- SELAMAT MELAYARI BLOG INI SEMOGA KITA MEMPEROLEHI MANFAATNYA DAN HARAP DISEBARLUASKAN KEPADA PEMBACA YANG LAIN PULA BERSESUAIAN DENGAN SABDA RASULULLAH S.A.W "SAMPAIKAN DARIPADAKU WALAUPUN DENGAN SATU AYAT"

Sunday, October 7, 2012







40 Hadith Akhir Zaman

 http://arabmykrk.com/wp-content/uploads/2011/09/kitabakhirzaman.jpg


1. Takwa Dan Perpaduan Asas Keselamatan Pada Akhir Zaman
 
Taqwa dan perpaduan asas keselamatan pada akhir zaman

Hadith Akhir Zaman: Hadith 1

Ertinya:
 
Daripada Abi Najih al-`Irbadh bin Sariah رضي الله عنه berkata: “Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah menasihati kami dengan suatu nasihat yang menggeletarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya.

Lalu kami berkata, “Ya Rasulullah صلى الله عليه وسلم, seolah-olahnya ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berikanlah pesanan kepada kami.”

Baginda bersabda, “Aku mewasiatkan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat kepada pemimpin sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya di kalangan kamu pasti dia akan melihat perselisihan yang banyak.

Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa’ al-Rashidin al-Mahdiyyin (khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar).

Gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara yang baharu (bid’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat.”
(Hadis riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

Keterangan:
 
Hadis di atas mengandungi pesanan-pesanan yang sangat berharga daripada Rasulullah صلى الله عليه وسلم kepada umatnya. Terutamanya apabila mereka berhadapan dengan zaman yang penuh dengan kacau bilau dan perselisihan, iaitulah seperti zaman yang sedang kita hadapi sekarang ini. Oleh kerana itu, sesiapa yang mahu selamat, maka hendaklah dia mengikuti tunjuk ajar yang telah disabdakan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam hadis ini:

1. Hendaklah dia istiqamah bertakwa kepada Allah dalam keadaan apa jua dengan mengerjakan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangannya.

2. Mentaati perintah pihak yang menguruskan hal ehwal kaum muslimin walaupun seandainya mereka terdiri daripada golongan hamba selagi mereka berpegang dengan al-Qur’an dan sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم dan sunnah-sunnah khulafa’ al-Rashidin. Patuh kepada penguasa yang mempunyai sifat-sifat ini bererti patuh kepada al-Qur’an dan hadis Nabi صلى الله عليه وسلم.

3. Berpegang teguh kepada sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم dan sunnah para khulafa’ al-Rashidin al-Mahdiyyin (Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali رضي الله عنهم) kerana mereka telah mendapat petunjuk daripada Allah سبحانه وتعالى iaitu berpegang kepada fahaman dan amalan Ahli Sunnah wal-Jamaah yang mendapat jaminan selamat daripada api neraka dan bertuah mendapat syurga pada hari kiamat nanti.

4. Menjauhi perkara-perkara bid’ah dholalah iaitu apa jua fahaman dan amalan yang ditambahkan kepada Agama Islam yang sempurna ini, sedangkan tiada dalil atau asal dan contoh daripada agama. Sekiranya ada asal atau dalil, maka tidaklah perkara-perkara yang baharu itu dikatakan bid’ah menurut pengertian syara’ (bukan bid’ah dholalah) tetapi hanya dinamakan bid’ah menurut pengertian lughah atau bahasa sahaja (bid’ah hasanah).

2. Kenapa Dunia Islam Menjadi Sasaran Pemusnahan?
 
Hadis Akhir Zaman: Kenapa Dunia Islam Menjadi Sasaran Pemusnahan?

Ertinya:
Daripada Ummul Mukminin Zainab binti Jahsy isteri Rasulullah صلى الله عليه وسلم, beliau berkata, 

“(Pada suatu hari) Rasulullah صلى الله عليه وسلم masuk ke dalam rumahnya dalam keadaan cemas sambil bersabda, La ilaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab daripada kejahatan (mala petaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Ya’juj dan Ma’juj seperti ini.” 

Baginda menemukan hujung ibu jari dengan hujung jari yang di sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. 

