Subsidi: Adakah patut diteruskan atau dihentikan?
Pada
bulan Mei 2010, rakyat Malaysia telah dikejutkan oleh Idris Jala,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, apabila beliau mengatakan bahawa
Malaysia akan mengalami nasib seperti Greece, yakni mungkin menjadi
muflis, jika subsidi kerajaan tidak dipotong dengan segera. Tambah
beliau, hutang kerajaan juga akan meningkat menjadi 100% berbanding KDNK
negara. Oleh sebab itu, beliau mengatakan rakyat terpaksa menerima
hakikat bahawa kos elektrik, tol, perkhidmatan kesihatan kerajaan,
pelajaran, minyak petrol, dan makanan perlu dinaikkan demi menjamin
kestabilan persekitaran sosial dan politik negara pada masa hadapan.
Untuk mengukuhkan hujah beliau, Idris
Jala memberikan beberapa fakta. Antara lain, jumlah subsidi kerajaan
pada tahun 2009 ialah RM74 bilion atau RM12,900 setiap isi rumah yang
dipecahkan seperti berikut - sosial (RM42.8 bil), petrol (RM23.5 bil),
infrastruktur (RM4.6 bil) dan makanan (RM3.1 bil). Akhir sekali beliau
memberi amaran tentang defisit belanjawan kita yang tersangat tinggi
iaitu RM47 bilion. Oleh itu beliau meramalkan bahawa jumlah hutang
negara akan meningkat menjadi RM1,158 bilion pada tahun 2019 jika kadar
defisit itu dikekalkan.
Gambaran yang diberikan oleh Idris Jala
meresahkan ramai pihak termasuk dalam kalangan penyokong kerajaan
sendiri. Ada yang terpinga-pinga dan tertanya-tanya. Adakah keadan
begitu teruk sehinggakan tidak ada alternatif lain? Adakah betul punca
kepada masaalah kita ialah fenomena ketagihan subsidi dalam kalangan
rakyat atau adakah ia kerana kerajaan gagal mengurus kewangan kita
dengan baik?
Respons daripada parti pembangkang dalam
hal ini sangat mudah. Mereka mengatakan bahawa punca utama masalah
ialah kegagalan kerajaan mengurusan kewangan negara. Oleh itu penarikan
subsidi tidak boleh dibenarkan kerana akan membebankan rakyat. Mereka
juga mengatakan bahawa jika pemerintahan negara di tangan mereka,
subsidi tidak akan ditarik balik kerana mereka mampu menguruskan
kewangan negara dengan lebih cekap dan efisyen.
Siapakah yang lebih betul dalam hal ini?
Adakah perlu bagi rakyat untuk menggantikan kerajaan BN dengan kerajaan
PR supaya subsidi akan terus dikekalkan untuk rakyat?
Untuk memahami isu-isu ini dengan lebih
mendalam, ada baiknya kita memahami konsep subsidi dahulu dengan jelas.
Subsidi adalah satu bentuk bantuan kewangan yang diberikan kepada
sesebuah sektor perniagaan. Banyak kes subsidi melibatkan bantuan
kerajaan kepada pengeluar dalam sesebuah industri untuk membantu
memajukan industri tersebut. Contoh terbaik ialah bantuan kerajaan
kepada Proton dalam industri kereta. Ada juga bentuk subsidi yang
diberikan kepada sesebuah industri untuk menghalang harga daripada naik.
Contoh terbaik ialah subsidi minyak petrol dan subsidi makanan.
Terdapat juga bentuk subsidi untuk memastikan perkembangan sektor
tertentu seperti subsidi baja dalam sektor pertanian.
