Adab Dalam Menggunakan E-Mel 
Adab Dalam Menggunakan E-Mel

Penggunaan internet hari ini semakin meluas dan akan terus meluas di masa akan datang. Sejajar dengan penggunaan internet, maka meluas juga penggunaan e.mel.
E-mel telah merubah corak manusia berkomunikasi. Ia telah membuka dan membebaskan komunikasi hari ini dari kongkongan komunikasi dahulu.
Islam tidak melarang umatnya bersama dengan kemajuan teknologi ini. Bahkan Islam menggalakkan umatnya agar melengkapi diri dengan teknologi moden dan menggunakannya untuk menyebar kebenaran dan mencegah kemunkaran.

Walau bagaimana pun adalah penting umat Islam dibimbing atau diperingatkan kembali akan adab-adab ketika berkomunikasi melalui internet. Ini kerana dalam pemerhatian terhadap wadah-wadah perbincangan di internet, jelas terlihat keghairahan setengah pihak apabila memperoleh kebebasan melalui internet. Kalau dulu mereka merasa seperti terdapat dinding yang tebal bagi menyampaikan apa yang ada dalam fikiran, namun hari ini sudah tiada lagi. Kalau dulu, surat yang dihantar ke akhbar tidak pernah diterbitkan, hari ini mereka tidak lagi memerlukan akhbar untuk menyuarakan isi hati mereka. Kalau dulu, mereka sukar untuk bertemu dengan wakil-wakil rakyat atau pemimpin masyarakat, hari ini mereka boleh langsung menyampaikan pandangan kepada mereka.
Sehinggakan pada hari ini, mereka boleh terbitkan akhbar atau majalah sendiri di alam siber tanpa perlu permit lagi dari mana-mana pihak. Tiada siapa yang boleh menghalang mereka.
Namun berikutan kebebasan ini, tercetus juga gejala-gejala negatif yang bertentangan dengan ajaran Islam. Antara gejala-gejala ini ialah
•    Menyebarkan fitnah,
•    Menyebarkan berita bohong, separuh bohong atau yang tidak pasti kebenarannya
•    Mengaibkan peribadi orang di khalayak ramai
•    Menghukum orang tanpa bukti
•    Memanggil orang lain dengan panggilan seperti abu lahab, abu jahal dan fasiq
•    Menyebarkan cerita-cerita dongeng yang tidak menyumbang bagi kebaikan masyarakat
•    Berdebat dengan cara yang tidak beradab
Ini adalah gejala sumbang yang dicela oleh Islam. Islam telah mencela perkara ini lama dahulu. Apa yang ditakuti ialah sekiranya masyarakat tidak dibimbing dengan bimbingan yang betul, kemajuan teknologi ini hanya akan menyemarakkan gejala ini untuk berleluasa dan membudaya sedangkan Islam menganjurkan kita untuk membanterasnya.
Kita tidak dapat menghalang umat Islam dari menggunakan internet dan e-mel dan tidak akan menghalang mereka. Apa yang perlu ialah membimbing mereka agar memelihara adab-adab yang betul dalam penggunaan internet dan e-mel.
Berikut adalah beberapa adab-adab Islam yang perlu dijaga bagi menangani gejala buruk di e-mel seperti yang dinyatakan di atas.
1.    Dapatkan penjelasan mengenai maklumat yang diterima apabila tidak faham atau kurang jelas dan pastikan juga kebenaran maklumat berkenaan. Allah taala berfirman yang bermaksud;
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kami di datangi oleh orang yang fasiq dengan satu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan satu musibah ke atas satu kaum tanpa mengetahui keadaannya, yang menyebabkan kamu menyesal pada apa yang kamu lakukan.” (Al-Hujurat : 6)
2.    Apabila berusaha untuk mendapatkan penjelasan atau mencari kebenaran, bertanyalah pada mereka yang pakar atau mengetahui dalam bidang berkenaan atau bertanya langsung pada pihak berkenaan. Allah taala berfirman yang bermaksud
“Maka bertanyalah orang yang mempunyai pengetahuan, jika kamu tidak mengetahui.” (An-Nahl : 43)
Bertanya sembarangan bukan hanya tidak akan menjelaskan keadaan atau kebenaran yang dicari tetapi juga boleh menyebabkan penyelewengan atau kesilapan dalam membuat kesimpulan. Bertanya sembarangan juga boleh mengakibat perbuatan mengintip rahsia orang lain yang dilarang oleh Allah taala. Allah taala telah berfirman yang bermaksud
“Dan janganlah kamu mencari kesalahan orang (mengintip).” (Al-Hujurat : 12)
3.    Elakkan dari membuat pra-sangka atau hukuman awal sebelum membuat kesimpulan atau menyatakan sesuatu. Allah taala berfirman yang bermaksud
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah dari berbanyak buruk sangka, sesungguhnya berburuk sangka itu sebahagian dari dosa.” (Al-Hujurat : 12)
4.    Apabila melibatkan diri dalam perbincangan mengenai apa jua isu, hendaklah bersifat terbuka untuk mendengar pelbagai pandangan. Allah taala berfirman yang bermaksud
“Maka berikanlah berita gembira bagi hamba-hambaku, mereka yang mendengar pandangan-pandangan dan mengikut yang terbaik di antaranya.” (Az-Zumar : 17-18)
Perbezaan pandangan dan kepelbagaian pandangan tidak semestinya tercela atau negatif. Islam menyediakan ruang bagi umatnya untuk berbeza pandangan. Yang penting ialah menjaga adab-adab dalam perbezaan pendapat.
