Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan penjawat awam disogok Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bagi menyalur maklumat dan rahsia kerajaan.

Presidennya Cuepacs Datuk Omar Osman berkata jika benar wujud, mereka mesti dikenakan hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan adalah berat.

NONE"Kalau betul (laporan) akhbar itu, terserah pada pihak berkuasa (ambil tindakan), sebagai penjawat awam jangan mudah terima duit, kita ada etika yang perlu dipatuhi," katanya kepada Bernama, di ibu negara hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah semalam, yang mendakwa Suaram menerima lebih daripada US$100 juta (RM305.35 juta) bagi menganjurkan protes jalanan dan merasuah pegawai kerajaan.

Suaram bagaimanapun menafikan semua tuduhan itu dan menuntut JMM menyertakan bukti terhadap semua tuduhan terbabit selain mendesak JMM supaya memohon maaf dan menarik balik semua dakwaan berkenaan.

-Bernama

10 penjawat awam didakwa terima wang dari Suaram

Fazy Sahir | October 4, 2012
Mereka yang terlibat turut disogok untuk menutup maklumat bahawa Suaram menerima dana asing kira-kira RM100 juta, dakwa Azwanddin Hamzah.
PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendakwa Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyogok sejumlah wang kepada 10 penjawat awam supaya mendedahkan maklumat berkaitan keselamatan negara.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, mendakwa mereka yang terlibat turut disogok untuk menutup maklumat bahawa Suaram menerima dana asing kira-kira RM100 juta.

Mendakwa beliau memiliki bukti bertulis daripada bekas pemimpin tertinggi Suaram, beliau berkata transaksi dana itu kebanyakannya dilakukan di Thailand.

“Ada beberapa kakitangan berjawatan penting di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) turut membantu Suaram dengan memberi maklumat.

“Kebanyakan maklumat itu berkaitan rahsia kerajaan dan keselamatan negara. Mereka ini disogok untuk menutup operasi Suaram,” dakwa beliau.

Dalam sidang medianya di sini hari ini, Azwanddin juga mendakwa transaksi dana asing dalam bentuk tunai itu dijalankan Suaram dengan mengagihkannya secara kecil-kecilan dari jumlah USD1,000 sehingga sebanyak USD5,000 sejak 1998.

Ujarnya, “sepucuk surat rasmi akan dihantar kepada agensi kerajaan berkenaan agar tindakan diambil terhadap pegawai yang terlibat menerima sogokan itu.

Sementara itu, beliau turut mendedahkan sebuah syarikat, Suaram Komunikasi Enterprise yang mempunyai peranan sama serta menerima dana asing seperti Suaram.

Dakwa beliau, Suaram Komunikasi ditubuhkan sejak 1998, lebih awal dari Suara Inisiatif Sdn Bhd (SISB) dan turut berdaftar di SSM.
Menurut Azwanddin, Suara Inisiatif mahupun Suaram Komunikasi, kedua-dua syarikat ini adalah di antara yang dikenalpasti digunapakai oleh Suaram sepanjang menjalankan operasi pemindahan dana asing tersebut.

Dana ini dipercayai digunakan untuk membiayai kegiatan ceramah dan demonstrasi jalanan yang dijalankan di negara ini.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/10/04/10-penjawat-awam-didakwa-terima-wang-dari-suaram/