Skip to main content






Sebar surat layang, fitnah tanda keruntuhan moral

  Oleh Wan Marzuki Wan Ramli 
 
Pelaku lebih utamakan kepuasan hati dengan menolak rasional akal anugerah Tuhan

PERBUATAN menyebarkan khabar angin melalui surat layang, blog, SMS dan e-mel semakin menjadi-jadi dalam kalangan masyarakat Islam mutakhir ini. Rasa tidak puas hati dan dendam mendorong seseorang untuk melakukan perbuatan ini yang dikira dapat mengaibkan mangsa demi kepuasan hati penyebar khabar angin. 

Perbuatan mempunyai sangka buruk terhadap orang lain sebenarnya timbul dari perasaan tidak berpuas hati dan dengki khianat atas sebab-sebab tertentu. Perbuatan sebegini melambangkan betapa rendahnya moral pelaku yang sanggup menghancurkan maruah orang lain dengan menolak segala pertimbangan dan rasional akal yang dianugerahkan Allah SWT.

Kalau pun sesuatu tuduhan itu ada kebenarannya, orang yang mengambil kesempatan untuk berbuat demikian perlu mengadakan bukti yang kukuh dan munasabah bagi membuktikan dakwaannya, bukannya dengan mencantumkan cerita yang dibawa dari mulut ke mulut dan dijadikan modal menyebarkan wasangka buruk dan tuduhan palsu dan negatif kepada seseorang.

Akibat perbuatan ini, sudah pasti perasaan dendam akan terus berpanjangan di antara yang menuduh dan yang kena tuduh, masing-masing ingin membuktikan tuduhan yang dibuat adalah benar dan tampil membuat penafian bagi menolak segala tuduhan yang dilemparkan.

Manusia yang terbabit dalam perbuatan ini perlu kembali kepada mafhum sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Awasilah diri kamu dari buruk sangka kerana perbuatan itu adalah satu pembohongan besar. Janganlah mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikanlah diri kamu semua bersaudara-mara. - (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Baginda Rasulullah SAW mengingatkan umatnya agar sentiasa menjauhi diri daripada terjerumus ke dalam perbuatan keji yang dinyatakan dalam hadis itu. 

Sesungguhnya impak daripada perbuatan keji itulah yang membawa kepada berlakunya budaya penyebaran surat layang dan fitnah memfitnah dalam masyarakat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik yang membawa berita, maka periksalah dengan teliti kebenarannya agar kamu tidak menimpakan musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesali perbuatan kamu itu.” - (Surah al-Hujurat, ayat 6).

Islam juga amat melarang umatnya daripada perasaan suka mengorek rahsia orang lain. Tetapi apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini, perbuatan mencari rahsia orang lain bukan bertujuan untuk menegahnya dari berlakunya perkara sumbang, tetapi bertujuan untuk mendapatkan maklumat tertentu mengenai peribadi seseorang dan kemudian dijadikan alat untuk membalas dendam kepada orang berkenaan.

Islam sendiri menuntut umatnya agar menyembunyikan keaiban orang lain walaupun kita mengetahuinya kerana Allah akan menyembunyikan keaiban kita daripada diketahui kepada orang lain.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Beruntunglah orang yang sentiasa menyelidiki dan melihat keaiban sendiri.” - (Riwayat Muslim).

Satu sifat mazmumah yang paling kerap melanda diri manusia yang suka menyebarkan khabar angin dan fitnah ini ialah sifat hasad dengki dan iri hati. Hasad dengki dalam definisi yang lengkap membawa maksud mencari jalan atau ikhtiar untuk menghilangkan nikmat yang ada pada orang lain.

Kesannya amat besar, bukan saja kepada orang yang menjadi sasaran dengki, tetapi juga akan terpalit kepada seluruh anggota masyarakat umum.

Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud: “Berhati-hatilah kamu terhadap hasad dengki kerana ia boleh merosakkan amal kebaikan kamu seperti api memakan sekam.” (Riwayat Muslim)

Satu insiden yang akan timbul pada peringkat awal penyebaran khabar angin dan fitnah ialah perang dingin antara kedua pihak yang terbabit, kemudian apabila parah maka akan lahir pula sikap benci membenci, tuduh menuduh, caci mencaci dan akhirnya perbalahan besar yang boleh menjurus pembunuhan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai mereka yang beriman, jauhkan diri kamu dari sangka buruk kerana sesetengahnya boleh menjadi dosa, maka janganlah kamu mencari rahsia seorang lain serta memaki hamun kepada orang lain.”

Kesimpulannya, untuk mengelakkan diri daripada terbabit dan tergelincir ke arah perlakuan keji seperti suka menabur fitnah, bersifat hasad dan mudah terpengaruh dengan khabar angin, maka eloklah kita mengambil nasihat disarankan Imam al-Ghazali iaitu:
  • Al-qanaah (cukup dengan apa yang diberikan);
  • Al-zuhd (tidak mementingkan duniawi);
  • Kitmanus-sir (merahsiakan rahsia),
  • Al-hilm (lambat marah );
  • As-syajaah (berani);
  • Al-iffah ( pemaaf).

    Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Janganlah kamu marah, janganlah kamu berhasad dengki dan janganlah kamu bermasam muka, sebaliknya jadikanlah kamu hamba Allah yang bersaudara.” (Riwayat Bukhari & Muslim). 

  •  http://www.bharian.com.my

    Comments

    Popular posts from this blog