|AL-FATIHAH UNTUK ABAH | CERPEN





Aku bersandar di meja kepenatan, baru sahaja selesai mengemas barang lukisan di kedai arwah abah. Memandangkan sudah hampir tengah hari, panas yang semakin membahang semakin dirasai. Peluh semakin membasahi baju. Sedikit-sedikit aku menyedut air nescaffe ais yang baru di beli di warung Pak Amin. Ah, lega nya tekak aku! “Bila kita nak balik ni, Yam?” tegur sepupuku, Nadia. “Kejap lagilah, kita bawa masuk lukisan tu dulu. Lepas tu susun kat tepi, baru balik”, aku menjawab. Tiba-tiba, aku disapa oleh seorang lelaki yang aku kira boleh dianggap sebagai pakcik. “Assalamualaikum”, dia menyapa. Aku lantas menjawab salam dan memberikan senyuman. Dia nampak muda, tapi takkanlah aku nak panggil dia ‘abang’ ? Aku panggil pakcik sajalah.

“Awak ni anak En. Awai ke?”

“Iya saya.”

“Yang belajar kat melaka?”

“Bukan, itu adik saya. Saya anak sulung”

“Oh, awak belajar kat Batu Pahat kan? Ayah awak selalu bercerita pasal anak-anak dia”. Tanpa aku minta, pakcik itu mula membuka bicara tentang abah.

“Pakcik ni buka kedai kat sebelah. Sebelum ni pakcik ada cakap dengan ayah, suruh bawa kipas dari rumah. Awak pun rasa sendiri panasnya, kan?” Aku hanya mengangguk. Kemudiannya dia menyambung, “Tapi ayah awak cakap, kipas kat rumah dalam bilik cuma ada satu. Dia kata, tak apalah. Kesian kat anak bini, nak pakai. Biarlah dia berpanas kat sini, asalkan anak bini dia selesa kat rumah. Dia pernah cerita kat pakcik masa korang terlibat dengan tragedi Tsunami dulu. Masa tu 2 – 3 hari sebelum dia sakit. Dia cerita tu, sambil menangis. Mungkin dia rasa bersyukur sebab Tuhan masih beri dia peluang untuk bersama keluarga yang dia sayang. Okay, pakcik nak balik ke kedai. Awak sambunglah kemas semula.”




                   


Aku diam, terasa sebak. Abah menangis? Tak pernah aku lihat Abah menitiskan airmata di depan aku. Kali terakhir aku nampak Abah menangis, semasa aku di tingkatan 3. Itupun sewaktu Hari Raya Aidilfitri, aku meminta dia mendoakan aku agar cemerlang dalam keputusan PMR.

“Yam, jomlah kemas semula”, tegur Nadia menghapuskan lamunanku. Aku bingkas bangun dan meneruskan semula kerjaku tadi.



* * *



Aku duduk termangu di birai katil merenung gambar aku bersama arwah Abah yang diambil kali terakhir semasa Aidilfitri tahun ini. Untuk kali pertama selepas beberapa tahun kami tidak bergambar bersama. Ingatanku tertumpu pada hari pertama Abah dimasukkan ke hospital. 24 Oktober 2012, itulah tarikhnya. Dua hari sebelum Hari Raya Aidiladha, juga dalam tempoh aku menduduki final exam. “Puan, suami puan disahkan menghidap penyakit strok yang kriktikal akibat tekanan darah tinggi. Keadaan suami puan sekarang sangat tenat, tekanan darah dia terlalu tinggi. Kami akan cuba usaha sedaya-upaya untuk lakukan yang terbaik agar tekanan darah dia kembali normal. Tetapi, itu tak bermaksud suami puan akan pulih seperti biasa. Dia mungkin tiada harapan sembuh, sebab terlalu banyak darah beku yang terkumpul dalam saluran darah di otak. Kemudian, punca dia mengalami strok itu kerana saluran darah tadi telah pecah. Itulah sebabnya suami puan tiba-ii tidak dapat bergerak. Dalam erti kata lain, separuh badan dia dah lumpuh dan dia mungkin akan bergantung hidup pada mesin jika keadaannya semakin lemah. Kemungkinan hanya menunggu masa…”



Pada masa itu, aku tak mahu percaya satu pun kata doktor. Aku hanya memasang telinga dari tepi. Alahh, doktor tahu apa? Dia bukannya Tuhan, nak tentukan hidup mati seseorang. Takpun doktor tu tipu je sebenarnya. Saja je nak takutkan aku dengan family aku. Doktor tu bohong je kann? Aku diam membatu, mengatur fikiranku sendiri. Pebagai andaian dibuat, hanya untuk melegakan perasaan dalam hati. Saat itu aku sedar betapa aku mementingkan diri, taknak ambil tahu. Bukan, aku bukan taknak ambil tahu. Tapi aku taktahu macam mana nak terima berita itu. Aku baru je nampak Abah lalu depan aku. Aku baru je dengar Abah suruh adik buatkan kopi. Baru je Abah cakap nak makan sama-sama dengan aku. Mana mungkin orang yang terbaring dikatil ini Abah. Tak, tak mungkin. Pelanduk dua serupa agaknya? Doktor bohong! Abah sihat je, dia tak pernah sakit. Paling teruk pun cuma demam panas je. Abah tak pernah masuk hospital. Walaupun dia pernah accident teruk, satu hari je dia stay hospital. Itupun dia cuma balut luka, lepas tu balik rumah. Apa doktor ni? Buatlah kerja betul-ii. Sukahati je nak cakap Abah tu dah takde harapan nak sembuh. Esok-esok dia sihatlah. Aku kenal Abah. Aku tahu Abah bukan seorang yang senang dapat penyakit. Apa ni? Apa semua ni? Aku tak fahamlah! Kenapa Abah baring je? Abah, bangunlah! …aku tak faham langsung..kenapa? …akhirnya aku tewas. Kalah dengan emosi aku yang tinggi egonya. Aku terima, Abah sedang sakit. Dia tenat. Aku melangkah jauh dari Ibu, jauh dari doktor, jauh dari semua orang. Sampai di satu sudut, aku memalingkan muka ke dinding. Semua andaian aku tu hanya dibuat-buat supaya aku tak menangis. Aku tahan, dan tahan, cuba ketawa, cuba senyum..sudahlah, jangan paksa diri..menangis jelahh, tak salah punn..
“Kaklong, tolong kejap!” Tiba-tiba suara adikku memanggil membuatkanku tersentak. Hilang semua fikiranku yang melayang tadi. Aku terus keluas dari bilik dan membantu apa yang perlu.