Saya (Zainab binti Jahsy) bertanya, “Ya Rasulullah, apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?” Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda, “Ya, jikalau kejahatan terlalu banyak.”
(Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Keterangan:

Hadith di atas menerangkan bahawa apabila di suatu tempat atau negeri sudah terlampau banyak kejahatan, kemungkaran dan kefasikan, maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di tempat tersebut. Ia tidak menimpa hanya ke atas orang jahat sahaja, bahkan orang-orang yang soleh juga akan dibinasakan.
Walau bagaimanapun pada hari kiamat kelak semua makhluk akan diperhitungkan mengikut amalan yang telah mereka dilakukan semasa hidup di dunia.

Oleh kerana itu, segala macam kemungkaran dan kefasikan hendaklah segera dibasmi dan segala kemaksiatan hendaklah segera dimusnahkan. Tindakan ini adalah perlu agar tidak terjadi mala petaka yang bukan sahaja bakal menimpa orang-orang yang melakukan kemungkaran dan kejahatan tersebut, malahan juga semua orang yang berada di tempat itu.

Dalam hadith di atas, walaupun khusus disebutkan bangsa Arab, tetapi ianya adalah meliputi keseluruhan bangsa yang ada di dunia ini. Tujuan disebutkan bangsa Arab secara khusus adalah kerana Nabi kita صلى الله عليه وسلم sendiri adalah daripada kalangan mereka.
Selain daripada itu, kebanyakan penganut agama Islam pada zaman permulaan penyebarannya adalah terdiri daripada bangsa Arab dan hanya sedikit daripada bangsa yang lain. Begitu juga halnya dalam masalah yang berkaitan dengan maju mundurnya umat Islam adalah banyak bergantung kepada maju mundurnya bangsa Arab itu sendiri. Bahasa rasmi agama Islam juga adalah Bahasa Arab.

Ya’juj dan Ma’juj pula adalah dua bangsa daripada keturunan Nabi Adam عليه السلام yang dahulunya banyak membuat kerosakan di muka bumi ini. Batas daerah kediaman mereka telah ditutup oleh Iskandar Zulkarnain dan pengikut-pengikutnya dengan campuran besi dan tembaga. Oleh yang demikian mereka tidak dapat keluar sehinggalah hampir tiba hari kiamat. 

Pada masa itu, dinding yang kuat tadi akan hancur lalu keluarlah kedua-dua bangsa tersebut dari kediaman mereka lantas membuat kerosakan di muka bumi ini kembali. Apabila ini telah terjadi, ia menandakan bahawa hari kiamat sudah dekat sekali tiba saatnya……
 
3. Seluruh Dunia Datang Mengerumuni Dunia Islam
 
Wahan

Ertinya: 

Daripada Thauban رضي الله عـنه berkata, “Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka.” 

Maka salah seorang sahabat bertanya, “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” 

Nabi صلى الله عليه وسلم menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’. ”

Seorang sahabat bertanya: ”Apakah ’wahan’ itu hai Rasulullah?”
Baginda menjawab: ”Cinta dunia dan takut mati.”
(Hadith riwayat Abu Daud)

Keterangan:

Keadaan umat Islam pada hari ini, menggambarkan kebenaran sabdaan Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Walaupun bilangan umat Islam ramai iaitu kira-kira 1/5 jumlah penduduk dunia, mereka selalu dipersendakan dan menjadi alat permainan bangsa-bangsa lain.

Mereka ditindas, diinjak ,disakiti, dibunuh dan sebagainya. Walaupun bangsa dari seluruh dunia berbeza-beza agama tetapi mereka bersatu untuk melawan dan melumpuhkan kekuatan Islam.
Sebenarnya, segala kekalahan kaum muslimin adalah berpunca dari sikap orang Islam itu sendiri. Ianya demikian kerana Orang Islam mempunyai penyakit ’wahan’ iaitu penyakit campuran dari dua unsur yang selalu wujud dalam bentuk kembar dua. Penyakit itu adalah ’cinta dunia’ dan ’takut mati’. 

Kedua-dua penyakit ini tidak dapat dipisahkan.’Cinta dunia’ bermaksud tamak, rakus, bakhil dan tidak mahu mendermakan harta di jalan Allah سبحانه وتعالى. 

‘Takut mati’ pula bermakna leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk menghadapi negeri akhirat dan tiada kemahuan untuk berkorban dengan diri dan jiwa serta harta dalam memperjuangkan agama Allah سبحانه وتعالى.
 