Isu subsidi juga adalah isu yang hangat
dibincangkan dalam bidang perniagaan antarabangsa. Ia dilihat sebagai
tindakan protectionist atau perlindungan dan oleh itu merupakan satu
bentuk sekatan kepada perdagangan antarabangsa. Ia demikian kerana
subsidi menjadikan harga keluaran tertentu dalam negara menjadi murah
berbanding harga keluaran yang diimport dan seterusnya akan mengurangkan
daya saing barangan yang diimport. Bayangkan jika ahli perniagaan
Malaysia ingin mengeksport batik kita ke negara Indonesia tetapi
berhadapan dengan batik yang lebih murah di sana hanya semata-mata
kerana pengusaha batik Indonesia mendapat bantuan kerajaan dan bukan
kerana mereka adalah lebih cekap atau lebih efisyen. Sudah tentu
pengeluar batik Malaysia akan berasa tidak berpuas hati.
Maka itulah juga perasaan pengeskport
kereta dari negara lain terhadap Proton. Sebagai contoh, syarikat kereta
dari Korea atau China adalah lebih efisyen berbanding Proton. Namun
mereka sukar mengalahkan Proton dalam pasaran Malaysia kerana harga
kereta Proton adalah lebih murah disebabkan subsidi yang diberikan oleh
kerajaan Malaysia. Dalam hal ini, subsidi telah menyumbang kepada distortions (pembelokan)
dalam pasaran yang mana pengeluar yang lebih efisyen tidak dapat
mengalahkan pengeluar yang tidak efisyen kerana campur tangan pihak
kerajaan. Di samping itu, subsidi seperti ini juga melibatkan kos yang
sangat tinggi kepada kerajaan dan rakyat.
Sebenarnya baik buruk subsidi yang
diberikan oleh kerajaan bergantung kepada perspektif golongan mana yang
terlibat. Sebagai contoh, dalam kes subsidi yang diberikan kepada
Proton, ia sudah tentu baik bagi pemilik syarikat Proton, pekerja Proton
dan juga syarikat yang menjadi pembekal kepada Proton (Proton vendors)
serta pekerja mereka. Tetapi dari perspektif rakyat Malaysia secara
umum, bukan semua akan menikmati kebaikan ini. Bagi golongan rakyat
Malaysia yang tidak ada kaitan dengan Proton dan tidak berminat untuk
membeli kereta Proton, tidak banyak kebaikan yang mereka peroleh
walaupun mereka juga menanggung kos bantuan yang diberikan kepada
Proton. Jika subsidi kepada Proton ini adalah untuk membantu menjual
kereta Proton dengan harga yang rendah di pasaran luar negara, ini
bermakna golongan yang beruntung adalah pengguna luar negara tersebut
yang telah mendapat bantuan kewangan daripada rakyat Malaysia.
Bagaimana pula dengan subsidi yang lain
seperti subsidi tol? Sekali lagi golongan yang paling beruntung ialah
golongan yang menggunakan jalan bertol setiap hari serta pengguna dari
Singapura dan Thailand yang langsung tidak membayar cukai pendapatan
kepada kerajaan. Golongan yang paling tidak mendapat keuntungan dari
subsidi tol adalah golongan yang langsung tidak menggunakan jalan bertol
kerana mereka masih terpaksa menyumbang secara tidak langsung kepada
kos pembinaan dan penyeliaan jalan bertol tersebut.
Keadaan ketidakadilan ini juga jelas
berlaku dalam kes subsidi minyak petrol (yang berjumlah RM23.5 bilion
pada tahun 2009) kerana wujudnya ketidakseimbangan pengagihan kosnya
kepada semua rakyat. Sebenarnya golongan yang paling beruntung dalam kes
ini ialah orang asing yang menggunakan kenderaan di Malaysia kerana
mereka tidak membayar apa-apa cukai pendapatan kepada kerajaan. Golongan
kaya juga beruntung kerana kenderaan yang mereka gunakan adalah besar
dan menggunakan banyak petrol. Walaupun perbelanjaan kos petrol bulanan
mereka mungkin tinggi, namun jumlah subsidi yang diterima oleh mereka
juga adalah tinggi. Sebaliknya golongan miskin secara relatif mendapat
manfaat yang sedikit sahaja daripada subsidi ini, terutama sekali bagi
kalangan yang memakai motosikal kapcai sedangkan mereka juga menanggung
kos subsidi yang besar ini dalam bentuk cukai pendapatan yang dibayar
kepada kerajaan.
