- SELAMAT MELAYARI BLOG INI SEMOGA KITA MEMPEROLEHI MANFAATNYA DAN HARAP DISEBARLUASKAN KEPADA PEMBACA YANG LAIN PULA BERSESUAIAN DENGAN SABDA RASULULLAH S.A.W "SAMPAIKAN DARIPADAKU WALAUPUN DENGAN SATU AYAT"

Tuesday, October 2, 2012







Kisah Raja Najashi 

 

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Sehubungan dengan itu, saya ingin mengimbas kembali sejarah Rasulullah (SAW) apabila sebahagian ummat Islam melarikan diri ke Habsyah untuk mendapatkan perlindungan Raja Najashi yang beragama Kristian. Mereka dikejar oleh pihak Quraisy yang diketuai Amr Al ‘Ash. Untuk mempengaruhi Raja Najashi supaya menyerahkan orang Islam kepada mereka, Amr Al ‘Ash yang pada ketika itu belum lagi memeluk agama Islam, telah meminta supaya Raja Najashi tanyakan apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa (AS). Kononnya, mengikut Amr Al ‘Ash, Islam memburuk-burukkan Nabi Isa (AS).


Jaafar Bin Abu Talib, yang merupakan ketua kumpulan pelarian Islam ke Habsyah, telah menjawab bahawa Nabi Isa adalah “hamba Allah, utusan Allah, Ruh (suci dari) Allah serta kalimahNya yang diturunkan kepada Maryam yang merupakan seorang perawan (gadis) yang tekun bersembah sujud (kepadaNya)”. Raja Najashi mengambil sebatang lidi yang berada di atas lantai sambil berkata, “apa yang kau katakan mengenai Isa tidak berselisih (dengan apa yang kita katakan), kecuali hanya sebesar lidi ini”. Adalah difahamkan bahawa pada ketika itu, ada perbezaan pendapat di kalangan orang Kristian berhubung kedudukan Nabi Isa (AS). Ada yang menganggap Al-Masih sebagai manusia utusan Allah dan ada juga sebagai Tuhan dan ada juga sebagai sekutu Tuhan.


Raja Najashi seterusnya berkata kepada orang Islam, “silakan kalian pergi dengan aman… saya tidak sanggup menerima emas walaupun segunung sebagai imbuhan untuk salah seorang dari kalian diganggu…” Dengan kata-kata itu maka pelarian Islam diberi perlindungan dan hidup tanpa diganggu di Habsyah. Wakil Quraisy pula dihantar pulang bersama hadiah yang dibawa mereka. Diriwayatkan bahawa Raja Najashi sendiri akhirnya memeluk agama Islam tetapi secara rahsia dan apabila beliau meninggal, Rasulullah (SAW) melakukan solat jenazah secara ghaib untuknya.


Riwayat di atas menunjukkan bagaimana pendedahan bahawa Nabi Isa disebut di dalam Al-Quran boleh membawa masyarakat Kristian untuk mendampingi Islam, bukan sebaliknya!
 
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

No comments:

Post a Comment