4. Ilmu Agama Beransur-ansur Hilang

Kematian alim ulama

Ertinya: 

Daripada Abdullah bin Amr bin al-‘As r.huma berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW. Bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) ilmu itu sekaligus daripada (dada) manusia, tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama’. 

Apabila sudah ditiadakan alim ulama’, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Jadilah mereka itu sesat lagi menyesatkan orang lain.”
(Hadith riwayat Muslim)

Keterangan:

Sekarang ini alim ulama’ sudah berkurangan. Seorang demi seorang pergi meninggalkan kita. Peribahasa Melayu ada mengatakan, ”Patah tumbuh, hilang berganti.” Malangnya ia tidak menepati senario yang terjadi kepada alim ulama’. Mereka patah tetapi payah tumbuh dan hilang sukar berganti. 

Sampailah suatu saat nanti permukaan bumi ini akan kosong daripada ulama’. Oleh yang demikian, pada masa itu sudah tidak bererti lagi kehidupan di dunia ini. Alam penuh dengan kesesatan. Manusia telah kehilangan nilai dan pegangan hidup yang dikehendaki Allah SWT. 

Sebenarnya alim ulama’lah yang memberi makna dan erti kepada kehidupan manusia di permukaan bumi ini. Justeru apabila alim ulama’ telah pupus, lenyaplah segala sesuatu yang bernilai.

Pada akhir-akhir ini, kita telah menyaksikan gejala-gejala yang menunjukkan kian hampirnya zaman yang telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW itu. Bilangan alim ulama’ hanya tinggal sedikit. Tambah menyedihkan pula ialah usaha-usaha untuk melahirkan golongan pelapis pula tidak diberi perhatian yang sewajarnya. 

Pondok-pondok dan sekolah-sekolah agama kurang menarik khalayak cerdik pandai. Mereka lebih mengutamakan pengajian-pengajian dalam bidang pengurusan keduniaan yang bakal meraih laba harta benda dunia. Beginilah keadaan masyarakat kita hari ini. Marilah ini bersama memikirkan hal ini dan mencari solusinya.

 5. Umat Islam Mengikuti Jejak Langkah Yahudi Dan Nasrani

Peristiwa Akhir Zaman, Hadis 5

Ertinya: 

Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata, “Rasulullah S.A.W bersabda, “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” 

Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang Engkau maksudkan?” Nabi S.A.W menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka?”Hadith riwayat Muslim.

From Abu Sa’id al-Khudri reported that, “The Prophet said,” You will follow the footsteps of the nations before you, span by span, cubit by cubit until if they entered a lizard’s hole you would follow them too. ”

The companions asked, “O Messenger of Allah, the Jews and the Christians that you mean?” The Prophet said, “Who else if not them?” Hadith narrated by Muslim.

Keterangan:

Umat Islam akan mengikuti jejak langkah ataupun gaya hidup orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggakan dalam urusan yang kecil dan perkara yang tidak munasabah. Contohnya; seandainya orang Yahudi dan Nasrani masuk ke lubang biawak yang kotor dan sempit sekalipun, orang Islam akan terus mengikuti mereka. 

Pada masakini kita dapat menyaksikan sendiri kenyataan sabdaan Rasulullah S.A.W ini. Ramai orang Islam yang kehilangan pegangan di dalam kehidupan. Mereka banyak meniru ‘cara hidup’ Yahudi dan Nasrani sama ada secara sedar atau tidak. Ramai orang Islam yang telah terperangkap dengan tipu helah Yahudi dan Nasrani malah ramai pula di kalangan kita yang menjadi alat dan tali barut mereka.

Ya Allah, selamatkanlah kami daripada mereka!

6. Golongan Anti Hadith
 
Hadis Akhir Zaman: Hadis 6

Ertinya:

Daripada Miqdam bin Ma’dikariba r.a. berkata, “Bahawasanya Rasulullah saw. bersabda, “Hampir tiba suatu masa seseorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya sebuah hadis daripada hadisku maka dia berkata,
“Pegangan kami dan kamu hanyalah kitabullah (al-Quran) sahaja. Apa yang di halalkan oleh al-Quran kami halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkan”.

