Surat Layang dan Implikasinya


Saya petik artikel ini bertajuk surat layang dan implikasinya kepada organisasi daripada blog gurubashid.com disebabkan baru-baru ini terdapat banyak permasalahan tentang surat layang. Saya rasa artikel penting untuk tatapan kita bersama tetapi untuk tajuk ini saya tidak menjanjikan hasil yang sempurna sebab saya tidak pernah mengambil berat tentang surat layang sebelum ini.

Barangkali sebab saya belum pernah menerima surat layang, tetapi bagaimana mereka yang pernah menjadi sasaran surat layang?.

Memang sukar bagi saya menulis sesuatu yang saya sendiri tidak menyenanginya. Saya tidak akan berkompromi dengan surat layang walau apa pun tujuannya dan siapa pun sasarannya. Sebab bagi saya jika anda ingin menyedarkan seseorang dan mengubah status quo organisasi anda, surat layang bukan sahaja pilihan yang tidak tepat, tetapi sesat.

Penulis surat layang mungkin beranggapan bahawa surat layang hanya melibatkan penulis surat tersebut dan sasarannya.Namun apabila siasatan mula dibuat ia bukan lagi menjadi masalah dua orang itu, tetapi sudah menjadi masalah semua ahli dalam organisasi.

Organisasi tiba-tiba sahaja terperangkap dalam fitnah, dzan, syak dan pandangan serong pihak luar. Andaian demi andaian dibuat tentang organisasi tersebut dan ahli-ahli di dalamnya. Andaian itu sendiri adalah bagai pintu yang membuka daunnya untuk sebarang fitnah.

Apabila penyiasatan dibuat ramai pihak yang akan ditanya dan disoal siasat.Tiba-tiba sahaja masa mereka terpakai untuk suatu kerja yang sebelumnya tidak termasuk dalam jadual. Privacy seluruh ahli organisasi sudah terganggu hanya disebabkan tangan dan niat jahat penulis surat layang. Maka pada waktu itu surat layang bukan lagi menjadi satu rahsia tetapi terdedah kepada seluruh ahli organisasi.

Sebab itulah surat layang walau apapun niat penulisnya tidak dapat dihalalkan. Sebabnya mudah. Surat layang mendedahkan organisasi kepada pelbagai tuduhan dan prasangka. Selagi nama-nama yang disebut dalam surat layang itu tidak membersihkan dirinya atau dibersihkan oleh pihak ketiga daripada semua dakwaan yang terkandung dalam surat layang itu, selagi itulah orang yang tertuduh itu terbelenggu dalam sangkar fitnah dan syak.

Surat layang menggambarkan sikap penulisnya yang tidak mahukan sebarang komitmen, tidak bertanggungjawab, penakut, tidak suka berterus terang, lempar batu sembunyi tangan dan sadis. Ia diumpamakan melepaskan tembakan secara curi. Baginya yang penting ialah melepaskan tembakan itu. Sama ada peluru yang dilepaskan itu mengenai sasaran atau tidak itu bukan menjadi persoalannya.

Saya lebih cenderung untuk menyatakan bahawa penulis surat layang mempunyai satu penyakit yang bermula daripada dua bebola matanya lalu turun ke hatinya.

Ini bukan penyakit mata biasa atau konjunktiva. Jika “conjunctivitis” boleh dihalang dengan tindakan kuarantin, dan pengambilan langkah preventif, namun penyakit mata ini lain daripada yang lain. Ia sukar untuk menjangkiti orang lain, tetapi amat mudah menjangikiti atau menular ke hati pemiliknya.

Penyakit hati yang berpunca daripada mata ini bukan penyakit hati biasa yang dikenali sebagai hepatitis, tetapi penyakit hati ini jika tidak dikawal dengan sejenis vaksin yang dipanggil sufi ciptaan ghazali, virus iblis bercampur najis yang menjadi punca penularannya boleh sahaja merosakkan hati pemiliknya ke tahap gaban.

Simptom awal penyakit ini ditandai dengan perasaan tidak senang melihat orang lain senang, bahagia dan berjaya. Kemudian rasa kurang senang di matanya itu bertukar menjadi penyakit di hatinya. Penyakit itu mempunyai pelbagai nama antaranya dengki, iri hati, cemburu dan dan yang paling tinggi, phd.

Pembawa penyakit ini mempunyai sindrom meneropong seseorang dengan niat untuk mencari salah. Yang anehnya dia mempunyai banyak waktu untuk itu walaupun dibebankan tugas yang banyak. Kendatipun banyak kebaikan yang boleh diceritakan tentang orang yang diteropong itu, namun dia tidak berminat dengan semua kebaikan itu kerana itulah musuh-musuhnya seperti juga iblis yang memusuhi kebaikan Adam. Yang dicariya hanyalah yang salah, bukan kebaikan. Penyakit hatinya itu diterjemahkan dalam surat layang seolah-olah dia ingin berkongsi penyakitnya itu dengan orang lain.