Satu cara mengatasi kesan ketidakadilan
di atas adalah dengan kerajaan mengambil langkah diskriminasi dalam
pengagihan subsidi iaitu dengan memberikannya kepada golongan yang
paling memerlukan bantuan. Kaedah `targeted subsidies’ ini
sudah lama diamalkan di beberapa negara termasuk negara kita sendiri
yang mana bantuan kerajaan ditujukan khas kepada golongan miskin.
Contoh-contoh bentuk bantuan kepada golongan ini ialah pengecualian
pembayaran bil air jika penggunaanya sedikit, baucar atau setem makanan (food stamps),
biasiswa, bantuan buku teks, bantuan kos perumahan, perkhidmatan
kesihatan dan lain-lain. Namun kos pentadbiran skim bantuan yang
berbentuk diskriminasi ini adalah sangat tinggi dan kadangkala tidak
praktikal untuk digunakan dalam kes tertentu seperti subsidi minyak
petrol.
Dari manakah kerajaan memperoleh sumber
kewangan untuk membayar kos subsidi? Jawapannya adalah dari segala
pendapatan kerajaan sama ada daripada cukai atau dari sumber lain
seperti pendapatan daripada Petronas dan keuntungan syarikat-syarikat
milik kerajaan yang lain. Jika pendapatan sesebuah kerajaan adalah
tinggi maka kita akan mendapati bahawa kemungkinan subsidi yang
diberikan kepada rakyatnya juga adalah tinggi. Sebagai contoh, di Saudi
Arabia, subsidi diberikan kepada rakyat dalam berbagai-bagai sektor
termasuk petrol, perkhidmatan kesihatan dan pelajaran. Tambahan pula
rakyatnya langsung tidak membayar apa-apa bentuk cukai pendapatan. Hal
ini adalah kerana kerajaan Arab Saudi memperoleh pendapatan yang tinggi
dari sumber minyaknya. Pada tahun 2010, pendapatan kerajaan Arab Saudi
adalah USD185.1 bilion sementara perbelanjaannya hanyalah USD173.1
bilion. Oleh kerana itulah kerajaan Arab Saudi tidak berasa tertekan
dengan perbelanjaan subsidi kepada rakyat walaupun rakyat tidak
menyumbang kepada pendapatan negara melalui cukai pendapatan.
Di Malaysia, perbelanjaan kerajaan pada
tahun 2010 ialah RM205,468 bilion sementara pendapatan hanya RM162,131
bilion. Inilah yang menghasilkan keadaan defisit belanjawan kita
RM43,337 bilion dan akan ditambahkan lagi kepada hutang yang terkumpul
dari tahun-tahun yang lepas.
Bagaimanakah kerajaan boleh mengurangkan
defisit tersebut di atas? Satu cara ialah dengan menambahkan pendapatan
melalui penambahan cukai pendapatan atau cukai-cukai lain. Tetapi ini
adalah satu kaedah yang tidak popular dan akan menyebabkan sokongan
kepada kerajaan merosot.
Satu lagi cara ialah dengan mengurangkan
perbelanjaan kerajaan, baik dalam aspek operasi dan juga aspek
pembangunan. Dalam aspek operasi, salah satu elemen kos utama ialah
penggajian. Adalah amat sukar untuk mengurangkan kos penggajian kerana
sebarang usaha untuk memotong gaji akan membuat kerajaan langsung tidak
popular.
