- SELAMAT MELAYARI BLOG INI SEMOGA KITA MEMPEROLEHI MANFAATNYA DAN HARAP DISEBARLUASKAN KEPADA PEMBACA YANG LAIN PULA BERSESUAIAN DENGAN SABDA RASULULLAH S.A.W "SAMPAIKAN DARIPADAKU WALAUPUN DENGAN SATU AYAT"

Wednesday, October 3, 2012








KHUTBAH JUMAAT NEGERI PERLIS (21 September 2012) - MEMANFAATKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT

by ‎Dr Juanda Jaya‎ on ‎‎Friday, September 21, 2012‎

اِنَّ الحَمْدَ للهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَهْدِيْهِ وَنَعُوذُ بِالله مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْهُ فَلاَ هَادِيَ لَهُ, أَشْهَدُ أَن لاَّ إِلِهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلَّمْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِاِحْسَانٍ اِلَى يَوْمِ الدِّيْن
أَمَّا بَعْدُ, فَاِنَّ أَصْدَقَ الحَدِيْثِ كِتَابُ الله, وَخَيْرَ الْهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ, وَشَرَّ الأُمُوْرِ مُحْدَثَاتُهَا, وَكُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ, وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ, وَكُلَّ ضَلَالَةٍ فِى النَّارِ..

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita tingkatkan kualiti takwa kita kepada Allah SWT dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan dan keredhaan Allah di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tajuk: " MEMANFAATKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT ".

Sidang Jumaat Sekalian, 

Hari ini kemajuan dan penggunaan teknologi maklumat atau internet mempengaruhi manusia di seluruh pelusuk dunia. Rata-rata rumah di negara ini telah mempunyai komputer. Ini bermakna matlamat kerajaan untuk melihat satu rumah satu komputer berhasil dalam konteks membangunkan pengetahuan rakyat ke arah celik internet dan teknologi maklumat. Kemunculan internet sebagai salah satu saluran media massa mempercepatkan lagi perkembangan dan kepesatan ilmu dalam kalangan manusia. 

Penggunaan internet yang meluas melalui laman-laman web dan blog merancakkan lagi penyebaran maklumat dan informasi dalam kalangan masyarakat. Mereka bukan sahaja dapat melayari laman web dari negara sendiri, malah boleh melayari laman web dari negara luar. Hakikatnya ilmu pengetahuan dapat dicari oleh pengguna internet dengan hanya menekan punat di komputer masing-masing. Keistimewaan menerima maklumat di internet, seolah-olah dunia ini berada di hujung jari kita semua. Pelbagai maklumat dan ilmu yang memberi manfaat kepada pelajar dan pengkaji dapat dicari dengan begitu pantas sekali. Malangnya setiap pengguna internet di negara ini juga terdedah dan terjebak dengan melayari lambakan laman web lucah yang merosakkan akhlak dan membawa maksiat.

Perkara inilah yang membimbangkan golongan ibubapa, masyarakat dan juga negara. Kesannya boleh mengakibatkan keruntuhan akhlak remaja, perlakuan sumbang mahram dan keinginan melakukan seks bebas dengan rakan sebaya. 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, 

Islam mengharamkan dan melarang keras umatnya terjerumus ke dalam kancah dosa dan maksiat. Melihat atau menonton adegan lucah adalah perkara dosa dan setiap pelakunya akan diseksa di akhirat nanti. Ingatlah! Semua pancaindera kita akan disoal oleh Allah SWT atas perbuatan yang dilakukan semasa berada di dunia ini. Mata kita akan ditanya tentang apa yang kita lihat dan telinga kita akan ditanya tentang apa yang kita dengar. Begitu juga, pancaindera dan aggota tubuh badan lain akan ditanya tentang apa yang telah dilakukan. Firman Allah SWT dalam surah Yasin, ayat 65:

Maksudnya: ”Pada hari itu Kami menutup mulut mereka; dan kedua tangan mereka memberitahu Kami, dan kaki mereka menjadi saksi terhadap apa yang mereka telah lakukan semasa di dunia”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian, 

Oleh itu, setiap pengguna internet wajib menggunakan internet untuk perkara yang bermanfaat, bukan perkara yang mengundang dosa. Kecanggihan teknologi maklumat masa kini direka cipta untuk menjadikan manusia lebih berilmu, dan ianya bukan dicipta untuk merosakkan manusia. Bagi yang mempunyai anak-anak, pengawalan dan pemantauan perlu diberikan secara serius kepada anak-anak remaja di rumah, supaya tidak terjebak melayari internet yang tidak bermanfaat. Didiklah anak-anak menjadi manusia yang mempunyai kekuatan iman dan daya tahan daripada digoda oleh Iblis dan syaitan. 

