dapat dicapai.
(46) Mana' al-Qutan, Tarikh al-Tasyri' al-Islami, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1993M, m.s.52
 
Jika diteliti ayat-ayat yang berkait dengan hukum-hukum fiqh, boleh dikatakan ada terselit maqasid di sebalik pensyariatan hukum tersebut.Bukan setakat itu sahaja, ilmu usul fiqh pula telah menyediakan pelbagai instrumen seperti qiyas dan al-zarai' yang boleh digunakan untuk meluaskan lagi aplikasi objekif di dalam sesuatu hukum kepada hukum yang lain.Walaupun tidak ada dalil yang khusus di dalam al-Quran yang menyatakan setiap hukum ada maqasidnya tetapi berdasarkan dalil-dalil secara umumnya dapat kita simpulkan bahawa al-Quran sentiasa mengambilkira aspek maqasid dalam menyatakan sesuatu hukum.(47)
(47) Nuruddin Mukhtar, opcit, m.s.72
 
b) Al-Sunnah sebagai sumber kedua terpenting selepas al-Quran mempunyai peranan penting dalam menguatkan lagi apa yang dibawa oleh al-Quran, mentafsirkan al- Quran, menjelaskan dan menghuraikannya agar lebih jelas dan mudah dipraktikkan. Begitu juga di dalam bidang maqasid, al-Sunnah berperanan menguatkan lagi kedudukan maqasid dalam menilai sesuatu.Banyak al-sunnah yang menerangkan tentang sesuatu hukum turut menekankan aspek maqasid hukum tersebut.(48) Contohnya hadith Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : " Sesungguhnya agama itu mudah" (49) Dalam hadith ini, dengan jelas ianya menunjukkan antara maqasid atau objektif syariat, iaitu memudahkan ummat, tidak membebankan dan senang untuk diamalkan. Begitu juga dengan sabda baginda : "Rasulullah S.A.W jika diberikan peluang untuk memilih antara dua perkara, maka baginda tidak akan memilih kecuali yang paling mudah selagimana ianya tidak berdosa.." (50) Ianya membawa objektif bahawa islam amat mementingkan kemudahan kepada umatnya. Dalam hadith yang lain pula, Rasulullah S.A.W bersabda : "Jika tidak kerana menyusahkan umatku nescaya sudah aku suruh mereka bersiwak untuk setiap kali solat" (51). Dari hadith ini jelas menunjukkan syariat islam bukan bertujuan untuk menyusahkan umat malah menyenangkan dan memastikan kemaslahatan mereka terjamin.
(48) Yusuf al-Qardawi, al-Sunnah Masdaran li al-ma'rifah wa al-hadarah, Dar al-Syuruq, Kaherah, 1997, m.s.231
(49) Hadith sahih riwayat al-Bukhari, lihat : al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, jil. 1, m.s. 23.
(50) Hadith riwayat al-Bukhari, lihat : al-Bukhari, opcit, jil. 3, m.s. 305.
(51) Hadith sahih riwayat al-Bukhari, al-Bukhari, opcit, jil. 2, m.s. 682. 

Autoriti maqasid syara' dalam menilai sesuatu tidak perlu dipertikaikan lagi kerana maqasid syara' bukanlah sesuatu yang asing dari dalil-dalil syara' malah ianya terkandung di dalam dalil-dalil itu sendiri samada secara langsung atau tidak.(52) Hasil penelitian secara kuantitatif dan deduktif terhadap dalil-dalil ini menunjukkan setiap hukum yang disyariatkan mempunyai maqasid yang tersendiri yang akhirnya tertumpu kepada menjaga kemaslahatan manusia sejagat. (53)
(52) Muhammad Fathi al-Duraini, al-Manahij al-usuliyyah, m.s.48
(53) Ramadan al-Buti, Dawabit al-Maslahah, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1990M, m.s.70. 

c) Jika ditinjau pada zaman sahabat, mereka telah mengaplikasikan konsep maqasid syara' di dalam setiap ijtihad yang mereka lakukan (54).Jika dibandingkan dengan zaman Rasulullah S.A.W. penggunaan konsep ini agak lebih meluas memandangkan banyak perkara-perkara baru yang tiada nas mula timbul hasil daripada peredaran zaman dan perkembangan semasa. (55)
(54) Yusuf al-Qardawi, al-Sunnah Masdaran li al-ma'rifah wa al-hadarah, Kaherah, Dar al-Syuruq, 1997M, m.s.232.
(55) Nuruddin Mukhtar, opcit, m.s.92. 