Satu lagi cara ialah dengan mengurangkan
perbelanjaan pembangunan. Ia bermakna projek-perojek pembangunan
seperti jalan raya, kampus universiti dan bangunan sekolah baru
diberhentikan atau dipotong. Keadaan ini juga akan membuat ramai
golongan tidak berpuas hati kerana ramai yang mendapat pendapatan
melalui projek seperti ini, terutama sekali kalangan kontraktor
Bumiputera dalam industri pembinaan serta juga subkontraktor mereka
daripada kalangan bumiputera dan juga bukan bumiputera.
Apabila Tun Abdullah Badawi cuba
mengurangkan perbelanjaan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 dengan
mengurangkan perbelanjaan kerajaan dalam bidang pembinaan, ramai peniaga
Melayu daripada pelbagai golongan – baik pembekal makanan ke tapak
pembinaan mahupun kontraktor binaan dan arkitek, berasa tidak senang
hati dan hal ini telah menggugat kedudukan politik beliau. Akhirnya
beliau terpaksa menarik balik keputusan tersebut dan menambahkan
perbelanjaan dalam bidang pembinaan melalui dana yang dipinjam dan
seterusnya menyebabkan defisit dan hutang terkumpul kerajaan semakin
meningkat.
Satu cara lagi bagi kerajaan untuk
mengurangkan perbelanjaan ialah dengan mengurangkan ketirisan dalam
perbelanjaan. Hal ini boleh dilakukan dengan melaksanakan langkah
penjimatan. Sebagai contoh jabatan kerajaan boleh mengurangkan
perbelanjaan yang tidak perlu seperti mengurangkan majlis di
hotel-hotel, mengurangkan kos hadiah dan cenderamata yang diberikan
dalam majlis-majlis tersebut, mengurangkan lawatan keluar negara oleh
pemimpin dan pegawai tinggi kerajaan dan perbelanjaan-perbelanjaan lain
yang tidak perlu.
Di samping itu, perbelanjaan boleh juga
dikurangkan jika peraturan proses pemberian kontrak kerajaan
diperketatkan untuk mengurangkan rasuah. Kita semua tahu bahawa sering
terdapat fenomena ‘cost inflation’ dalam pemberian kontrak kerajaan.
Bahkan inilah cara bagi sesetengah ahli politik memperoleh sumber dana
untuk membiayai aktiviti politik mereka.
Malangnya dalam suasana masyarakat yang
mementingkan diri sendiri dan tertekan akibat beban hutang, langkah
penjimatan di atas sering dibangkang oleh rakyat sendiri. Sebagai contoh
langkah untuk tidak mengadakan majlis atau seminar kerajaan di
hotel-hotel telah dikutuk oleh persatuan pemilik hotel tempatan kerana
menurut mereka tindakan ini tidak akan membantu perkembangan sektor
perhotelan. Begitu juga langkah mengurangkan pemberian cenderamata dan
hadiah akan melembapkan sektor-sektor yang terlibat. Langkah
mengurangkan lawatan ke luar negara akan mengurangkan pendapatan agen
penjualan tiket serta pendapatan syarikat penerbangan MAS dan Air Asia.
Mereka semua akan menentang langkah penjimatan kerajaan ini kerana
mengurangkan pendapatan mereka.
Di samping itu, apabila kebanyakan ahli
masyarakat tidak mempunyai etika yang tinggi dan juga tidak bertakwa,
adalah amat sukar untuk menghapuskan masalah ‘cost inflation’ dalam
projek-projek pembangunan kerajaan. Hakikatnya ialah sebahagian besar
rakyat sering melihat pemimpin politik mereka sebagai sumber untuk
memperoleh bantuan kewangan. Bagi mereka pemimpin politik yang sering
menghulurkan wang tunai kepada rakyat adalah pemimpin yang layak
mendapat sokongan mereka walaupun pemimpin itu mungkin tidak bermoral.
Pemimpin politik yang berprinsip dan bermoral tetapi tidak sering
menghulurkan wang tunai kepada rakyat adalah pemimpin yang `kedekut’ dan
tidak layak mendapat undi mereka.