Kemudian Nabi saw. melanjutkan sabdanya, “Padahal apa yang diharamkan oleh Rasulullah saw. samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan oleh Allah swt.”
(Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Keterangan:

Lelaki yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah seorang yang mengingkari kedudukan Hadis sebagai sumber hukum yang kedua selepas al-Quran. Dia hanya percaya kepada al-Quran sahaja.

Baginya, hadis tidak perlu untuk dijadikan sumber hukum dan tempat rujukan. Golongan ini tidak syak lagi telah terkeluar daripada ikatan Agama Islam.

Pada hakikatnya seseorang itu tidak akan dapat memahami al-Quran jika tidak merujuk kepada hadis Nabi saw. kerana al-Quran menerangkan hal-hal yang besar dan garis panduan umum.
Hadislah yang berfungsi untuk memperincikan isi kandungan serta kehendak ayat-ayat al-Qur’an. Hadith juga memainkan peranannya dalam menghurai dan menjelaskan pelbagai kemusykilan yang timbul daripada ayat-ayat tersebut. Oleh kerana itu, syariat tidak akan sempurna sekiranya seseorang itu hanya berpegang dengan al-Quran sahaja bahkan kita mestilah berpegang juga dengan hadis Nabi saw.

 7. Golongan Yang Sentiasa Menang
Hadith Akhir Zaman: 7. Golongan yang Sentiasa Menang

Ertinya:

Daripada Mughirah bin Syu’bah r.a. berkata, “Rasulullah saw. bersabda, “Sentiasa di kalangan kamu ada golongan yang berjaya (dalam perjuangan mereka), sehingga tiba suatu saat yang dikehendaki oleh Allah swt. Mereka sentiasa berjaya”.
(H.R. Bukhari)

Keterangan:

Allah swt. telah menjadikan umat Muhammad ini umat yang terakhir sekali. Oleh itu Allah swt. berjanji akan memelihara kitabnya (al-Quran) dan memastikan lahirnya generasi demi generasi yang akan memikul tugas dakwah hingga tetap wujud golongan mukminin dipermukaan bumi ini.

Kalau kita meneliti sejarah umat Islam mulai zaman permulaan penyebarannya hingga ke hari ini, kita akan mendapati bahawa umat Islam telah teruji sepanjang sejarah dengan ujian yang berat-berat.

Ujian itu bermula dari golongan musyrikin di Mekah dan munafiqin, Yahudi dan Nasrani di Madinah seterusnya gerakan riddah, Majusi yang berselimutkan Islam, golongan Bathiniyah, pengaruh falsafah dan pemikiran Yunani.

Tidak ketinggalan serangan bangsa Moghul dan bangsa Tatar yang menghancurkan tamdun Baghdad pada pertengahan abad keenam Hijrah. Begitu pula halnya dengan penyembelihan beramai-ramai kaum Muslimin ketika berlakunya kejatuhan kerajaan Islam di Andalus (Sepanyol).

Seterusnya disambung dengan pengaruh-pengaruh imperialis Barat terhadap dunia Islam, gerakan Zionis Yahudi dan missionary Nasrani yang mempunyai alatan dan kemudahan yang banyak.

Selanjutnya serangan dari segi pemikiran dan kebudayaan dan sebagainya terus menerus tanpa kesudahan. Walaupun ujian yang sangat dahsyat melanda umat Islam di sepanjang sejarah namun mereka masih wujud dan masih lagi mempunyai identiti dan peranan yang hebat di dalam peta dunia pada hari ini.

Walaupun pada hari ini ada di kalangan umat Islam yang tidak mengambil berat tentang agama mereka tetapi dalam masa yang sama masih ada golongan yang bersungguh-sungguh untuk mempelajari agama dan memperjuangkannya.

Walaupun ramai di kalangan umat Islam yang telah hancur moral dan akhlaknya tetapi masih ada lagi golongan yang berakhlak tinggi dan berpekerti luhur. Walaupun syiar-syiar Islam diinjak-injak di beberapa tempat tetapi di kawasan lain syiar-syiar Islam masih lagi gagah dan teguh.

Meskipun aktivis-aktivis Islam ditindas dan diseksa di suatu lokasi, namun di tempat lain mereka akan disanjung dan dihormati. Begitulah seterusnya umat Islam tidak akan lenyap dari permukaan bumi ini hinggalah sampai masa yang dikehendaki oleh Allah swt.