* * *
Tarikh 9 November 2012, takkan luput dari ingatanku sampai aku mati. Genap sebulan hari jadiku berlalu, aku mendapat berita pemergian Abah pada pukul 11.30 malam. Sungguh, aku terduduk di tangga. Mendengar setiap butir perkataan yang diucapkan oleh Ibu melalui corong telefon. “Kaklong, bagitahu Cik Anas, nenek, dengan adik-adik..Abah dah meninggalkan kita. Awak dah takde ayah lagi, nak.” Serius suara Ibu menyampaikan kata-kata. Aku menahan airmata, cuba mengimbangi suara agar tidak kedengaran sebak. Akhirnya Abah pergi meninggalkan kami semua, setelah susah payah dia berjuang untuk bertahan. Namun Allah lebih mengetahui, lebih menyayangi dia. Maha Suci Allah yang berkuasa menghidupkan dan mematikan hambanya.


                     

“Kenapa kau tak menangis? Janganlah tahan. Aku tahu kau tengah sedih!” Suara Aliah dalam telefon memecahkan keheningan malam. “Hey, aku okay lahh! Jangan risau, aku redha”, aku menjawab dengan tenang. “Kau tak payah tipu aku lah, Yam. Kita kenal dah lama. Aku kawan dengan kau sejak kecil lagi. Berhenti kata yang kau okay. Aku tahu kau langsung tak okay!” Bentak Aliah, suaranya menggambarkan bahawa dia sedang menahan tangisan. “Lia, aku call kau lagi nanti. Aku ada hal, bye. Assalamualaikum”, aku terus mematikan panggilan. Aku tahu, aku cuma mengelak daripada perhatian yang diberikan. Aku juga tahu, aku seorang yang tabah. Tapi aku juga tahu, tiba saatnya aku pasti akan menangis. Menangis semahunya.

Sewaktu semua orang sedang bersuka-ria menyambut Aidiladha dengan keluarga, aku hanya mampu melihat Abah terbaring kelesuan. “Kaklong, terima kasih sebab datang melawat Abah. Abah minta maaf, sebab susahkan Kaklong nak jaga Abah.” Perlahan suaranya. Butir bicara yang susah untuk difahami namun jelas kedengaran. Pucat mukanya. Aku puas menjaga Abah. Mengambilkan wudhuk, menyuapkan bubur, malah menukarkan lampinnya. Sepanjang Abah sakit, aku berulang-alik burhujan panas dari rumah ke hospital untuk menghantar baju salinan kepada Ibu. Selama tempoh itu juga Ibu langsung tidak pulang ke rumah, setia menemani Abah setiap malam di sisi katil. Aku tahu, tempoh dua minggu aku menjaga abah yang sakit tidak dapat menandingi kasih sayangnya selama belasan tahun dia menjaga aku. Namun aku harap, dengan cara itu aku dapat mencuci segala dosa aku terhadap Abah. Abah mungkin tak sehebat ayah yang lain, mungkin tak sesempurna ayah yang lain, mungkin tak semampu ayah yang lain. Namun aku pasti, Abah ialah ayah yang terbaik. Segala masalah yang ditanggung tidak pernah dikongsi bersama, hanya aku yang selalu mengeluh tentang kekurangan Abah. Sedangkan dibahunya terletak bebanan yang tidak mungkin dapat ditanggung oleh sesiapapun tanpa aku sedari. AL-FATIHAH UNTUK ABAH..

* * * *

           


Orang kata, Allah memberi dugaan pada hambanya untuk menguji sekuat mana iman kita. Orang juga ada cakap, bila Allah menguji kita, itu bermakna Allah sayangkan kita. Tidak kurang juga ada yang berpesan, Allah menurunkan ujian supaya kita semua terus mengingati Tuhan yang Maha Mendengar disaat kita ditimpa musibah. Allah juga memberi ganjaran yang tidak ternilai kepada hambanya yang berjaya menghadapi dugaan dengan tabah. Tapi, persoalan yang selalu berteka-teki dalam minda aku, mampukah aku laluinya? Aku sering kali terfikir, jika Allah menguji hambanya agar selalu mengingati-Nya, adakah aku diuji kerana aku selalu lupa pada-Nya ? Ya Allah, ampunkanlah segala dosaku…


Dari :
Siti Mariam Awai@MENTOS PEDAS
 http://haiyumhaffiz.blogspot.com

Comments

Popular posts from this blog