Jelaslah langkah untuk menghapuskan
masalah ‘cost inflation’ serta rasuah akan mengambil masa yang panjang.
Penghapusan rasuah memerlukan pentarbiahan ahli masyarakat dari bawah
hingga ke atas. Kalaupun kerajaan yang sedia ada dapat ditumbangkan
kerana rakyat sudah muak dengan penyalahgunaan kuasa serta amalan rasuah
yang berleluasa, namun adalah amat `naïve’ untuk kita mengharapkan
bahawa amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa tersebut akan hilang
dengan sekelip mata.
Disebabkan sulitnya bagi kerajaan untuk
mengurangkan perbelanjaan dengan cara-cara di atas, maka kerajaan
sekarang sedang memikirkan alternatif lain iaitu dalam bentuk
mengurangkan subsidi seperti yang disebut pada awal artikel ini yang
berjumlah RM74 bilion pada tahun 2009. Tetapi seperti yang diketahui,
langkah ini juga adalah sangat tidak popular kerana ia akan menambahkan
beban perbelanjaan kepada rakyat. Setiap kali kerajaan bercakap tentang
keperluan untuk mengurangkan subsidi, ia akan membuat pihak pembangkang
tersenyum kerana ia akan membuat kerajaan hilang populariti dalam
kalangan pengundi. Pembangkang akan menggunakan isu ini sebagai modal
kempen politik mereka. Kerajaan yang memerintah sekarang juga sedar akan
hakikat ini dan oleh yang demikian sebenarnya tidak akan
sewenang-wenangnya memotong subsidi.
Disebabkan semua langkah penjimatan
perbelanjaan sukar dilakukan dan tidak popular dalam kalangan rakyat,
sebenarnya apa yang sentiasa berlaku ialah kerajaan akan terus mengalami
belanjawan defisit dan menampung defisit tersebut dengan cara meminjam
daripada berbagai-bagai sumber termasuk dari institusi kewangan dan
pelabur individu dari dalam dan luar negara. Inilah sebenarnya jalan
yang paling mudah dan ‘selamat’ (dari segi politik) bagi pihak kerajaan
dalam jangka masa pendek. Tidak seperti di Amerika di mana ada golongan,
terutama sekali daripada kalangan penyokong parti Republikan yang
sangat bencikan amalan kerajaan menambahkan hutang, di Malaysia tidak
wujud golongan yang lantang menentang amalan kerajaan menambahkan
hutang.
Hatta, dalam kalangan pendakwah dan
penyokong Islam sekalipun, ramai yang tidak tahu-menahu langsung tentang
amalan kerajaan berhutang ini dan hampir kesemua mereka tidak tahu
jumlah hutang terkumpul kerajaan. Ramai antara mereka, termasuk daripada
kalangan gerakan Islam yang syumul (yakni yang memahami Islam sebagai
agama yang mempunyai skop yang luas termasuk dalam bidang ekonomi) lebih
lantang menentang rancangan kerajaan untuk mengurangkan subsidi
berbanding dengan rancangan kerajaan menambahkan hutang untuk membiayai
subsidi tersebut. Ia mungkin disebabkan mereka kurang sedar tentang
elemen riba dalam hutang kerajaan serta jumlah beban hutang terkumpul
kerajaan. Mereka juga mungkin tidak peka tentang implikasi jangka
panjang kepada kestabilan politik dan sosial negara akibat daripada
masalah hutang tersebut.
Oleh sebab itulah, walaupun kerajaan
sering menyatakan hasrat untuk mengurangkan subsidi bagi mengurangkan
perbelanjaan negara, namun hakikatnya ialah besar kemungkinan kerajaan
tidak akan mengurangkan subsidi yang diberikan kepada rakyat terutama
sekali dalam tahun-tahun yang hampir dengan pilihan raya. Subsidi,
walaupun memang akan melibatkan kos yang tinggi kepada kerajaan, namun
akan terus dikekalkan supaya rakyat dapat hidup dengan `selesa dan
senang’ demi untuk mengurangkan modal politik pihak pembangkang dan
seterusnya menjamin kemenangan kerajaan dalam pilihan raya yang akan
datang.