Kefahaman para sahabat terhadap al-Quran adalah istimewa berbanding dengan kefahaman orang lain kerana mereka bukan sahaja memahami zahir al-Quran malah menjangkau tujuan di sebalik penurunannya itu. 

Justeru kita dapati ijtihad-ijtihad mereka bertepatan dengan kehendak syara' untuk menjamin kemaslahatan umat sejagat.Ahmad b. Hanbal menegaskan perbuatan para sahabat ini berpunca daripada pemahaman mereka tentang maqasid syara' itu sendiri. Antara contoh yang jelas ialah ijtihad mereka untuk mengumpulkan al-Quran di dalam satu mashaf, menjatuhkan talak tiga dengan satu lafaz, tidak membahagikan tanah rampasan perang kepada tentera dan banyak lagi.(56)
(56) ibid, m.s.96
Begitu juga keadaannya pada zaman tabi'in yang sempat hidup bersama sahabat.Mereka mewarisi secara praktikal pengambilkiraan maqasid syara' dalam mengeluarkan hukum yang berpusat kepada menarik maslahah dan menolak mafsadah.(57)
(57) Abdul Karim Zaidan, al-Madkhal li Dirasati al-Syariah al-Islamiyyah, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1990M, m.s.114
 
Seterusnya corak berijtihad seumpama ini diwarisi sehingga ke zaman imam mujtahid dan hari ini. 

d) Hakikat ini telah diperakui oleh jumhur ulama usul dan furu' lebih lebih lagi apabila ulama usul telah mensyaratkan untuk seorang mujtahid melakukan ijtihad mestilah memahami maqasid syar'iyyah. Sehubungan dengan itu, pentafsiran nas secara lateral semata-mata a tanpa melihat kepada maqasid syara' di sebaliknya adalah bertentangan dengan tabiat tasyri'itu sendiri (58).
(58) Al-Duraini, opcit, m.s.49
Al-Qurafi bukan sahaja mensyaratkan mujtahid memahami maqasid syara', malah faqih muqallid juga mesti memahami maqasid syara'. (59)
(59) Dinukilkan oleh:al-Raisuni, opcit, m.s.290
 
Al-Imam al-Syafi'e mengambil langkah merujuk kepada maqasid syara' sebagai satu kaedah dalam berijtihad apabila tiada nas dari al-Quran atau al-Sunnah atau hadith ahad .Seterusnya, sekiranya beliau tidak mendapati apa-apa maslahah umum atau kepentingan umum beliau akan berpindah kepada sumber ijma'.Al-Imam al-Ghazali juga mengambilkira aspek maslahah sekiranya ada tanda-tanda ianya adalah maqasid syara'.(60)
(60) al-Ghazali, al-Mankhul, Tahqiq:Muhammad Hasan Hito, Beirut, Dar al-Fikr, 1400H, m.s.355
 
Para ulama usul umumnya menyentuh kedudukan maqasid syara' dalam membuat apa-apa penilaian apabila mereka membincangkan masalah tarjih.Menurut mereka dalam proses mentarjih antara pendapat ulama ada beberapa neraca antaranya lebih memudahkan manusia dan lebih hampir dengan maqasid syara'. (61)
(61) Yusuf al-Qardawi, al-Ijtihad al-Muasir baina al-Indibat wa al-Infirat, Kaherah, Dar al-Tauzi', 1994M, m.s.20 

Al-Imam al-Syatibi dilihat lebih tegas dalam hal ini apabila beliau menyifatkan mujtahid yang cuai dalam aspek maqasid syara' sebagai ulama yang menyeleweng dari agama (62). Menurut beliau , memahami maqasid syara' adalah prasyarat utama dalam berijtihad. (63)
(62) al-Syatibi, opcit, jil.4, m.s.170
(63) Dr. Qutub Mustafa Sanu, Adawat al-Nazar al-Ijtihadi al-Mansyud, Beirut, Dar al-Fikr, m.s.83 

Menurut Ilal al-Fasi, peranan maqasid syara' bukan sahaja pada kes-kes yang tidak dinaskan malah menjangkaui huku-hukum yang dinaskan sebagaimana yang berlaku dalam kes penundaan Umar hukum hudud bagi mencuri pada tahun kelaparan. 