Maka pada masa itu Allah swt. akan mematikan semua orang Islam dengan tiupan angin yang mematikan setiap jiwa yang beriman dan yang tinggal selepas itu hanyalah orang-orang yang jahat atau orang kafir, lalu pada saat itulah akan berlakunya hari kiamat.

8. Penyakit Umat-Umat Dahulu

hadis akhir zaman, penyakit umat-umat dahulu
Ertinya:

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, “Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu”.

Sahabat bertanya, “Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?”

Nabi saw. menjawab, “Penyakit-penyakit itu ialah; 1. Terlalu banyak seronok, 2. Terlalu mewah, 3. Menghimpun harta sebanyak mungkin, 4. Tipu menipu dalam merebut harta-benda dunia, 5. Saling memarahi, 6. Hasud menghasud sehingga jadi zalim menzalimi”.Hadis riwayat al-Hakim

Keterangan:

Penyakit-penyakit yang disebutkan oleh Rasulullah saw. tadi telah banyak kita lihat di kalangan kaum muslimin pada hari ini.

Di sana sini kita melihat penyakit ini merebak dan menjalar dalam masyarakat dengan ganasnya. Dunia Islam dilanda krisis rohani yang sangat tajam dan meruncing.

Dengan kekosongan rohani itulah mereka terpaksa mencari dan menimbun harta benda sebanyak-banyaknya untuk memuaskan hawa-nafsu. Maka apabila hawa nafsu diperturutkan tentunya mereka terpaksa menggunakan segala macam cara dan tipu helah.

Pada ketika itu, hilanglah nilai-nilai akhlak. Senario yang wujud hanyalah kecurangan, khianat, hasud-menghasud dan sebagainya.

Marilah kita merenung maksud hadis ini, dan marilah kita bermuhasabah.

 9. Islam Kembali Dagang

Islam Kembali Dagang

Ertinya: 

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw, “Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing itu.”
(H.R. Muslim)

Keterangan:

Islam mulai tersebar di Makkah dengan keadaan yang sangat asing dan dagang. Sangat sedikit penganut dan pendukungnya berbanding penentangnya. Kemudian setelah itu Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia sehingga dianuti oleh dua pertiga penduduk dunia. Kemudian Islam kembali asing dan dirasa ganjil dari pandangan dunia, bahkan pada pandangan orang Islam sendiri. 

Sebahagian daripada orang Islam merasa ganjil dan pelik bila melihat orang Islam yang iltizam (komitmen) dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar. Seorang yang iltizam dengan Islam dipandang sepi oleh masyarakat dan terlalu susah untuk diterima sebagai individu yang sihat. 

Contohnya; Kalau ada sesuatu program kemasyarakatan kemudian masuk waktu sembahyang, tiba-tiba ada seorang yang meminta diri untuk menunaikan sembahyang. Tindakan dia ini dianggap tidak sopan dan kurang wajar. Sedangkan orang yang tidak bersembahyang sambil bergurau senda ketika orang lain bersembahyang tidak dianggap sebagai perbuatan yang salah dan terkutuk.

Begitulah seterusnya nasib lslam pada akhir zaman. Ia akan terasing dan tersisih dari masyarakat, bahkan tersisih dari pandangan orang Islam sendiri yang mengaku sebagai umat Islam dan marah apabila dikatakan yang dia bukan orang Islam.

10. Bahaya Kemewahan


Hadith Akhir Zaman: 10. Bahaya Kemewahan
 
Ertinya: 

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., “Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah saw. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit.

Tatkala Rasulullah saw.melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Makkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya).

Selain daripada itu Baginda sedih kerana memandangkan nasib Mus’ab sekarang. Ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin, Mus’ab r.a terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaannya.

Kemudian Nabi Muhammad saw. bersabda, “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi pada waktu pagi dengan sehelai pakaian, dan pergi pada waktu petang dengan pakaian yang lain pula.

Apabila diangkatkan satu hidangan, diletakan pula satu hidangan yang lain. Kamu juga menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Ka’bah?”.

Maka jawab sahabat, “Wahai Rasulullah, tentunya pada waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan menberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki”.

