UKHWAH ISLAMIAH
“Dari
Aisyah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Orang yang sangat
dibenci Allah ialah orang yang suka bermusuh-musuhan.” - Sahih Bukhari
Perpaduan adalah asas bagi ajaran Islam
kerana ia bukannya sekadar membina hubungan manusia dengan Allah
semata-mata tetapi kita juga diseru supaya mengukuhkan hubungan baik
sesama manusia dan mahkluk-mahkluk yang lain. Ini dapat dilihat secara
jelas dalam maksud firman Allah s.w.t yang berbunyi:
Yang bermaksud: “ Ditimpa kehinaan ke
atas mereka walau di mana mereka berada melainkan mereka berpegang
teguh dengan agama Allah dan menjalinkan hubungan baik sesama manusia. ” (Surah A-li ‘Imran : Ayat 112)
Untuk membina perpaduan sesama umat
Islam, Allah s.w.t menggambarkan bahawa setiap orang Islam itu
bersaudara antara satu sama lain yang mana asas persaudaraan itu bukan
sekadar dari hubungan tali persaudaraan keluarga atau satu bangsa tetapi
disatukan dengan tingkatan akidah dalam Islam seperti firman Allah
s.w.t:
Yang bermaksud : “Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara” (Surah Al-Hujurat : Ayat 10)
Ayat di atas mengambarkan kepada kita
bahawa umat Islam mendapat pengiktirafan dari Allah s.w.t sebagai
saudara seagama, yang banyak hak yang perlu dipelihara bersama-sama.
Dalam Al-Quran banyak ayat yang
menggalakkan kita sebagai seorang Muslim untuk menghormati saudara
sesama Islam, bukan sekadar memelihara dari segi pergaulan dan tutur
bicara, malah dalam segala aspek ekonomi dan keseimbangan kehidupan
sosial juga, meletakkan satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
Dalam syariah Islam, setiap umat bukan
sekadar disuruh untuk melakukan ibadah sembahyang, puasa, haji dan
sebagainya sebagai pengabdian kepada Allah s.w.t semata-mata, tetapi
digalakkan juga kita melakukan secara berjemaah dan bersatupadu dengan
matlamat yang sama iaitu mencari keredhaan Allah s.w.t. Malah dalam
aspek pembinaan masyarakat Islam itu sendiri, kita dapat melihat dengan
jelas bagaimana Baginda Rasulullah s.a.w berusaha bersungguh-sungguh
untuk menjalin hubungan sesama Islam tanpa mengira latar belakang
keturunan dan kedudukan sosial mereka. Sejarah telah membuktikan kepada
kita bahawa belum pernah berlaku penyatuan satu umat yang besar
melainkan kejayaan Baginda Rasulullah s.a.w membina ketamadunan umat
dalam tempoh yang pendek dan mengabungkan pelbagai fahaman agama yang
berbeza, kepada agama Islam.
Malah belum pernah berlaku dalam
mana-mana sejarah dan peradaban kehidupan manusia ketika itu, di mana
orang dari golongan bangsawan dipersaudarakan dengan golongan hamba
sahaya sehingga sanggup berkorban nyawa, disebabkan perasaan kasih
sayang yang teramat menusuk dalam sanubari mereka, seperti Saidina Abu
Bakar Assidik r.a dengan Saidina Bilal bin Rabah r.a. Malah setiap
sahabat dapat merasai akan nikmat dari perpaduan serta persaudaraan
berteraskan agama Allah. Ini dapat dilihat dari hadis Baginda Rasulullah
s.a.w yang berbunyi:
Yang bermaksud: ” Tidak ada kebaikan orang Arab ke atas A’jami (bukan Arab) melainkan yang bertaqwa."
Walaupun persaudaraan merupakan satu
lambang keamanan sejagat untuk umat manusia menggembleng pemikiran dan
tenaga untuk mengimarahkan dan memakmurkan dunia ini dengan berteraskan
konsep tauhid dan ilmu pengetahuan, namun terdapat unsur-unsur dalaman
dan luaran yang akan mengagalkan misi umat sebagai khalifah di dunia
ini. Unsur-unsur dalaman terdapat dalam diri setiap insan yang mendorong
ke arah sangkaan buruk dan cemburu di atas kejayaan saudaranya. Tidak
cukup sekadar itu, sikap hasad dan dengki mendorong manusia terus
berusaha dengan bersunguh-sunguh untuk memusnahkan kejayaan saudaranya
itu. Sifat-sifat seperti ini adalah merupakan satu penyakit umat Islam
masa kini yang semakin parah sehingga umat Islam kini menderita dan
gagal bersaing denga bangsa lain yang beragama lain. Maka tidak
hairanlah terdapat banyak ayat Al-Quran dan Hadis yang melarang kita
dari bersifat sedemikian. Sebagai contoh, baginda Rasulullah s.a.w
pernah bersabda yang berbunyi :
Yang bermaksud : “Jauhilah kamu akan sifat dengki kerana sifat dengki akan memakan kebaikan kamu seperti mana api memakan daun kering.” (Hadis Sahih)
Faktor luaran pula, sebagai contohnya,
pelbagai hasutan dan khabar agin yang sengaja diada-adakan agar umat
Islam sentiasa bergaduh dan bermusuhan antara satu sama lain, supaya
benteng persaudaraan ini ranap dan roboh begitu sahaja. Akhirnya, umat
Islam yang mendakwa menganuti agama yang sempurna, tidak lagi dapat
membawa apa-apa kesan dan keutuhan kepada umat Islam itu sendiri. Apa
yang terjadi ialah satu demi satu, sama ada negara atau bangsa akan
tersungkur tunduk patuh kepada orang kafir, sama ada kepada orang
Yahudi, Kristian mahupun Komunis.
Sebenarnya umat Islam hari ini amat
mengharapkan mana-mana negara umat Islam yang belum ditimpa kemelut ini
menghulurkan bantuan dan memerdekakan mereka dari penjajah-penjajah
Barat, yang semakin memeras dan menindas umat dan kesucian Islam. Sudah
ramai yang menjadi penuntun sepi di atas penderitaan umat Islam. Kalau
bukan orang Islam sendiri yang datang menebus kesucian dan maruah umat
Islam, siapa lagi? Oleh itu marilah kita merendahkan diri dan bertekad
untuk mengembalikan kekuatan umat Islam yang semakin terhakis dan
ingatlah orang Islam itu saudara kita, bukan musuh kita dan kita akan
dipersoalkan di hadapan Allah s.w.t di akhirat kelak mengenai
tanggungjawab yang telah kita jalankan terhadap saudara seagama kita.
Ayuh bangkit wahai saudaraku!
http://nowwhytwo.wordpress.com
Comments
Post a Comment