Mengenali penyakit hati
Assalamualaikum wbt.
Setiap daripada manusia memiliki hati. Namun tidak semua mempunyai
hati yang bersih dan sihat dari penyakitnya. Contoh penyakit hati yang
sering melanda diri manusia itu adalah hasad dengki, takabbur dan
sebagainya. Tapi hati yang disebut-sebut itu, di manakah ia? Lokasi
sebenar hati itu mana letaknya? Apakah makna sebenar segumpal daging
yang dimaksudkan oleh Rasulullah dalam hadis ke-6 dari Hadis 40?
Walaupun pokok perbincangan hadis tersebut amat besar, tapi ianya
berkaitan dengan segumpal daging yang disebut sebagai Al-Qalb. Apakah
definisi Al-Qalb itu? Menurut Imam Ghazali dalam hasil karya beliau
bertajuk Ma’arij Al-Qudsi fi Madariji Ma’rifatin Nafsi, maksud Al-Qalb itu ada dua:
- Segumpal daging berbentuk satu genggaman manusia yang diletakkan di sebelah kiri dalam rongga dada (thoracic cavity) dan boleh dilihat secara jelas. Dari situ kita dapat mengetahui bahawa Al-Qalb yang dinyatakan adalah sumber oksigen kepada tubuh dan juga organ penting untuk manusia dan haiwan, iaitu jantung. Ianya juga membawa maksud, jika rosak Al-Qalb ini, maka rosaklah seluruh tubuh manusia atau haiwan itu. Jadi ini dapat disimpulkan bahawa Al-Qalb itu membawa makna jantung.
- Secara abstraknya, Al-Qalb itu membawa maksud ruh (jiwa manusia) dan tidak boleh disentuh sepertimana jantung yang diterangkan pada makna sebelumnya. Ruh inilah yang membawa amanat dari Allah SWT. Ruh ini jugalah yang menyatakan kesanggupan untuk mengenal tauhid dengan mengakui keesaan Allah SWT sewaktu mula-mula ia diciptakan, sepertimana dalam Surah Al-A’raf ayat 172:
Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuban kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengata- kan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)
Bagaimana pula peranan syaitan dalam penyakit hati manusia ini? Dalam
satu hadis diriwayatkan oleh Muttafaqun Alaih, Rasulullah SAW bersabda:
” Sesungguhnya Syaitan itu meresap ke dalam diri manusia seperti
mengalirnya darah dalam tubuhnya”
Jalan syaitan untuk menyelinap ke dalam hati manusia:
1. Marah
Marah adalah pintu yang paling mudah untuk syaitan menyelinap ke
dalam hati manusia. Sifat marah yang meluap-luap mampu menutup sifat
kewarasan akal. Apabila kewarasan akal dikaburi dengan marah, sebarang
tindakan yang diambil adalah tindakan yang merugikan diri sendiri.
Seorang wali Allah bertanya kepada Iblis: Bagaimana engkau menawan anak
Adam? Iblis menjawab: Aku tawan dia ketika dia marah dan ketika ia
bernafsu.
2. Nafsu
Nafsu bukan sahaja terdiri daripada nafsu syahwat, tetapi juga nafsu
terhadap makanan, berjual-beli, mengumpul harta dan sebagainya. Syaitan
menawan hati manusia ini melalui pintu nafsu yang tidak terjaga. Jadi,
untuk mengelakkannya, manusia itu perlu menjaga kehormatan dirinya dan
memelihara nafsunya supaya tidak terjerumus kepada hasutan syaitan.
Surah Al-Mukminun ayat 5 – ” Dan mereka yang menjaga kehormatan dirinya.” Iaitu antara ciri orang beriman yang berjaya adalah yang menjaga kehormatan dirinya.
3. Tergesa-gesa
Manusia ini sinonim dengan tergesa-gesa seperti dalam surah Al-Isra’ ayat 11, “Dan
manusia berdoa dengan (memohohn supaya dia ditimpa) kejahatan
sebagaimana dia berdoa dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia
itu tergesa-gesa.”
Sifat tergesa-gesa menyebabkan seseorang itu terjebak dalam kesusahan
dan syubhat. Namun, manusia itu mampu mengawal sikapnya dengan sifat
berhati-hati. Dan berhati-hati itu datangnya dari Allah SWT.
4. Hasad dengki
Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda, “Penyakit umat sebelum
kamu telah menular kepada kamu iaitu hasad dengki dan permusuhan.
Permusuhan itu ialah pengikis dan pencukur. Saya tidak maksudkan
mencukur rambut tetapi ia mengikis agama.”
Hasad dengki boleh mengikis Iman seseorang jika ia tidak sedar dengan
cepat. Dan sifat dengki ini juga mampu mengkucar-kacirkan suatu
komuniti jika tidak ditangani dengan bijaksana.
5. Kikir
Kikir ini menghalang manusia berbuat kebaikan dan sedia berkorban.
Terutama berkorban harta dan tenaga untuk jalan Allah SWT. Dalam surah
Al-Baqarah ayat 268 Allah menyebut tentang sifat kikir ini :
“Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir); sedang Allah menjanjikan untukmu ampunan daripada-Nya dan karunia. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”
6. Takabbur
Ini adalah sifat yang menyebabkan syaitan digugurkan darjat oleh
Allah SWT hanya kerana tidak mahu sujud kepada Nabi Adam di saat Nabi
Adam diciptakan. Ia merasakan dirinya jauh lebih mulia kerana dijadikan
daripada api sedangkan Nabi Adam hanya dari tanah. Jika sifat ini
terbina dalam diri seorang manusia, ia amatlah berbahaya kerana ia akan
merasakan dirinya lebih mulia dari orang lain dan amat susah untuk
menerima kebenaran.
7. Buruk sangka
Berbahaya sungguh sifat buruk sangka atau lebih dikenali dalam bahasa
arab sebagai Suu Zhon. Ini menghalang terbentuknya ukhwah islamiyyah
dan mahabbah antara Muslim. Dan ianya juga punca tersebarnya fitnah yang
akhirnya mencetuskan perbalahan sesama manusia. Kita kena menghindari
sifat buruk sangka ini supaya ukhwah dapat terjalin dengan utuh.
Surah Hujuraat ayat 12 :
“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yaang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati. Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”
Kesimpulannya, si pemilik hati ini kena bertanya kepada hati mereka
sama ada hati mereka itu sakit atau tidak. Dan penawar kepada penyakit
hati adalah kembali kepada Rabbnya. Nescaya hati yang gundah akan
kembali tenang.
Surah Ar-Ra’d ayat 28 : (Yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.
Wallahu a’lam
http://nowwhytwo.wordpress.com
Comments
Post a Comment