Ibn A'syur pula bersependapat sedemikian dan mengukuhkan kepentingan memahami maqasid syara' dalam mengeluarkan hukum.Menurut beliau,proses untuk melakukan ijtihad lima perkara: 

a)Memahami nas berdasarkan pengertian bahasa dan istilah syara'.
b)Meneliti kemungkinan nas berkenaan dinasakh atau ditaqyid atau di takhsis atau ada nas lain yang lebih utama daripadanya.
c)Mengenali 'illat hukum dan melakukan qiyas berasaskannya.
d)Menentukan hukum bagi kes yang tidak dinaskan dengan menggunakan kaedah qiyas.
e)Menentukan hukum ta'abbudi seada-adanya.
Menurut beliau, seorang mujtahid perlu memahami maqasid syara' dalam semua peringkat di atas. (64)
(64) al-Misawi, opcit,m.s.119.
 
Menurut Dr. Yusuf Hamid al-Alim, "memahami maqasid syara' bukan sahaja penting bagi mujtahid malah meliputi semua mukallaf agar kehendak mereka dalam tindak tanduk mereka selari dengan kehendak syara'". (65)
(65) Yusuf Hamid al-Alim, al-Maqasid al-Aamah li al-Syariah al-Islamiyyah, USA, al-Maahad al-Alami li al-Fikr al-Islami, 1991, m.s.106
 
2. Kaedah Pengaplikasian Maqasid.
Selepas memahami makna sebenar maqasid, hakikatnya dan juga kedudukannya dalam syariat, tindakan selanjutnya pula ialah melihat kepada pengaplikasiannya terhadap hukum – hukum ijtihad. Ini kerana memahami maqasid adalah di antara syarat terpenting bagi seorang mujtahid untuk berijtihad dan bagi seorang mufti untuk berfatwa (66) menurut al-Syatibi dan diiktiraf oleh jumhur ulama terkemudian. Ini kerana sebarang ijtihad dan fatwa yang sepi daripada maqasid akan menyebabkan penyimpangan ijtihad ataupun fatwa tersebut daripada landasan syariat, kerana maqasid seperti yang telah kita katakana – ialah himpunan pemahaman terhadap sejumlah besar daripada dalil – dalil syara'.
(66) Lihat : al-Syatibi, opcit, jil. 4, m.s. 105,106.
 
Pengaplikasian maqasid dalam ijtihad juga amat penting kerana ianya akan menuju ruh syara' yang bertepatan dengan tabiat dalil – dalil dan syariat itu sendiri yang sentiasa mengambilkira persoalan menjaga kemaskahatan ummah dan mengelakkan mereka daripada mudharat. Prinsip ini juga merupakan asas atau tunjang kepada tasyri' itu sendiri (67). Oleh itu pengaplikasian ini amat – amat penting.
(67) opcit, jil. 1, m.s. 10.
Peringkat pengaplikasian maqasid pula boleh kita bahagikan kepada empat peringkat : (68) 

1.Memahami maqasid juz'i ataupun illat hukum dan menetapkannya. 2.Melihat kepada pengaplikasian maqasid juz'i atau hukum lain yang boleh diaplikasikan ke atasnya maqasid tersebut. 3.Memahami maqasid kulliy dan menetapkannya dalam semua keadaan hukum melalui kaedah deduktif. 4.Melihat kepada kes – kes baru yang memerlukan hukum dan mempertimbangkannya menurut neraca maqasid kulliy melalui kaedah masalih mursalah dan istihsan, sehingalah mujtahid sampai kepada hukum yang benar – benar menepati maqasid tersebut. 
(68) al-Khadimi, opcit, m.s. 62,
 
Dalam kes ini, Ibn Asyur telah mengkhususkan satu tajuk dalam bukunya yang beliau namakan sebagai : "Hukum – hakam Syara' yang boleh menerima kaedah qiyas berdasarkan illat – illat dan maqasid yang rapat dan paling hampir dengannya". (69)
(69) Lihat : Ibn Asyur, opcit, m.s. 108.
 
PENUTUP
Maqasid Syara' atau lebih popular dengan istilah maqasid syar'iyyah merupakan matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh syara' dalam pensyariatan hukum.Umumnya maqasid ini tertumpu kepada menarik maslahah dan menolak mafsadah daripada manusia sejagat. 

