KHUTBAH JUMAAT 14 SEPTEMBER 2012





Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“MEMBINA PERPADUAN 1 MALAYSIA
(14 SEPTEMBER 2012 / 27 SYAWAL 1433H)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang diberkati ini, saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita sama-sama bertakwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan dan keberkatan hidup serta berbahagia di dunia dan di akhirat. Bersempena dengan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, maka mimbar yang mulia akan membincangkan khutbah bertajuk: Membina Perpaduan 1 Malaysia”.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Sejak April tahun 2009 yang lalu, sebagai kesinambungan pemimpin-pemimpin terdahulu maka telah bermulalah fasa transformasi negara. Kala itulah juga kerajaan telah memperkenalkan Gagasan 1 Malaysia untuk penyatuan dan perpaduan rakyat, menjamin kemakmuran masyarakat dan kesejahteraan negara. Gagasan ini terbina di atas landasan keikhlasan, satu matlamat ke arah kemajuan negara secara berterusan yang wajar dipaparkan kepada semua warganegara dengan rasa penerimaan bersama yang bermula dari keikhlasan denyut nadi kita. Gagasan 1 Malaysia ini telah mampu menjadi pemangkin kepada perpaduan nasional, ianya ibarat sekuntum bunga yang harum, menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan rakyat. Percayalah, perpaduan hanya boleh dicapai andai seluruh rakyat memahami, menghayati dan mengamalkan nilai murni, teras aspirasi serta asas perpaduan yang terkandung di dalam Gagasan ini. Lantaran itu, mimbar ingin menyatakan di sini bahawa prinsip keadilan sosial yang menjadi salah satu teras perpaduan dalam gagasan ini adalah amat bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Maa’idah  ayat 8:
Maksudnya: Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan janganlah kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan!.