Lalu Nabi saw. bersabda, “Tidak! Keadaan kamu pada hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu pada hari itu”.
(Hadis riwayat at-Turmuzi)

Keterangan:

Dalam hadis ini Nabi kita Muhammad saw. menerangkan bahawa umatnya pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan di dalam kehidupan. Pagi petang pakaian silih berganti. Hidangan makanan tidak putus-putus. Rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihias dengan bermacam-macam perhiasan.

Dalam keadaan demikian kita juga mungkin akan berkata seperti perkataan sahabat. Kalau semuanya sudah ada, maka senanglah hendak membuat ibadat.

Tetapi Nabi kita Muhammad saw. mengatakan, “Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita”, ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadat.

Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang daripada berbuat ibadat kepada Allah swt., sepertimana yang berlaku pada hari ini. Segala yang kita miliki walaupun tidak melebihi keperluan, namun ianya sudah mencukupi.

Namun begitu, apabila dibandingkan dengan kehidupan para sahabat, kita jauh lebih mewah daripada mereka, sedangkan ibadat kita pula sangat jauh ketinggalan.

Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan menghalang daripada berbuat ibadah.

Kita sibuk menghimpun harta dan juga sibuk menjaganya serta sibuk untuk menambah lebih banyak lagi. Tidak ubah seperti apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah saw., “Seandainya seorang anak Adam itu telah mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk mencari jurang yang kedua, sehinggalah ia dimasukkan ke dalam tanah (menemui kematian)”.

Begitulah gambaran yang sebenar terhadap kehaloban manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Dia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian.

Maka ketika itu, barulah ia sedarkan dirinya dengan seribu satu penyesalan. Tetapi pada saat itu sudah tidak berguna lagi penyesalan.

Oleh kerana itu janganlah kita lupa daratan dalam mencari harta kekayaan. Tidak kira halal atau haram, yang penting dapat harta. Tidak kira waktu sembahyang, bahkan semua waktu digunakan untuk menimbun kekayaan. Biarlah kita mencari mata benda dunia pada batas-batas keperluan.

Kalau berlebihan bolehlah digunakan untuk menolong orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak.

Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan dia menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya.

 11. Rasuah Berleluasa
40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman: 11. Rasuah Berleluasa


Ertinya: 

Daripada Muaz Bin Jabal r.a. berkata, aku telah mendengar Rasullullah saw. bersabda:

“Ambillah pemberian itu selama ia masih sebagai pemberian. Tetapi apabila ia telah menjadi rasuah dalam pandangan agama maka jangan kamu mengambilnya. 

Namun kenyataannya kamu tidak akan dapat meninggalkan rasuah itu kerana kamu takut menjadi fakir dan kamu sangat berhajat untuk mengambilnya.” Hadis riwayat at-Tabrani dan Abu Nuaim

Mu’adh bin Jabal r.a. said, I heard the Messenger of Allah peace be upon him says:

“Take the gift is for it remains as a gift. But when it has become corrupt in the eyes of religion, then do not you take it.

But the fact you will not be able to leave the bribe because you are afraid of becoming poor and you have need for it. ”
Hadith narrated by at-Tabarani and Abu Nuaim

Keterangan:

Pada akhir zaman, rasuah akan menjadi-jadi di kalangan masyarakat dan wang mempunyai kuasa untuk membeli pangkat dan kedudukan. Wang juga diperlukan untuk mendapatkan kemudahan dan bantuan daripada pihak yang berpangkat dan berkuasa. 

Wang telah menjadi Tuhan yang di sembah oleh setiap orang yang tamak dan rakus. Di dalam keadaan yang sebegini rupa, individu tersebut sudah tidak mempedulikan sesiapa. Maka musnahlah akhlak dan runtuhlah budi. Apa yang tinggal hanyalah kezaliman dan penindasan daripada segolongan lapisan masyarakat terhadap golongan yang benar-benar memerlukan.