Timbul persoalan, apakah hukum melayari internet? Hukumnya harus sama seperti hukum berSMS, menonton televisyen, mengambil gambar dan penggunaan teknologi yang lain. Sesuatu yang harus boleh menjadi haram sekiranya disalahguna atau bertentangan dengan hukum Allah. Demikian juga sesuatu yang harus boleh menjadi ibadat sekiranya niat dan tujuannya baik seperti berblog untuk berdakwah dan menulis sesuatu yang bermanfaat, menyebarkan artikel-artikel yang bermanfaat melalui e-mel atau menyebarkan hadis-hadis yang sahih melalui emel atau SMS. 

Ringkasnya, penggunaan teknologi moden memerlukan kepada pertimbangan iman dan takwa. Penggunaan internet tanpa pertimbangan iman boleh mendorong syahwat dan akhirnya membawa kepada perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Selain itu, internet juga menjadi tempat untuk mana-mana pihak menyebarkan berita palsu dan fitnah yang bertujuan untuk memporak-perandakan umat Islam. Sehinggakan ada yang menjadikan internet sebagai sumber penyebaran maklumat yang berunsur negatif kepada sesiapa sahaja melalui emel atau laman web. Oleh itu, mimbar pada hari ini mengingatkan sidang Jumaat sekalian, supaya berhati-hati terhadap berita-berita yang dipetik melalui laman internet atau media massa yang lain. Ingatlah firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 6:

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan sesuatu musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah 

Salah satu penggunaan internet terkini yang mempunyai kebaikan dan keburukan ialah penggunaan laman sosial seperti facebook atau twitter. Boleh dikatakan kebanyakan anak muda pada hari ini mempunyai laman sosial sendiri. Persoalannya, bagaimana kita memanfaatkan laman sosial untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT? Atau kita sengaja mencari kemurkaan Allah SWT atas maksiat dan dosa semasa kita menggunakan laman sosial tersebut. Sebagai kesimpulan, mimbar mencadangkan beberapa cara dan kaedah untuk mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT ketika melayari internet sama ada dengan blog atau laman sosial, antaranya:

1. Betulkan niat semasa melayari internet, yaitu ikhlas kerana Allah SWT dan untuk mencari keredaannya, bukan sengaja menempah kemurkaan Allah. Sepertimana nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat Al-bukhari dan Muslim :
رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى.
Ertinya : Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya setiap amalan itu ( dinilai oleh Allah ) dengan niat, dan bagi tiap-tiap manusia akan mendapat (balasan dari Allah SWT) menurut apa yang diniatkan

2. Sentiasa bermuhasabah bahawa Allah Maha melihat apa yang dilakukan oleh seseorang itu. 

3. Utamakan kasih sayang sesama ahli keluarga dan sahabat handai. Janganlah asyik berinternet sehingga melupakan ibu bapa, anak-anak atau saudara-mara kita.

4. Putuskan semua hubungan bebas dan songsang, walaupun dibuat secara suka-suka kerana ia boleh mendorong kepada peningkatan nafsu syahwat.

5. Sentiasa mengkaji setiap berita yang diterima melalui blog atau laman web tertentu sama ada benar atau pun palsu.

6. Segara beristighfar dan bertaubat apabila terjatuh dalam maksiat. Firman Allah SWT dalam surah Attahrim, ayat 8 :

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah dengan " taubat Nasuha", Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang Yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba Dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi Kami cahaya kami, dan Limpahkanlah keampunan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

1
2
3

https://www.facebook.com/nurashifa#!/notes/dr-juanda-jaya/khutbah-jumaat-negeri-perlis-21-september-2012-memanfaatkan-teknologi-maklumat/445559675482379

No comments:

Post a Comment