Maqasid syariah merupakan penaung kepada dalil-dalil syara', ia bukannya sesuatu yang asing dari dalil-dalil syara' malah terkandung di dalamnya samada secara langsung atau tidak. 

Islam sebagai satu cara hidup adalah sesuai untuk semua bangsa dan setiap ketika bersumberkan wahyu yang berupa dalil-dalil yang terkandung di dalam al-Quran dan al- Sunnah.Dalil-dalil yang terbatas kuantitinya tidak akan terbatas aplikasinya sekiranya seorang mujtahid itu tidak hanya memahami dalil secara lateral semata-mata , malah melihat kepada aspek maqasid syara' di sebalik pensyariatan sesuatu hukum. 

Justeru, kepentingan memahami maqasid syara' bagi seorang mujtahid dan pengkaji hukum tidak boleh dikesampingkan untuk memastikan penilaian yang dibuat terhadap sesuatu itu selari dengan kehendak al-Syari' . 

BIBLIOGRAFI
1.Abdul Karim Zaidan, al-Madkhal li Dirasati al-Syariah al-Islamiyyah, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1990M.
2.Ahmad al-Raisuni, Nazariyyat al-Maqasid I'nda al-Imam al-Syatibi, Beirut, al- Maahad al-Alami li al-Fikr al-Islami, 1992M.
3.al-Ghazali, al-Mankhul, Tahqiq:Muhammad Hasan Hito, Beirut, Dar al-Fikr, 1400H.
4.Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I'lam al-Muwaqqi'in, Beirut, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1996M.
5.I'wad bi Muhammad al-Qarni, al-Mukhtasar al-Wajiz fi Maqasid al-Tasyri', Jeddah, Dar al-andalus al-Khadra', 1419H
6.Al-Izz bin Abdul Salam, Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam, Beirut,Dar al- Ma'rifah.
7.Mana' al-Qutan, Tarikh al-Tasyri' al-Islami, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1993M.
8.Mohammad al-Tahir al-Misawi, Ibn Asyur wa Kitabuhu Maqasid al-Syariah al- Islamiyyah, Kuala Lumpur, Al-Basyair li al-Intaj al-Ilmi, 1998M.
9.Muhammad bin Farhun, Tabsirah al-Hukkam, Mesir, Dar al-Maktabah al-Ilmiyyah, 1301H.
10.Muhammad Fathi al-Duraini, al-Manahij al-usuliyyah, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1997.
11.Muhammad Sidqi al-Borno, al-Wajiz fi Idhah Qawaid al-Fiqh al-Kulliyyah, Muassasah al-Risalah, Beirut, 1996M.
12.Muhammad Uqlah, al-Islam Maqasiduhu wa Khasaisuhu, Amman, Maktabah al- Risalah al-Hadisah, 1991M.
13.Muhammad al-Zuhayli, Maqasid al-Syariah, Dar al-Maktabi, Damsyik, 1998M.
14.Nuruddin Mukhtar al-Khadimi, al-Ijtihad al-Maqasidi,Qatar , 1998M.
15.Dr. Qutub Mustafa Sanu, Adawat al-Nazar al-Ijtihadi al-Mansyud, Beirut, Dar al- Fikr, 2000M.
16.Ramadan al-Buti, Dawabit al-Maslahah, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1990M.
17.al-Syatibi, al-Muwafaqat, Beirut, Dar al-Ma'rifah, 1996M.
18.al-Syaukani, Irsyad al-Fuhul, Beirut, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994M.
19.Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, Damsyik, Dar al-Fikr, 1986M.
20.Yusuf Hamid al-Alim, al-Maqasid al-Aamah li al-Syariah al-Islamiyyah, USA, al- Maahad al-Alami li al-Fikr al-Islami, 1991M.
21.Yusuf al-Qardawi, al-Ijtihad al-Muasir baina al-Indibat wa al-Infirat, Kaherah, Dar al-Tauzi', 1994M.
22.Yusuf al-Qardawi, Madkhal li Dirasat al-Syariah al-Islamiyyah, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1993M.
23.Yusuf al-Qardawi, al-Sunnah Masdaran li al-ma'rifah wa al-hadarah, Kaherah, Dar al-Syuruq, 1997M. 
 http://fikrah.interaktif.tripod.com/Agama/maqasid.htm

No comments:

Post a Comment