Perbandingan Kehidupan Dunia & Kehidupan Akhirat

Written By: Zahiruddin -
 
Salam Semua,

Kali ini saya ingin kongsi mengenai perbandingan kehidupan dunia dan akhirat.Seperti sedia maklum saya ini sering leka dengan urusan dunia yang tak habis-habis.Urusan mencari rezeki, urusan anak-anak, urus sahabat, urusan hutang piutang, urusan nak menjayakan perniagaan dan banyak lah lagi. Jika kita perasan setiap urusan yang kita dapat selesaikan akan timbul lagi urusan seterusnya. Ia semacam tak habis-habis hinggakan kita berkata dalam diri kita “esok kita sambung lagi”. Begitulah rutin kita setiap hari perihal urusan dunia kita.

Walhal kita sudah di beritahu bahawa kehidupan dunia ini sementara. Kita juga di beritahu supaya berilah atau bersedialah untuk kehidupan akhirat yang kekal dan pasti. Tapi macam tak ada EFEK langsung. Mana taknya sebab kita tak nampak (lagi) dan tak meyakini (lagi) akan kehidupan AKHIRAT. Kita tahu yang kita PASTI MATI dan kematian itu boleh berlaku bila-bila sahaja. Satu saat lagi, seminit lagi dan bila-bila. Tapi kita masih boleh kata ESOK masih ADA.

Di dunia jika kita tak bayar bil api sebulan surat POTONG BEKALAN akan sampai, jika kita tak bayar kereta 3 bulan surat tarik sampai, jika tak bayar rumah 3 bulan rumah di lelong dan ini membuatkan kita lagi RISAU dan GUNDAH lebih-lebih lagi bagi mereka yang tiada punca pendapatan yang tetap. Bayangkan jika Allah hantar bil seperti itu kepada kita jika kita tak solat 5 waktu surat amaran POTONGAN BEKALAN oksigen di keluarkan, jika kita banyak buat dosa mata, surat PENAMATAN PENGLIHATAN di beri, jika kita mulut celupar di beri surat TIADA SUARA. Tapi sesungguhnya Allah maha kasih dan maha penyayang dia tak buat macam tu walaupun dia boleh buat apa sahaja. Dia beri kita peluang dan tunjuk ajar dengan kasih sayang, bahkan diri kita yang kita bangga-bangakan ini pun MILIK ALLAH.

Oleh itu marilah kita sama-sama ingat Allah dalam urusan dunia kita dan sama-sama berusaha untuk akhirat kita. Kata Kiyai Asori – “Apa-apa yang menghalangi/mendindingi antara kita dengan Allah itu adalah dunia” dan “apa-apa yang menghubungkan/mendekatkan kita dengan Allah itu akhirat”.

Di bawah ini saya sisipkan peringatan untuk saya dan semua perihal dunia & Akhirat.

Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang – bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni), dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan dia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).

Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu).
Surah Yunus Ayat 24-25.

Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan. Surah Al-Kahfi Ayat 45-46.

Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan yang reda (berpuashati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami.

Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan.Surah Yunus Ayat 7-8

Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. Surah At-Taubah Ayat 38

(Tentulah) kesenangan yang mereka nikmati bertahun-tahun itu tidak dapat memberikan mereka sebarang pertolongan.Surah Asy-Syu’ara Ayat 207

Allah bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu): “Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?”Mereka menjawab: “Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari; maka bertanyalah kepada golongan (malaikat) yang menjaga urusan menghitung. Allah berfirman: “Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia). Surah Al-Mukminun Ayat 112-114

Semoga Allah memberi kita Petunjuk dan Hidayah.

Wassalam
Zahiruddin

http://rezekihalal.com/perbandingan-kehidupan-dunia-kehidupan-akhirat/




Comments

Popular posts from this blog