Hanya beberapa individu sahaja yang akan
memarahi tindak-tanduk kerajaan yang tidak bertanggungjawab ini, yang
memindahkan beban membayar hutang negara kepada generasi akan datang
yakni anak-anak dan cucu-cucu kita. Namun demikian, besar kemungkinan
individu-individu ini akan dimarahi pula oleh rakyat yang lain yang
merasakan bahawa isu hutang kerajaan ini tidaklah penting berbanding
dengan isu keperluan untuk memastikan subsidi akan terus dikekalkan demi
keselesaan kehidupan mereka sekarang.
Sebenarnya langkah jangka panjang untuk
menyelesaikan masalah di atas ialah dengan mewujudkan satu suasana yang
mana rakyat mempunyai darjah ketakwaan yang tinggi serta mempunyai
thiqah (kepercayaan) yang juga tinggi kepada pemimpin yang dilantik
daripada kalangan mereka.
Dalam suasana seperti itu, besar
kemungkinan ramai daripada kalangan rakyat akan menjadi penderma
sukarela kepada kerajaan. Inilah yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad
sallalahu alaihi wasallam bilamana sahabat baginda dengan sukarela
menyedekahkan harta mereka kepada negara dengan jumlah yang banyak. Pada
zaman itu dan zaman berikutnya, amalan rakyat ‘mewakafkan’ harta mereka
kepada kerajaan Islam adalah lumrah dan oleh itu fenomena kerajaan
terpaksa meminjam jarang berlaku.
Dalam erti kata lain, tumpuan rakyat
yang lebih kepada kehidupan yang selesa di akhirat kelak berbanding
dengan kehidupan dunia yang sementara ini akan membuat mereka lebih
cenderung untuk `memberi’ berbanding dengan `meminta’ daripada kerajaan.
Sebaliknya kalau diperhatikan sekarang ini tidak ramai golongan yang
berminat untuk mewakafkan harta mereka kepada kerajaan sehinggakan
kebanyakan masjid yang dibina adalah daripada sumber kerajaan dan bukan
secara langsung daripada derma rakyat.
Berbalik kepada persoalan sama ada
subsidi patut diteruskan atau diberhentikan, ia sebenarnya bergantung
kepada keadaan pendapatan dan perbelanjaan negara pada masa itu. Jika
pendapatan kerajaan masih melebihi perbelanjaan walaupun terdapat
perbelanjaan subsidi, maka sudah tentu subsidi harus dikekalkan
terutamanya kepada golongan miskin. Tetapi jika pendapatan adalah tidak
mencukupi (atas beberapa sebab seperti kurangnya hasil minyak pada masa
itu) besar kemungkinan kerajaan akan memberhentikan subsidi kerana mahu
mengelak meminjam daripada sumber yang tidak halal.
Berdasarkan hujah di atas maka jelaslah
bahawa isu-isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan hutang kerajaan adalah
sebenarnya bukan punca utama masalah masyarakat. Isu-isu tersebut
hanyalah simptom kepada penyakit utama masyarakat iaitu kekurangan sikap
takwa kepada Allah. Hanya apabila setiap ahli dalam masyarakat bertakwa
kepada Allah, maka kita akan dapat mewujudkan suasana yang mana rasuah
dan penyalahgunaan kuasa, ketirisan dan pembaziran dapat dihapuskan, dan
perbelanjaan kerajaan juga akan dapat ditampung oleh pendapatan negara
yang ada. Pada masa itu juga, besar kemungkinan isu ‘subsidi’ langsung
tidak akan menjadi topik perbincangan.
http://www.malaysiaharmoni.com
Comments
Post a Comment