5.    Apabila berhujah untuk meneguhkan pendirian, lakukanlah dengan cara yang terbaik. Allah taala berfirman yang bermaksud
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan contoh yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik.” (An-Nahl : 125)
“Dan janganlah kamu berdebat dengan ahli kitab kecuali dengan cara yang terbaik”(Al-Ankabut : 46)
Allah taala bukan hanya menyeru kita berdebat dengan baik tetapi dengan cara yang terbaik (Ahsan). Kalau kita diperintah untuk melakukan sedemikian terhadap ahli kitab, maka lebih utama untuk melakukannya terhadap sesama muslim.
6.    Apabila melibatkan diri dalam perbincangan, berhati-hati dari sifat dengki dalam diri kerana Allah taala meminta kita akan menjauhkan diri dari sifat sedemikian. Allah taala berfirman yang bermaksud;
“Wahai Tuhan kami, janganlah Kau jadikan dalam hati kami kedengkian terhadap mereka yang beriman.” (Al-Hasyr :10)
7.    Berlaku benar sentiasa. Allah taala berfirman yang bermaksud
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan jadilah kamu bersama orang-orang yang benar.” (At-Taubah : 119)
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud
“Sesungguhnya kebenaran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan membawa ke syurga.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Antara manifestasi sifat benar dan jujur ialah keterbukaan terhadap identiti diri dan tidak berlindung di sebalik nama-nama samaran. Secara psikologi, apabila seseorang itu berkomunikasi dengan identiti yang terbuka ia akan lebih bertanggungjawab terhadap apa yang ia perkatakan dan lebih berhati-hati dalam komunikasinya.
8.    Gunakanlah bahasa yang baik dalam menyampaikan pandangan. Kita hendaklah melayan orang lain dengan cara yang kita suka orang lain melakukannya pada kita dan tidak melakukan apa yang kita tidak suka orang lain lakukan pada kita.
Walau pun Firaun adalah zalim dan degil dengan kekufurannya tetapi Allah taala tetap menyuruh nabi Musa dan Harun agar bertutur dengan lembut kepadanya. Allah taala berfirman yang bemaksud
“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampau batas. Berkatalah kepadanya dengan kata-kata yang lembut. Semoga ia beringat dan takut.” (Taha : 43-44)
9.    Bincangkan isu bukan keperibadian seseorang kecuali jika ia relevan dalam perbincangan. Kemukakan hujah bagi pandangan yang kita rasa benar untuk memenangkannya. Jangan memenangkan sesuatu pandangan dengan menyerang keperibadian seseorang (character assasination). Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud
“Sorang muslim adalah saudara kepada sesama muslim, tidak boleh menganiayanya atau membiarkan dianianya. Sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, Allah akan menunaikan hajatnya. Siapa yang membebaskan kesukaran dari seorang muslim, Allah akan membebaskan kesukarannya di hari Kiamat. Siapa yang menutup aib seorang muslim, Allah akan menutup keaibannya di hari Kiamat.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
10.    Jangan sekali-kali bersegera atau gopoh untuk menjawab e-mel yang diterima atau mem ‘forward’ berita yang diperolehi kepada khalayak ramai. Sebaliknya berfikir secara tenang, dapatkan maklumat yang betul dan jawab dengan baik.
