- SELAMAT MELAYARI BLOG INI SEMOGA KITA MEMPEROLEHI MANFAATNYA DAN HARAP DISEBARLUASKAN KEPADA PEMBACA YANG LAIN PULA BERSESUAIAN DENGAN SABDA RASULULLAH S.A.W "SAMPAIKAN DARIPADAKU WALAUPUN DENGAN SATU AYAT"

Tuesday, November 13, 2012







Tips hindari penyakit was-was dalam ibadat


SAYA selalu mengalami perasaan waswas dalam ibadah. Setiap kali berwuduk, saya membasuh muka berkali-kali kerana tidak yakin semua bahagian telah tersentuh air. Dalam solat pula, saya sering merasa waswas dengan takbiratul ihram, sama ada ia sudah sempurna atau belum? Akibatnya saya selalu mengulang takbir beberapa kali sebelum meneruskan solat. Tambah menyedihkan apabila di pertengahan solat, ada ketikanya saya lupa dan waswas dengan jumlah rakaat yang telah dikerjakan dan saya sungguh tersiksa dengan keadaan ini. Bagaimanakah cara mengubatinya?

JAWAPAN

WASWAS adalah muslihat syaitan untuk merosak ibadah manusia. Anda bukan satu-satunya orang yang mengalami perasaan seperti ini. Malah ramai di luar sana yang mengalami perkara yang sama.

Saya pernah melihat seseorang yang waswas dalam lafaz niat dalam solat. Ia berkata: Usolli fardu…usolli fardu tanpa pernah masuk ke dalam solat. Ia berjaya masuk ke dalam solat hanya selepas 10 minit kemudian.

Ada juga yang begitu waswas dalam istinjak. Ia belum merasa bersih meski telah membasuh tangannya berkali-kali.

Semua ini tidak lain adalah perangkap syaitan. Orang yang menjadi mangsa biasanya mereka yang belum menguasai ilmu agama dan hukum-hakam dengan sempurna.

Berkata Imam Al-Syarbini dalam kitab Al-Iqna: “Waswas ketika takbiratul ihram adalah permainan syaitan. Sikap ini menunjukkan kelemahan dalam ilmu agama.”

Justeru ubat yang paling efektif bagi mengubati penyakit ini adalah ilmu. Pelajarilah ilmu agama secara mendalam dan berdampinglah dengan para ulama. Anda akan melihat bahawa ajaran Islam sebenarnya sederhana lagi mudah. Dan berlebihan dalam ibadah sama sekali tidak disukai oleh Islam.

Dengan ilmu kita tahu bahawa niat sebenarnya di hati, bukan di lisan. Ucapan kalimat usolli hanya untuk membantu menghadirkan niat di hati. Maka mengulang kalimat ini berkali-kali sama sekali bukan tuntutan agama menurut kesepakatan ulama.

Ilmu juga memahamkan kita bahawa pembaziran air sesuatu yang terlarang. Maka, berlebih dalam membasuh anggota wuduk atau beristinjak bukan sahaja tidak dianjurkan, malah tidak disukai. Oleh itu menurutkan bisikan dan waswas hanya menjauhkan kita daripada kesempurnaan ibadah.

Abaikan

Dalam pelbagai hadis, Rasulullah mengajarkan kita agar selalu mengabaikan waswas setiap kali syaitan membisikkannya ke dalam hati kita. Jangan sekali-kali menurut bisikan ini apalagi hanyut dalam tuntutannya. Sebaliknya, mintalah bukti atas kebenaran dakwaannya. Setakat dakwaan tanpa bukti tidak boleh diterima.

Rasulullah SAW bersabda: “Jika syaitan mendatangi salah seorang daripada kamu lalu membisikkan: “Wudukmu telah terbatal”, maka katakanlah: “Engkau dusta!” Kecuali jika ia mencium bau atau mendengar suara (kentut).” (riwayat Abu Dawud.

Jika perasaan waswas itu tidak juga hilang, maka lakukanlah perkara yang bertentangan dengannya. Sebab syaitan akan sangat kecewa jika kita bukan setakat mengabaikan perintahnya, malah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan perintah itu.

Seseorang pesakit waswas pernah mendatangi Kyai Zuhri Mutamim, ulama besar di Singapura yang wafat pada 1985. Ia berkata: “Saya selalu merasa waswas setiap kali selepas beristinjak. Saya merasa tangan saya belum bersih meskipun saya telah membasuhnya berkali-kali. Bagaimanakah caranya untuk meyakinkan hati saya bahawa tangan saya telah benar-benar bersih?”

Beliau menjawab: “Ceduklah air dengan kedua tanganmu, lalu minumlah.”

Sungguh bijak jawapan beliau.

Zikir

Terakhir, jangan lupa untuk selalu menghadirkan nama Allah setiap saat. Sebab syaitan akan mengecil dan menyusut setiap kali disebut nama Allah SWT.

Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: “Jika seseorang berkata: Bismillah, maka syaitan mengecil hingga sebesar lalat.”

Ibnu Kathir dalam Tafsir-nya berkata: “Sanad hadis ini kuat. Ini menunjukkan bahawa apabila hati kita menyebut nama Allah, syaitan akan mengecil dan kalah. Namun apabila kita tidak mengingat Allah, ia menjadi semakin besar dan kuat.”

Sebahagian ulama menganjurkan membaca Lailaha illallah setiap kali seseorang merasakan perasaan waswas dalam wuduk, solat atau ibadah lainnya. Sebab kalimat tauhid ini adalah zikir yang terbesar. Demikian anjuran ini terdapat dalam kitab Tuhfat Al-Habib ‘ala Syarh Al-Khatib.

Bacaan lain adalah ta’awwuz, yakni membaca: “A’uzubillah minasyaitannirrajim. Maknanya: “Aku berlindung kepada Allah daripada (kejahatan) syaitan yang direjam.”

Selain bacaan-bacaan ini, bacalah zikir yang anda mampu. Semakin hati kita penuh dengan zikir, semakin syaitan dan tipu dayanya menjauh daripada diri kita. Wallahu a’lam

 http://darululumonline.wordpress.com

No comments:

Post a Comment