Surat layang berupaya merubah iklim seluruh organisasi. Organisasi yang asalnya tenang tiba-tiba sahaja berkocak. Penulis surat layang memang phobia dengan ketenangan organisasi. Dia tidak selesa berada di sebuah organisasi yang tenang lalu dia mencampakkan seekor buaya di dalamnya supaya hatinya yang berpenyakit itu terhibur melihat kocakan yang disebabkan” sang buaya” itu.

Disebabkan angkara sepucuk surat layang semua orang dalam organisasi itu boleh sahaja disyaki sebagai penulisnya. Apabila seseorang memandang seseorang yang lain, dalam hati mereka boleh sahaja berkata dia ini barangkali penulis surat layang itu. Begitu juga lah sebaliknya. Maknanya semua orang boleh mengesyaki sesiapa sahaja. Inilah bahana surat layang yang boleh menyebabkan jiwa ahli organisasi berada dalam keadaan melayang-layang.

Surat layang memberi gambaran bahawa penulisnya ingin menjadi bintang. Dia tidak berupaya menjadi bintang dengan cara biasa, maka cara surat layang digunakannya. Bintang ini bersikap sadis iaitu suka melihat orang lain gelisah dan gelabah.

Surat layang menggambarkan penulisnya hanya mementingkan dirinya sahaja, dan tidak mempedulikan implikasi perbuatannya kepada organisasi seluruhnya. Yang penting niatnya dilampiaskan walau apa pun cara yang digunakan. Dia tidak pentingkan apa kesannya. Baginya perasaannya harus dipuaskan dahulu.

Jika anda seorang yang bertanggungjawab dan sayangkan organisasi, anda mesti berani bersua muka dan menyatakan sesuatu yang tidak kena secara berdepan empat mata. Jika perlu, anda menyediakan sekali alternatif atau cadangan yang konstruktif bukan sekadar menafikan atau tidak menyetujui.

Ramai orang yang berkata dalam mana-mana organisasi orang yang lantang mengkritik menyusahkan organisasi. Tetapi sekurang-kurangnya kita sudah mengenali siapa beliau. Tindakannya dihabiskan di dalam organisasi dan tidak dibawa ke luar. Tetapi ini berbeza dengan penulis surat layang. Dia ingin berkongsi semua yang berlaku dalam organisasinya kepada orang-orang di luar organisasi, tetapi dengan jalan dan niat yang salah. Inilah masalahnya.
 
Organisasi sebenarnya beruntung jika wujud di dalamnya seseorang yang berani menyatakan tidak. Tentunya yang dimaksudkan menyatakan secara berhadapan, bukan menggunakan instrumen surat layang.

Organisasi lebih banyak belajar daripada orang-orang bersikap terbuka yang pada kebanyakan masanya menyokong setiap tahap kemajuan organisasi, tetapi sesekali bersedia menyatakan tidak kepada majikannya jika itu difikirkan wajar untuk kebaikan organisasi.
Organisasi diperkukuhkan melalui proses penambahbaikan berterusan. Bagaimana organisasi boleh mengetahui akan kelemahan dan kekuatannya jika tiada yang ikhlas memberitahu tentang apa lagi nilai tambah yang diperlukan oleh organisasi.

Memberitahu perkara yang benar sungguhpun pedas adalah menggambarkan sikap yang lebih bertanggungjawab daripada menyimpannya untuk menjaga hati atau menghebahkannya dengan jalan dan niat yang jahat.

Tetapi jika pemberitahuan itu dibuat melalui surat layang, ia bukan sahaja menggambarkan ciri-ciri tidak bertanggungjawab penulisnya, malahan merosak jiwa dan seluruh organisasi.

Organisasi dengan segala kebijaksanaannya wajar menyekat gejala surat layang daripada peringkat niat lagi, apatah lagi kalau ia sudah diguna sebagai mekanisme yang dipercayai cara terbaik untuk membetulkan keadaan.

Menganjurkan pertandingan menulis esei bertemakan surat layang dan implikasinya kepada organisasi mungkin salah satu tindakan yang boleh dibuat oleh majikan bagi membendung praktis yang tidak baik ini. Walau apa pun tafsirannya, pertandingan menulis esei seperti ini diharap menjadi tindakan penyudah untuk menamatkan amalan menulis surat layang serta menyedarkan penulisnya bahawa kesan buruk surat layang kepada organisasi jauh lebih banyak, berbanding kebaikannya.

Jika anda tidak puas hati, jadilah orang yang berani dan bertanggungjawab dengan memberitahu sendiri kepada individu terbabit. Janganlah kerana anda ingin menjaga hati seseorang, hati anda yang sakit sehingga surat layang pula dijadikan pilihan.

Mana yang lebih penting antara menjaga hati dengan menjaga organisasi. Tidak perlulah kita terlampau menjaga hati seseorang sehingga sanggup membiarkan organisasi menuju kelemahan. Salah satu cara memperkukuhkan organisasi ialah melalui penilaian kostruktif yang dibuat tanpa prejudis dan memihak.

Dipetik dari blog gururashid.com

Comments

Popular posts from this blog