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa perintah keadilan tidak melihat pada keturunan, warna kulit, bangsa, kedudukan, miskin kaya atau perbezaan agama. Ini amat bertepatan dengan Gagasan 1 Malaysia yang membela semua rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Hakikatnya, Gagasan 1 Malaysia ini juga adalah selaras dengan semangat yang ditunjukkan melalui sejarah pembentukan negara dan ketamadunan Islam terawal di Madinah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW. Masyarakat yang berada di Madinah pada waktu itu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh rukun dan harmoni, berasaskan Perlembagaan Madinah yang mengutamakan dan mempertahankan Islam sebagai agama, keadilan kepada semua dan melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada kaum bukan Islam yang berpayung di bawah pemerintahan negara Madinah. Di antara butir-butir kesepakatan yang terkandung dalam Piagam Madinah ialah sesiapa yang hidup dan tinggal di wilayah Madinah, baik Islam atau pun bukan Islam, dengan syarat tidak berbuat zalim, maka hendaklah mereka dilindungi dan diberi keamanan di bawah kekuasaan Islam yang suci. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan maksudnya: “Barangsiapa menyakiti orang bukan Islam yang berada di bawah perlindungan Islam, maka ia telah menyakiti aku, dan barangsiapa yang menyakiti aku, maka ia telah menyakiti Tuhan” (Riwayat Abu Daud). Begitu juga dengan apa yang diriwayatkan daripada Jabir Abdullah RA katanya: Satu jenazah lalu di hadapan kami (para sahabat), maka Rasulullah SAW berdiri. Lalu kamipun turut berdiri. Kami berkata kepada Rasulullah SAW “Ya Rasulullah, itu adalah jenazah yahudi”. Sabda Rasulullah SAW “apabila kamu melihat jenazah, maka berdirilah” (Riwayat al-Bukhari) .
Hadith ini memberi isyarat bahawa Islam menggalakkan umatnya menghormati semua agama dan kaum kerana Islam ini menuntut kita supaya saling hormat menghormati dan bersikap lebih kemanusiaan sesama manusia yang lain.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Persoalan besar timbul bagaimanakah untuk merealisasikan Gagasan 1 Malaysia agar semua kaum dapat menerimanya?. Mimbar ingin menyatakan bahawa pendekatan wasatiyah yang bersifat komprehensif dan bersepadu merupakan asas kepada pembinaan perpaduan di Malaysia ini. Wasatiyyah adalah merujuk kepada pelaksanaan sesuatu secara  berhikmah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas hak asasi kaum dan agama lain tetapi pada yang sama Islam terus dihargai atau dimartabatkan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 143:
Maksudnya: Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia dan Rasulullah pula akan menjadi saksi kebenaran perbuatan kamu.
Berdasarkan ayat ini, Ummatan wasata telah diterjemahkan sebagai umat pertengahan iaitu umat yang adil, tidak berat sebelah dalam hal dunia dan akhirat sekaligus seimbang dalam seluruh aspek kehidupan. Ia menggambarkan umat Islam yang telah dijelaskan oleh Allah SWT sebagai manusia yang adil dan boleh menjadi saksi terhadap seluruh perbuatan manusia. Mengikut pandangan Sayyed Qutb,“ Umat Islam adalah umat yang adil dalam segala erti keadilan sama ada keadilan dengan erti kebaikan dan kelebihan atau keadilan dengan erti kesederhanaan atau dengan ertinya yang fizikal, iaitu berada di tengah-tengah”. Justeru, umat Islam dituntut untuk mengseimbangkan antara tuntutan rohani dan jasmani dan antara tuntutan dunia dan akhirat. Sifat kesederhanaan dan keseimbangan ini sangat penting bagi orang yang beriman kerana perbuatan yang lebih dari yang sepatutnya dilakukan adalah dianggap melampau, begitu juga perbuatan yang kurang dari yang sepatutnya dilakukan adalah dianggap suatu kecuaian. Maka umat Islam tidak boleh rigid dan extreme, begitu juga tidak boleh terlalu bebas lepas tanpa sempadan. Mimbar ingin menjelaskan sememangnya ajaran Islam mengajar umatnya bersederhana dalam semua perkara, berimbang dan syumul dalam segenap bidang kehidupan individu dan masyarakat dengan memfokuskan kepada mempertingkatkan kualiti kehidupan ummah sama ada dari segi ilmu pengetahuan, pembangunan insan, sistem ekonomi dan kewangan, pertahanan, perpaduan dan sebagainya.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini, mimbar menyeru para jemaah dan seluruh umat Islam, marilah sama-sama kita membina perpaduan di kalangan kita dan bertoleransi dalam semua perkara serta janganlah kita melampaui batas dalam perkara yang telah dipersetujui. Sikap melampau sebenarnya akan menjadi pemangkin terhadap ketidaksepaduan masyarakat dan seterusnya akan melemahkan kestabilan sosio-politik negara. Mimbar ingin berpesan usahlah kerana kepentingan diri yang sempit, kita sanggup meruntuh perpaduan yang telah lama terbina dan mengadai kuasa dan maruah yang ada. Ingatlah bahawa umat Islam yang menjiwai makna perpaduan adalah mereka yang sentiasa bersikap terbuka dan saling menghormati antara satu sama lain. Sedarlah, kita tidak mempunyai tempat lain selain tanah air dan tanah tumpah darah kita yang menjadi tempat tinggal, punca rezeki, dan nadi kehidupan kita. Janganlah ada di kalangan rakyat bersikap mementingan diri sendiri sehingga keharmonian di negara kita terancam, retak dan hancur. 

Sekali lagi mimbar mengingatkan bahawa perpaduan merupakan sebahagian daripada tuntutan Islam. Pendekatan ini wajar diteruskan kerana kita menyakini gesaan Allah SWT yang meletakkan persoalan iman sebagai syarat utama kejayaan umat Islam di dunia ini dan di akhirat kelak. Semoga Malaysia yang tercinta ini terus maju, aman dan damai, dan menjadi payung serta pelindung kepada Islam dan umatnya. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Araf ayat 96:
Maksudnya: Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

www.islam.gov.my

Comments

Popular posts from this blog