11.    Jika ingin mendakwa sesuatu, maka ke atas kita untuk mengemukakan bukti. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud
“Bukti ke atas siapa yang mendakwa dan sumpah ke atas siapa yang menginkarinya.” (Riwayat Al-Baihaqi)
Adalah satu kesilapan apa bila kita menerima sesuatu maklumat, lalu terus kita sebarkannya sebelum memastikan kebenaran maklumat itu atau bukti terhadap dakwaan dalam maklumat itu lalu menuntut pula pihak berkenaan untuk mengemukakan bukti dan membersihkan dirinya dari dakwaan berkenaan. Ini adalah terbalik dari apa yang sepatutnya.
12.    Termasuk dalam hak saudara kita ialah untuk menjaga privacy saudara kita. Ramai di antara kita yang mahukan privacy bagi e-mel kita. Oleh itu, jangan sebarkan e.mel seseorang merata-rata melalui ‘cc’ dan amalan ‘forward’ kerana ia boleh menyebabkan e-mel berkenaan disalahguna oleh pihak tertentu dan menggangu saudara kita. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud
“Seorang muslim yang sebenar ialah apabila seorang muslim yang lain sejahtera dari (kejahatan) lisan dan tangannya.” (Riwayat Al-Bukhari)
13.    Jika kita telah melakukan kesilapan di khalayak ramai, jangan malu untuk meminta maaf. Jika kita telah menyebarkan maklumat yang salah, jangan teragak-agak untuk membuat makluman umum agar ia tidak terus tersebar.
14.    Jangan melibatkan diri dengan ‘hoax’ kerana ia adalah pembohongan. Berbohong itu dilarang. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud
“Adalah menjadi pengkhianatan yang besar, apabila anda menyampaikan sesuatu berita kepada saudaramu, sedang ia mempercayainya, manakala anda pula membohonginya.” (Riwayat Ahmad & At-Tabarani)
Di dalam kitab Ihya’ Ulumuddin, Imam Al-Ghazali telah menulis satu bab khusus mengenai bencana lidah. Dalam bab itu, beliau menyenaraikan bencana lidah seperti berikut
•    Berkata yang tidak perlu
•    Mengambil tahu hal orang lain
•    Melibatkan diri dalam kebatilan
•    Berbantahan dan bertengkar
•    Bertelingkah
•    Berkata kotor, memaki dan cabul
•    Melaknat
•    Bergurau yang berlebihan
•    Menghina dan mengejek
•    Mendedahkan rahsia dan keaiban
•    Berbohong
•    Mengumpat
•    Melaga-lagakan orang
•    Terlibat dalam perkara yang sia-sia / tiada faedah
•    Bertanya perkara yang tidak penting dan pelik-pelik
Dalam konteks hari ini, komunikasi dalam bentuk perbincangan dan perbualan / sembang bukan hanya berlaku melalui lidah tetapi juga melalui jari-jari yang mengetik papan kunci komputer. Apa yang merupakan bencana lidah sekarang ini berubah menjadi bencana berkomunikasi.
Oleh itu, walau pun bencana yang dinyatakan ditulis berkaitan dengan lidah tetapi ia amat relevan dengan internet dan e.mel sebagai saluran komunikasi hari ini dan masa akan datang.
Diingatkan kepada sekalian umat Islam agar bertakwa pada Allah taala dalam berkomunikasi secara moden hari ini kerana silap dalam berkomunikasi akan mengakibatkan kesilapan, dosa dan ancaman azab dari Allah taala. Allah taala berfirman yang bermaksud
“Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang beriman lelaki dan perempuan dengan kesalahan yang mereka tidak melakukannya, maka sesungguhnya mereka telah menanggung pembohongan dan dosa yang nyata.” (Al-Ahzab : 58)
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud
“Jangan seseorang kamu melemparkan tuduhan lain dengan kufur dan jangan pula menuduhnya fasiq, melainkan sifat itu akan menimpanya, sekiranya orang itu tidak sedemikian.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Di dunia ini pula, kesilapan dalam berkomunikasi melalui e-mel boleh pula mengakibatkan tindakan saman malu ke atas pihak yang memfitnah dan mengaibkan seseorang di khalayak ramai.
Orang dahulu berkata terlajak perahu boleh dikayuh ke belakang, terlajak kata buruk padahnya kerana kata tidak dapat ditarik balik. Hari ini terlajak e-mel lebih bahaya kerana ia boleh disimpan untuk tempoh yang lama, dikeluarkan kembali dan diedarkan pula dengan meluas.
Artikel : Ustaz Muhammad Hanif Hassan
hanifiyah.multiply.com
 http://www.mamat.my

Comments

Popular posts from this blog