12. Orang Yang Baik Berkurangan, Yang Jahat Bertambah Banyak

عَـنْ عَـائِشـَة َ قـَالـَتْ: سَمِعْتُ رَسُـوْلَ اللهِ صَـلّـَى اللهُ عَلـَيْهِ وَسَلّـَمَ يَقـُوْلُ لاَ تـَقـُـوْمُ السـَّاعَة ُ حَـتـّـَى يَكـُوْنَ الـْوَلـَدُ غـَيْظـًا وَالـْمـَطـَرُ قـَيْظـًا
وَيَفِيْضَ اللِـّئـَامُ فـَيْضـًا وَيَغِيْضَ الـْكِـرَامُ غـَيْضـًا
وَيَجْتـَر ِئ َالصّـَغِيْرُ عَلـَى الـْكـَبِيْر ِ وَاللـّـَئِيْمُ عَلـَى الـْكـَر ِيْمِ
رواه الطبراني في الأوسط. وقال الهيثمى: فى إسناده جماعة لم أعرفهم – مجمع الزوائد 7/327
Ertinya:

Daripada Aisyah r.a. berkata, aku mendengar Rasulullah saw. bersabda,

“Tidak akan berlaku hari qiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibu bapanya). Hujan akan menjadi panas (hujan akan berkurangan dan cuaca akan menjadi panas). Akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurangan orang yang baik. Anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua, dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik”.
(H.R. Thabrani)

Keterangan:

Di antara tanda-tanda qiamat ialah:
  1. Bila anak-anak merupakan punca kemarahan orang tuanya.
  2. Bila hujan berkurangan, cuaca menjadi panas dan udara telah tercemar.
  3. Orang jahat bertambah ramai dan galakan untuk membuat kejahatan sangat banyak.
  4. Orang yang berbuat kebaikan sedikit dan tidak mendapat kemudahan yang sewajarnya.
  5. Anak-anak sudah berani melawan orang tuanya.
  6. Orang-orang yang jahat berani melawan orang-orang yang baik dan tidak segan terhadap mereka.
Nampaknya corak masyarakat kita pada hari ini tidak banyak bezanya daripada apa yang telah disebutkan oleh Rasulullah saw. Setiap hari kita melihat kebenaran daripada apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw ini.

Kita berdoa, mudah-mudahan Allah swt. menyelamatkan kita dan anak cucu kita dari tergolong di kalangan mereka yang disebutkan tadi.

13. Punca Kebinasaan Manusia

 
40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman: 14. Punca Kebinasaan Manusia

Ertinya: 

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah SAW. bersabda, “Akan datang suatu masa iaitu orang yang beriman tidak akan dapat menyelamatkan imannya, kecuali apabila dia lari membawa imannya dari suatu puncak bukit ke puncak bukit yang lain dan dari suatu lubang ke lubang yang lain. 

Maka apabila zaman itu telah terjadi, segala pencarian (pendapatan kehidupan) tidak dapat diperolehi kecuali dengan perkara yang membabitkan kemurkaan Allah SWT. 

Apabila situasi ini telah berlaku, kebinasaan seseorang adalah berpunca daripada mengikuti kehendak isteri dan anak-anaknya. 

Kalau dia tidak mempunyai isteri dan anak, maka kebinasaannya adalah berpunca daripada menepati kehendak kedua orang tuanya.
Sekiranya orang tuanya sudah tiada lagi, maka kebinasaannya adalah berpunca daripada melayani kehendak kaum kerabatnya (adik beradiknya sendiri) atau daripada mengikuti kehendak jirannya”. 

Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah saw., apakah maksud perkataan engkau itu?” (kebinasaan seseorang disebabkan oleh sama ada isterinya, anaknya, orang tuanya, keluarganya ataupun jirannya.)

Nabi SAW. menjawab, “Mereka akan mencela dan mengaibkannya kerana kesempitan hidupnya. Oleh kerana itu dia terpaksa melayani kehendak mereka dengan menceburkan dirinya ke lembah-lembah kebinasaan yang akan menghancurkan dirinya sendiri.”
(Hadis Riwayat Imam Baihaqi Rahimahullaahu Ta’ala)

رواه البيهقى، نقلا عن كتاب الاشاعة لأشراط الساعة للسيد محمد الحسينى البرزنجى ص ٧٦

Keterangan:

Benar sekali sabdaan Rasulullah SAW. ini. Ramai orang yang mengetahui perkara-perkara yang diharamkan di dalam agama tetapi mereka terpaksa menceburkan dirinya ke dalam lumpur kemaksiatan untuk melayani kehendak isteri, anak, orang tua, keluarga mahupun jiran mereka.

Sumber  http://arabmykrk.com

No comments:

Post a Comment